Semalam saya pulang ke kampung yang terletak di negeri Melaka.
Tujuan kepulangan saya ialah sekadar menghantar ibu saya yang datang
ke KL sehari sebelumnya untuk menghadiri majlis akikah cucu saudaranya
(cucu kepada adik perempuannya).
Pagi tadi, sempat juga saya bersama isteri dan anak tunggal kami,
Luqman, melihat-lihat keindahan kampung sendiri. Kebetulan sekarang
musim buah. Sebab itulah juga kelihatan pelbagai jenis buah-buahan
bergayutan. Banyak juga yang sudah gugur ke bumi kerana tak sempat
dipetik lantaran limpahannya yang begitu banyak. Demikianlah
melimpah-ruahnya rezeki Allah untuk para hamba-Nya.
Saya mula meninggalkan kampung ini untuk merantau mencari ilmu
sewaktu berusia sekitar 8 tahun, kira-kira 34 tahun lalu. Sejak
itulah saya hanya pulang ke kampung sekali-sekala, iaitu ketika cuti
persekolahan yang panjang. Situasi ini berterusan sehinggalah
sekarang. Maka itulah juga saya tidak begitu mengenali dan akrab
dengan generasi muda kampung sendiri.
Biar di mana pun saya pergi, saya tetap berbangga dengan kampung
sendiri. Bagi saya, kampung inilah yang paling indah sekali. Indah
bukan sahaja dengan pemandangannya, tetapi dengan peristiwa yang
pernah saya lalui suatu ketika dahulu.
Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula kampung sendiri.
2 comments:
Benar sungguhlah kata pepatah:
"Jauh-jauh seluang melaut akhirnya kembali ke pantai jua".
"Putik pauh delima batu
Anak sembilang di tapak tangan
Walaupun jauh di beribu batu
hilang di mata di hati jangan"
Assalamu'alaikum, saudara dan rakan-rakan sekalian.
Maha Suci Dia yang telah mengurniakan nikmat pelbagai kepada kita. Saya dapat bayangkan betapa ziarah kembali ke kampung sendiri, benar-benar suatu keseronokan. Nah, barangkali, inilah yang disebutkan dengan pepatah "sirih pulang ke gagang ..."
Syukur alhamdulillah, suasana indah sebegitu masih belum tercemar. Semoga ia akan terus terpelihara demi kemaslahatan generasi kita mendatang.
Terima kasih.
Post a Comment