Petang semalam, pagi tadi dan juga petang ini, bumi Kuala Lumpur telah disirami hujan. Saya tidak pasti adakah hujan yang telah turun menyuluruh atau hanya terpencil di kawasan-kawasan tertentu sahaja. Maklumlah fenomena hujan turun meliputi kawasan kecil bukanlah sesuatu yang baru.
Saya yakin, bila hujan mula turun sejak petang semalam, ramai yang mula merasa lega. Ada juga yang menunjukkan kegembiraan yang tidak terhingga. Maklumlah penantian terhadap siraman hujan sudah mula menimbulkan keluh kesah kepada ramai. Masing-masing turut merasai saat-saat “penantian itu satu siksaan”.
Sebelum ini, berbulan lamanya bumi kita tidak disirami hujan. Keadaan kering kontang mula terasa. Catuan air di beberapa tempat mula dikuatkuasakan. Keadaan semakin genting bilamana keadaan berjerebu pula mula melanda. Ini tidak dikira lagi dengan misteri kehilangan MH370 yang sudah pun memasuki hari ke-9.
Akibatnya ia sudah mula mengganggu kehidupan kita seharian. Beberapa aktiviti luar mula dikurangkan. Sekolah tempat saya bertugas turut membatalkan kegiatan merentas desa yang sepatutnya dilaksanakan pada 15 Mac lalu. Pelbagai nasihat, panduan, ingatan, amaran serta arahan dikeluarkan oleh pelbagai agensi dan pihak berkuasa dalam menghadapi fenomena kering dan berjerebu ini.
Di samping itu, pelbagai usaha mula dilaksanakan oleh pihak-pihak tertentu dalam menghadapi situasi kering, kekurangan air dan berjerebu ini. Ada yang melakukan pembenihan awan. Ada yang melaksanakan catuan air. Ada juga yang melaksanakan solat sunat yang bersesuaian. Ada yang berdoa memohon kepada Tuhan agar situasi genting ini diakhiri.
Seperkara yang kita harus ingat, apa jua yang berlaku, semuanya merupakan ketentuan daripada Allah. Dia yang Maha Kuasa dalam mentadbir seluruh alam yang telah dijadikan-Nya. Setiap peristiwa yang dijadikantentunya ada sebab, ada hikmah dan ada mesej yang sepatutnya kita fahami. Sesungguhnya apa jua yang dijadikan dan ditakdirkan bukanlah secara sia-sia dan tanpa mesej. Sejauh mana kita memahami mesej di sebalik semua fenomena yang berlaku merupakan satu persoalan lain pula.
Kini hujan turun kembali. Bumi yang gersang dan seakan mati mula ceria dan bernyawa semula. Catuan air mungkin akan pulih seperti sediakala. Aktiviti luar akan berjalan semula seperti sebelumnya. Setelah berbulan-bulan tanpa hujan, kini penantian kita mungkin berakhir. Makhluk di bumi seperti kita akan beransur gembira kerana limpahan rahmat daripada-Nya.
Lazimhya kita akan mengaitkan apa sahaja fenomena yang berlaku hanya dengan faktor alamiah semata-mata. Cuaca panas dan kering disebabkan fenomena peralihan monsun. Fenomena panas dan kering bertukar kepada suhu lembap dan hujan kerana tiupan monsun itu dan ini. Hujan mula turun kerana kejayaan pembenihan awan. Suhu turun sejuk mendadak atau luar biasa merupakan fenomena biasa. Pendeknya, apa sahaja yang berlaku hanya ada kaitan dengan faktor alamiah semata-mata.
Di sini, saya bukan ingin menafikan faktor alamiah dan kaitannya dengan apa yang berlaku. Apa yang ingin saya tegaskan ialah faktor alamiah bukanlah penyebab utama dan satu-satunya sebab tentang terjadinya satu-satu fenomena. Faktor alamiah itu hnya sekadar penyebabnya sahaja. Pencetus dan penggerak kepada sesuatu faktor alamiah itu tentulah Dia yang menjadikan sekalian makhluk, Dia yang tiada awal dan tiada akhir dan Dia yang menjadikan kita semua sentiasa bersifat baharu.
Justeru, apalah salah nya jika kita sentiasa mengaitkan apa sahaja fenomena yang berlaku dengan faktor alamiah dan diakhiri pula kaitan dengan kekuasaan Dia. Apa yang seharusnya kita tegaskan dengan penuh yakin dan tanpa ragu dan tidak malu ialah, “Hujan yang turun merupakan kejayaan pembeinahan awan yang telah dilakukan dan dengan izin dari Tuhan jua”. Bukankah “kepercayaan kepada Tuhan” merupakan prinsip Rukunnegara kita yang pertama! Sekiranya kita hanya berkata “Hujan yang turun merupakan kejayaan pembeinahan awan yang telah dilakukan” tanpa mengaitkan dengan Dia, dikhuatiri iman kita terpesong kerana tidak mengakui kekuasaan Dia dan juga hanya mengaitkan sesuatu itu hanya dengan faktor alamiah sahaja (barang dijauhkan Allah daripadanya).
Mungkin sudah menjadi lumrah kita selaku insan akan keluh kesah bila ditimpa musibah, tetapi akan lupa dan mula bersifat derhaka kepada Dia bila dilimpahi dengan pelbagai nikmat dan kesenangan. Oleh itu, kita seharusnya benar-benar memahami mesej yang tersirat di sebalik mala petaka yang melanda. Dengan itu, barulah kita benar-benar menjiwai ungkapan “setiap kejadian itu ada hikmahnya”.
Di samping itu, kita juga boleh menyelami mesej yang tersirat di sebalik fenomena jerebu dan kemarau yang berlaku. Tujuannya agar kita lebih insaf iaitu ada ketikanya sesuatu mala petaka itu diturunkan adalah kerana dosa-dosa kita juga. Ia juga sebagai amaran khasnya kepada mereka yang mula alpa akan Allah. Jika selepas Allah membebaskan kita daripada bala pertama dan kita masih sombong dan enggan insaf, maka tunggulah bala kedua pula yang lazimnya akan berlaku dengan lebih dahsyat lagi. Hakikatnya sudah banyak peringatan dari Allah yang diturunkan kepada kita dalam pelbagai bentuk supaya kita beringat, malangnya kebanyakan kita masih sombong dan enggan beringat. Kebanyakan kita masih berleluasa melakukan perkara-perkara yang dimurkai Allah tanpa menghiraukan peringatan yang disampaikan. Secanggih mana pun teknologi yang ada, ia tidak mungkin berfungsi jika tiada keizinan daripada Allah.
Justeru, hentikanlah semua dosa yang sedang kita lakukan agar rahmat dan kasihan belas daripada Allah kembali semula kepada kita. Antara dosa dan kesalahan yang sering kita dan bangsa kita suka lakukan termasuklah fitnah-memfitnah, rasuah, bersekongkol dengan aktiviti maksiat, bersubahat, menzalimi orang yang alim dan adil dan sebagainya. Selain itu, kita juga suka bersubahat dengan kebatilan dan takut untuk memperkatakan sesuatu yang hak dan betul.
Kini apabila bumi kita mula dilimpahi hujan semula, marilah kita sama-sama membudayakan rasa kesyukuran dalam diri kita dan dalam masyarakat sekeliling kita. Kalau sebelum ini kita sibuk mengadakan solat sunat yang berkaitan untuk memohon hujan, kini setelah Allah mengkabulkan harapan dan permintaan kita, apalah salahnya kalau kita meraikan nikmat Allah dengan menzahirkan rasa syukur dalam pelbagai bentuk yang diredhai-Nya. Setidak-tidaknya, sebagai seorang ketua, kita boleh mengingatkan anak-anak buah di bawah kita supaya jangan lupa untuk bersyukur kepada Allah dengan nikmat dan rahmat yang dikuniakan. Selain itu, kita juga boleh mencadangkan kepada anak-anak buah kita supaya mengerjakan sujud syukur. Di samping itu, seseorang ketua itu juga boleh mencadangkan kepada anak-anak buahnya supaya memperbanyakkan lagi ibadah sunat secara istiqamah (berterusan) dan tidak hanya dilakukan secara bermusim sahaja. Lazimnya, apa yang disuruh dan dilakukan oleh seseorang ketua akan jadi ikutan pula kepada sekalian anak buahnya. Jika sebelum ini kita sudah melaksanakan pelbagai solat sunat secara berjemaah, kini setelah hujan turun kembali apalah salahnya kalau kita anjurkan pula sujud syukur secara berjemaah pula sebagai tanda kesyukuran! Sujud syukur jika dibuat tidak sampai pun 3 minit.
Ingatlah Allah pernah menjanjikan, “jika kamu bersyukur, maka Aku akan tambah lagi nikmatku untukmu, dan jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat pedih” (Surah Ibrahim, ayat 7). Pada tempat yang lain pula, Allah ada menjanjikan yang antara lain mafhumnya, “Dan sekiranya penduduk di sesebuah negeri itu beriman dan bertakwa, pasti Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi ternyata mereka mendustakan ayat-ayat Kami maka Kami siksa mereka sesuai dengan apa yang telah mereka kerjakan“ (Surah Al-Aaraf ayat 96).
Saya bukannya orang alim. Sekadar melontarkan pandangan sahaja untuk diri sendiri dan juga buat renungan kita bersama.