Saturday, September 25, 2010

Selamat Bersara Kepada En. Jamil

Semalam (24 September), merupakan hari terakhir buat En. Jamil bin Pin sebagai kakitangan di Universiti Malaya. Mulai hari ini, beliau mula hidup sebagai pesara kakitangan awam. Saya sempat menghubungi beliau sebentar tadi dan beliau mengakui bahawa untuk beberapa minggu ini beliau mungkin tidaklah terasa sunyi sangat, tetapi selepas itu, beliau mungkin akan terasa kesunyian. Maklumlah sudah biasa dengan rutin dan kesibukan di tempat kerja. Katanya lagi, beliau masih belum mempunyai rancangan tertentu untuk mengisi masa lapangnya nanti.

En. Jamil telah berkhidmat di Universiti Malaya selama 38 tahun iaitu sejak tahun 1972. Katanya, dalam tempoh masa tersebut, tiada kenangan yang betul-betul pahit. Semuanya manis belaka. Bagi saya, apa yang diperkatakan oleh En. Jamil tidaklah menghairankan kerana beliau merupakan seorang kakitangan yang disenangi oleh ramai orang.

En. Jamil merupakan seorang kakitangan yang bertugas di bahagian perpustakaan utama Universiti Malaya. Saya mula mengenali beliau pada minggu pertama lagi saya menjejakkan kaki ke menara gading tersebut. Sifatnya yang mudah mesra, peramah, ringan tulang dan mudah menolong orang lain mungkin antara faktor yang membolehkan beliau akrab dengan ramai orang termasuklah dengan saya sampai kini. Bagi kebanyakan siswa siswi cacat penglihatan, En. Jamil memang seorang kakitangan perpustakaan yang amat dikenali dan sangat disenangi. Antara pertolongan yang amat mudah beliau hulurkan dan sangat diperlukan oleh golongan mahasiswa seperti saya ialah untuk mencari pelbagai jenis buku rujukan, jurnal, latihan ilmiah serta thesis peringkat sarjana mahupun peringkat kedoktoran (phD) serta lain-lain bahan bacaan yang ada kaitan dengan bidang pengajian kami. Maklumlah di peringkat pengajian tinggi hampir kesemua bahan bacaan yang diperlukan tiada dalam bentuk tulisan Braille. Namun demikian, cabaran tersebut boleh kami atasi bilamana adanya kakitangan perpustakaan yang prihatin seperti En. Jamil.

Adakalanya En. Jamil bukan setakat memberikan info mengenai bahan bacaan berkaitan letaknya di rak mana, di tingkat berapa, nombor rujukannya apa, bahkan jika ada kelapangan beliau akan sama-sama mencari bahan bacaan yang diperlukan bersama-sama dengan kami hingga dapat. Menerusi pertolongan seperti inilah mahasiswa seperti saya dapat mendapatkan bahan-bahan bacaan rujukan yang diperlukan dalam masa yang cepat dan mudah. Maklumlah kalau saya cari sendiri, sampai kiamat pun mungkin tak akan berjumpa. Dengan bantuan pembaca sukarela pula, ia akan mengambil masa yang lebih lama, maklumlah mereka bukannya kakitangan perpustakaan yang mahir dengan selok-belok perpustakaan utama UM yang punya jutaan koleksi bahan bacaan.

Hubungan kami dengan En. Jamil serta pertolongan yang sering beliau hulurkan kepada mahasiswa seperti saya bukan setakat dalam perpustakaan sahaja. Saya serta rakan-rakan mahasiswa yang senasib acap kali juga pergi solat Jumaat bersama-sama En. Jamil dengan menumpang kenderaannya. Banyak kali juga saya akan pergi makan di tempat-tempat makan di sekitar UM bersama-sama dengan En. Jamil. Adakalanya juga, bila saya agak kemalasan untuk naik kenderaan awam untuk pulang ke rumah sewaan saya, saya akan tumpang sahaja En. Jamil bila dia habis kerja. Kalau tidak dengan budi baik daripada orang seperti En. Jamil, semakin terbataslah pergerakan kami dan semakin sempitlah dunia kami terutamanya tatkala berada di alam kampus.

Sesungguhnya orang-orang yang baik dan prihatin kepada kami seperti En. Jamil inilah yang sering kami ingati terutamanya dalam doa setiap kali selepas solat. Hanya Allah sahajalah yang akan memberikan balasan yang setimpal di atas segala keikhlasan dan kebaikan yang telah dihulurkan oleh orang-orang seperti En. Jamil kepada orang seperti kami.

Kepada En. Jamil, saya ucapkan selamat bersara. Saya serta rakan-rakan yang lain sentiasa berdoa semoga En. Jamil sekeluarga akan sentiasa dilimpahi keberkatan serta rahmat daripada Allah dunia dan akhirat.

Ini bukan Encik Jamil yang di ofis besar tu!!!

Friday, September 24, 2010

Dunia Pelakon: Antara Realiti Dan Hakiki

Dua hari lepas, semasa saya dan isteri membeli makanan pada waktu petang di sebuah restoran, secara tiba-tiba kami terlihat sekumpulan sekitar empat orang hamba Allah yang memang amat dikenali wajah mereka. Setelah diamat-amati wajah kumpulan berkenaan dengan agak lama, barulah kami terperasan bahawa mereka adalah pelakon yang masih terkenal dan dikenali umum hingga kini.

Apa yang menarik perhatian kami ialah golongan wanita dalam kalangan mereka sedang merokok dan asap keluar poos poos. Dari segi pakaian jangan dikatakan lagi. Bahkan yang paling menggelikan ialah ada seorang pelakon wanita dalam kumpulan tersebut mengcungkil giginya dengan jari sahaja. Saya yang tak tengok perlakuan beliau pun terasa gelinya bila mendengar akan perbuatannya.

Kumpulan hamba Allah tersebut masih lagi aktif berlakon hingga kini. Kalau saya sebut nama mereka, rasanya satu dunia Melayu tahu siapa mereka, filem apa yang pernah mereka lakonkan serta jenis watak dan perwatakan yang pernah mereka tonjolkan dalam filem-filem lakonan mereka. Gambarnya pun ada dalam simpanan saya, tetapi tidak tergamak pula saya muatkan dalam tulisan kali ini walaupun tulisan ini mengenai fiil mereka.

Dalam lakonan, ada di antara mereka yang memegang watak bagus, sopan dan boleh dijadikan contoh. Sayangnya, realiti perwatakan hidup mereka tidak seperti watak yang mereka pegang dalam sesetengah lakonan mereka. Sempurnakah sopan-santun kalau mencungkil gigi pun hanya guna jari sahaja dan di khalayak ramai pula! Rasanya murid-murid di sekolah saya yang berada di tahap kelas murni pun tak sampai begitu perangai mereka.

