Saturday, September 19, 2009

Bicara Ramadhan

Penghujung Ramadhan

Sedar tak sedar, kita sudah pun berada di penghujung bulan Ramadhan.
Adalah dikhabarkan, 10 hari terakhir bulan Ramadhan merupakan
hari-hari yang sangat diberkati Allah. Adalah dikhabarkan juga,
menurut jumhur para ulamak, pada waktu sebeginilah Allah mengurniakan
apa yang dipanggil Malam Alqadr kepada umat Nabi Muhammad S.A.W.
Sesiapa yang dapat malam tersebut, maka ibadat yang dilakukannya pada
malam tersebut lebih baik daripada jika dia beribadat selama seribu
bulan. Sejauh mana "lebih baiknya" itu hanya Allah sahaja yang maha
mengetahuinya.

Seperti mana yang kita semua telah pun ketahui, bulan Ramadhan
merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan. Segala ibadat yang kita
lakukan akan digandakan Allah akan ganjarannya. Setiap doa pula akan
diangkat oleh Allah. Kita amat digalakkan untuk menghidupkan setiap
malam dari malam-malam Ramadhan dengan apa jua cara dan bentuk ibadat
yang sesuai dan termampu oleh kita. Sesungguhnya bulan Ramadhan
mengandungi terlalu banyak nikmat dan rahmat Allah padanya yang tidak
mampu untuk kita menghitungnya. Demikianlah Rahman dan Rahim Allah
kepada makhluk-Nya. Sebab itulah juga Nabi Muhammad S.A.W. pernah
bersabda yang antara lain mafhumnya: "Jika kamu ketahui kebaikan yang
ada pada bulan Ramadhan, nescaya kamu akan memintanya untuk sepanjang
tahun". Namun demikian, oleh kerana sebilangan kita yang jahil
mengenai semuanya itu, maka Ramadhan dibiarkannya berlalu dengan
sia-sia.

Bersempena dengan bulan Ramadhan juga, Allah membuka seluas-luasnya
pintu-pintu syurga dan menutup serapat-rapatnya pintu-pintu neraka.
Para syaitan pula telah dirantai dengan seketat-ketatnya. Demikianlah
melimpah-ruahnya nikmat dan rahmat Allah kepada kita semua. Namun
begitu, masih ada tangan-tangan manusia durjana yang cuba menutup
semula pintu-pintu syurga yang telah terbuka itu, dan cuba membuka
kembali pintu-pintu neraka yang telah ditutup itu.

Amat rugilah bagi mereka yang mensia-siakan kedatangan bulan Ramadhan
dengan tidak mempertingkatkan ibadat kita kepada Allah. Sangat
rugilah juga bagi mereka yang hanya membiarkan Ramadhan berlalu tanpa
berusaha untuk meningkatkan tahap keimanan dan ketakwaan kita kepada
Allah. Bahkan sungguh merugikan bilamana setelah berlalunya Ramadhan,
kita kembali semula mengamalkan perangai dan fiil buruk yang telah
menjadi darah daging kita sebelum ketibaan Ramadhan.

Turut akan rugi ialah para peniaga yang menjual barangan yang rosak,
busuk, basi, buruk, kurang timbangan, sudah luput tarikh dan
sebagainya di dalam bulan Ramadhan. Sepatutnya dalam bulan mulia
inilah golongan berkenaan harus mempamerkan sikap dan sifat peniaga
yang terbaik dan terpuji sebagaimana yang pernah dilakukan oleh
baginda Rasulullah tatkala baginda berniaga. Ternyata sikap dan sifat
peniaga yang baik pasti akan beroleh 2 keuntungan besar, iaitu untung
berniaga dan diberkati Allah.

Satu lagi golongan yang menempah kerugian dalam bulan Ramadhan ialah
golongan yang suka membazir. Golongan tersebut akan membazir ketika
membuat persiapan untuk berbuka dan juga akan membazir ketika membuat
persiapan untuk menyambut hari raya. Walhal Allah dengan jelas telah
memaklumkan kepada kita bahawa orang yang suka membazir adalah saudara
kepada syaitan. Firman Allah yang antara lain mafhumnya:
"Sesungguhnya golongan yang suka membazir adalah saudara kepada
syaitan. Sesungguhnya syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhan-Nya"
(ayat 27, surah Al-Isra', juzuk 15).

Sesungguhnya, di hari-hari terakhir Ramadhan, para malaikat, para
mukminin dan solihin akan menangis kerana akan berpisah dengan
Ramadhan. Perpisahan ini pula tidak disertai dengan janji untuk
bertemu semula pada Ramadhan yang akan datang. Golongan tersebut akan
sentiasa merindui akan ketibaan bulan Ramadhan.

Kita hanya mampu berdoa supaya dipertemukan lagi dengan Ramadhan yang
akan datang. Walau bagaimanapun, Allah yang maha berkuasa lagi maha
mengentahui akan menentukan sama ada kita berpeluang atau tidak untuk
ketemu lagi dengan Ramadhan yang berikutnya. Sudah banyak contoh
berlaku di hadapan kita di mana pada Ramadhan yang lalu, saudara kita,
sahabat handai kita, rakan sekerja kita, orang kenamaan tertentu,
orang ternama, ahli politik dan sebagainya di mana mereka tidak lagi
berkesempatan untuk menyambut Ramadhan kali ini lantaran telah
dijemput Ilahi. Hal yang sama boleh terjadi kepada kita pada Ramadhan
akan datang. Demikianlah ketentuan dan janji Allah yang mustahil
untuk kita mengenepikannya.

Akhir sekali, saya suka mengingatkan kepada diri sendiri dan juga
kepada yang tidak alah dengan peringatan agar tidak lupa menunaikan
zakat fitrah untuk diri kita dan juga untuk mereka yang di bawah
tanggungan kita. Mengikut satu hadith yang pernah saya dengar, barang
siapa yang tidak menunaikan zakat fitrah maka ibadah puasanya akan
tergantung di antara langit dan bumi.

Saya bukannya pandai, sekadar berkongsi apa yang saya masih belum
pandai, supaya dapat ditegur oleh mereka yang lebih pandai.

1 comment:

Unknown said...

Assalamu'alaikum, saudara Blogger dan rakan-rakan sekalian.

Terima kasih, juga tahniah di atas perkongsian ilmu ini. Walau saudara bukan seorang "Ustadz", itu tidak menjadi masalah jika ilmu itu benar lagi sahih. Sememangnya, setiap kita, umat Muhammad ini, patut saling ingat-mengingatkan ke arah taqwa, bukan galak-menggalak ke arah lain.

Rasanya, Ramadhan tahun ini begitu cepat berakhir. Terasa juga amalan tidak sehebat mana. Justeru, bersamalah kita berdoa agar kita dipertemukan lagi dengan Ramadhan akan datang. Dengan itu juga, marilah kita bersama bermuhasabah sebagaimana saranan saudara agar puasa dan segala ibadat istimewa yang kita kerjakan pada bulan ini benar-benar berkesan mendidik jiwa kita yang sering tak ketentuan dalam menjunjung perintah-Nya dan/atau menjauhi larangan-Nya. Di sinlah nanti keseimbangan akal akan diuji sama ada ikut hawa nafsu atau memimpin hawa nafsu. In sekaligus jadi faktor penentu kesempurnaan tarbiyah yang telah kita jalani. Yang penting, jika masih tak berubah, bukan salah modul pendidikan itu, tetapi, ia akibat kejahilan bin kedegilan sendiri.

Terima kasih.