Friday, March 28, 2014

Selepas Pilihanraya Kecil DUN Kajang



Pilihanraya kecil DUN Kajang telah menyaksikan kemenangan penuh bergaya calon PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, dalam mengenepikan calon BN Datin Paduka Chu Mei Fun. Walaupun majoriti yang diperoleh berkurangan, tetapi ia harus juga mengambil kira penurunan peratus pengundi yang telah menunaikan tanggungjawab mereka sehingga 16%. Nasib baiklah juga yang menang adalah PKR. Kalau pihak lain yang menang, agaknya perayaan meraikan kemenangan mungkin akan diadakan selama 40 hari dan 40 malam?

Dari satu sudut, kemenangan PKR di DUN Kajang bukanlah suatu kemenangan yang bersifat luar jangkaan. Pelbagai pihak sedari awal lagi sememangnya telah menjangkakan kemenangan untuk calon PKR. Walaupun berlaku pertukaran calon di saat-saat akhir, namun ia sama sekali tidak menukar rentak sokongan padu pengundi di Kajang ke atas calon PKR. Oleh kerana yang menang merupakan calon favourite, maka tiadalah sesuatu yang mengejutkan dalam keputusan pilihanraya kecil berkenaan. Apatah lagi bilamana kemenangan tersebut lebih kepada sekadar mengekalkan statusquo yang ada. Tiada sebarang perubahan yang berlaku pada komposisi mana-mana parti politik dalam DUN Selangor. Sebaliknya kejutan sebenar akan berlaku jika calon BN yang menang dalam pilihanraya kecil berkenaan.



Walaupun PKR berjaya mengekalkan kedudukannya di kerusi DUN Kajang, Tetapi ia tidaklah bermakna ia secara mutlak telah menyelesaikan segala permasalahan yang timbul sebelum ini sehingga membawa kepada pilihanraya kecil berkenaan. Sudah menjadi pengetahuan umum, hubungan di antara menteri besar Selangor sekarang, Tan Sri Khalid Ibrahim dengan timbalan presiden PKR, Mohd Azmin Ali, berada dalam keadaan yang tidak selesa. Mengikut pelan asal, tujuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dicalonkan untuk bertanding di DUN Kajang adalah untuk memainkan peranan lebih berkesan dalam menjernihkan keadaan keruh yang ada. Maka tersebarlah khabar kononnya Datuk Seri Anwar akan mengambil alih jawatan menteri besar selepas menang di Kajang kelak. Ia telah dinafikan oleh sumber PKR sendiri. Namun begitu, teori umum tetap kuat mengatakan hanya apabila Datuk Seri Anwar menjawat jawatan menteri besar kelak, baru ia dapat menjernihkan semula kegawatan politik PKR di Selangor. Ini kerana kedua-dua pihak yang sedang bertelagah masih menghormati ketokohan Datuk Seri Anwar.

Namun demikian, ekoran daripada keputusan mahkamah pada 7 Mac lalu, pelan asal yang telah dirancang rapi terpaksa diubah. Kini tumpuan terhala pula kepada kemampuan serta keberkesanan Datuk Seri Dr. Wan Azizah untuk berperanan dalam menjernihkan situasi politik PKR di Selangor selaku ADUN. Ketokohan dan kewibawaan Datuk Seri Dr. Wan Azizah mungkin tidak dapat menyaingi ketokohan dan kewibawaan Datuk Seri Anwar. Selama ini pun, umum berpandangan ketokohan dan kewibawaan Datuk Seri Dr. Wan Azizah sering dibayangi oleh ketokohan dan kewibawaan Datuk Seri Anwar. Justeru, harapan untuk melihat politik PKR Selangor kembali jernih masih lagi tidak secerah sebagaimana yang diharapkan. Walau bagaimanapun, peluang yang secukupnya harus juga disandarkan kepada Datuk Seri Dr. Wan Azizah. Beliau juga merupakan tokoh yang berpengalaman dalam politik. Mungkin beliau sudah ada pelan dan strategi tersendiri ke arah menjernihkan semula situasi yang sedia ada di Selangor.

Perkara seterusnya yang perlu diselesaikan ialah mengenai jawatan menteri besar Selangor. Sebelum ini ada khabar yang mengatakan selepas pilihanraya kecil Kajang, ada tokoh lain yang akan mengambil alih jawatan menteri besar daripada Tan Sri Khalid. Ia merupakan sebahagian daripada pelan untuk menjernihkan situasi politik PKR di Selangor. Dari satu sudut, sekiranya Tan Sri Khalid terus kekal selaku menteri besar, maka pilihanraya kecil Kajang tidak sepatutnya diadakan kerana pilihanraya kecil tersebut tidak mempunyai sebarang signifikan terhadap kedudukan kerusi ketua eksekutif kerajaan Selangor. Sekiranya jawatan menteri besar harus diberikan kepada tokoh lain yang sudah sedia ada dalam DUN Selangor, maka pilihanraya kecil Kajang juga tidak sepatutnya diadakan kerana tokoh yang bakal menggantikan Tan Sri Khalid sudah pun ada dalam DUN Selangor. Sekiranya Datuk Seri Dr. Wan Azizah yang telah menang dalam pilihanraya kecil baru-baru ini tidak mempunyai sebarang peranan dalam kerajaan dan pentadbiran Selangor selaku ADUN, maka pilihanraya kecil Kajang juga adalah sia-sia sahaja. Kalau sekadar untuk menjernihkan keadaan semata-mata, ia boleh dilaksanakan di luar DUN.