Seperkara lagi ialah mengenai tabiat merokok dalam kalangan artis. Rasanya sudah acap kali saya bertemu dengan para artis terutamanya yang perempuan yang gemar merokok. Mereka tidak segan silu merokok walaupun di khalayak ramai. Bagi saya, tabiat merokok itu sendiri merupakan sesuatu yang tidak baik. Kalau yang merokok itu wanita, wajah yang cantik pun boleh nampak hodoh. Lagipun bukankah merokok itu membahayakan kesihatan. Menerusi pelbagai saluran media, sudah dimaklumkan betapa bahayanya tabiat merokok, bukan sahaja kepada si perokok sendiri, bahkan ia juga membahayakan kepada orang di sekelilingnya yang terhidu asap rokoknya.

Mungkin artis yang terlibat boleh mengatakan bahawa tabiat merokok adalah urusan peribadi mereka. Pun begitu, mereka harus sedar, bila sudah jadi orang terkenal, segala perbuatan, tingkah laku, tutur kata,ccara ketawa, bahkan cara batuk dan bunyi bersin mereka jika terjadi di khalayak ramai tetap akan menarik perhatian orang di sekelilingnya.

Sepatutnya, golongan yang sudah dikenali masyarakat seperti artis harus menggunakan populariti mereka untuk bertindak selaku agen perubahan dalam masyarakat. Mereka seharusnya menggunakan populariti yang ada untuk mengubah dan mempengaruhi masyarakat daripada berkelakuan buruk kepada baik dan daripada baik kepada yang lebih baik, dan bukan sebaliknya. Lagipun, golongan yang sudah terkenal seperti artis harus faham iaitu mereka akan sering diperhatikan oleh pelbagai golongan masyarakat termasuklah golongan kanak-kanak yang belum pandai untuk membuat pertimbangan. Dikhuatiri golongan kanak-kanak berkenaan akan berpersepsi bahawa apa yang dilakukan oleh golongan artis baik belaka sebagaimana mereka berperwatakan baik ketika berlakon.

Selama ini pun, kita sudah dihidangkan dengan pelbagai tingkah laku buruk dalam kalangan para artis. Ada yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Ada yang pernah ditangkap kerana mencuri di pusat membeli-belah. Ada yang pernah bertumbuk di pusat hiburan. Tidak kurang juga yang pernah ditangkap basah. Semuanya itu antara berita yang pernah termuat dalam pelbagai media di negara kita. Tetapi apabila ada yang memperoleh peluang keemasan menyaksikan bagaimana seorang pelakon terkenal mencungkil giginya hanya dengan menggunakan jari di khalayak ramai, ia bukan sahaja menggelikan, bahkan ia menimbulkan perasaan antara percaya dengan tidak akan perbuatan artis berkenaan.

Di sini, saya tidaklah bermaksud semua artis berperangai buruk sedemikian. Masih ada lagi golongan artis yang sopan dan bertingkah laku baik terutamanya di khalayak ramai. Namun begitu, perlakuan buruk oleh segelintir artis kadangkala tak ubah umpama seekor kerbau membawa lumpur, habis semua terpalit.

Walaupun dunia saya tanpa penglihatan, ia tidak menghalang saya untuk peka kepada dunia di sekililing saya.

Sunday, September 19, 2010

Sambutan Idil Fitri Di Kampung Sendiri

Beberapa hari lalu, saya ada menerima email daripada Teh Yong Shing, salah seorang anak murid saya. Antara kandungan email beliau ialah:


Selamat Hari raya, cikgu.

Apa khabar, cikgu?
Dalam dua minggu cuti ini, cikgu ada pergi mana-mana?

Bagaimana dengan sambutan hari raya cikgu di kampung?

Tujuan saya hantar email ini adalah untuk mengetahui sedikit sebanyak
mengenai cara sambutan hari raya cikgu di kampung seperti suasana,
makanan dan sebagainya.

Cikgu boleh beritahu melalui email atau pun tulis di blog cikgu.

Setakat ini sahaja, terima kasih.

Selamat bercuti!


Setelah mempertimbangkan dengan teliti, rasanya tiada salahnya untuk saya memenuhi permintaan Yong Shing. Maka dengan ini, di bawh ini saya perturunkan tulisan saya yang tidak seberapa mengenai sambutan hari raya idil fitri khususnya di kampung saya sendiri. Mudah-mudahan tulisan yang tidak sepertinya ini sedikit sebanyak akan memberikan manfaat atau pengetahuan kepada kita semua, khususnya kepada Yong Shing.

Saya telah meninggalkan Kuala Lumpur untuk berhari raya bersama-sama keluarga saya di Melaka pada 7 September (Selasa). Tahun ini tibalah giliran kami sekeluarga untuk berhari raya di kampung saya pula. Sejak saya berkahwin, kami akan bergilir-gilir untuk berhari raya di antara kampung saya di Melaka dan keluarga mertua saya di Kuantan. Bila tiba giliran kami berhari raya di kampung saya, maka kami akan ke Kuantan pula pada hari raya yang kedua, begitulah sebaliknya, bila tiba giliran kami berhari raya di rumah mertua saya di Kuantan, maka pada hari raya kedua kami akan ke Melaka pula. Demikianlah yang kami lakukan setiap tahun.



Untuk pengetahuan Yong Shing dan kita bersama, kampung saya terletak agak jauh dari kesesakan kota dan bandar. Jaraknya kira-kira 45 minit berkenderaan dari tol Simpang Ampat, atau 25 minit dari tol Tangkak. Bandar yang paling hampir ialah Jasin, iaitu sekitar 20 km jauhnya. Di sini kami masih mengamalkan ada Perpatih, tetapi bagi generasi yang kemudian seperti saya, adat ini tidaklah begitu kuat diamalkan.



Sambutan idil fitri tahun ini telah mencatatkan sejarah yang tersendiri buat keluarga kami di kampung. Bermula pada hari terkhir puasa sehinggalah ke hari raya yang kedua, terdapat seramai 41 orang yang berkumpul, makan, minum dan tidur di rumah kami di kampung. Kesemuanya ahli keluarga kami belaka yang pulang dari beberapa buah negeri lain untuk menyambut idil fitri bersama-sama. Nasib baiklah rumah kami yang sederhana besarnya masih boleh menampung seramai 41 orang penghuni. Jadi tidak adalah yang terpaksa buat khemah di luar rumah.



