Sunday, September 19, 2010

Sambutan Idil Fitri Di Kampung Sendiri

Beberapa hari lalu, saya ada menerima email daripada Teh Yong Shing, salah seorang anak murid saya. Antara kandungan email beliau ialah:


Selamat Hari raya, cikgu.

Apa khabar, cikgu?
Dalam dua minggu cuti ini, cikgu ada pergi mana-mana?

Bagaimana dengan sambutan hari raya cikgu di kampung?

Tujuan saya hantar email ini adalah untuk mengetahui sedikit sebanyak
mengenai cara sambutan hari raya cikgu di kampung seperti suasana,
makanan dan sebagainya.

Cikgu boleh beritahu melalui email atau pun tulis di blog cikgu.

Setakat ini sahaja, terima kasih.

Selamat bercuti!


Setelah mempertimbangkan dengan teliti, rasanya tiada salahnya untuk saya memenuhi permintaan Yong Shing. Maka dengan ini, di bawh ini saya perturunkan tulisan saya yang tidak seberapa mengenai sambutan hari raya idil fitri khususnya di kampung saya sendiri. Mudah-mudahan tulisan yang tidak sepertinya ini sedikit sebanyak akan memberikan manfaat atau pengetahuan kepada kita semua, khususnya kepada Yong Shing.

Saya telah meninggalkan Kuala Lumpur untuk berhari raya bersama-sama keluarga saya di Melaka pada 7 September (Selasa). Tahun ini tibalah giliran kami sekeluarga untuk berhari raya di kampung saya pula. Sejak saya berkahwin, kami akan bergilir-gilir untuk berhari raya di antara kampung saya di Melaka dan keluarga mertua saya di Kuantan. Bila tiba giliran kami berhari raya di kampung saya, maka kami akan ke Kuantan pula pada hari raya yang kedua, begitulah sebaliknya, bila tiba giliran kami berhari raya di rumah mertua saya di Kuantan, maka pada hari raya kedua kami akan ke Melaka pula. Demikianlah yang kami lakukan setiap tahun.



Untuk pengetahuan Yong Shing dan kita bersama, kampung saya terletak agak jauh dari kesesakan kota dan bandar. Jaraknya kira-kira 45 minit berkenderaan dari tol Simpang Ampat, atau 25 minit dari tol Tangkak. Bandar yang paling hampir ialah Jasin, iaitu sekitar 20 km jauhnya. Di sini kami masih mengamalkan ada Perpatih, tetapi bagi generasi yang kemudian seperti saya, adat ini tidaklah begitu kuat diamalkan.



Sambutan idil fitri tahun ini telah mencatatkan sejarah yang tersendiri buat keluarga kami di kampung. Bermula pada hari terkhir puasa sehinggalah ke hari raya yang kedua, terdapat seramai 41 orang yang berkumpul, makan, minum dan tidur di rumah kami di kampung. Kesemuanya ahli keluarga kami belaka yang pulang dari beberapa buah negeri lain untuk menyambut idil fitri bersama-sama. Nasib baiklah rumah kami yang sederhana besarnya masih boleh menampung seramai 41 orang penghuni. Jadi tidak adalah yang terpaksa buat khemah di luar rumah.



Pada hari terakhir berpuasa, iaitu setelah kesemua ahli keluarga pulang dengan selamat, kami ramai-ramai membuat persiapan terakhir untuk menyambut hari raya. Ada yang memasak daging untuk dibuat rendang. Ada juga yang memasak ketupat nasi. Ada juga yang merebus sup. Untuk sambutan hari raya kali ini, kami telah membeli 10 KG daging dan 2 kaki lembu untuk dibuat sup. Itu tidak dicampur lagi dengan beberapa ekor ayam yang turut disembelih bagi melengkapkan lagi juadah untuk hari raya. Suasananya memang riuh tetapi menyeronokkan. Maklumlah masing-masing dengan telatah dan gaya yang tersendiri. Suasana sebegini memang tidak ada di bandar.



Luqman dan saudara-mara yang sebaya dengannya pula hingar bermain. Kalau tidak dipanggil dan diingatkan, silap hari bulan, solat dan mandi pun dia boleh lupa.

Pada sebelah petangnya, iaitu sekitar sejam sebelum berbuka terakhir, kami sekeluarga mengadakan tahlil. Selain daripada bersyukur kepada Allah, ia juga sebagai tanda ingatan kepada ahli keluarga yang telah lebih dahulu menghadap Ilahi.





Setelah berbuka puasa dan bersolat maghrib, kami seisi keluarga pun bertakbir beramai-ramai. Saya amat bersyukur kepada Allah kerana kali ini selain orang dewasa, generasi anak-anak buah pun sudah boleh memimpin takbir. Hanya Luqman sahaja yang masih belum berani untuk mencuba.



Seperti tahun-tahun sebelumnya, pada setiap malam hari raya, di kampung saya akan ada kumpulan yang bertakbir dari rumah ke rumah. Aktiviti sebegini akan menambah lagi kemeriahan di malam raya. Ini ditambah pula dengan pelbagai telatah, karenah, aksi serta hingar-bingar dari ahli-ahli keluarga saya. Maklumlah 41 orang kesemuanya.

Pada pagi hari raya pertama, seperti biasa, kami bangun lebih awal dari biasa. Selepas mandi-manda dan solat subuh, kami bersarapan bersama-sama. Untuk hari raya idil fitri, disunatkan untuk bersarapan terlebih dahulu sebelum ke masjid. Antara menu utama ialah ketupat nasi, rendang serta lemang. Sup kaki lembu memang tidak ketinggalan. Sekali lagi, suasana riuh rendah memang tidak dapat dielakkan. Setelah itu, barulah kami ke masjid yang letaknya kira-kira 1.6 km dari rumah. Seperti biasalah, masjid memang penuh sesak. Laungan takbir bergema sayu dan mendayu.

Setelah selesai solat sunat hari raya, kami pun kembali semula ke rumah. Waktu inilah kami seisi keluarga akan bermaaf-maafan antara satu sama lain. Yang muda akan mencium tangan dan pipi mereka yang lebih tua. Begitulah. Luqman dan saudara-mara yang sewaktu dengannya turut tidak ketinggalan untuk bersalaman dengan ahli keluarga yang lebih dewasa, tetapi salam mereka penuh bermakna.



Sejak kebelakangan ini, sudahmenjadi kelaziman bagi masyarakat Melayu untuk memberikan wang raya yang dimasukkan ke dalam sampul seakang angpau dalam masyarakat Cina. Bezanya, warna sampulnya bukan merah. Assimilasi budaya seumpama ini tidak disedari bila ianya mula berlaku dalam masyarakat melayu.



Setelah itu, sekitar jam 11.15 pagi, kami seisi keluarga pun mula berkonvoi dengan 7 buah kenderaan untuk menziarahi keluarga sebelah ibu saya. Ini perkara dan aktiviti yanb memang biasa kami lakukan pada setiap kali hari raya yang pertama. Destinasi pertama kami ialah kawasan perkuburan keluarga sebelah ibu saya yang letaknya kira-kira 20 km dari rumah kami. Setelah itu, kami menziarahi pula adik bungsu kepada ibu saya yang tinggal di rumah pusaka tinggalan nenek saya. Setelah itu kami pun berkonvoi pula ke rumah sanak saudara yang lain pula. Makanan dan juadah hari raya boleh dikatakan hampir serupa sahaja di setiap rumah yang dikunjungi. Hampir waktu maghrib baru kami tiba semula di rumah. Badan pun agak letih. Di sebelah malamnya, hanya adik perempuan saya dengan beberapa orang anak-anak ke rumah bapa saudara kami yang letaknya di sebelah rumah Najihah. Oleh kerana keletihan, saya tinggal di rumah sahaja.

Demikianlah secebis aktiviti saya dan keluarga ketika menyambut hari raya idil fitri tahun ini. Mudah-mudahan Teh Yong Shing akan gembira dengan tulisan yang tidak seberapa ini.

Salam dari Kuantan.

No comments: