Tuesday, September 29, 2009

Bicara Untuk Basri

Basri: Antara Semalam Dan Hari Ini

Basri (atau nama sebenarnya Beseri bin Ahmad) merupakan antara rakan
saya yang baik sejak dari kecil lagi. Beliau lebih tua dari saya
beberapa tahun. Kami mengenali antara satu sama lain sejak di sekolah
rendah lagi iaitu di Princess Elizabeth School, di Johor Baru. Basri
seorang periang, mudah tertawa, berketurunan jawa dan berasal dari
Pahang.

Satu bakat besar kurniaan Allah kepada Basri ialah kepandaiannya
bermain alat muzik, terutamanya gitar. Beliau juga mempunyai suara
yang merdu bila menyanyi. Bakat ini memang terserlah kepadanya sejak
dari kecil lagi. Antara Basri dan Gitar umpama lagu dan irama.
Kepandaiannya bermain gitar memang sudah dikenali, dihormati dan
dikagumi pula oleh ramai rakan. Walaupun dari segi pelajaran beliau
tidaklah begitu menyerlah, tetapi bakatnya dalam permainan alat muzik
turut unggul dan membesar, seiring dengan kesuburan tubuh badannya.

Sejak dari sekolah rendah lagi, Basri merupakan anggota kumpulan
pancaragam peringkat sekolah. Oleh kerana pada ketika itu pancaragam
dari Sekolah Princess Elizabeth sering mendapat undangan dari pelbagai
pihak untuk mengadakan persembahan, maka bakat yang ada pada Basri
seringkali tidak ketinggalan diserlahkan demi memantapkan persembahan
kumpulan pancaragam berkenaan. Boleh dikatakan, sesiapa yang
menganggotai kumpulan pancaragam sekolah, mereka adalah anak emas
kerana bukan sahaja disayangi oleh sesetengah guru, bahkan selalu
sahaja mendapat peluang menghadiri ke pelbagai majlis untuk mengadakan
persembahan di luar sekolah. Dalam konteks ini, Basri sudah tentulah
tidak ketinggalan.

Apabila Basri ke sekolah menengah, beliau telah berpindah dan
bersekolah di Sekolah Menengah Pendidikan Khas, Setapak di Kuala
Lumpur. Bakat beliau dalam bidang muzik semakin terserlah. Bakat
yang dikurniakan kepadanya terus digunakan bagi mengharumkan nama
sekolah. Seperti sewaktu di sekolah rendah, tatkala di sekolah
menengah Basri turut menganggotai kumpulan pancaragam sekolah dan
sering mengadakan persembahan di luar sekolah bila ada undangan.

Sekitar tahun 1979, Basri telah belajar bermain gambus dengan
Allahyarham En. Mohd Fadhil Ahmad, seorang pemain gambus yang tidak
asing lagi di negara kita. Allahyarham En. Mohd Fadhil begitu memuji
dan mengkagumi bakat muzik yang ada pada Basri. Bayangkan hanya dalam
tempoh 5 hari Basri telah dapat menguasai permainan gambus dengan
baik, sesuatu yang mengkagumkan terutama bagi Allahyarham En. Mohd
Fadhil. Demikianlah besarnya bakat muzik yang dikurniakan kepada
Basri.

Pada hujung dekad 70-an, Persatuan Pelajar Islam SMPK Setapak telah
menubuhkan badan kesenian. Melalui badan ini, kumpulan nasyid telah
ditubuhkan. Pada tahun 1980, dengan persetujuan dan sokongan daripada
pihak sekolah, kumpulan nasyid berkenaan telah menyertai satu
pertandingan nasyid. Saya tidak ingat penganjurnya, tapi ia turut
melibatkan Radio Televisyen Malaysia (RTM). Saya masih ingat,
pertandingan akhir telah disiarkan secara langsung melalui radio dan
televisyen. Kemuncak kepada pertandingan tersebut ialah apabila
kumpulan nasyid dari SMPK Setapak telah muncul juara peringkat
kebangsaan. Perlu dnyatakan bahawa pertandingan nasyid tersebut bukan
dalam kategori sekolah-sekolah, atau sekolah-sekolah khas, tetapi ia
merupakan pertandingan nasyid peringkat kebangsaan yang melibatkan
kumpulan-kumpulan yang mewakili setiap negeri. Kumpulan nasyid SMPK
Setapak merupakan satu-satunya kumpulan yang dianggotai oleh mereka
yang cacat (cacat penglihatan). Salah seorang anggota kumpulan nasyid
berkenaan ialah Basri. Ketika itu beliau bertindak selaku pemain
gambus.

Setelah kumpulan nasyid SMPK Setapak muncul juara, maka nama sekolah
turut melonjak. Lonjakannya tak ubah umpama melonjaknya saham utama
di pasaran saham terkemuka dunia. Sejak itu, persembahan kumpulan
nasyid SMPK Setapak sering keluar di corong radio. Kumpulan nasyid
itu juga sering mendapat undangan untuk membuat persembahan di
pelbagai majlis dan tempat. Sekali lagi, Basri tentunya tidak
ketinggalan. Basri turut menyumbangkan suaranya yang merdu itu.
Demikianlah Basri ketika itu. Bakatnya begitu gah disanjung. Nama
sekolah kian harum, seharum bakat yang ada pada Basri.

Namun begitu, Basri tidak seperti sesetengah orang yang akan lupa
diri bila sudah ada nama. Basri tetap suka merendah diri. Beliau
tidak sombong. Gurau dan tawanya bersama-sama rakan dan teman tetap
seperti biasa.

Pada pemerhatian saya, nama Basri mula meluntur sedikit demi sedikit
setelah beliau meninggalkan bangku sekolah. Walaupun bakat muziknya
tetap subur, tetapi oleh kerana tiada ruang dan peluang yang sesuai,
maka bakat yang ada padanya seakan terbuang begitu sahaja. Apatah
lagi bakatnya tidak disertai dengan sijil yang bersesuaian. Pada
ketika itu, dan sampai kini pun, bakat muzik dan menyanyi murid-murid
cacat penglihatan hanya digunakan untuk mengharumkan nama sekolah
semata-mata. Kerana itu, sampai kini pun tiada kurikulum muzik diajar
kepada murid-murid yang berbakat besar seperti Basri. Justeru,
apabila Basri telah meninggalkan sekolah, beliau gagal memanfaatkan
bakat bermain alat muzik yang dikurniakan padanya untuk periuk nasinya
sendiri secara yang lebih profesional. Oleh kerana tiada pilihan,
Basri akhirnya terpaksa memanfaatkan bakat besar dalam bidang muzik
yang ada padanya hanya selaku pemuzik jalanan. Mungkin, kalau bakat
yang ada pada beliau disertai dengan sijil yang berkaitan, saya rasa
beliau akan mampu memanfaatkan bakatnya dengan cara yang lebih
profesional.

Selepas Basri dan saya meninggalkan bangku sekolah, hubungan kami
mula renggang. Ini kerana mungkin masing-masing dengan haluan
masing-masing. Sekali-sekala saya terdengar juga berita mengenai
Basri. Itu pun dari kejauhan sahaja. Memang sudah agak lama kami
tidak bertemu.

Tengah hari semalam, sekitar jam 2.00 petang, tatkala saya menyemak
email, saya terperanjat dengan satu email mengenai keadaan terkini
Basri yang saya terima daripada Saudara Zahari Hasyim. Terima kasih
Along! Berikut adalah kandungan email Saudara Zahari kepada saya:

"
Rakan-rakan dan para sahabat sekalian.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dia low profile orangnya. Tapi punya satu keistimewaan bakat yang tak
ramai orang lain ada. Masa di sekolah dulu, dialah pemain gambus
untuk kumpulan nasyid SMPK Setapak yang tersohor sekitar hujung 70-an
dan awal 80-an tu. Tapi dia lebih dikenali dan dikagumi dengan
kemahirannya bermain gitar bass. Itulah Basri bin Ahmad.

Sejak 15 tahun sudah, dia mengidap penyakit kencing manis. Tahun
lalu, ibu jari kaki kirinya telah terpaksa dipotong demi untuk
menyelamatkan dari kuman merebak ke bahagian tubunnya yang lain. Kini
sudah tiga minggu dia terlantar di Pusat Perubatan Universiti Malaya
dan sedang menunggu untuk menjalani pembedahan lagi. Kali ini,
sebelah kakinya akan dipotong. Menurut cerita isteri dia, lebih
kurang 10 cm dari bawah lutut terpaksa dipotong. Pembedahan tu dah
beberapa kali ditunda. Sepatutnya hari ini (Sabtu, 26/9/2009) akan
dilakukan pembedahan tu tapi ditunda lagi atas sebab-sebab tertentu.

Sejak dia di hospital, dia sangat-sangat mengharapkan kawan dan rakan
menziarahnya. Saya pun baru dapat tahu berita ni. Jadi, sesiapa yang
ada kelapangan, elok benarlah kalau dapat menziarah rakan kita ni.
Dia kini di menara utama, Tingkat 9U, Bahagian Orthopaedic.

Dia kerap dijemput sebagai pemuzik iringan dalam pertandingan talent
time yang sering diadakan. Kita memberi tepukan gemuruh steiap kali
dia dan rakan-rakannya membuat persembahan. Tak kanlah nak biarkan
dia sendirian dalam kesunyian di wad hospital tu menghadapi
detik-detik yang sungguh mencabar ni?

Dia memiliki darah jenis O. Siapa-siapa yang mempunyai darah yang
sama jenis bolehlah menderma juga.

Sama-samalah kita mendoakan yang terbaik untuknya.

Untuk perkembangan terkini, bolehlah hubungi Basri di talian
tangannya: 016 204 9255. Atau isterinya di talian: 03 9222 5288.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, isteri dia pun mengidap penyakit
buah pinggang yang agak kronik menyebabkan agak susah untuk dia keluar
mencari rezeki bagi menampung perbelanjaan seharian. Anak mereka kini
akan menduduki peperiksaan STPM pada bulan November ni. Mereka
sangat-sangat mengharapkan sumbangan ikhlas dalam bentuk wang.
Panjang-panjangkanlah emel ini kepada seramai mungkin agar sedikit
sebanyak sahabat kita ini dan keluarganya tidak dilupakan dalam
detik-detik yang sungguh mencabar ini. Mungkin pihak Pertis atau
Persatuan Alumni SMPK Setapak boleh fikirkan program tertentu bagi
membantu rakan kita ini.

Salam dari kejauhan

Along Zahari
"

Sebak dan pilu juga hati saya bila membaca email dari Saudara Zahari.
Saya pernah melihat Basri disanjung menggunung. Kini saya juga
menyaksikan bagaimana beliau terpinggir dan tersisih. Kalau dahulu
Basri menghiburkan orang lain, hari ini Basri sendirian menanggung
sepi. Tiada siapa yang sudi untuk menghiburkannya kali ini. Dahulu
Basri pernah mengharumkan nama pihak lain melalui bakatnya. Kini
Basri hanya terkurung dalam nasibnya sendiri. Jasa Basri sekadar
tersimpan dalam lipatan silam. Demikianlah Basri mengharungi
liku-liku nasibnya.

Setelah mencuba beberapa kali, akhirnya malam semalam saya dapat
menghubungi beliau. Basri memberitahu saya, beliau masuk hospital
sejak 9 September lagi. Basri berhari raya di hospital. Bila saya
bertanya, ada atau tidak rakan-rakan yang menziarahi beliau? Beliau
menjawab pendek, "Tidak ada". Katanya lagi, hanya Rahim Kunzumia
sahaja yang menziarahi beliau setakat ini. Sebelum saya menghantar
posting ini, sekali lagi saya hubungi Basri. Di samping bertanya
khabar, saya juga cuba mendapatkan kepastian mengenai kononnya sebelah
kakinya akan dipotong. Basri menjawab, setakat ini belum lagi. Saya
akan cuba menghubungi Basri sekerap mungkin sekiranya ia tidak
mengganggu beliau. Setidak-tidaknya saya dapat memecah kesunyian dan
kesepian yang sedang membelenggu beliau.
Biar apa pun nasibnya, Basri kena sabar dan tabah, kerana hanya itulah
sahaja yang ada padanya.

1 comment:

puterimualim said...

Berapa ramailah agaknya oku penglihatan yang senasib dengan Basri ni. Sepatutnya pihak kementerian pelajaran /jpk/sekolah ambil iktibar atas apa yang berlaku. Saya bersetuju benar dengan pendapat besiwaja, sepatutnya Kalau nak tolong oku penglihatan bukan dengan cara gahkan mereka dan eksplotasikan mereka sebagai pemuzik jemputan di semasa di sekolah aje, tapi pihak kementerian/jpk/sekolah kena fikirkan macaman nak jadikan mereka pemuzik profesional, yang bersijil, apa salahnya jika diwujudkan kurikulum muzik macam sekolah biasa. Sekurang-kurangnya mereka yang berbakat dapat pergi lebih jauh lagi bukan setakat pemuzik jalanan. Ini masa di sekolah disanjung, naikkan nama sekolah, cikgu-cikgu yang terlibat dapat nama dan anugerah tapi akhirnya anak murid keluar dari sekolah tanpa sebarang pengiktirafan, yang ada hanya pengekspolitasian dan kesengsaraan aje. Kesiaannnn.... Bilalah nasib mereka nak dibela. Fikirkanlah mana-mana pihak yang terlibat dalam pendidikan khas oku penglihatan. Belalah nasib mereka.