Pada hari terakhir berpuasa, iaitu setelah kesemua ahli keluarga pulang dengan selamat, kami ramai-ramai membuat persiapan terakhir untuk menyambut hari raya. Ada yang memasak daging untuk dibuat rendang. Ada juga yang memasak ketupat nasi. Ada juga yang merebus sup. Untuk sambutan hari raya kali ini, kami telah membeli 10 KG daging dan 2 kaki lembu untuk dibuat sup. Itu tidak dicampur lagi dengan beberapa ekor ayam yang turut disembelih bagi melengkapkan lagi juadah untuk hari raya. Suasananya memang riuh tetapi menyeronokkan. Maklumlah masing-masing dengan telatah dan gaya yang tersendiri. Suasana sebegini memang tidak ada di bandar.



Luqman dan saudara-mara yang sebaya dengannya pula hingar bermain. Kalau tidak dipanggil dan diingatkan, silap hari bulan, solat dan mandi pun dia boleh lupa.

Pada sebelah petangnya, iaitu sekitar sejam sebelum berbuka terakhir, kami sekeluarga mengadakan tahlil. Selain daripada bersyukur kepada Allah, ia juga sebagai tanda ingatan kepada ahli keluarga yang telah lebih dahulu menghadap Ilahi.





Setelah berbuka puasa dan bersolat maghrib, kami seisi keluarga pun bertakbir beramai-ramai. Saya amat bersyukur kepada Allah kerana kali ini selain orang dewasa, generasi anak-anak buah pun sudah boleh memimpin takbir. Hanya Luqman sahaja yang masih belum berani untuk mencuba.



Seperti tahun-tahun sebelumnya, pada setiap malam hari raya, di kampung saya akan ada kumpulan yang bertakbir dari rumah ke rumah. Aktiviti sebegini akan menambah lagi kemeriahan di malam raya. Ini ditambah pula dengan pelbagai telatah, karenah, aksi serta hingar-bingar dari ahli-ahli keluarga saya. Maklumlah 41 orang kesemuanya.

Pada pagi hari raya pertama, seperti biasa, kami bangun lebih awal dari biasa. Selepas mandi-manda dan solat subuh, kami bersarapan bersama-sama. Untuk hari raya idil fitri, disunatkan untuk bersarapan terlebih dahulu sebelum ke masjid. Antara menu utama ialah ketupat nasi, rendang serta lemang. Sup kaki lembu memang tidak ketinggalan. Sekali lagi, suasana riuh rendah memang tidak dapat dielakkan. Setelah itu, barulah kami ke masjid yang letaknya kira-kira 1.6 km dari rumah. Seperti biasalah, masjid memang penuh sesak. Laungan takbir bergema sayu dan mendayu.

Setelah selesai solat sunat hari raya, kami pun kembali semula ke rumah. Waktu inilah kami seisi keluarga akan bermaaf-maafan antara satu sama lain. Yang muda akan mencium tangan dan pipi mereka yang lebih tua. Begitulah. Luqman dan saudara-mara yang sewaktu dengannya turut tidak ketinggalan untuk bersalaman dengan ahli keluarga yang lebih dewasa, tetapi salam mereka penuh bermakna.



Sejak kebelakangan ini, sudahmenjadi kelaziman bagi masyarakat Melayu untuk memberikan wang raya yang dimasukkan ke dalam sampul seakang angpau dalam masyarakat Cina. Bezanya, warna sampulnya bukan merah. Assimilasi budaya seumpama ini tidak disedari bila ianya mula berlaku dalam masyarakat melayu.



Setelah itu, sekitar jam 11.15 pagi, kami seisi keluarga pun mula berkonvoi dengan 7 buah kenderaan untuk menziarahi keluarga sebelah ibu saya. Ini perkara dan aktiviti yanb memang biasa kami lakukan pada setiap kali hari raya yang pertama. Destinasi pertama kami ialah kawasan perkuburan keluarga sebelah ibu saya yang letaknya kira-kira 20 km dari rumah kami. Setelah itu, kami menziarahi pula adik bungsu kepada ibu saya yang tinggal di rumah pusaka tinggalan nenek saya. Setelah itu kami pun berkonvoi pula ke rumah sanak saudara yang lain pula. Makanan dan juadah hari raya boleh dikatakan hampir serupa sahaja di setiap rumah yang dikunjungi. Hampir waktu maghrib baru kami tiba semula di rumah. Badan pun agak letih. Di sebelah malamnya, hanya adik perempuan saya dengan beberapa orang anak-anak ke rumah bapa saudara kami yang letaknya di sebelah rumah Najihah. Oleh kerana keletihan, saya tinggal di rumah sahaja.

Demikianlah secebis aktiviti saya dan keluarga ketika menyambut hari raya idil fitri tahun ini. Mudah-mudahan Teh Yong Shing akan gembira dengan tulisan yang tidak seberapa ini.

Salam dari Kuantan.

Saturday, September 18, 2010

Mengunjungi Pusat Urut Refleksiologi Berjaya

Semalam (17 September), sekitar jam 8.30 malam, saya dengan ditemani isteri dan seorang adik ipar perempuan telah berkunjung ke Pusat Urat Berjaya. Pusat urut berkenaan terletak di bandar Kuantan, iaitu tidak jauh dari pusat membeli-belah Mydeen. Pusat urut ini dikendalikan oleh Najihah Gan Lee Mei, seorang orang kelainan upaya (OKU) penglihatan. Bila ada kelapangan waktu, suaminya, Cikgu Azizul juga akan turut membantu Najihah di pusat urut ini.



Sebenarnya ini bukanlah kali pertama saya berkunjung ke pusat urut ini. Setiap kali saya pulang ke Kuantan dan jika ada masa saya dan isteri pasti akan berkunjung ke pusat urut ini. Seperti pusat-pusat urut lain, perkhidmatan yang disediakan ialah mengurut badan dan urut tapak kaki.

Dalam kunjungan kali ini, saya mendapati ada sedikit kelainan di pusat urut ini. Cikgu Azizul memaklumkan kepada saya, pusat urut ini baru sahaja dibaik pulih. Sebab itulah juga saya mendapati tempatnya semakin selesa. Menurut Cikgu Azizul lagi, buat masa ini pusat urut ini mempunyai 8 orang kakitangan. Boleh dikatakan kesemua kakitanganya merupakan golongan OKU penglihatan. Bagus juga kerana setidak-tidaknya golongan oku di sekitar Kuantan ada tempat untuk mereka mencari rezeki halal dengan titik peluh sendiri. Selain daripada menyediakan pekerjaan, boleh dikatakan kesemua kakitangannya disediakan tempat tinggal.

