Saturday, August 22, 2009

Bicara Ramadhan

Selamat Menyambut Ramadhan 1430 Hijrah

Rasanya tidak terlewat untuk saya mengucapkan selamat menyambut
Ramadhan 1430 Hijrah kepada semua pengunjung blog ini dan kepada
sekalian muslimin dan muslimat tanpa mengira di mana berada. Ramai
juga blogger yang telah mengutarakan ucapan yang lebih kurang sama
lebih awal daripada saya. Kelewatan saya memasukkan ucapan ini
lantaran kesihatan yang kurang memuaskan.

Saya berdoa semoga kita sama-sama akan dapat memanfaatkan
semiksimumnya kehadiran Ramadhan kali ini kerana tiada kepastian kita
akan bertemu dengan Ramadhan yang berikut. Memang semua orang
berharap dan berharap agar ini bukan Ramadhan terakhir, tetapi takdir
dan kuasa Allah tiada siapa pun yang mampu menduga dan menyalahinya.
Seharusnya, bila tiba Ramadhan, kita patut beranggapan bahawa mungkin
ini merupakan Ramadhan terakhir untuk kita. Setidak-tidaknya ia
merupakan satu motivasi untuk kita melipatgandakan ibadah kita
kepada-Nya. Lagipun, Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang antara
lain mafhumnya: "Beribadatlah kamu Kepada Allah sekuat-kuatnya
seolah-olah kamu akan mati pada esok ari, bekerjalah kamu
sekuat-kuatnya seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya."

Amat rugilah orang yang mensia-siakan kehadiran Ramadhan kerana
Ramadhan mengandungi pelbagai nikmat dan rahmat Allah, hanya kita
sahaja yang tidak mengetahuinya. Lagipun, Rasulullah S.A.W. pernah
bersabda yang antara lain mafhumnya: "Jika umatku mengetahui kelebihan
dan kebaikan yang terdapad dalam bulan Ramadhan, nescaya mereka akan
memintanya untuk sepanjang tahun."

Seperkara lagi, kita harus menjadikan keheningan Ramadhan untuk
melakukan muhasabah diri. Muhasabah diri merupakan suatu perkara yang
jarang dilakukan kerana selama ini ramai di antara kita yang sering
menganggap apa yang kita lakukan betul belaka. Sebagai insan, kita
tidak sunyi daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Hanya
menerusi muhasabah diri bersempena dengan Ramadhan ini, insha-Allah
kita akan lebih menyedari hakikat bahawa kebenaran bukan hanya kerana
dia berpangkat, berkedudukan, tetapi kebenaran itu ialah milik mereka
yang menjunjung tinggi Alquran dan sunnah Rasulullah. Seterusnya,
menerusi muhasabah diri juga, kita tidak akan keberatan untuk mengakui
kesilapan dan kesalahan sendiri, sanggup meminta maaf dan memaafkan
dan memperbaiki mana yang kurang.

Saya bukan ustaz atau orang alim, hanya sekadar berkongsi peringatan.

2 comments:

puterimualim said...

"..Dan berilah peringatan, sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang mukmin" Az-Zariyat-55. Sama-samalah kita ambil peringatan dan tingkatkan amalan, serta menjauhi perkara lagha. Firman Allah swt :Sesungguhnya telah bejaya orang-orang mukmin itu di dunia dan akhirat iaitu: 1. Orang yang khusyuk dalam solat, 2. Dan orang -orang yang meninggalkan perkara lagha, 3. Dan orang-orang yang menunaikan zakat, 4. Dan orang-orang yang menjaga kemaluan (kehormatan) mereka. (Al-Mukminun:1-5). Sesuatu yang lagha dari syaitan, dan syaitan tak akan berhenti menghasut anak adam. Kita perlu ambil iktibar dari terkeluarnya Nabi Adam dan Hawa dari syurga, gara-gara termakan hasutan iblis laknatullah. "Sesungguhnya nafsu sentiasa menyuruh manusia ke arah keburukan." Fikirkan..... dan ambillah iktibar.

Unknown said...

Assalmu'alaikum, saudara dan rakan-rakan sekalian.

Terima kasih di atas peringatan dan ucap selamat ini. Saya turut ingin mengucapkan Selamat Ramadhan kepada kalian semua. Semoga Ramadhan ini adalah yang terbaik buat kita, insha Allah.

Teruskan memberi peringatan. Lagipun, peringatan ke arah kebaikan bukanlah kerja pihak tertentu sahaja, malah kita sesama Mukmin inilah yang patut saling ingat-mengingati antara satu sama lain. Firman Allah dalam Surah Al-'Asri, ayat 1-3, maksudnya:

"Demi masa (1)
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian (2)
Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran." (3)

Terima kasih.