Satu lagi blog yang saya kira sangat penting khususnya kepada
golongan cacat penglihatan telah muncul di dunia maya. Blog yang saya
maksudkan ialah blog yang telah dihasilkan oleh Unit Kurikulum Khas
Masalah Penglihatan, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian
Pelajaran Malaysia.
Secara umumnya, melalui blog ini kita akan dapat maklumat dan
pengetahuan mengenai pelbagai perkara yang berkaitan dengan
penggubalan dan pelaksanaan kurikulum khas untuk murid-murid cacat
penglihatan. Kita juga akan dapat maklumat berkenaan perkembangan
terkini mengenai usaha unit berkenaan dalam memastikan agar
murid-murid cacat penglihatan khasnya tidak akan terpinggir dari
kurikulum arus perdana. Namun begitu, oleh kerana kecacatan yang ada
pada murid-murid cacat penglihatan, maka perubahan yang perlu dan
minimum terhadap kurikulum yang bakal dilaksanakan merupakan sesuatu
yang tidak dapat dielakkan. Dengan itu, saya kira, menerusi blog ini
juga kita akan memperolehi maklumat sejauh manakah perubahan telah
dilakukan demi memenuhi tuntutan penyesuaian yang diperlukan.
Di samping itu, saya kira, melalui ruangan komentar, kita selaku
pembaca dan pengunjung blog berkenaan sudah tentulah mempunyai ruang
dan peluang untuk melontarkan pelbagai komen, buah fikiran dan idea
bernas lagi bermanfaat demi memantapkan lagi pelaksanaan kurikulum
untuk murid-murid cacat penglihatan. Dengan ini, satu bentuk
komunikasi dua hala secara tidak langsung akan terbentuk antara unit
berkenaan dengan masyarakat luar. Perkara ini sangat penting kerana
hanya segelintir kecil sahaja orang yang berkesempatan untuk
menghadiri pelbagai mesyuarat anjuran Unit Kurikulum Khas Masalah
penglihatan tersebut. Dengan ini, masyarakat luar sudah terbuka untuk
ikut serta dalam perkembangan dan seterusnya mengemukakan pelbagai
pendapat, kritikan membina dan pandangan demi memantapkan lagi
generasi golongan cacat penglihatan.
Nampaknya dalam dunia maya ini semuanya sudah semakin terbuka.
Harap-harap minda kita juga akan lebih terbuka untuk memberi dan
menerima kritikan membina.
Dengan itu, saya ingin mengucapkan selamat datang ke dunia maya
kepada blog Kurikulum Khas Penglihatan, Unit Kurikulum Khas Masalah
penglihatan, Bahagian pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran
Malaysia. Kepada para pengunjung, blog tersebut boleh diakses melalui
alamat www.kurikulumkhas.blogspot.com
Kepada pengunjung blog ini, anda hanya perlu klik (tekan entar untuk
pengguna cacat penglihatan) pada Kurikulum Khas Penglihatan dalam
Laman Sesawang Pilihan.
Selamat berjaya.
No comments:
Post a Comment