Monday, August 24, 2009

Menungan Pagi

Buka Radio Di Surau

Bagi saya, fenomena sesetengah surau atau masjid yang buka radio dan
diperdengarkan di corong pembesar suaranya bukan satu situasi baru.
Saya pernah menemuinya sejak akhir dekad 80-an lagi. Ketika itu,
bilangannya masih sedikit dan tidaklah begitu ketara. Lagipun, waktu
radio tersebut dibuka dan diperdengarkan kepada umum terbatas, iaitu
ketika hampir waktu solat dan hanya untuk memperdengarkan bacaan
Alquran semata-mata. Ini bermakna, nasyid, zikirr apatah lagi kalau
lagu memang jarang diperdengarkan seperti itu.

Hari ini, "gejala" tersebut semakinmenjadi-jadi pula. Saya rasa,
bilangan tempat-tempat solat seperti surau atau masjid yang buka radio
dan diperdengarkan menerusi corong pembesar suaranya semakin banyak
dan bertambah. Saya tidaklah sampai mengatakan ianya salah selagi apa
yang diperdengarkan itu relevan dengan tempat, persekitaran dan
kepentingan setempat. Tetapi tertanya juga dalam hati ini, mengapa
terjadinya fenomena sedemikian? Adakah jumlah qari yang boleh
memperdengarkan bacaan Alquran menerusi corong pembesar suara di
masjid atau surau di sesetengah tempat semakin pupus? Kalau waktu
sebelum subuh, alangkah merdunya jika bacaan tarhim diperdengarkan,
tiada lagikah orang yang boleh memperdengarkan bacaan tersebut? Kalau
pun golongan orang di atas sudah pupus di kawasan tersebut, tidak
bolehkah diperdengarkan sahaja bacaan Alquran menerusi kaset, CD atau
MP3?

Nak jadi cerita, pagi tadi, sewaktu saya dan keluarga sedang
bersahur, tiba-tiba satu kampung bergema dengan lagu Inggeris. Saya
hairan juga. Bukannya sekejap, sempatlah "berhibur" dengan beberapa
buah lagu. Agaknya pihak yang berkaitan baru perasan, akhirnya mereka
pun carilah stesen radio yang betul. Rupa-rupanya mereka tersalah
buka stesen radio. Kebiasaannya mereka akan perdengarkan radio IKIM.
Agaknya pagi tadi stesen radionya teralih sedikit.

Yang pastinya fenomena di atas terjadi gara-gara semakin pupusnya
golongan yang berkemampuan untuk memperdengarkan bacaan Alquran secara
terus, bukan lagi menerusi kaset, CD atau MP3. Adakah ini suatu tanda
awal bahawa Alquran itu mula diangkat???

Salam dari Melaka.

1 comment:

Unknown said...

Assalamu'alaikum, sahabat Blogger dan rakan-rakan sekalian.

Terima kasih sekali lagi di atas coretan peringatan sebegini. Bersamalah kita renungkan dengan setulus rasa akan gejala kurang sihat ini. Maklumlah, peluasan stesen FM sejak dekad 90-an begitu meluas dan pantas, hinggakan kalau di KL ni, nak dengar IKIM FM tu pun, kelihatan begitu sempit dik 1001 macam siaran hiburan yang sia-sia lagi "lagha", sedangkan siaran bercorak keilmuan, apatah lagi, keagamaan, semakin terpinggir. Maka tidak menghairankan kalau surau di tempat itu mungkin tersalah stesen radio ... Soalnya, siapakah yang mengizinkan gejala "hiburan melampau" ini?

Juga, kalau diperhatikan, memang kebanyakan masjid dan surau sebelum dekad 90-an banyak memperdengarkan alunan merdu suara qari Al-Quran, terutamanya waktu Subuh. Namun kini, ia seolah-olah hilang tanpa diganti. Saya berpendapat, elok kiranya masjid dan surau memperdengarkan bacaan Al-Quran atau kuliah, kalau memang tiada lagi qari sebelum masuk waktu solat seperti yang saudara sebutkan, berbanding membuka stesen radio, kerana bimbang gejala "tersalah stesen" terjadi lagi. Sambil itu, bolehlah diusahakan langkah sewajarnya memperoleh imam/qari bagi mengalunkan bacaan Al-Quran. Semoga usaha sebegini akan dibantu Allah.

Terima kasih.