Thursday, September 3, 2009

Bicara Umum

Bolehkah OKU Penglihatan Berkomunikasi Dengan OKU Pendengaran?

Sudah beberapa kali saya ditanya, bolehkah orang cacat penglihatan
berkomunikasi dengan orang yang cacat pendengaran? Pertanyaan
sedemikian datangnya dari pelbagai jenis manusia. Kebanyakan yang
bertanya ialah mereka yang berpenglihatan. Ada juga segelintir mereka
yang tidak berpenglihatan turut mengajukan soalan yang sama. Ada pula
yang sudah membuat andaian terlebih dahulu sebelum bertanya. Saya
sendiri pernah mendengar ada yang berkata, antara sibuta dengan
sipekak, mereka terpisah oleh dunia mereka yang tersendiri.

Seharusnya, sebelum kita membuat pelbagai andaian dan persepsi,
seperkara yang kita perlu ingat sungguh-sungguh ialah Allah Yang Maha
Adil lagi Maha Bijaksana itu tidak menjadikan sesuatu itu dengan
sia-sia. Ini selaras dengan apa yang difirmankan Allah yang antara
lain mafhumnya: "Tuhan kami, tidaklah Engkau menjadikan sesuatu itu
dengan sia-sia, maha suci Engkau, maka peliharalah kami daripada
neraka" (ayat 191, Ali Imran, juzuk 4).

Kira-kira sekitar tahun 1986 lalu, sekumpulan pelajar cacat
pendengaran pernah ditempatkan secara sementara di Blok B, Sekolah
Menengah Pendidikan Khas, Setapak, Kuala Lumpur. Penempatan pelajar
berkenaan secara sementara di SMPK Setapak kerana menunggu sekolah
Vokasional untuk murid cacat pendengaran di Shah Alam siap. Saya
masih ingat lagi, mereka tinggal di tingkat atas sekali blok
berkenaan. Mereka juga turut belajar di situ. Mereka juga turut
berkongsi bilik air dengan pelajar cacat penglihatan. Selain itu,
pelajar cacat pendengaran juga turut makan dan solat bersama-sama
dengan pelajar yang cacat penglihatan, termasuklah dengan saya. Waktu
itu, saya masih bersekolah menengah di St. John's Institution, Kuala
Lumpur, tetapi tinggal di asrama di SMPK Setapak. Kehadiran pelajar
cacat pendengaran di SMPK Setapak agak lama, kalau tak silap saya
sekitar setahun lamanya. Beberapa orang guru khas untuk pelajar cacat
pendengaran juga turut ditempatkan dan tinggal bersama-sama pelajar
cacat pendengaran.

Antara perkara pelik tetapi menarik bagi saya ialah pelajar cacat
pendengaran tersebut membaca buku. Bagi saya, bila mereka membaca
buku, bermakna mereka kenal dengan huruf A – Z. Dengan erti kata
lain, mereka turut mengeja, ada perkataan, ada ayat dan tentunya faham
karangan. Sebab itu mereka boleh baca buku. Demikian apa yang saya
fikirkan waktu itu.

Ada juga dalam kalangan pelajar cacat pendengaran berkenaan yang
masih bersuara tetapi butir perkataannya tidaklah begitu jelas.
Kemudian, seorang guru perempuan untuk pelajar cacat pendengaran
memberitahu saya, ada juga di antara pelajarnya yang masih boleh
mendengar tetapi tahap pendengarannya tidaklah sebaik mana. Ini
bermakna, tidak semua mereka yang cacat pendengaran itu pekak
sepenuhnya. Agaknya sama seperti golongan cacat penglihatan juga,
bukan semua yang buta sepenuhnya. Ada juga yang separuh buta (rabun).
Begitulah agaknya.

Salah seorang guru untuk pelajar cacat pendengaran waktu itu ada
memberitahu saya, kalau abjad A – Z, ia juga boleh dijelmakan melalui
isyarat tangan. Maka terfikirlah oleh saya, ini merupakan satu
peluang untuk saya berkomunikasi secara terus dengan rakan-rakan yang
berlainan kecacatan. Saya mula berjinak-jinak dengan seorang dua
pelajar cacat pendengaran yang masih bersuara. Mereka boleh menyebut
A – Z. Walaupun sebutan mereka tidaklah begitu jelas tetapi saya
masih boleh memahaminya. Antara rakan-rakan saya tersebut termasuklah
yang bernama Yusuf dan Tan Lee Wun.

Mula-mula, saya belajar isyarat untuk A hingga Z. Setelah saya
mahir, saya mula mengeja pula. Mereka boleh faham perkataan-perkataan
yang saya eja dengan kod isyarat yang telah saya belajar. Sudah tentu
saya seronok. Sedikit masalah timbul ialah apabila rakan saya yang
cacat pendengaran itu menggunakan bahasa/kod isyarat. Saya tak boleh
melihat apa yang mereka isyaratkan. Akhirnya timbul ilham, mengapa
tidak saya sentuh/raba sahaja bentuk isyarat yang sedang mereka
tunjukkan? Rakan-rakan saya yang cacat pendengaran itu tiada masalah
apabila saya menyentuh/meraba bentuk isyarat yang mereka sedang
tunjukkan. Dengan cara itu, saya pun dapat tahu bentuk dan maksud
isyarat yang sedang ditunjukkan oleh rakan-rakan saya itu. Dengan
itu, bermulalah komunikasi secara langsung antara sibuta dengan
sipekak. Oleh kerana saya perlu menyentuh bentuk isyarat yang
ditunjukkan oleh rakan saya yang cacat pendengaran, maka komunikasi
yang berlaku agak perlahan. Namun begitu, saya cukup seronok kerana
dapat bercakap secara terus dengan rakan-rakan yang berbeza kecacatan
yang mana pada manusia lain ia mungkin mustahil untuk dilakukan.

Setelah saya mahir dengan kod isyarat huruf, Rakan-rakan saya yang
cacat pendengaran mula mengajar saya bahasa isyarat khusus pula. Ini
termasuklah isyarat untuk makan, jalan, tidur, solat, mandi, mati,
gila dan sebagainya. Oleh kerana seronok sangat, maka banyak juga kod
bahasa isyarat yang saya tahu. Komunikasi antara kami yang tidak
berpenglihatan dan tidak berpendengaran telah dapat dilaksanakan
secara langsung tanpa perlu orang ketiga lagi. Sesungguhnya, antara
sipekak dengan sibuta sebenarnya tidak berada dalam dunia yang
berasingan, sebaliknya kami berada dalam dunia yang sama.

Selain saya, beberapa orang rakan yang cacat penglihatan turut
belajar bahasa isyarat dan boleh berkomunikasi secara terus dengan
rakan-rakan yang cacat pendengaran. Adakalanya, kami yang sesama
cacat penglihatan pun guna bahasa isyarat juga.

Sepanjang saya berkawan baik dengan rakan-rakan yang cacat
pendengaran, ada beberapa perkara yang saya dapat timba daripada
mereka. Rakan-rakan cacat pendengaran mempunyai naluri tertentu yang
dikurniakan Allah. Selain itu, mereka juga merupakan sahabat yang
sangat baik. Mereka rajin berbual, kadangkala sampai letih juga
tangan saya dibuatnya. Saya masih ingat lagi, suatu ketika keluarga
Yusuf datang dan memberikannya wang entah berapa puluh ringgit. Yusuf
pula memberi saya RM20 mungkin sebagai tanda persahabatan. Saya tidak
tergamak untuk mengambilnya. Setelah dia beriya benar ingin memberi,
akhirnya saya ambil juga RM10. Selain itu, saya dapati
perbendaharaankata rakan-rakan saya yang cacat pendengaran agak
kurang. Bila saya eja dengan isyarat perkataan "Cina", mereka boleh
faham. Tetapi bila saya eja dengan isyarat perkataan "Tionghua",
mereka tidak faham.

Setelah sekolah vokasional untuk pelajar cacat pendengaran di Shah
Alam siap, maka rakan-rakan saya yang cacat pendengaran itu pun
berpindahlah ke sana. Semenjak itulah, pengetahuan dan kemahiran saya
dalam bahasa isyarat semakin pupus. Hari ini, tak sebutir pun kod
isyarat yang pernah saya belajar suatu ketika dahulu yang dapat saya
ingat.

Walau bagaimanapun, melalui pengalaman yang pernah saya lalui, antara
sibuta dengan sipekak tiada batas pemisah. Hanya kerana segelintir
kita yang tidak kreatif dan tidak inovatif, maka tembok pemisah itu
bukan sahaja gagal dipecahkan, bahkan semakin menebal pula. Ada
bahagian/agensi kerajaan tertentu yang sepatutnya menjadi peneraju
dalam hal ini, masih tetap kaku dan beku tanpa idea baru. Justeru
tidak hairanlah bilamana ada pegawainya yang berpendapat antara orang
buta dengan orang pekak tidak ada cara untuk berhubung secara terus.

Sesungguhnya kuasa Allah itu Maha Luas, tidak terbatas dan tiada terduga.

2 comments:

puterimualim said...

Pelik memang pelik!!!
Tapi sebenarnya akal manusia terbatas dan tidak dapat mengetahui sesuatu diluar jangkaannya. Janganlah berfikir secara logik akal sahaja. Bahkan Saidina Ali karamallahuwajhahu pernah berkata "jika dikira logik akal, nescaya manusia akan membasuh kasut, tapaknya."
Maksudnya : orang yang membasuh kasut yang kotor sepatut yang dibasuh adalah tapak kasut, kerana ia yang memijak setiap benda, tetapi apa yang berlaku sebaliknya, orang membasuh kasut bahagian atas sahaja.
Kita mesti berfikir berpandukan wahyu Allah.
Katakanlah (wahai Muhammad); “Aku tidak mengatakan kepada kamu (bahawa) perbendaharaan Allah ada di sisiku, dan aku pula tidak mengetahui perkara-perkara yang ghaib; aku juga tidak mengatakan kepada kamu bahawasanya aku ini malaikat, aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku”. Bertanyalah (kepada mereka): “Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik? Tidakkah kamu mahu berfikir?”(al-Anaam:50)
Dan Dia lah yang Berkuasa atas sekalian hambaNya (dangan tadbir dan takdir); dan Dia lah Yang Maha Bijaksana serta Amat Mendalam PengetahuanNya.(al-'Araf:18)
Allah jualah yang menguasai alam langit dan bumi serta segala yang ada padanya; dan Dia lah jua yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.(al-Maidah:120)

khairul said...

Salam...

salah satu cara komunikasi berkesan untuk interaksi buta-pekak ialah 'augmentative com' saya pernah membuat perincian berkenaan dengan cara komunikasi ini. ha... menjadi memang betul kalau nak tau bleh baca dalam 'jounal of visual impairment and blindness' dan juga 'journal of augmentative and communication'

cara berkomunikasi ni unik tapi belum ada lagi program di malaysia yang menggunakannya secara serius. di US baru saja 10 tahun dikenalkan. untuk sampai ke sini mungkin lagi beberapa dekad kot!