Saturday, September 25, 2010

Selamat Bersara Kepada En. Jamil

Semalam (24 September), merupakan hari terakhir buat En. Jamil bin Pin sebagai kakitangan di Universiti Malaya. Mulai hari ini, beliau mula hidup sebagai pesara kakitangan awam. Saya sempat menghubungi beliau sebentar tadi dan beliau mengakui bahawa untuk beberapa minggu ini beliau mungkin tidaklah terasa sunyi sangat, tetapi selepas itu, beliau mungkin akan terasa kesunyian. Maklumlah sudah biasa dengan rutin dan kesibukan di tempat kerja. Katanya lagi, beliau masih belum mempunyai rancangan tertentu untuk mengisi masa lapangnya nanti.

En. Jamil telah berkhidmat di Universiti Malaya selama 38 tahun iaitu sejak tahun 1972. Katanya, dalam tempoh masa tersebut, tiada kenangan yang betul-betul pahit. Semuanya manis belaka. Bagi saya, apa yang diperkatakan oleh En. Jamil tidaklah menghairankan kerana beliau merupakan seorang kakitangan yang disenangi oleh ramai orang.

En. Jamil merupakan seorang kakitangan yang bertugas di bahagian perpustakaan utama Universiti Malaya. Saya mula mengenali beliau pada minggu pertama lagi saya menjejakkan kaki ke menara gading tersebut. Sifatnya yang mudah mesra, peramah, ringan tulang dan mudah menolong orang lain mungkin antara faktor yang membolehkan beliau akrab dengan ramai orang termasuklah dengan saya sampai kini. Bagi kebanyakan siswa siswi cacat penglihatan, En. Jamil memang seorang kakitangan perpustakaan yang amat dikenali dan sangat disenangi. Antara pertolongan yang amat mudah beliau hulurkan dan sangat diperlukan oleh golongan mahasiswa seperti saya ialah untuk mencari pelbagai jenis buku rujukan, jurnal, latihan ilmiah serta thesis peringkat sarjana mahupun peringkat kedoktoran (phD) serta lain-lain bahan bacaan yang ada kaitan dengan bidang pengajian kami. Maklumlah di peringkat pengajian tinggi hampir kesemua bahan bacaan yang diperlukan tiada dalam bentuk tulisan Braille. Namun demikian, cabaran tersebut boleh kami atasi bilamana adanya kakitangan perpustakaan yang prihatin seperti En. Jamil.

Adakalanya En. Jamil bukan setakat memberikan info mengenai bahan bacaan berkaitan letaknya di rak mana, di tingkat berapa, nombor rujukannya apa, bahkan jika ada kelapangan beliau akan sama-sama mencari bahan bacaan yang diperlukan bersama-sama dengan kami hingga dapat. Menerusi pertolongan seperti inilah mahasiswa seperti saya dapat mendapatkan bahan-bahan bacaan rujukan yang diperlukan dalam masa yang cepat dan mudah. Maklumlah kalau saya cari sendiri, sampai kiamat pun mungkin tak akan berjumpa. Dengan bantuan pembaca sukarela pula, ia akan mengambil masa yang lebih lama, maklumlah mereka bukannya kakitangan perpustakaan yang mahir dengan selok-belok perpustakaan utama UM yang punya jutaan koleksi bahan bacaan.

Hubungan kami dengan En. Jamil serta pertolongan yang sering beliau hulurkan kepada mahasiswa seperti saya bukan setakat dalam perpustakaan sahaja. Saya serta rakan-rakan mahasiswa yang senasib acap kali juga pergi solat Jumaat bersama-sama En. Jamil dengan menumpang kenderaannya. Banyak kali juga saya akan pergi makan di tempat-tempat makan di sekitar UM bersama-sama dengan En. Jamil. Adakalanya juga, bila saya agak kemalasan untuk naik kenderaan awam untuk pulang ke rumah sewaan saya, saya akan tumpang sahaja En. Jamil bila dia habis kerja. Kalau tidak dengan budi baik daripada orang seperti En. Jamil, semakin terbataslah pergerakan kami dan semakin sempitlah dunia kami terutamanya tatkala berada di alam kampus.

Sesungguhnya orang-orang yang baik dan prihatin kepada kami seperti En. Jamil inilah yang sering kami ingati terutamanya dalam doa setiap kali selepas solat. Hanya Allah sahajalah yang akan memberikan balasan yang setimpal di atas segala keikhlasan dan kebaikan yang telah dihulurkan oleh orang-orang seperti En. Jamil kepada orang seperti kami.

Kepada En. Jamil, saya ucapkan selamat bersara. Saya serta rakan-rakan yang lain sentiasa berdoa semoga En. Jamil sekeluarga akan sentiasa dilimpahi keberkatan serta rahmat daripada Allah dunia dan akhirat.

Ini bukan Encik Jamil yang di ofis besar tu!!!

No comments: