Wednesday, August 12, 2009

Bicara Isu

Literasi Braille: Sekadar coretan

Malam semalam (11 Ogos), saya sempat menghadiri Mesyuarat
Jawatankuasa Teknikal Pendidikan Khas Masalah Penglihatan anjuran
Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia. Mesyuarat
berlangsung bermula jam 8.45 malam dan tamat pada jam 11.35 malam.
Mesyuarat telah berlangsung di Hotel Flaza, Kuala Lumpur. Kehadiran
saya adalah mewakili Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam
Malaysia (PERTIS).

Antara isu hangat yang dibincangkan semalam ialah mengenai literasi
Braille dalam kalangan guru-guru yang terlibat dalam pendidikan khas
murid-murid cacat penglihatan. Menurut statistik yang dikeluarkan
oleh Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian pelajaran Malaysia, hanya
22% sahaja guru yang terlibat dalam pendidikan khas untuk murid cacat
penglihatan yang masih tidak mahir dengan sistem tulisan Braille. Ini
bermakna, sekitar 78% guru dalam bidang berkaitan sudah mahir dengan
Braille.

Saya amat meragui statistik yang telah dikeluarkan oleh Bahagian
Pendidikan Khas seperti di atas. Bila saya bertanya, apakah kaedah
atau method yang telah digunakan untuk memperoleh statistik berkenaan?
Antara jawapan yang diberi ialah menerusi pemantauan kehadiran dalam
kursus Braille yang pernah diadakan. Ia juga berdasarkan maklum balas
yang telah diberikan sama ada oleh pihak sekolah ataupun oleh
guru-guru sendiri. Jawapan seperti ini menambah lagi keraguan saya
mengenai statistik yang telah dikeluarkan. Setakat ini bolehlah saya
rumuskan, untuk memperoleh statistik seperti di atas, Bahagian
Pendidikan Khas tidak menggunakan kaedah yang betul. Justeru, saya
amat meragui ketepatan dan kebolehpercayaan statistik yang telah
dimaklumkan. Dengan erti kata lain, saya penuh yakin statistik guru
yang mahir Braille lebih rendah daripada 78%.

Isu ini telah mula ditimbulkan dalam mesyuarat yang sama sejak tahun
2007 lagi. Saya masih ingat, antara ketetapan yang telah diputuskan
dalam mesyuarat yang sama tahun 2007 termasuklah, ujian kompetensi
Braille akan dilaksanakan untuk memperoleh data yang tepat lagi sahih
mengenai literasi Braille; hanya guru-guru yang mahir Braille sahaja
yang layak untuk dipertimbangkan bagi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang
(APC). Malangnya, sehingga ke hari ini pun, tiada satu pun daripada
apa yang telah diputuskan pada waktu itu telah benar-benar
dilaksanakan. Sehingga sekarang, ujian kompetensi Braille belum lagi
dilaksanakan. Selain itu, masih ada guru-guru pendidikan khas untuk
murid cacat penglihatan yang tidak mahir Braille tetapi telah mendapat
Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. Maka itulah juga sehingga ke hari
ini pun, Braille masih gagal dimartabatkan sebagaimana sepatutnya.

Apa yang lebih mendukacitakan saya ialah, ada segelintir guru dari
pendidikan khas untuk murid cacat penglihatan yang tidak mahir Braille
sehingga ke hari persaraan mereka. Sedangkan mereka telah berkhidmat
dalam bidang yang berkaitan lebih daripada 10 tahun. Ada juga di
antara mereka yang telah mendapat anugerah cemerlang walaupun tanpa
kemahiran Braille. Sepatutnya, jika golongan seumpama ini ingin
dianugerahkan juga dengan anugerah seperti APC tetapi tidak bersedia
untuk mendalami pengetahuan dan kemahiran mengenai Braille, maka
bidang pendidikan khas untuk murid cacat penglihatan bukan tempat dan
salurannya. Oleh kerana selama ini tindakan berkesan tidak pernah
diambil ke atas guru-guru yang tidak mahir Braille oleh mana-mana
pihak, maka itulah sebahagian mereka begitu selesa bertugas di dalam
bidang pendidikan khas untuk murid cacat penglihatan walaupun mereka
sedar mereka tidak berkemahiran dalam Braille.

