Wednesday, August 26, 2009

Bicara Politik

Keputusan Pilihanraya Kecil Permatang Pasir: Sekadar Coretan

Semalam (25 Ogos) satu lagi pilihanraya kecil telah dilaksanakan dan
kali ini ia melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir,
Pulau Pinang. Umum telah ketahui, calon PAS En. Mohd Salleh Man telah
berjaya menewaskan calon bN dengan majoriti 4551 undi. En. Mohd
Salleh telah berjaya meraih 9618 undi, manakala En. Rohaizat Othman
berjaya meraih 5067 undi. Setelah 8 pilihanraya kecil diadakan
selepas pilihanraya umum ke-12 pada 8 Mac tahun lalu, calon-calon
Pakatan Rakyat (PR) telah memenangi 7 kali berbanding satu kemenangan
yang diraih oleh BN. Kesemua kemenangan PR adalah di Semenanjung,
manakala BN berjaya meraih kemenangan sagu hati di Sarawak. Bagi
saya, kemenangan PR yang paling manis ialah di parlimen Kuala
Terengganu pada awal tahun ini. Kemenangan tersebut dikatakan paling
manis ialah kerana kejayaan calon Pas YB Mohd Abdul Wahid Endut
merampas kerusi tersebut daripada BN. 6 lagi kemenangan PR ialah
sekadar untuk mengekalkan kerusi yang telah dimenangi sebelumnya.

Dalam reaksi awal para pemimpin BN terhadap kekalahan calonnya
semalam, mereka hanya menyebut "sekurang-kurangnya mereka dapat
mengurangkan majoriti yang diperolehi oleh calon PAS". Dalam
pilihanraya kecil kali ini, majoriti yang diperolehi calon PAS ialah
sebanyak 4551 undi. Manakala dalam pilihanraya umum tahun lalu, calon
PAS ketika itu berjaya meraih majoriti sebanyak 5432 undi. Ini
bermakna, majoriti yang berjaya diperolehi oleh calon PAS kali ini
hanya berkurangan sebanyak 881 undi jika dibandingkan dengan
pilihanraya umum tahun lalu. Namun demikian, oleh kerana sudah tidak
ada lagi sebab/alasan/faktor/modal lain yang boleh diguna pakai,
pengurangan majoriti sebanyak itu pun sudah memadai untuk UMNO menutup
dan seterusnya dijadikan penawar bagi kekalahan yang memalukan itu.

UMNO/BN masuk bertanding dalam pilihanraya kecil di Permatang Pasir
kali ini dengan berbekalkan kekalahan tipis mereka dalam pilihanraya
kecil di Manek Urai pada 14 Julai lalu. Dalam pilihanraya tersebut,
UMNO/BN hanya tewas 65 undi sahaja di tangan calon PAS. UMNO penuh
yakin sokongan rakyat terhadapnya semakin bertambah. UMNO/BN juga
yakin isu-isu tertentu seperti isu penjualan arak di Selangor dan isu
Kampung Buah Pala di Pulau Pinang boleh dieksploitasi dan mampu
dimanipulasi sebagai modal untuk memenangi hati pengundi di Permatang
Pasir. Tindakan ADUN Lunas di Kedah yang keluar dari PKR di saat-saat
akhir menjelang pilihanraya kecil di Permatang Pasir turut tidak
berkesan dan tidak memberi bekas kepada para pengundi. Rupa-rupanya
senyum sengih UMNO/BN yang mula terukir di Manek Urai berderai menjadi
tangisan hiba di Permatang Pasir.

Sebenarnya, UMNO/BN harus realistik dalam meneliti faktor/sebab
kekalahan mereka dalam 7 pilihanraya kecil yang lalu, termasuklah yang
terbaru di Permatang Pasir. Di Permatang Pasir, UMNO/BN harus akur
kepada aura dan kekuatan pengaruh Dato' Seri Anwar Ibrahim yang juga
merupakan ahli parlimen Permatang Pauh di mana DUN Permatang Pasir
terletak dalam kawasan parlimen tersebut. Walau bagaimanapun Dato'
Seri Anwar diburuk-burukkan seperti slogan "Anwar Pengkhianat", namun
ia tidak sama sekali melunturkan kepercayaan, kesetiaan, dokongan dan
sokongan rakyat terhadap Dato' Seri Anwar. Ada kalanya slogan
melampau sedemikian hanya menambah lagi kebencian rakyat terhadap
UMNO/BN. Kita sama sekali tidak boleh menafikan kemenangan calon PAS
di Permatang Pasir adalah kerana kekuatan pengaruh yang masih dipunyai
dan dimiliki oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim. Sepatutnya dari awal lagi
UMNO/BN harus insaf slogan "Anwar Pengkhianat" sama sekali tidak laku
di Permatang Pasir.

Selama ini, UMNO/BN sangat bergantung kepada media massa dokongannya
bagi melaksanakan kempen untuknya terutama dalam pilihanraya.
Sepatutnya selepas pilihanraya umum tahun lalu dan ditambah pula
dengan kekalahan 6 kali dalam pilihanraya kecil selepasnya (tidak
termasuk kekalahan di Permatang Pasir), UMNO/BN harus insaf media
massa dokonganya sudah tumpul, tidak dipercayai lagi dan sudah hilang
taringnya. Bahkan ada sebilangan rakyat yang sudah muak dan mual bila
menatap, membaca, melihat atau mendengar media massa dokongan UMNO/BN.
Gaya dan cara berkempen untuk UMNO/BN oleh media massa arus perdana
tertentu yang tidak pernah berubah sejak dari zaman pra-Malaysia itu
mengakibatkan pengaruhnya semakin pupus ditelan masa. Sehingga ke
pilihanraya kecil Permatang Pasir, media massa dokongan UMNO/BN akan
berat sebelah, ada kalanya menyembunikan fakta sebenar, mengampu yang
berlebihan, membuat komen yang keterlaluan dan sebagainya hanya
mengakibatkan media tersebut semakin tidak diyakini.

Dalam pilihanraya kecil semalam, UMNO/BN sekali lagi gagal meletakkan
tokoh yang benar-benar berwibawa, bersih dan mesra rakyat sebagai
calonnya. Apabila nama calon untuk mewakili UMNO/BN diumumkan, maka
pelbagai temelang dan temberang calon pilihannya disingkap lawan.
Daripada isu calon tersebut dengan Majlis Peguam hinggalah ke isu
beliau dengan isterinya, semuanya diselak dan diperkatakan. Itulah
asam garam dalam politik. Namun begitu, mengapa isu-isu yang serupa
tidak timbul kepada calon PAS? Dengan ini rakyat khususnya pengundi
di Permatang Pasir dapat membuat perbandingan nyata calon mana yang
lebih bersih. Nampaknya UMNO/BN gagal belajar dari kekalahan mereka
di Kuala Terengganu. Antara sebab kekalahan tersebut ialah dikatakan
calon UMNO/BN dalam pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu tidak
mesra rakyat, sombong dan macam-macam lagi. Dalam konteks ini,
UMNO/BN sekali lagi dihukum di Permatang Pasir kerana gagal belajar di
Kuala Terengganu.

Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah dilantik sebagai Ketua Badan
Perhubungan UMNO Pulau Pinang sejurus selepas pemilihan UMNO pada
hujung Mac lalu. Tujuan beliau dilantik untuk mengetuai UMNO Pulau
Pinang sudah tentulah bertujuan untuk memantapkan semula UMNO Pulau
Pinang di samping untuk meraih semula kepercayaan dan sokongan rakyat
terhadap parti tersebut. Namun begitu, objektif dan matlamat tersebut
masih belum dapat direalisasikan. Kekalahan calon UMNO/BN dalam
pilihanraya kecil di Permatang Pasir semalam memberi petunjuk bahawa
kepimpinan Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak diterima di Pulau
Pinang. Dengan erti kata lain, selaku Ketua Badan Perhubungan UMNO
Pulau Pinang, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah gagal dalam
ujian pertamanya.

