Semalam, 16 September, merupakan Hari Malaysia. Hari Malaysia ialah hari atau tarikh di mana perisytiharan mengenai penubuhan Persekutuan Malaysia telah dibuat. Sementara itu, semenjak 2 tahun kebelakangan ini, sebilangan rakyat Malaysia turut mengingati tarikh 16 September sebagai tarikh di mana ura-ura dan usaha Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta sekutu-sekutunya untuk menguasai Putrajaya tidak kesampaian. Apabila saya berkunjung ke alam siber, banyak juga laman sesawang yang mengaitkan tarikh 16 september dengan ura-ura untuk menguasai Putrajaya yang tidak kesampaian itu. Demikianlah sejarah, sekali dibuat, selama-lamanya orang akan mengingatinya dan memperkatakan mengenainya.
Tentu masih segar dalam lipatan ingatan kita beberapa hari menjelang tarikh 16 September 2008, negara dihangatkan dengan cerita dan berita bahawa Putrajaya akan dikuasai oleh parti siasah tertentu, wajah perdana menteri akan bertukar rupa dan barisan kabinet akan bertukar tokoh. Semuanya akan berlaku bukan menerusi pilihanraya umum. Lagipun pilihanraya umum ketika itu baru sahaja sekitar 6 bulan berlalu. Sebaliknya semuanya akan berlaku menerusi lompat parti oleh sekumpulan ahli parlimen dari Barisan Nasional (BN) ke kumpulan parti-parti siasah yang sedang berura-ura dan berusaha untuk menguasai Putrajaya.
Tarikh 16 September 2008 muncul dan detik-detiknya terus melintasi waktu dengan aman tanpa sebarang peristiwa ajaib yang berlaku. Apabila tarikh 16 September 2008 berlalu dan kumpulan yang menguasai Putrajaya tidak berubah dan tidak juga tergugat, wajah perdana menteri masih sama dan barisan kabinet masih lagi terdiri daripada tokoh-tokoh yang serupa, maka sedikit sebanyak orang mula mempersoalkan kewibawaan, kesungguhan serta moral pihak yang sebelumnya beriya-iya benar ingin menguasai Putrajaya. Biar apa pun alasan, sebab atau fakta yang dikemukakan bagi menjelaskan mengapa Putrajaya masih belum dikuasai, hakikatnya ialah hasrat untuk menguasai dan mengubah peneraju negara di Putrajaya tidak kesampaian. Bahkan, 16 September 2010 merupakan ulang tahun kedua seluruh negara melihat hasrat untuk ke Putrajaya itu masih tidak kesampaian.
Hari ini, berdasarkan realiti yang ada, hasrat untuk menguasai Putrajaya nampaknya kian jauh dari kesampaian. Sebaliknya pula, bermula dari 16 September 2008, PKR dan sekutu-sekutunya pula yang kian dirundung malang. Datuk Seri Anwar Ibrahim, PKR serta sekutu-sekutunya bukan sahaja gagal menarik sekurang-kurangnya 30 ahli parlimen daripada BN yang sedang memerintah untuk lompat parti, sebaliknya beberapa orang ahli parlimen dan ADUN daripada PKR dan sekutu-sekutunya pula yang telah melompat menjadi wakil bebas. Kesan daripada lompatan 2 ADUN PKR dan seorang ADUN DAP di Perak mengakibatkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Perak tumbang pada awal Februari 2009, iaitu sebelum sempat kerajaan pR Perak meraikan ulang tahun pertama kerajaan berkenaan. Semenjak pilihanraya umum 2008 hinggalah kini, PKR sudah kehilangan sekitar 6 kerusi parlimen. 4 kerusi hilang kerana penyandangnya melompat menjadi wakil bebas. Satu lagi kerusi hilang bilamana penyandangnya dipecat daripada PKR. Manakala satu lagi kerusi terlepas daripada genggaman PKR apabila tewas dalam pilihanraya kecil di Hulu Selangor pada bulan April lalu.
Pada hari ini, tatkala PKR sedang menghadapi pemilihan partinya, terdengar kepada kita berlakunya persaingan dan perebutan yang tidak membawa faedah khususnya kepada parti itu sendiri. Persaingan di antara Datuk Zaid Ibrahim dan Azmin Ali yang dikatakan untuk merebut jawatan Timbalan Presiden bukan sahaja membuatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam dillema, bahkan jika persaingan berkenaan tidak dikawal dan tidak diurus dengan baik, ia bakal memecah-belahkan lagi parti berkenaan. Jika ahli PKR sendiri sudah berpecah-belah, adakah lagi harapan untuk berkawad menghala ke Putrajaya? Menyuburkan demokrasi dalam sesebuah organisasi memang baik. Walau bagaimanapun, dalam situasi sekarang, tatkala Putrajaya masih belum dapat dijangkau, keutuhan organisasi serta perpaduan antara sesama ahli seharusnya diutamakan dahulu.
