Saturday, August 6, 2011

Sembang Petang

Iktibar Bersama

Dalam kebanyakan situasi, sukar bagi mereka yang berpenglihatan untuk memahami kami yang tidak berpenglihatan, terutamanya perkara-perkara yang berkaitan dengan perasaan, emosi, naluri, sensitiviti, psikologi atau yang seumpama dengannya. Dalam hal ini, agak sukar juga bagi mereka yang tidak berpenglihatan untuk menerangkan kepada mereka yang berpenglihatan bagaimana kami boleh melakukan sesuatu itu dengan sempurna dalam keadaan tanpa penglihatan. Jadi, untuk memendekkan alkisah, mereka yang berpenglihatan akan membuat kesimpulan mudah, iaitu dengan merumuskan bahawa “hati mereka terang”. Betul ke mereka yang tidak berpenglihatan hatinya sentiasa terang?

Setelah saya melalui pelbagai pengalaman hidup sebagai insan yang ditakdirkan buta bagi tempoh lebih 4 dekad, saya merasakan sebilangan besar mereka yang masih berpenglihatan mempunyai persepsi yang salah mengenai dunia golongan cacat penglihatan. Rata-rata mereka yang berpenglihatan berpersepsi iaitu kecacatan penglihatan yang menimpa seseorang itu menyebabkan golongan tersebut buta segala-galanya. Mereka beranggapan dunia golongan cacat penglihatan gelap seluruhnya sama seperti bilamana mereka (golongan berpenglihatan) menutup mata sendiri serapat-rapatnya.

Benarkah orang yang cacat penglihatannya akan turut cacat dalam semua perkara? Benarkah dunia golongan cacat penglihatan merupakan dunia yang diselubungi kegelapan yang segelap-gelapnya?

Seperkara yang sering kita lupa ialah, cacat atau sempurna fizikal seseorang itu, semuanya adalah kurniaan Allah Yang Maha Kuasa. Jadi, Bila Dia menjadikan seseorang itu cacat, sudah tentulah kecacatan itu akan ditampung pula dengan sedikit kelebihan di aspek yang lain pula. Di sinilah letaknya keadilan Allah. Maknanya, Dia tidak akan menjadikan sesuatu itu sia-sia begitu sahaja. Jika kita berupaya melihat apa yang telah dijadikan-Nya dengan penuh rasa keinsanan, sudah tentulah ia amat menginsafkan kita. Demikianlah.

Sebab itulah juga, walaupun Allah menjadikan seseorang itu buta, tetapi Allah menunjukkan kaedah bagaimana golongan berkenaan berupaya melayari internet. Sebelum kita sama-sama dapat melihat bagaimana golongan cacat penglihatan melayari internet, pernahkah kita terfikir bahawa golongan tersebut juga mempunyai kaedah tersendiri untuk sama-sama tercebur ke dalam dunia ICT? Itu baru satu contoh sahaja mengenai keadilan Ilahi. Walau bagaimanapun, mungkin masih ramai yang gagal mengaitkan sesuatu kecacatan yang telah ditakdirkan itu dengan keadilan Penciptanya. Oleh kerana mereka gagal membuat perkaitan sedemikian, maka ada yang telah mengambil kesempatan dengan memperlekehkan kebutaan seseorang. Bila mereka telah melakukannya, golongan tersebut akan merasa puas.

Bagi mereka yang tidak begitu memahami golongan cacat penglihatan, mereka akan menggunakan cara yang dangkal untuk mempersendakan golongan berkenaan. Untuk mengintai apa yang sedang dilakukan oleh orang buta, ada yang sanggup tukar kasut atau buka kasut terus dan berjalan perlahan-lahan dan tertinjit-tinjit pula. Nasib baiklah kaki mereka tak terkena paku tajam. Kalau sekali-sekali terkena, alangkah padannya muka mereka? Dari aspek pendengaran, mungkin apa yang dilakukan oleh golongan berpenglihatan yang dangkal ini seakan berjaya. Walau bagaimanapun, sedarkah mereka ada dalam kalangan mereka yang tidak berpenglihatan telah dikurniakan Allah dengan pendengaran yang super tajam? Itulah keadilan Allah namanya. Satu lagi, mungkin cara yang digunakan sebagaimana di atas sedikit sebanyak dapat mengelakkan kehadiran mereka daripada dikesan menerusi pendengaran. Bagaimana pula dengan bau ketiak, bau hamis atau bau busuk yang ada pada badan si pengintai berkenaan? Ke mana pula hendak ditinggalkan bau badan masing-masing? Di sini, sekali lagi, Allah itu Maha Adil, tapi ramai yang sering melupainya.

