Thursday, March 11, 2010

Berita Pagi

Harun Awang Ngah Kembali Ke Rahmatullah

Ketahuilah hai sekalian kita semua, pada pagi ini saya menerima berita iaitu seorang lagi rakan saya, Saudara Harun Awang Ngah telah kembali ke rahmatullah. Rakan yang mula-mula memaklumkan kepada saya berita ini ialah Cikgu Mohamad Rizal Tan yang kebetulan turut sama terlibat dengan saya dalam mesyuarat transformasi kurikulum di Hotel May Tower, Kl. Berita ini kemudiannya disahkan oleh pejabat Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Pahang yang turut menghubungi saya sekitar jam 8 pagi.

Berita mengenai keuzuran Allahyarham SAudara Harun Awang Ngah telah pun dimaklumkan kepada saya sejak petang semalam lagi. Antaranya, Setiausaha Agung PERTIS, Saudara Abu Hassan ada menghubungi saya dan memaklumkan bahawa Saudara Harun dalam keadaan uzur. Namun begitu, oleh kerana kekangan masa, maka saya tidak dapat menziarahi beliau. Hari ini pun, saya masih lagi terlibat dengan mesyuarat di Hotel May Tower. Oleh itu, kemungkinan besar saya juga tidak dapat menziarahi keluarga beliau. Menurut Kak Jah, iaitu kakitangan pejabat PERTIS Pahang, pada masa ini keluarga Allahyarham sedang menguruskan jenazah beliau di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Allahyarham dijangka akan dikebumikan hari ini juga di Pekan, Pahang.

Saya memang sudah lama mengenali Allahyarham. Allahyarham merupakan salah seorang AJK PERTIS Pahang. Beliau juga merupakan Pengerusi Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) Cawangan Pahang.

Kepada keluarga Allahyarham, bersabarlah menghadapi dugaan yang amat mendukacitakan ini. Semoga Allah mencucuri rahmat-Nya ke atas roh Allahyarham.
Alfatihah .....

1 comment:

Anonymous said...

Sayu rasa hati dengan pemergian Allahyarham...18 tahun dulu saya kehilangan ayah...kini saya kehilangan bapa saudara...Pak Chu Harun sangat baik orangnya dan kali terakhir saya berjumpanya pada 3bulan lepas,ketika ibu saya meninggal dunia...tidak pernah saya sangka,Pak Chu Harun akan menyusuli arwah ibu saya...saya tidak dapat pulang pada ketika ini,semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya...