Tuesday, March 25, 2014

Antara Faktor Kemenangan PKR Di Dun Kajang



Sebagaimana yang semua telah maklum, pada 23 Mac (Ahad), pilihanraya kecil DUN Kajang telah berlangsung. Keputusan pilihanraya kecil berkenaan menunjukkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berjaya mengekalkan penguasaan PKR di DUN tersebut. Beliau berjaya meraih 16,741 undi. Manakala calon Barisan Nasional (BN) pula, Datin Paduka Chu Mei Fun telah memperoleh 11,362 undi. Datuk Seri Dr. Wan Azizah telah menang dengan majoriti 5,379 undi.



Secara keseluruhannya, peratus pengundi yang telah membuang undi di DUN Kajang dalam pilihanraya kecil kali ini telah turun dengan agak ketara. Dalam pilihanraya umum ke-13 lalu, peratus pengundi yang telah membuang undi adalah sekitar 88%. Manakala dalam pilihanraya kecil kali ini, sekitar 72% pengundi sahaja yang telah turun untuk menunaikan tanggungjawab demokrasi masing-masing. Justeru, tidak hairanlah jika undi yang diperoleh turut sama turun.

Satu keunikan pilihanraya kecil kali ini ialah banyak pihak sejak dari awal-awal lagi telah menjangkakan PKR akan dapat mengekalkan penguasaan mereka untuk kerusi DUN Kajang. Walaupun ada perubahan calon di saat-saat akhir, namun ia sama sekali tidak mengubah rentak sokongan para pengundi kepada PKR. Bahkan, berdasarkan pandangan golongan bahawan dalam BN sendiri, mereka turut mengutarakan pendapat yang serupa. Bagi mereka, PKR tiada masalah untuk mengekalkan penguasaan mereka ke atas kerusi DUN Kajang. Oleh itu, sebagaimana yang pernah saya tegaskan, keputusan pilihanraya kecil DUN Kajang hanya sekadar mengekalkan statusquo yang ada. Ia lebih merupakan kesinambungan perjalanan sistem demokrasi di negara kita. Ia tidak membawa sebarang perubahan sama ada kepada kerajaan negeri, kedudukan pembangkang di DUN Selangor ataupun kepada kekuatan dan kelemahan mana-mana pihak.

Bagi saya, golongan tertentu dalam BN juga sudah maklum iaitu bukan mudah untuk merampas semula kerusi DUN Kajang. Apatah lagi calon yang mewakili PKR dalam pilihanraya kecil kali ini bukannya calang-calang orang. Datuk Seri Wan Azizah sudah dua penggal lebih sedikit bertakhta di kerusi parlimen Permatang Pauh. Ia merupakan satu pengalaman yang cukup berharga dalam menghadapi pilihanraya kecil seperti ini. Selain itu, Dr. Wan Azizah juga merupakan presiden PKR. Sudah tentulah kedudukannya turut memberikan kelebihan kepada beliau terutamanya dalam kalangan pengundi sendiri. Dua persamaan di antara Dr. Wan Azizah dengan Datin Paduka Chu ialah kedua-duanya bukan merupakan pengundi di DUN Kajang. Kedua-duanya juga merupakan calon wanita.

Terdapat beberapa faktor yang telah membolehkan PKR mengekalkan penguasan mereka di DUN Kajang. Faktor paling penting ialah sokongan daripada pengundi kerusi di DUN berkenaan terhadap PKR sangat mantap. Bahkan pertambahan sokongan pengundi Melayu di dua kawasan turut menyerlahkan lagi faktor kemenangan Dr. Wan Azizah. Dengan kata lain, secara umumnya sokongan para pengundi DUN Kajang terhadap PKR tiada bezanya sewaktu pilihanraya umum ke-13 dengan pilihanraya kecil pada 23 Mac yang lalu. Kesetiaan pengundi Kajang masih kukuh dan utuh terhadap PKR.

Keputusan mahkamah rayuan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Mac lalu turut memberi kesan kepada kemenangan PKR di DUN Kajang. Kesan kepada keputusan berkenaan telah menimbulkan rasa simpati kepada keluarga Datuk Seri Anwar khususnya daripada golongan pengundi atas pagar. Mereka mungkin tidak boleh mempertikaikan keputusan mahkamah, tetapi pada masa yang sama, undi simpati mereka juga tidak boleh dipertikaikan.

Pada pandangan saya juga, BN telah tersalah meletakkan calon di Kajang. Oleh kerana calon PKR merupakan seorang Melayu yang bukan calang-calang orang, maka sepatutnya BN juga turut meletakkan calon Melayu yang mempunyai kewibawaan yang setara dengan calon PKR di situ. Kesan kepada tersalah meletakkan calon, maka para pengundi Melayu telah memberikan undi mereka kepada calon PKR. Sepatutnya BN mesti mengutamakan calon yang boleh menang dan bukannya kerusi itu parti komponen mana yang punya. Ke mana perginya ungkapan winnable candidate?

Tragedi MH370 turut memberi kesan kepada kekalahan calon BN. Kebetulan pula tragedi ini berlaku sekitar dua minggu sebelum berlangsungnya pilihanraya kecil berkenaan. Tragedi ini pula turut membawa kepada penglibatan antarabangsa bagi tujuan mengesan lokasi sebenar kehilangan kapal terbang berkenaan. Ini menyebabkan pimpinan tertinggi BN khususnya perdana menteri sendiri tidak mempunyai masa untuk turut sama terlibat secara langsung dalam pilihanraya kecil di Kajang. Perdana menteri semestinya harus memberikan sepenuh tumpuan kepada tragedi yang sedang menimpa. Tanpa keterlibatan dan kelibat perdana menteri selaku presiden BN secara langsung di Kajang, ia setidak-tidaknya telah mengurangkan semangat dan moral jentera BN dalam pilihanraya berkenaan.

Di samping itu, terdengar juga desas-desus kononnya ada cubaan untuk mengaitkan pilot MH370 dengan salah sebuah parti politik yang terlibat dengan pilihanraya kecil di Kajang. Cubaan kaitan sebegini merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab. Ia hanya merupakan spekulasi semata-mata. Kalau kita tidak suka dengan spekulasi, kita sepatutnya tidak membuat spekulasi pula. Spekulasi liar ini sekurang-kurangnya telah menambah undi simpati terutamanya daripada pengundi atas pagar terhadap calon PKR.

Di samping itu, pilihanraya kecil Kajang tidak mempunyai sebarang signifikan khususnya kepada kedudukan kerajaan negeri Selangor yang sedia ada. Sama ada pilihanraya kecil berkenaan dimenangi oleh BN ataupun PKR, kestabilan kerajaan negeri yang sedia ada secara umumnya tidak akan tergugat. Dalam situasi sebegini, maka ada kemungkinan wujudnya tendensi lebih tinggi bagi pengundi (khususnya pengundi atas pagar) untuk memberikan undi mereka kepada PKR. Situasi ini berbeza dengan pilihanraya kecil pertama selepas pilihanraya umum di Besut pada tahun lalu. Ketika itu, jika calon PAS menang ia mungkin boleh memberi kesan kepada kerajaan Terengganu yang sedia ada waktu itu.

Walaupun pilihanraya kecil Kajang telah berlalu, walaupun calon PKR dapat mengekalkan penguasaan parti berkenaan di Kajang, tetapi ia tidak bermakna permasalahan dalaman parti tersebut khususnya di Selangor sudah selesai. Rancangan asalnya ialah untuk meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon di Kajang. Namun demikian, berikutan daripada keputusan mahkamah rayuan pada 7 Mac lalu, maka pencalonan Datuk Seri Anwar terpaksa digantikan dengan isterinya Datuk Seri Wan Azizah. Perhatian kini tertumpu kepada keupayaan dan kewibawaan Datuk Seri Dr. Wan Azizah untuk menyelesaikan permasalahan politik PKR di Selangor pula.



Di samping itu, walaupun PKR berjaya mengekalkan kerusinya di Kajang, persoalan sama ada Tan Sri Khalid Ibrahim akan terus kekal sebagai menteri besar Selangor turut akan menjadi tumpuan. Jika jawatan menteri besar berasaskan kepada hierarki seseorang tokoh dalam parti, maka Tan Sri Khalid Ibrahim dan Mohd Azmin Ali sudah tidak layak lagi untuk menjadi menteri besar. Ini kerana presiden PKR sudah pun ada dalam DUN Selangor. Walau bagaimanapun, ada tiga persoalan lagi yang perlu dirungkai. Pertamanya, adakah PKR khususnya di Selangor akan tersetuju untuk terus mengekalkan Tan Sri Khalid sebagai menteri besar Selangor. Keduanya, bolehkah seorang wanita menjawat jawatan menteri besar mengikut perlembagaan negeri Selangor. Ketiga, sejauh mana pula ke bawah duli tuanku sultan Selangor akan memberi perkenan baginda terhadap seseorang lain yang akan dicalonkan selaku menteri besar Selangor selepas ini.

Selepas ini, tumpuan pilihanraya kecil akan tertumpu di Balingian pula. BN dan PKR akan sekali lagi berentap di sana bagi menguji maruah parti masing-masing. Jika Kajang berpihak kepada PKR, ada kemungkinan Balingian akan berpihak kepada parti lawan pula. Balingian bukan sembarangan kerusi kerana ia tinggalan daripada bekas ketua menteri Sarawak sebelum ini.

Saya bukannya ahli politik. Saya juga tidak terlibat dengan politik. Saya sekadar mengutarakan pengetahuan dan pandangan saya tentang politik.


No comments: