Pada Selasa lalu, entah macam mana, secara tidak disengajakan, saya
terdelete satu fail yang juga merupakan system file pada laptop saya.
Kesannya, laptop saya tidak dapat berfungsi kembali selepas saya
menutupnya. Lebih malang lagi, hal tersebut hanya saya sedar bilamana
laptop saya tidak dapat berfungsi kembali seperti biasa.
Bila keadaan sedemikian terjadi, saya mula rasa dunia gelap kembali.
Maklumlah, sebarang kerja pun tak mungkin dapat saya laksanakan dengan
lebih sempurna tanpa komputer. Itulah dunia saya. Saya agak bernasib
baik kerana semua kerja saya lakukan dalam thumb drive. Jadi, dari
segi kehilangan data, saya tidak mengalaminya.
Akhirnya, tengahari itu juga selepas tamat persekolahan, saya telah
membawa laptop ke sebuah kedai komputer yang biasa saya langgan.
Menurut juruteknik di kedai tersebut, satu-satunya cara yang ada ialah
dengan format semula. Walaupun saya keberatan, akhirnya saya terpaksa
akur juga. Saya minta supaya ia dapat disiapkan hari itu juga.
Mungkin saya merupakan pelanggan kerap kedai tersebut, maka mereka
tidak keberatan. Selepas waktu berbuka dan solat maghrib, saya telah
dapat mengambil laptop saya semula. Namun demikian, proses pemulihan
masih belum selesai. Malam itu juga saya telah ke rumah seorang rakan
baik untuk membolehkan beliau install perisian screen reader pula.
Itupun masih belum selesai juga kerana masih ada lagi beberapa
perisian lain yang perlu saya install semula.
Alhamdulillah, akhirnya tengah hari semalam barulah laptop saya
selesai dipulihkan hampir sepenuhnya. Rasanya barulah boleh bernafas
kembali.
Di sini saya tidak lupa untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada
semua kawan-kawan yang sudi menghulurkan pertolongan, atau yang dengan
ikhlas menawarkan pertolongan kepada saya. Terima kasih tidak
terhingga saya ucapkan kepada En. Silaturahim Dahaman yang telah
membantu saya dalam memulihkan perisian screen reader. Saya nak
"hulur" pun beliau tak mahu terima. Saya juga ingin mengucapkan
berbanyak-banyak terima kasih kepada Saudara Muhammad Adam Lee, Tuan
Haji Muhammad Lee Abdullah serta kepada En. Rizal Hussein. Keikhlasan
anda mematangkan saya mengenai erti persahabatan.
Inilah antara kesan gara-gara belajar komputer secara try and error.
Memang selama ini pun saya belajar komputer adalah secara try and
error. Kalau nak harapkan Bahagian pendidikan Khas yang anjurkan atau
taja kursus untuk guru-guru cacat penglihatan untuk meningkatkan
kemahiran komputer dan ICT, ia tak ubah umpama jauh panggang dari api
atau menanti buah yang tak gugur. Kali terakhir Bahagian Pendidikan
Khas menganjurkan kursus untuk meningkatkan kemahiran ICT kepada
guru-guru cacat penglihatan ialah pada 9 – 12 Mei, 2005. Selepas itu
tiada lagi kursus yang seumpama itu dianjurkan. Yang ada ialah kursus
bagaimana mengajar penggunaan komputer kepada murid-murid cacat
penglihatan. Itupun diadakan sekali setelah berselang entah berapa
musim.
Jadi, satu-satunya cara yang ada jika golongan cacat penglihatan
(terutamanya para guru) ingin meningkatkan kemahiran dalam bidang ICT
ialah melalui kaedah Try And Error. Kaedah itulah yang telah saya
lalui sejak sekian lama. Jika perlu, saya akan bertanya kepada
beberapa rakan yang saya kira mempunyai kemahiran dan tidak kedekut
ilmu. Alhamdulillah, setakat ini tiada yang bersifat sedemikian. Ada
kalanya pula, saya terpaksa membayar sendiri jika saya ingin mengikuti
kursus-kursus ICT yang dianjurkan oleh NGO tertentu.
Bukan semua orang berpenglihatan berupaya mengajar mereka yang tidak
berpenglihatan mengenai komputer dan ICT. Ini kerana kaedah dan cara
pengendalian komputer yang berbeza antara kedua-dua kumpulan manusia
tadi. Bagi pengguna berpenglihatan, mereka banyak bergantung kepada
mouse; klik sana, klik sini, kerja selesai. Pengguna komputer yang
tidak berpenglihatan pula sama sekali tidak menggunakan mouse. Jadi
kami tidak klik sana dan klik sini. Kami sangat bergantung kepada
penggunaan papan kekunci sepenuhnya. Selain itu, pengguna komputer
cacat penglihatan juga harus mahir dengan perisian screen reader yang
digunakan. Screen reader pula ada beberapa jenama. Jaws antara yang
popular. Walau bagaimanapun, ada kalanya, versi Jaws yang berbeza
akan menyebabkan penggunaan kaedah yang berbeza walaupun untuk membaca
bahan yang sama, terutamanya yang melibatkan grafik, jadual dan
internet. Biar apa pun rintangan dan halangan, bagi saya, tiada cara
lain untuk golongan cacat penglihatan akses kepada gerbang maklumat
dan melaksanakan tugasan dengan lebih sempurna selain menerusi
kemahiran dalam bidang ICT. Oleh kerana setakat ini, tiada pihak pun
yang sudi menganjurkan atau menaja kursus kemahiran dan peningkatan
ICT terutamanya kepada guru-guru cacat penglihatan, maka kaedah Try
And Error merupakan cara terbaik. Yang pentingnya jangan mudah
gelabah, harus kenal pasti rakan/kawan yang ada kemahiran yang
diperlukan dan tidak kedekut ilmu, mesti ada sedikit keberanian untuk
menanggung risiko, Insha-Allah, kalau tak banyak, sedikit ilmu pasti
kita dapat juga. Satu lagi, kita jangan malu untuk belajar dengan
mereka yang memang mahir dengan komputer dan ICT walaupun taraf
akademik mereka mungkin tidak setara dengan kita. Satu lagi yang juga
saya kira penting ialah, kita sendiri jangan sombong, jangan berlagak
dan jangan juga meninggi diri. Insha-Allah jika kita dalam kesusahan
dan kesukaran ramai yang akan sudi dan tampil membantu. Bukanlah saya
ingin mengatakan saya orang baik! Saya juga memberi peringatan kepada
diri sendiri.
Terima kasih semua.
No comments:
Post a Comment