Masih segar dalam ingatan saya hingga kini kejadian yang berlaku pada 11 Mei 2000 (Khamis). Kejadian malang berkenaan berlaku sekitar jam 9.35 pagi. Tempat kejadiannya pun masih segar dalam ingatan. Ketika itu saya sedang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu di sebuah kelas. Tiba-tiba muncul seorang guru lain (guru berkenaan seorang berpenglihatan) melangkah masuk ke dalam kelas saya secara senyap-senyap, kemudian menghulurkan nota kepada salah seorang murid dalam kelas berkenaan, kemudian berlalu pergi. Sepatah haram perkataan pun tidak keluar dari mulutnya. Kejadian tersebut mungkin sekejap, tetapi ia telah meninggalkan kesan yang cukup mendalam dalam diri saya sehingga ke hari ini. Bahkan beberapa ketika selepas kejadian itu, saya merasa begitu cuak kepada sebahagian besar rakan-rakan sejawat yang berpenglihatan. Alhamdulillah, perasaan yang tidak baik dan tidak adil tersebut dapa saya buangkan sedikit demi sedikit.

Untuk memastikan bahawa si fulan telah masuk ke dalam kelas saya sebentar tadi, saya terus bertanya kepada murid-murid saya ketika itu: “Betul ke, Cikgu fulan masuk tadi?” Salah seorang murid yang hadir menjawab: “Betul cikgu, dia bagi nota pada saya.” Murid yang sama kemudiannya bertanya pula: “... Tapi kenapa dia masuk senyap-senyap, cikgu?” Saya menjawab: “Perangai busuk macam tu kamu semua jangan ikut. Walaupun cikgu yang ada di hadapan kamu ni buta, tapi Allah berkuasa memberitahu pada cikgu apa yang sedang berlaku dengan apa cara sekalipun.” Murid-murid saya ketika itu terdiam sebentar bila mendengar jawapan saya.

Mengapakah rakan sejawat saya itu bersikap sedemikian pada kelas yang sedang saya kendalikan? Adakah beliau akan berbuat perkara yang sama kepada kelas yang sedang dikendalikan oleh rakan-rakan sejawatnya yang berpenglihatan seperti dia? Sedarkah dia, dengan berkelakuan sedemikian, secara tidak langsung dia telah menghalalkan kepada murid-murid saya untuk mempermainkan guru-gurunya yang cacat penglihatan? Bahkan, sedarkah dia, perbuatannya itu akan saya ingat sampai ke akhir nanti? Saya penuh yakin, sehingga ke hari ini pun, rakan sejawat berkenaan tidak tahu bahawa sebenarnya saya mengetahui perbuatan sumbangnya itu. Saya juga yakin, pada hari ini beliau berkemungkinan besar sudah lupa dengan perbuatan busuknya itu.

Saya kongsikan pengalaman ini kepada semua supaya kita sama-sama mengambil iktibar daripadanya. Berdasarkan pengalaman sendiri serta rakan-rakan senasib yang lain, perbuatan busuk seperti ini akan berlaku secara bersiri dan berepisod. Hanya pelakunya sahaja yang berbeza. Ini bermakna, sikap busuk ini ada bukan pada seorang manusia sahaja. Rupa-rupanya ia dimiliki oleh ramai orang dan terdiri daripada mereka yang memegang pelbagai kelas jawatan pula.

Saya yakin, rakan-rakan senasib yang lain juga mempunyai pengalaman masing-masing dalam mengharungi karenah yang ditimbulkan oleh golongan berpenglihatan yang dangkal ini. Adakalanya pengalaman yang kita lalui memang mengguris hati dan perasaan. Sudah menjadi kebiasaan bagi saya, bila saya mengalami situasi seperti di atas, saya akan membaca secara berulang kali surah Abasa dari ayat 1 hingga 4 (surah Abasa ialah surah ke-80 dalam juzuk ke-30). Berdasarkan pengalaman sendiri, dengan membaca ayat-ayat sebagaimana yang saya nyatakan tatkala berhadapan dengan golongan berpenglihatan yang dangkal ini, hati, emosi dan perasaan akan mudah tenang. Maklumlah, ketika orang lain mempersendakan kita, pada masa yang sama Allah tetap membela golongan yang tidak berpenglihatan. Demikianlah adilnya Ilahi.

Coretan ini saya suratkan berdasarkan pengalaman sendiri dan juga rungutan serta keluhan daripada rakan-rakan senasib yang lain.

1 comment:

syafawati said...

assalamualaikum cikgu. saya amat bersetuju dengan apa yang cikgu perkatakan dalam posting ini. kita yg buta ni memang selalu dipermainkan oleh orang celik. lau dlm bahasa yang lebih mudah lg, 'ditipu' oleh segelintir individu tertentu. tapi tak pe lah, setiap perbuatan, ada balasannya.