Menurut Cikgu Azizul, setakat yang beliau maklum, di sekitar bandar Kuantan terdapat 2 buah pusat urut yang dikendalikan oleh OKU penglihatan. Sebuah lagi pusat urut dikendalikan oleh seorang OKU penglihatan yang telah mengalami kecacatan penglihatan setelah dewasa. Kata Cikgu Azizul lagi, dari segi persaingan, ia tidaklah sehebat sebagaimana di Kuala Lumpur. Manakala pelanggannya pula tidaklah seramai sebagaimana di Kuala Lumpur.



Kali ini, saya hanya minta urut tapak kaki sahaja. Manakala juruurut saya kali ini ialah bekas anak murid saya sendiri, Samsuzirani bin Mad Ripin. Samsuzirani pernah belajar di SMPK Setapak antara tahun 1998 hingga tahun 2002. Sebelum berkerja di pusat urut ini, beliau pernah berkerja selaku juruurut di Pulau Pinang selama sekitar 3 tahun. Beliau baru 3 bulan berkerja di pusat urut ini.

Saya, isteri serta adik ipar saya memang berpuas hati dengan perkhidmatan di pusat urut ini. Sebab itulah juga, adik ipar saya sudah beberapa kali membawa rakan-rakanya untuk mendapatkan perkhidmatan urut di pusat urut ini.

Kepada Najihah Gan dan suami, diucapkan selamat berjaya. Kepada Samsuzirani, kerjalah rajin-rajin. Kalau ada rezeki, boleh buka pusat urut sendiri pula di Felda Paloh 3, Gua Musang.

Salam dari Kuantan.

Friday, September 17, 2010

16 September Dan Putrajaya

Semalam, 16 September, merupakan Hari Malaysia. Hari Malaysia ialah hari atau tarikh di mana perisytiharan mengenai penubuhan Persekutuan Malaysia telah dibuat. Sementara itu, semenjak 2 tahun kebelakangan ini, sebilangan rakyat Malaysia turut mengingati tarikh 16 September sebagai tarikh di mana ura-ura dan usaha Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta sekutu-sekutunya untuk menguasai Putrajaya tidak kesampaian. Apabila saya berkunjung ke alam siber, banyak juga laman sesawang yang mengaitkan tarikh 16 september dengan ura-ura untuk menguasai Putrajaya yang tidak kesampaian itu. Demikianlah sejarah, sekali dibuat, selama-lamanya orang akan mengingatinya dan memperkatakan mengenainya.



Tentu masih segar dalam lipatan ingatan kita beberapa hari menjelang tarikh 16 September 2008, negara dihangatkan dengan cerita dan berita bahawa Putrajaya akan dikuasai oleh parti siasah tertentu, wajah perdana menteri akan bertukar rupa dan barisan kabinet akan bertukar tokoh. Semuanya akan berlaku bukan menerusi pilihanraya umum. Lagipun pilihanraya umum ketika itu baru sahaja sekitar 6 bulan berlalu. Sebaliknya semuanya akan berlaku menerusi lompat parti oleh sekumpulan ahli parlimen dari Barisan Nasional (BN) ke kumpulan parti-parti siasah yang sedang berura-ura dan berusaha untuk menguasai Putrajaya.

Tarikh 16 September 2008 muncul dan detik-detiknya terus melintasi waktu dengan aman tanpa sebarang peristiwa ajaib yang berlaku. Apabila tarikh 16 September 2008 berlalu dan kumpulan yang menguasai Putrajaya tidak berubah dan tidak juga tergugat, wajah perdana menteri masih sama dan barisan kabinet masih lagi terdiri daripada tokoh-tokoh yang serupa, maka sedikit sebanyak orang mula mempersoalkan kewibawaan, kesungguhan serta moral pihak yang sebelumnya beriya-iya benar ingin menguasai Putrajaya. Biar apa pun alasan, sebab atau fakta yang dikemukakan bagi menjelaskan mengapa Putrajaya masih belum dikuasai, hakikatnya ialah hasrat untuk menguasai dan mengubah peneraju negara di Putrajaya tidak kesampaian. Bahkan, 16 September 2010 merupakan ulang tahun kedua seluruh negara melihat hasrat untuk ke Putrajaya itu masih tidak kesampaian.

Hari ini, berdasarkan realiti yang ada, hasrat untuk menguasai Putrajaya nampaknya kian jauh dari kesampaian. Sebaliknya pula, bermula dari 16 September 2008, PKR dan sekutu-sekutunya pula yang kian dirundung malang. Datuk Seri Anwar Ibrahim, PKR serta sekutu-sekutunya bukan sahaja gagal menarik sekurang-kurangnya 30 ahli parlimen daripada BN yang sedang memerintah untuk lompat parti, sebaliknya beberapa orang ahli parlimen dan ADUN daripada PKR dan sekutu-sekutunya pula yang telah melompat menjadi wakil bebas. Kesan daripada lompatan 2 ADUN PKR dan seorang ADUN DAP di Perak mengakibatkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Perak tumbang pada awal Februari 2009, iaitu sebelum sempat kerajaan pR Perak meraikan ulang tahun pertama kerajaan berkenaan. Semenjak pilihanraya umum 2008 hinggalah kini, PKR sudah kehilangan sekitar 6 kerusi parlimen. 4 kerusi hilang kerana penyandangnya melompat menjadi wakil bebas. Satu lagi kerusi hilang bilamana penyandangnya dipecat daripada PKR. Manakala satu lagi kerusi terlepas daripada genggaman PKR apabila tewas dalam pilihanraya kecil di Hulu Selangor pada bulan April lalu.



Pada hari ini, tatkala PKR sedang menghadapi pemilihan partinya, terdengar kepada kita berlakunya persaingan dan perebutan yang tidak membawa faedah khususnya kepada parti itu sendiri. Persaingan di antara Datuk Zaid Ibrahim dan Azmin Ali yang dikatakan untuk merebut jawatan Timbalan Presiden bukan sahaja membuatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam dillema, bahkan jika persaingan berkenaan tidak dikawal dan tidak diurus dengan baik, ia bakal memecah-belahkan lagi parti berkenaan. Jika ahli PKR sendiri sudah berpecah-belah, adakah lagi harapan untuk berkawad menghala ke Putrajaya? Menyuburkan demokrasi dalam sesebuah organisasi memang baik. Walau bagaimanapun, dalam situasi sekarang, tatkala Putrajaya masih belum dapat dijangkau, keutuhan organisasi serta perpaduan antara sesama ahli seharusnya diutamakan dahulu.

Bagi rakyat biasa yang tidak tegar sebagai penyokong mana-mana kumpulan siasah, apa yang sedang berlaku dalam PKR ataupun PR sentiasa menjadi perhatian mereka. Jika sebelum ini mereka telah membuat pemerhatian dan penilaian terhadap UMNO dan BN, maka pemerhatian dan penilaian yang serupa juga sedang dilakukan terhadap janji, prestasi, komitmen serta moral PKR serta para sekutunya. Mereka akan sentiasa tertanya-tanya, mengapa sehingga kini PKR dan PR masih belum menguasai Putrajaya sepertimana yang hangat dihasratkan dua tahun lalu? Mengapa sebilangan ahli parlimen dan ADUN PKR sudah keluar parti? Adakah para pemimpin PKR hanya pandai berpidato semata-mata? Bahkan saya sendiri sudah mendengar ada yang mengatakan antara UMNO dan PKR hanya jenama sahaja yang berbeza tetapi produknya tetap sama. Bagi sebilangan rakyat, semakin lama rancangan PKR dan para sekutunya untuk menguasai Putrajaya tertangguh, maka semakin pudarlah harapan yang boleh disandarkan kepada parti siasah yang terbabit.

Bagi BN pula, kegagalan PKR dan para sekutunya untuk menguasai Putrajaya sejak 16 September 2008 merupakan modal besar, berharga dan berbisa yang boleh digunakan untuk menempelak dan menghemtam kembali PKR dan para sekutunya. Maka itulah, pelbagai gelaran telah dilabelkan khususnya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim gara-gara gagal menguasai Putrajaya pada 16 September 2008 lalu. Antara lain, para penyokong BN melabelkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pembohong, penipu, rakus, tamak kuasa dan macam-macam lagi. Bahkan ada juga yang sampai berani melabelkan Datuk Seri Anwar sebagai munafik. Setakat ini, BN sememangnya berada pada kedudukan yang amat selesa untuk mendakwa bahawa hasrat PKR dan para sekutunya untuk ke Putrajaya sebagai retorik, pembohong dan sebagainya kerana tarikh 16 September 2008 sudah dua tahun berlalu. Sehingga kini pun, yang menjadi peneraju di Putrajaya masih lagi BN dan bukannya PKR dan sekutu-sekutunya. Bagi saya, kesilapan besar PKR ialah terlebih dahulu telah mewar-warkan hasratnya untuk menawan Putrajaya, walhal pada hakikatnya ia masih belum berkemampuan untuk melaksanakannya. Inilah yang dikatakan, indah khabar dari realiti. Sesungguhnya hakikat seperti ini memang amat pahit untuk ditelan. Walau bagaimanapun, apabila ia sudah berlaku, maka tidak mungkin untuk kita memutar waktu untuk berundur semula ke belakang. Yang sudah berlaku itu tetaplah ia berlaku. Jadi, sama ada mahu tidak mahu, suka tidak suka, terpaksalah pihak yang berkaitan memamah dan menelannya.

Di sini, saya tidaklah sampai mengatakan hasrat dan cita-cita Datuk Seri Anwar dan kumpulan siasah pimpinannya untuk ke Putrajaya sesuatu yang mustahil. Namun begitu, apa yang sedang melanda PKR pada masa ini menyebabkan parti siasah berkenaan berada pada kedudukan yang semakin sukar baginya untuk mengambil alih pentadbiran di Putrajaya, setidak-tidaknya buat masa ini.

Antara prasyarat yang perlu ada kepada PKR sebelum meneruskan hasratnya untuk ke Putrajaya ialah, PKR memerlukan ahli parti dan penyokong yang setia tanpa berbelah bagi seperti Azmin Ali. PKR juga harus menggunakan kekuatan sendiri untuk ke Putrajaya dengan tidak melibatkan simpati daripada kerusi-kerusi parti lawan. PKR juga harus mengukuhkan perpaduan dalam kalangan sesama ahli-ahlinya terlebih dahulu, kerana bersatu teguh, bercerai roboh. Para pemimpin PKR juga mesti sentiasa bersikap mesra rakyat pada setiap masa. Hal ini saya utarakan kerana saya sendiri sudah mula mendengar ada dalam kalangan pemimpin PKR yang sudah mula bersifat hidung tinggi sedangkan jawatan yang sedang disandangnya belum lagi sampai ke tahap menteri yang berpejabat di Putrajaya. Selain itu, PKR harus menunjukkan dengan jelas dan nyata perbezaan antara PKR dengan UMNO/BN supaya golongan akar umbi benar-benar dapat membezakan antara PKR dan UMNO/BN sama ada pada jenamanya mahupun pada hasil produknya.

Tarikh 16 September akan tetap diingati kerana sejarahnya. Tarikh tersebut akan turut sama dinanti kerana masih ada hasrat yang belum kesampaian.

Salam dari Kuantan.

Thursday, September 16, 2010

Hari Malaysia: Antara Semalam Dan Esok

Hari ini (16 September) telah diisytiharkan sebagai Hari Malaysia. Buat julung-julung kalinya, sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan akan diadakan pada malam ini di Bandaraya Kota Kinabalu, Sabah. Sebelum ini, Hari Malaysia dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa sebarang sambutan. Setidak-tidaknya, kali ini kita akan mengingati tarikh 16 September sebagai Hari Malaysia kerana ia telah diisytiharkan sebagai cuti umum. Secara ringkasnya, Hari Malaysia ialah hari (tarikh) di mana perisytiharan penubuhan Persekutuan Malaysia telah dilakukan pada 16 September 1963.

Berdasarkan catatan sejarah, idea ke arah penubuhan sebuah entiti politik yang mana hari ini dikenali sebagai Malaysia pernah diutarakan oleh beberapa orang tokoh. Lord Brassey merupakan antara tokoh terawal yang pernah mengemukakan idea berkenaan, iaitu sejak tahun 1887 lagi. Idea yang sama kemudiannya pernah juga dikemukakan oleh tokoh-tokoh seperti Dato’ Onn Jaafar, Sir Malcom Mc-Donald, Lee Kuan Yew (bekas perdana menteri Singapura), Lim Eu Hock (Singapura) dan juga Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj.

Tunku Abdul Rahman Putra dalam satu jamuan di Singapura pada 27 Mei 1961 sekali lagi telah mengutarakan cadangan agar Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei disatukan di bawah satu penyatuan yang dikenali sebagai gagasan Malaysia. Selepas Tunku Abdul Rahman membuat cadangan, maka beberapa langkah telah diambil ke arah merealisasikan gagasan Malaysia. Antara langkah-langkah yang telah dilaksanakan termasuklah penubuhan Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK), penubuhan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Kebangsaan (JPPK) serta penubuhan Suruhanjaya Cobold. Pada awal tahun 1963, Hampir kesemua pemimpin utama politik di wilayah-wilayah yang terlibat telah menyatakan sokongan masing-masing kepada gagasan Malaysia. Mereka termasuklah Lee Kuan Yew (Singapura), Donald Stephens dan Datu Mustapha (Sabah) Serta Stephen Kalong Ningkan dan Temenggung Jugah (Sarawak). Walau bagaimanapun, atas sebab-sebab tertentu, Brunei kemudiannya telah menolak untuk menyertai Malaysia sebelum perisytiharan dibuat.

Ini bermakna, Sewaktu perisytiharan Malaysia pada 16 September 1963, hanya 4 wilayah sahaja yang menyertai Persekutuan Malaysia, iaitu, Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Dari aspek geopolitikal, Persekutuan Malaysia jauh lebih luas daripada Persekutuan Tanah Melayu. Jumlah penduduk pula lebih ramai. Ini ditambah pula dengan sumber serta asas kekuatan ekonomi yang pelbagai. Oleh yang demikian, pada peringkat awal, penubuhan Persekutuan Malaysia dijangka akan menghasilkan pelbagai kekuatan dan kelebihan sama ada dari segi politik, ekonomi mahupun dari aspek sosial kepada entiti politik baru tersebut.

Penubuhan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 memang tidak sunyi dari berhadapan dengan cabaran. Di peringkat awal, cabaran yang getir datangnya daripada 2 negara jiran, iaitu Indonesia dan juga Filipina. Presiden Soekarno telah menuduh gagasan Malaysia sebagai satu bentuk Neo-Kolonialisme. Walhal pembentukan Persekutuan Malaysia langsung tidak melibatkan walau seinci pun tanah dan air milik Indonesia. Indonesia telah menjalankan kempen anti-Malaysia secara berleluasa. Ini termasuklah kempen Ganyang Malaysia. Tidak puas kempen dalam negaranya, Indonesia telah memulakan konfrantasi pula dengan Malaysia. Bukan sahaja para nelayan kita diganggu ketika di laut, bahkan Indonesia juga turut mendaratkan segelintir tenteranya di bumi Malaysia. Pemimpin kita pula tidaklah bertindak secara terburu-buru. Seorang pun askar kita tidak dihantar ke bumi Indonesia sebagai tindak balas. Nampaknya cara diplomasi yang digunakan oleh pemimpin kita dalam menghadapi cabaran yang ditimbulkan oleh Indonesia telah mendatangkan kesan yang positif. Ia bukan sahaja telah mengelakkan peperangan di antara dua negara jiran, bahkan secara diplomatiknna ia menunjukkan bahawa cabaran yang ditimbulkan oleh Indonesia hanya sia-sia sahaja dan tidak menguntungkan sesiapa.

Manakala Filipina pula menentang pembentukan Persekutuan Malaysia kerana ia turut mencakupi Sabah. Pada masa itu, Filipina masih menuntut Sabah sebagai sebahagian daripada wilayahnya. Walau bagaimanapun, cabaran yang ditimbulkan oleh Filipina dapat diselesaikan menerusi saluran diplomatik. Dalam kedua-dua cabaran di atas, sama ada dari Indonesia mahupun dari Filiipina, kita tidak kehilangan walaupun seinci dari tanah dan air milik kita.

Satu lagi cabaran yang terpaksa dihadapi oleh Persekutuan Malaysia datangnya daripada Singapura. Dasar Malaysian Malaysia yang telah dicetuskan oleh Lee Kuan Yew benar-benar telah memeningkan kepala otak Tunku Abdul Rahman. Akhirnya, setelah semua jalan untuk menyelesaikan masalah yang telah ditimbulkan oleh Lee Kuan Yew buntu dan tertutup, maka Kuala Lumpur tiada pilihan lain. Pada 9 Ogos 1965, Singapura telah disingkirkan daripada Persekutuan Malaysia. Apabila Singapura keluar dari Persekutuan Malaysia, maka keluasan geopolitik Malaysia telah berkurangan dari keluasan asalnya iaitu pada 16 September 1963. Kali inni, seluruh rakyat Malaysia terpaksa berputih mata melihat Singapura meninggalkan Malaysia. Bermula dari tarikh itu juga (9 Ogos 1965), Persekutuan Malaysia hanya merangkumi 3 wilayah sahaja iaitu Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak dan ia berkekalan hinggalah ke hari ini.

Bagi saya, menyingkirkan Singapura daripada Persekutuan Malaysia tak ubah umpama melepaskan seekor harimau yang sangat lapar semata-mata. Singapura di bawah kepimpinan Lee Kuan Yew telah mengorak langkah dengan pelbagai strategi halus dan jangka panjang untuk mengukuhkan kekuatan dan keluasan wilayahnya. Apa yang terlihat oleh saya, Singapura dalam jangka panjang akan memastikan setiap yang bernama Malaysia tidak lagi berdiri megah di buminya. Tentu kita masih ingat bahawa suatu ketika dahulu kita mempunyai pangkalan tentera laut di Woodlands. Akhirnya dengan onar yang ditimbulkan oleh Singapura sendiri, kita terpaksa berundur dari Woodlands ke Lumut. Tentu masih segar dalam ingatan kita beberapa tahun lalu kita juga turut kehilangan Pulau Batu Puteh ke tangan Singapura. Walaupun keluasan pulau berkenaan sebesar padang bola sepak sahaja, namun begitu oleh kerana kedudukannya yang amat strategik, pulau tersebut berjaya juga direbut secara sah dari kita oleh sang harimau yang sentiasa lapar ini. Dengan kehilangan Pulau Batu Puteh kepada Singapura, keluasan geopolitik Malaysia semakin mengecil nampaknya. Sebagai salah seorang rakyat Malaysia, saya juga berhak untuk menaruh syak terhadap tanah milik KTMB di Singapura yang masih dalam rundingan. Memanglah kita sentiasa mengharapkan yang terbaik dan win win situation, tetapi apa yang sering terjadi ialah kita yang sering ditimpa kerugian.

Anehnya, walaupun sang harimau yang sentiasa lapar ini hanya menanti kesempatan dan peluang sahaja untuk menerkam atau setidak-tidaknya menggigit kita, pada masa yang sama kita pula sentiasa prihatin kepada kebajikan sang harimau ini. Dengan penuh keikhlasan, kita tidak pernah alpa untuk memastikan agar sang harimau yang ini tidak akan kehausan walaupun untuk sedetik. Demikianlah baik hatinya kita. Adakah kebaikan kita ini bertempat atau salah tempat?

Sewaktu Persekutuan Malaysia diisytiharkan pada 16 September 1963, ia mengandungi 4 buah wilayah utama. Walau bagaimanapun, Persekutuan Malaysia telah mengalami proses pengecilan yang pertama pada 9 Ogos 1965 apabila Singapura berjaya muncul sebuah negara yang bebas dan merdeka setelah menyertai Malaysia buat sementara waktu untuk tempoh setahun 10 bulan. Rupa-rupanya proses pengecilan Malaysia tidak terhenti setakat itu sahaja. Fasa kedua proses pengecilan berkenaan telah berlaku beberapa tahun lalu apabila Pulau Batu Puteh terlepas dari pangkuan kita. Saya tidak pasti bila pula proses pengecilan selanjutnya akan berlaku. Demikianlah secebis lipatan sejarah Malaysia yang mana nampaknya kita lebih banyak berputih mata daripada berputih tulang. Kata-kata “biar putih tulang jangan putih mata” hanya seni kata yang termuat dalam lagu sahaja dan masih belum kukuh tersemat dalam semangat patriotik kita.

Salam dari Kuantan.

Tuesday, September 14, 2010

Daulat Tuanku

Semalam (13 September 2010) bersamaan 4 Syawal 1431 Hijriah, institusi kesultanan Kelantan telah mencatat sejarahnya yang tersendiri. Pemangku raja, Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra telah dimasyhurkan sebagai sultan Kelantan ke-29. Upacara pemasyhuran tersebut telah berlangsung di Istana Balai Besar, Kelantan. Saya penuh yakin, apa yang berlaku semalam sememangnya selari dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan.



Walaupun saya sendiri bukanlah rakyat Kelantan dan negeri asal saya pun memang sudah lama tiada beraja, namun ketinggian peribadi Tengku Muhammad Faris Petra bukan sahaja menarik perhatian saya, bahkan saya yakin ia turut menarik perhatian ramai orang yang bukan warga Kelantan. Baginda bennar-benar raja yang berjiwa rakyat. Baginda juga dikhabarkan sering menziarahi sekalian hamba rakyat di segenap ceruk negeri tanpa sebarang protokol yang menyusahkan orang lain. Baginda juga dikhabarkan gemar mengadakan kunjungan ke tempat-tempat tertentu secara mengejut. Hal sedemikian bagi saya amat wajar. Dengan cara tersebut, baginda akan lebih terdedah dengan realiti sebenar kehidupan rakyatnya tanpa sebarang lakonan yang dibuat-buat semata-mata kerana berada di hadapan raja. Cara sedemikian juga akan membolehkan baginda melihat dengan mata kepala baginda sendiri realiti kehidupan rakyat yang berada di bawah naungan baginda. Dengan ini, maklumat yang baginda perolehi mengenai keadaan hidup rakyat baginda tidak hanya terbatas kepada maklumat yang disampaikan oleh orang lain semata-mata. Lagipun, adakalanya maklumat yang diperolehi semata-mata daripara orang lain adakalanya indah khabar daripara rupa.



Satu lagi kelebihan yang ada kepada baginda Tuanku Muhammad Faris ialah baginda sering bersolat bersama-sama sekalian hamba rakyatnya. Baginda sangat menghormati tuan-tuan guru dan para ulamak sebagaimana sepatutnya. Baginda juga dikhabarkan pernah menjadi imam solat. Inilah yang dikatakan raja sebagai pemimpin, bukan sahaja boleh memimpin ketika di luar masjid, bahkan juga berkeupayaan dan dipercayai untuk memimpin ketika di dalam masjid pula.

Saya penuh yakin, sikap, perbuatan, kelakuan serta keperibadian Tuanku Muhammad Faris bukan lakonan dan sandiwara yang dibuat-buat untuk mengabui mata sesiapa. Setakat ini, ia juga tidak menunjukkan keperibadian baginda adalah secara bermusim. Saya juga penuh yakin, apa yang terpancar daripada keperibadian Tuanku Muhammad Faris Petra adalah secara tulus yang datangnya daripada kemulian hati serta sikap tawadhuk baginda sendiri.

Sesungguhnya ketinggian peribadi, sikap tawadhuk serta sifat rendah diri baginda Tuanku Muhammad Faris akan meletakkan baginda sebaris dengan nama raja-raja yang masyhur dengan sikap alim dan berjiwa rakyat seperti Almarhum Sultan Alauddin Riayat Syah (Melaka), Almarhum Sultan Zainal Abidin III (Terengganu) dan lain-lain lagi.

Oleh yang demikian, mudah-mudahan kemulian dan ketinggian peribadi baginda akan menjadi ikutan pula kepada orang lain, dan bukannya cemburuan daripada mana-mana pihak pula. Saya dan semua pihak juga berdoa dan berharap semoga dengan pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris sebagai sultan Kelantan, ia akan dapat menyelesaikan pergeseran yang berlaku di istana Kelantan.



Saya berdoa semoga Allah sentiasa akan memeliharakan Tuanku Muhammad Faris Petra, keturunan baginda serta negeri dan kerajaan baginda. Mudah-mudahan baginda benar-benar akan dapat menjadikan negeri dan kerajaan baginda sebuah negeri dan kerajaan yang baik serta sentiasa berada dalam keampunan Allah.

Raja adil raja disembah;
raja zalim raja disanggah;
daulat tuanku!

Salam dari Kuala Terengganu.

Monday, September 13, 2010

Jenama Crocs Dan Kalimah Allah

Baru-baru ini saya serta isteri telah ke sebuah kedai kasut di Gombak untuk membelikan sepasang selipar jenama Crocs untuk Luqman. Bukan untuk raya, sekadar untuknya pakai hari-hari sahaja. Setelah dibeli, Luqman terus memakainya. Tiadalah sebarang syak, zan dan waham daripada saya mahupun isteri mengenai selipar yang baru dibeli itu.



Sehari dua kemudian, isteri saya terpandang seakan kalimah Allah ada tertera pada tapak selipar tersebut, iaitu di bahagian sebelah atas. Setelah dibelek-belek, memang nyata ia adalah kalimah Allah. Kalimah Allah tersebut bercorak timbul sehingga boleh disentuh oleh orang seperti saya.



Berdasarkan hukum feqah setakat yang saya tahu, sebarang benda yang padanya ada tertera kalimah Allah, maka ia tidak boleh dibawa ke tempat-tempat tertentu seperti ke tandas. Apabila kalimah Allah tertera pada selipar, maka kalimah itu bukan sahaja akan sentiasa dipijak oleh sipemakainya, bahkan kalimah tersebut turut sama akan diseret ke serata tempat termasuklah ke tempat-tempat yang kotor dan najis seperti tandas atau sebagainya.

Tentulah pihak yang dengan sengaja melekatkan kalimah Allah pada selipar berkenaan ada motif tertentu. Biar apa pun motifnya, selaku pengguna yang berakidah, kita tidak sepatutnya membiarkan perkara seumpama ini berlalu begitu sahaja. Setidak-tidaknya pada masa-masa yang akan datang, kita harus lebih berhati-hati ketika membeli-belah. Percubaan untuk menghina agama Allah berlaku pada bila-bila masa, oleh sesiapa sahaja, dengan macam-macam cara dan di mana-mana sahaja.



Bagi golongan tertentu, mereka akan tersenyum lebar apabila melihat perkara yang dipandang suci dan mulia oleh kaum muslimin dipijak dan diseret oleh umat muslimin sendiri. Bagi saya pula, adalah berganda malangnya apabila pengguna muslim itu sendiri yang tidak peka dan mengambil sikap mudah apabila perkara sebegini terjadi dihadapan mata sendiri. Justeru, bagi pengimport dan pengguna di negara ini, kita sepatutnya lebih peka dengan perkara seumpama ini. Jika nyata selipar, kasut, pakaian atau apa sahaja barangan lain yang ada unsur-unsur untuk menghina dan mempersendakan akidah kita, maka barangan berkenaan hendaklah dipulaukan sahaja.

Kalau kita tidak mampu mencegah sesuatu kemungkaran dengan tangan, maka cegahlah dengan lidah, jika tidak mampu dengan lidah, maka cegahlah dengan hati sahaja, sesungguhnya itulah selemah-lemah iman.

Salam dari Kuala Terengganu.

Sunday, September 12, 2010

Kesesakan Di Sekitar Kuala Terengganu

Sebagaimana yang telah dijadualkan, hari ini sekitar jam 10 pagi, kami sekeluarga pun bertolak ke Kuala Terengganu dari Kuantan. Tujuan kami ialah untuk ke rumah anak buah kami, Dibah, di Bukit Tunggal. Dia tak dapat pulang berhari raya bersama kami kerana suaminya yang juga seorang pegawai bomba tidak dapat cuti. Kami bertolak dengan 2 buah kenderaan sahaja kali ini.

Sekitar jam 11.45 pagi, kami singgah di rumah keluarga biras saya di Kampung Pinang Merah, Paka, untuk makan tengah hari. Setelah selesai makan, solat secara jamak serta lain-lain urusan asasi, sekitar jam 2.30 tengah hari, kami pun memulakan semula perjalanan ke Kuala Terengganu. Sekitar jam 3.30, kami menghampiri sekitar pantai Kelulut. Apa yang berlaku ialah kesesakan yang ketara. Kereta seakan hampir melekat. Keadaan diburukkan lagi bilamana sebilangan pemandu yang tidak sabar memandu secara memotong sebelah kiri. Begitulah sikap pemandu di negara kita apabila di atas jalan raya.



Jadi kami pun membuat keputusan untuk singgah sebentar di Masjjid Ru Muda. Tatkala posting ini dibuat, saya sekeluarga masih lagi di sekitar Masjid Ru Muda. Manakala kesesakan di jalan raya di hadapan masjid pula masih seakan tak ada tanda untuk surut.



Sewaktu dalam kereta tadi, saya memang mendengar siaran dari Terengganu FM. Malangnya, stesen radio ini tidak banyak melaporkan mengenai kesesakan yang sedang berlaku, jalan mana yang sesak, jalan mana yang boleh jadi jalan alternatif dan lain-lain info yang berguna untuk pengguna jalan raya. Tak serupa macam Radio Malaysia KLFM. Maaflah, bukan untuk membanding, sekadar menyatakan perbezannya sahaja.



Menurut seorang pengunjung ke masjid ini, Kota Bharu pula mengalami kesesakan yang teruk. Katanya lagi, beliau memang dalam perjalanan dari Kelantan. Sejak dari awal lagi saya memang tiada rancangan untuk ke Kelantan. Sekadar ke Kuala Terengganu sahaja.



Sementara itu, sebuah van mengalami masalah di sekitar Masjid Ru Muda. Tayarnya pula pancit. Tayar keduanya pula tidak berangin. Abang ipar saya dengan murah hati membantu pemandu kenderaan berkenaan.

Salam dari Masjid Ru Muda.

Saturday, September 11, 2010

Salam Idil Fitri

Terlebih dahulu, saya memohon maaf kerana rasanya ucapan ini agak lewat saya postingkan. Saya telah pun pulang ke kampung saya di Melaka pada 7 September 2010 (Selasa). Namun demikian, tidak seperti biasa, internet connection di kampung saya kali ini tidak lancar. Dengan menggunakan broadban yang ada, saya sekadar mampu untuk menyemak email sahaja. Sempat juga saya menghantar beberapa email yang ringan-ringan. Ketika saya ingin membuat posting, ia sering terputus. Maka terpendamlah beberapa tulisan yang ingin saya postingkan.

Hari ini, setelah kita berada pada hari kedua bulan Syawal, sebagaimana yang telah dijadualkan, saya sekeluarga telah bertolak ke Kuantan pula untuk berhariraya dengan keluarga sebelah isteri saya. Di Kuantan, barulah saya dapat berhubung semula dengan dunia luar menerusi alam siber. Alhamdulillah.

Di kesempatan yang ada, saya seisi keluarga dengan tulus ikhlas mengucapkan selamat idil fitri kepada seluruh pengunjung blog ini, kepada sahabat dan taulan, rakan-rakan sejawat, anak-anak murid yang dikasihi serta kepada seluruh muslimin dan muslimat. Saya sekeluarga juga mohon ampun dan maaf zahir dan batin di atas apa jua kesalahan, kesilapan, kekasaran, kekhilafan yang telah kami lakukan, sama ada yang sengaja atau tidak, yang kecil apatah lagi yang besar, yang tersembunyi ataupun yang nyata, dari hujung rambut hinggalah ke hujung kaki. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini benar-benar telah berjaya mentarbiahkan kita untuk menjadi insan yang lebih baik daripada masa lalu. Mudah-mudahan juga, di hari dan bulan yang mulia ini, ikatan ukhwah di antara sesama kita akan dapat diperkukuhkan lagi, insha-Allah. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada mereka yang telah menghantarkan ucapan selamat hari raya menerusi SMS kepada saya.

Salam dari Kuantan.