Walau bagaimanapun, buat masa ini, kekalahan calon UMNO dan
kemenangan calon PAS tidaklah memberi kesan besar kepada politik
negara. Ia lebih merupakan manifestasi senario politik negara masa
kini. Tidak ada kerajaan yang sedia ada tumbang atau kerajaan baru
yang naik hasil keputusan pilihanraya kecil di Permatang pasir
semalam. Namun begitu, yang tersungkur tetap tersungkur.

Adalah tidak salah untuk saya berkongsi pengetahuan dan pengamatan
saya mengenai politik.

2 comments:

Unknown said...

Assalamu'alaikum, sahabat Blogger dan rakan-rakan pengunjung sekalian.

Allahu akbar! Bersamalah kita mensyukuri satu lagi nikmat kurnia-Nya yang begitu manis, sempena Ramadhan Al-Mubarak 1430 Hijrah ini. Semoga dengannya, kebenaran yang telah sedia terbukti akan lebih mampu dibuktikan lagi, menjelang PRU ke-13 nanti, insha Allah. Saya turut mengambil kesempatan ini mengucapkan syabas kepada PAS dan PR yang berjaya mengekalkan kerusi DUN Permatang Pasir di bawah integriti dan kebenaran.

Sememangnya tepat sekali apa yang saudara katakan. Namun begitu, suatu hal lagi yang juga menampakkan kegelisahan mereka ialah apabila dikatakan Menteri Dalam Negeri menyeru pihak berwajib menangani masalah "merayu undi saat akhir", kononnya BN-lah yang amat patuh dengan undang-undang tersebut. Berita ini ada tersiar di Klasik Nasional FM, jam 7:00 pagi tadi. Sama ada fakta itu benar, atau, sebagaimana saudara katakan, mainan media pro-BN, ia juga mencerminkan satu lagi sikap angkuh dan sombong mereka tetap tidak menerima kenyataan kelemahan sendiri, walaupun pada masa yang sama, PM dan TPM berdua bunyinya begitu akur. Namun begitu, kenyataan TPM ada sedikit berhemah, dengan mengalunkan ucapan tahniah kepada PAS, berbanding PM. Bukanlah tujuan saya membesarkan isu remeh begini. Namun, apa yang rasanya patut kita belajar, antara lain, jika mereka benar-benar telus dalam perjuangan mereka, mengapa mereka sanggup menyerang peribadi lawan, walhal mereka sendiri yang menetapkan isu peribadi tak boleh jadi modal kempen? Kalau kata Dato' Seri Anwar pengkhianat, bagaimana pula integriti calon mereka? Paling penting, mereka yang patut muhasabah, siapakah sebenarnya pengkhianat: mereka atau pihak lawan?

Justeru, saya boleh mengandaikan kekalahan mereka kali ini boleh dikatakan serupa ibarat kekuatan kedua adik-beradik (Nabi Musah dan Nabi Harun) melawan Fir'aun dan tukang-tukang sihirnya. Dengan ini, teruskanlah, saudara, memperkatakan yang benar walau ia pahit, sepertimana orang sakit perlu makan ubat walau pahit lagi meloyakan. Semoga saudara boleh berkat, rahmat dan maghfirah-Nya.

Terima kasih.

puterimualim said...

Salam.
Pengajaran yang berkali-kali tidak diambil iktibar malahan berbagai alasan yang diberikan. Semua ini peringatan, janganlah lupa Wahai U..M..N..O..B..N ingatlah Firman Allah yang bermaksud "Mereka membuat tipu daya maka Allah pun membalas tipu daya, Dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya" Ali-Imraan:54. Bahkan benar sekali kata-kata sifu mereka Tun Dr Mahathir Melayu U..M..N..O.. mudah lupa. Wahai orang-orang U..M..N..O...B...N berfikirlah dan kembali kepangkal jalan.