Bagi rakyat biasa yang tidak tegar sebagai penyokong mana-mana kumpulan siasah, apa yang sedang berlaku dalam PKR ataupun PR sentiasa menjadi perhatian mereka. Jika sebelum ini mereka telah membuat pemerhatian dan penilaian terhadap UMNO dan BN, maka pemerhatian dan penilaian yang serupa juga sedang dilakukan terhadap janji, prestasi, komitmen serta moral PKR serta para sekutunya. Mereka akan sentiasa tertanya-tanya, mengapa sehingga kini PKR dan PR masih belum menguasai Putrajaya sepertimana yang hangat dihasratkan dua tahun lalu? Mengapa sebilangan ahli parlimen dan ADUN PKR sudah keluar parti? Adakah para pemimpin PKR hanya pandai berpidato semata-mata? Bahkan saya sendiri sudah mendengar ada yang mengatakan antara UMNO dan PKR hanya jenama sahaja yang berbeza tetapi produknya tetap sama. Bagi sebilangan rakyat, semakin lama rancangan PKR dan para sekutunya untuk menguasai Putrajaya tertangguh, maka semakin pudarlah harapan yang boleh disandarkan kepada parti siasah yang terbabit.
Bagi BN pula, kegagalan PKR dan para sekutunya untuk menguasai Putrajaya sejak 16 September 2008 merupakan modal besar, berharga dan berbisa yang boleh digunakan untuk menempelak dan menghemtam kembali PKR dan para sekutunya. Maka itulah, pelbagai gelaran telah dilabelkan khususnya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim gara-gara gagal menguasai Putrajaya pada 16 September 2008 lalu. Antara lain, para penyokong BN melabelkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pembohong, penipu, rakus, tamak kuasa dan macam-macam lagi. Bahkan ada juga yang sampai berani melabelkan Datuk Seri Anwar sebagai munafik. Setakat ini, BN sememangnya berada pada kedudukan yang amat selesa untuk mendakwa bahawa hasrat PKR dan para sekutunya untuk ke Putrajaya sebagai retorik, pembohong dan sebagainya kerana tarikh 16 September 2008 sudah dua tahun berlalu. Sehingga kini pun, yang menjadi peneraju di Putrajaya masih lagi BN dan bukannya PKR dan sekutu-sekutunya. Bagi saya, kesilapan besar PKR ialah terlebih dahulu telah mewar-warkan hasratnya untuk menawan Putrajaya, walhal pada hakikatnya ia masih belum berkemampuan untuk melaksanakannya. Inilah yang dikatakan, indah khabar dari realiti. Sesungguhnya hakikat seperti ini memang amat pahit untuk ditelan. Walau bagaimanapun, apabila ia sudah berlaku, maka tidak mungkin untuk kita memutar waktu untuk berundur semula ke belakang. Yang sudah berlaku itu tetaplah ia berlaku. Jadi, sama ada mahu tidak mahu, suka tidak suka, terpaksalah pihak yang berkaitan memamah dan menelannya.
Di sini, saya tidaklah sampai mengatakan hasrat dan cita-cita Datuk Seri Anwar dan kumpulan siasah pimpinannya untuk ke Putrajaya sesuatu yang mustahil. Namun begitu, apa yang sedang melanda PKR pada masa ini menyebabkan parti siasah berkenaan berada pada kedudukan yang semakin sukar baginya untuk mengambil alih pentadbiran di Putrajaya, setidak-tidaknya buat masa ini.
Antara prasyarat yang perlu ada kepada PKR sebelum meneruskan hasratnya untuk ke Putrajaya ialah, PKR memerlukan ahli parti dan penyokong yang setia tanpa berbelah bagi seperti Azmin Ali. PKR juga harus menggunakan kekuatan sendiri untuk ke Putrajaya dengan tidak melibatkan simpati daripada kerusi-kerusi parti lawan. PKR juga harus mengukuhkan perpaduan dalam kalangan sesama ahli-ahlinya terlebih dahulu, kerana bersatu teguh, bercerai roboh. Para pemimpin PKR juga mesti sentiasa bersikap mesra rakyat pada setiap masa. Hal ini saya utarakan kerana saya sendiri sudah mula mendengar ada dalam kalangan pemimpin PKR yang sudah mula bersifat hidung tinggi sedangkan jawatan yang sedang disandangnya belum lagi sampai ke tahap menteri yang berpejabat di Putrajaya. Selain itu, PKR harus menunjukkan dengan jelas dan nyata perbezaan antara PKR dengan UMNO/BN supaya golongan akar umbi benar-benar dapat membezakan antara PKR dan UMNO/BN sama ada pada jenamanya mahupun pada hasil produknya.
Tarikh 16 September akan tetap diingati kerana sejarahnya. Tarikh tersebut akan turut sama dinanti kerana masih ada hasrat yang belum kesampaian.
Salam dari Kuantan.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
No comments:
Post a Comment