Dalam soal pelantikan menteri besar di Selangor atau di negeri-negeri yang serupa dengannya, satu perkara yang harus kita sama-sama tidak lupa ialah perkenan daripada ke bawah duli tuanku sultan. Apa yang pernah berlaku di Terengganu dan Perlis selepas pilihanraya umum ke-12 pada tahun 2008 harus sama-sama diteladani dan disempadani. Komposisi parti politik dalam DUN Selangor lebih kompleks bilamana tiada satu parti pun yang mempunyai ADUN sehingga kepada kedudukan majoriti mudah. Dalam situasi sebegini, sudah tentulah peranan ke bawah duli tuanku sultan Selangor lebih besar. Baginda berkuasa untuk melantik mana-mana tokoh di DUN Selangor yang diyakini baginda mendapat sokongan sebahagian besar ADUN yang lain selaku menteri besar. Dalam hal ini, PKR tidak boleh sewenangnya menunjuk sifulan tertentu sebagai menteri besar yang baru tanpa mendapat sokongan daripada ADUN lain dan tanpa perkenan daripada ke bawah duli tuanku sultan. Apatah lagi bilangan ADUN PKR lebih kecil jika dibandingkan dengan ADUN PAS dan DAP. Dalam situasi sebegi PKR sebenarnya tidak mempunyai kedudukan yang benar-benar mantap dan kuat untuk “melawan arus”.

Bagi saya, apa yang boleh dilakukan setakat ini ialah Mohd Azmin harus redha dengan situasi yang ada kerana Tan Sri Khalid telah pun mendapat sokongan sebahagian besar daripada ADUN Selangor serta telah beroleh perkenan daripada ke bawah duli tuanku sultan Selangor selaku menteri besar sebelum ini. Satu lagi jalan penyelesaian yang ada ialah Tan Sri Khalid boleh berundur secara sukarela dengan memberi laluan kepada Mohd Azmin selaku menteri besar. Lagipun dalam hierarki PKR peringkat kebangsaan, kedudukan Mohd Azmin lebih tinggi daripada Tan Sri Khalid Ibrahim. Jika salah satu pihak enggan mengalah dan tidak mahu berkorban, maka selagi itulah politik PKR di Selangor akan terus keruh dan bergolak. Kelak yang rugi nanti ialah negeri dan rakyat Selangor juga. Maklumlah gajah sama gajah berjuang, pelanduk di tengah yang akan menjadi mangsanya.



Seperkara lagi yang menarik perhatian kita semua ialah dakwaan kemenangan di Kajang akan membuka laluan ke Putrajaya. Sebelum ini, pelbagai pelan telah diutarakan khususnya oleh PKR untuk menuju ke Putrajaya. Tentu kita masih ingat dakwaan bahawa pada 16 September 2008, penghuni Putrajaya akan berubah wajah. Wajah perdana menteri pula akan berubah tokoh. Kononnya ia akan terlaksana bilamana sekitar 30 orang ahli parlimen BN khususnya dari Sabah dan Sarawak akan berpaling tadah dengan memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat. Dakwaan sedemikian turut meresahkan tokoh-tokoh tertentu dalam BN sehingga ada yang pernah mencadangkan agar undang-undang anti lompat parti dibentangkan di parlimen.

Akhirnya 16 September 2008 berlalu dengan aman dan tenang. Penghuni Putrajaya tidak berubah wajah. Semua barisan kabinet yang sedia ada tidak bertukar ganti sebagaimana yang diwar-warkan sebelumnya. Tiada lompat parti berlaku khususnya daripada ahli-ahli parlimen yang disasarkan. Sebaliknya kerajaan Pakatan Rakyat di Perak pula yang tumbang 5 bulan kemudiannya. Agaknya inilah dibidalkan oleh orang tua-tua kita, yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran.



Justeru, dakwaan bahawa kemenangan di Kajang akan membuka laluan ke Putrajaya, atau langkah ke Putrajaya akan bermula dari Selangor, bagi saya hanya sekadar retorik politik semata-mata. Mengapa mesti bermula di Selangor? Mengapa tidak harus bermula dari Pulau Pinang atau Kelantan? Walhal dari sudut kestabilan kerajaan, kedua-dua negeri tersebut mempunyai rekod kestabilan yang lebih baik. Kalau langkah ke putrajaya bermula di Selangor hanya kerana Putrajaya terletak di sebelah Selangor, ia langsung tidak boleh dijadikan sandaran. Bagaimana langkah ke Putrajaya akan bermula di Selangor, sedangkan tokoh-tokoh PKR di Selangor sendiri masih tidak seiya dan tidak sekata!

Justeru, para penganalisis dan pemerhati politik akan memerhati kepentingan dan keberkesanan kemenangan PKR dalam pilihanraya kecil Kajang terhadap kestabilan PKR khususnya di Selangor. Ia juga akan menjadi kayu ukur sejauh mana benarnya pelan untuk ke Putrajaya akan bermula dari Selangor. Buat masa ini, kerajaan negeri Selangor masih stabil dan utuh. Ini kerana jumlah ADUN yang menjadi tunjang kepada pembentukan kerajaan negeri yang sedia ada masih ramai dan padu. Sebab itulah juga, walaupun politik PKR di Selangor dilanda kemelut, lawan-lawan politik kerajaan negeri masih tidak mempunyai ruang untuk menggugat kestabilan kerajaan negeri yang sedia ada.

Saya sekadar memerhati dari jauh sahaja.


No comments: