Saturday, August 20, 2011

Larangan Membaca Alquran Dengan Pembesar Suara Sebelum Waktu Subuh



Baru-baru ini, negara telah dihangatkan dengan berita mengenai larangan membaca Alquran sebelum subuh dengan menggunakan pembesar suara di Pulau Pinang. Menurut sumber daripada kerajaan negeri Pulau Pinang, keputusan berkenaan tidak dipengeruhi oleh kepimpinan kerajaan negeri. Manakala pihak mufti Pulau Pinang pula ada mengeluarkan kenyataan beberapa hari lepas bahawa larangan berkenaan bukannya fatwa atau hukum, sebaliknya ia sekadar nasihat semata-mata.

Ekoran daripada itu, beberapa pihak telah mengeluarkan pelbagai kenyataan. Ada yang pro dan tidak kurang pula yang berpandangan kontra dengan isu berkenaan. Seperkara yang terserlah daripada lontaran pandangan berkenaan ialah kecenderungan memberikan pandangan yang dipengaruhi oleh elemen politik. Oleh kerana isu ini melibatkan kerajaan Pulau Pinang yang kebetulan diterajui oleh Pakatan Rakyat (PR), maka pandangan daripada mereka yang tidak sehaluan dengan kerajaan Pulau Pinang sudah tentulah bersifat kontra. Begitulah sebaliknya, pandangan daripada golongan yang sehaluan dengan kerajaan negeri pula bersifat menyokong.

Membaca Alquran sebelum waktu subuh di masjid-masjid atau di surau-surau dengan pembesar suara di negara kita bukanlah satu perkara baru. Ia telah pun berakar tunjang sejak sekian lama dahulu. Di kebanyakan tempat di negara kita khasnya di Semenanjung, sejurus sebelum masuknya waktu subuh, akan berkumandanglah alunan bacaan Alquran atau tarhim dari corong-corong pembesar suara dari masjid atau surau yang berhampiran. Kalau qari yang mengalunkan bacaan berkenaan bersuara merdu, maka akan sayulah jadinya suasana pada subuh berkenaan. Saya masih ingat, sewaktu menuntut di sekolah rendah di Johor baru, mungkin kawasan sekolah dikelilingi masjid dan surau, maka apabila menjelang waktu subuh, bergemalah suara alunan bacaan Alquran atau tarhim. Sayu dibuatnya. Ia juga memberi tanda kepada kami bahawa waktu subuh sudah hampir tiba. Walaupun masih kecil, keadaan sedemikian tidak pernah dianggap mengganggu.

Seorang bekas guru saya iaitu Cikgu Khoo Peng Kui yang pernah mengajar di sekolah yang sama pada dekad 60-an lalu, pernah bercerita kepada saya, antara tempat yang paling beliau tidak akan lupakan ialah SKPK Princess Elizabeth. Katanya, ketika itu beliau tidak memakai jam. Walau bagaimanapun, beliau tidak pernah lewat bangun pagi kerana sering dikejutkan dengan alunan Alquran, bacaan tarhim dan juga azan pada waktu subuh. Walaupun beliau bukan beragama Islam, beliau tidak merasa terganggu dengan alunan bacaan Alquran atau tarhim menjelang masuknya waktu subuh. Mungkin ada pihak lain akan berkata, bukan semua orang macam Cikgu Khoo Peng Kui!

Setakat yang saya ingat, mungkin negeri Pulau Pinang merupakan negeri pertama di Malaysia yang cuba melarang (menasihati) tempat-tempat solat supaya tidak menggunakan pembesar suara untuk membaca Alquran sebelum waktu subuh. Kalau kita masih ingat, dalam dekad 80-an lalu, seorang ketua tertinggi agama Islam di sebuah negeri ada mengeluarkan arahan supaya pembesar suara di satu kawasan dalam negerinya diperlahankan ketika bacaan Alquran dialunkan sebelum waktu subuh. Walau bagaimanapun, arahan berkenaan tidak menjadi isu atau tidak diisukan mungkin kerana negeri berkenaan waktu itu dikuasai oleh puak dacing.

Ada tempat tertentu di negara kita, sebelum waktu subuh bukan alunan bacaan Alquran yang dikumandangkan menerusi pembesar suara, tetapi siaran daripada radio tertentu pula yang diperdengarkan dan ia bergema di segenap kampung. Sekali-sekala mungkin siaran berkenaan sayup-sayup di bawan angin pagi ke kampung lain pula. Setakat ini, ia masih belum lagi menjadi isu dan fatwa mengenai mengumandangkan siaran radio menerusi pembesar suara di masjid atau surau juga belum dikeluarkan oleh mana-mana pihak berkuasa agama. Mengapa?

Bagi saya, masalah yang timbul di sini ialah ada pihak yang merasa terganggu bilamana alunan bacaan Alquran atau tarhim dikumandangkan menerusi pembesar suara masjid atau surau terutamanya menjelang masuknya waktu subuh. Maklumlah tidur pada waktu sedemikian memang paling enak dan paling menyedapkan. Bukan sahaja mereka yang bukan beragama Islam yang merasainya, sebahagian umat Islam pun turut merasai sama keenakan tidur menjelang masuknya waktu subuh. Bila saat yang begitu mengasyikkan tidur itu diganggu memang tersentaklah jasad dan perasaan. Nasib baiklah azan pada waktu tengah malam sebagaimana yang pernah diamalkan dalam kerajaan Andalusia dahulu tidak dipraktikkan di negara kita pada hari ini.

Bagi saya, dalam konteks mengganggu, bukan sahaja alunan bacaan Alquran atau tarhim pada waktu subuh sahaja yang boleh mendatangkan gangguan. Ada kalanya, bunyi bising loceng dari tempat ibadat tertentu atau bau bahan-bahan yang digunakan untuk sembahan yang sangat kuat juga boleh mendatangkan gangguan. Namun begitu, setakat ini, tiada larangan daripada mana-mana pihak berkuasa tempatan supaya memperlahankan bunyi loceng atau mengurangkan bau-bauan yang digunakan. Walau bagaimanapun, bila satu pihak telah memulakannya, maka tidak mustahil untuk pihak lain pula yang akan mengikut langkah yang telah dilakukan.

Apa yang sepatutnya dilakukan khususnya di Pulau Pinang ialah, tempoh masa untuk mengumandangkan bacaan Alquran atau tarhim sebelum waktu subuh boleh dipendekkan. Kalau sebelum ini ia mungkin dilaksanakan sejam atau 45 minit sebelum azan subuh, mungkin ia boleh dipendekkan kepada setengah jam atau 15 minit sahaja. Langkah seterusnya, sekiranya pembesar suara itu terlalu kuat, maka berpatutanlah jika bunyinya diperlahankan sedikit. Lagi pun, pembesar suara yang dipasang terlalu kuat pun tidak akan menghasilkan bunyi yang baik. Kadangkala ia boleh menyebabkan bunyinya serak dan pecah.

Bagi saya, melarang terus bacaan Alquran atau tarhim dengan menggunakan pembesar suara sebelum masuk waktu subuh bukanlah satu langkah yang sesuai.

1 comment:

Unknown said...

sedih bangun b4 subuh sbb dah biasa dgr bunyi Al-Quran di alunkan..tpi hr ni x kedengaran dah..malaysia ni negara islam ke bukan...di negara ukan islam dilarang bertudung di negara islam sendiri plk bunyi al -Quran bising..apa dah jadi?