Sepatutnya, bila disebut "kemahiran Braille", seseorang itu mesti
berupaya membaca dan menulis Braille dengan lancar, serta berupaya
pula melaksanakan tulis pindah (transcribe) sama ada dari tulisan
biasa ke tulisan Braille, atau sebaliknya. Bidang yang harus dikuasai
pula mestilah mencakupi sistem Braille gred 1 dan gred 2, dan bukan
sekadar menulis "a b c" semata-mata.

Saya sendiri pernah terserempak dengan guru-guru tertentu yang
meminta pelajar untuk membacakan kepada mereka sama ada kerja sekolah
mahupun skrip jawapan peperiksaan pelajar bertulisan Braille. Alasan
yang diberikan macam-macam. Hakikatnya mereka (guru-guru) berkaitan
sebenarnya yang tak mahir dengan Braille. Kalaulah hal sedemikian
dilakukan pula oleh guru-guru yang cacat penglihatan, pastilah ia akan
menjadi isu dan akan diketengahkan sebagai satu lagi kelemahan
guru-guru cacat penglihatan.

Oleh itu, sudah tiba masanya semua pihak yang berkepentingan dan
sayangkan pendidikan khas untuk murid cacat penglihatan menggandakan
usaha agar permasalahan yang sedang dihadapi dapat diatasi sebaik
mungkin. Kita harus ingat, bidang pendidikan khas bukan bidang untuk
kita mencari nama, naik gaji atau mengejar kecemerlangan peribadi.
Bila saya imbas kembali masa lampau yang semakin jauh berlalu,
adakalanya rasa sebak dan hiba menyucuk jiwa kerana keikhlasan
guru-guru waktu itu masih terasa hingga kini.

Apa yang saya perkatakan ini hanya sekadar coretan sahaja. Banyak
lagi yang boleh diperkatakan dalam isu ini. Walaupun apa yang saya
perkatakan ini tidak disukai oleh pihak-pihak tertentu, demi
menjunjung kebenaran, saya akan tetap memperkatakannya.

Katakanlah yang benar, walaupun ia pahit untuk didengar (Hadith).

7 comments:

puterimualim said...

Tahniah atas kesesungguhan dan keberanian yang hak. Teruskan perjuangan walaupun terpaksa menempuh halangan dan dugaan.Selamat berjaya! ان الله معنا

Mushtafa Amien dalm satu ruang 'fikrah' menulis "Bersabarlah lima minit sahaja terhadap terhadap tipu daya orang-orang yang menipu, kezaliman orang-orang yang zalim, dan kekejaman orang-orang yang kejam. Sebab cemeti itu akan jatuh, rantai ikatan akan patah, orang yang dipenjarakan akan dikeluarkan, dan kegelapan akan beralih menjadi terang, yang diperlukan hanyalah anda beruasaha, bersabar dan menunggu tiba saat itu."
-La Tahzan 207 Dr Aidh Al Qarni-

serikinda said...

Braille adalah medium paling berharga untuk murid-murid cacat penglihatan. Semoga semua pihak sama-sama berusaha meningkatkan literasi braille bukan sahaja di kalangan guru-guru di sekolah khas atau program khas, kakitangan sokongan seperti PPM pun patut tahu. Abang Bedul SMPK Setapak pun patut tahu jugak.

serikinda said...

Lagi satu, pengetua atau guru besar pun kena tahu braille juga. Kalau boleh kursuskan mereka sampai jadi JU Braille.

khairul said...

Situasi 1
Perlu ke tahu braille? kalau tahu braille ni dapat tingkatkan P&P ke? braille hanya medium perantaraan, saya tengok guru normal yang ajar budak buta, mereka tak tahu waima sebijik dot pun tapi tahu dapat hasilkan pelajar buta yang cemerlang! jadi tahu braille ke tak tahu braille ke rasanya tak penting.

situasi 2
Braille ni penting giler... kalau guru tah tau braille nanti macam mana nak tahu jawapan murid betul ke salah! ye ker??? ada guru pendidikan khas buta tahu braille tapi tak tau pun jawapan murid tu betul ke salah!-pasal cuma tau transkrip jer tak mahir subjek!!!

situasi 3
Kemahiran braille penting bagi guru pendidikan khas buta. kalau tak sapa nak jaga kebajikan orang macam 'kita' (dialog), tapi guru yang matanye buta tak mahir braille?? macam mana maaaaa....

Situasi 4
Kemahiran braille penting, kemahiran dan master dalam sesuatu subjek pun penting kerana jika tahu transkrip jer tapi tak mahir subjek yang ditranskrip ia tak akan memberikan apa2 kesan selain naik angin kat budak! (mantan penolong pengarah yang cakap)

pen buruk ™ said...

salam cikgu Zakaria.

Tahniah atas pendedahan. saya mengharapkan cikgu dapat juga memperjuangkan nasib guru dari sekolah biasa.

Golongan ini jauh ketinggalan dari segi latihan, perkhidmatan dan juga elaun. Malah ada yang dipaksa untuk diberhentikan.

Untuk itu saya mempunyai satu kes yang sangat penting untuk dibantu. harap cikgu dapat menghubungi saya melalui email:

rasasayang79@gmail.com

terima kasih

Cikgu Zakaria said...

Di sekolah yang ada rancangan integrasi murid cacat penglihatan, seseorang guru biasa tak mungkin mampu memandaikan muridnya yang cacat penglihatan tanpa bantuan dan kerjasama daripada guru-guru resos yang mahir Braille. Di sekolah-sekolah khas untuk murid cacat penglihatan pula, P & P akan lebih berkesan apabila seseorang guru itu mengajar mata pelajaran berasaskan opsyennya dan dilengkapi pula dengan kemahiran Braille yang ada pada guru berkenaan. Manakala pemantauan dan pemantapan kemahiran Braille kepada semua guru akan lebih berkesan jika seseorang pengetua/guru besar juga berpengetahuan dalam Braille. Selama ini, Braille gagal dimartabatkan kerana ia "diperintah" oleh mereka yang buta Braille di peringkat institusi pendidikan khas itu sendiri.

Unknown said...

Assalamu'alaikum, saudara Blogger dan rakan-rakan pengunjung sekalian.

Syabas dan tahniah! Katakan yang benar walau pahit. Memang kebenaran lebih pahit daripada ubat; hatta mereka yang "LANTANG", ISA-lah jawabnya, kan? Namun begitu, teruskan! Sememangnya, ICT membolehkan kita bergerak lebih bebas tanpa dikongkong faktor "ketidakupayaan", kata segolongan insan.

Memang, hari ini, kita lihat, Braille seolah-olah dipinggirkan. Antara sebabnya yang dapat saya saksikan depan mata, penggunaan teknologi yang keterlaluan. Tidak seperti zaman kita dahulu, guru-guru kita terpaksa membraille secara manual. Malah, terpaksa bersengkang mata melihat dan membaca kedua-dua jenis tulisan, sama ada ketika menulispindah (transcribe) mahupun ketika membraille sendiri bahan seperti kertas peperiksaan dan buku. Saya pernah berpengalaman sendiri akan gejala ini di salah sebuah institusi pendidikan khas kita, di mana "dependency" para guru berkenaan terhadap penggunaan komputer untuk menghasilkan bahan mengajar Braille amat keterlaluan! Hatta, mereka tidak ambil peduli lagi akan soal salah betulnya Braille tersebut; janji kerja siap, dah ...

Satu lagi fenomena, kesungguhan JPK sendiri, sebagaiman artikel saudara, ditambah sikap acuh tak acuh mereka dalam pengimplimentasian dasar dan perancangan. Terus terang saya katakan, sejak percetakan buku teks diambil-alih oleh Kementerian Pelajaran, kualiti bahan semakin merosot, ditambah kaedah dan format yang adakalanya "MEMBAZIR"! Dengan demikian, makin berkembanglah gejala "buta Braille" di kalangan para guru di sekolah-sekolah berkenaan, terutamanya guru-guru celik itu, yang kononnya bersemangat, akhirnya langsung hancur!!! Justeru, saya berpendapat, kita sebagai pengguna sistem tulisan ini, perlu menubuhkan satu badan bertindak yang mampu menjadi "PENDESAK TEGAR" terhadap pihak berkuasa agar dasar dan slogan tidak hanya di lidah nan bercabang ini.

Akhirnya, semoga cadangan ini dipertimbangkan.

Terima kasih.