Thursday, September 10, 2009

Bicara Dari Mastika

Apa yang bakal saya paparkan ini merupakan sebuah tulisan yang bagi
saya sangat menyentuh hati. Saya sendiri membacanya lebih dari
sekali. Di sini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada
pihak Mastika amnya, dan En. Nazirol khasnya kerana telah memberi
keizinan kepada saya untuk menerbitkan semula tulisan ini di dalam
blog saya. Bersempena dengan bulan Ramadhan yang sedang kita lalui
dan Syawal yang akan menjelang tiba, mudah-mudahan tulisan yang
dipaparkan ini akan memberi keinsafan kepada kita semua. Selamat
membaca.

Lapan kali ibuku berbohong

Memang sukar untuk orang lain percaya, tapi itulah yang berlaku. Ibu
saya memang seorang pembohong! Sepanjang ingatan saya,
sekurang-kurangnya 8 kali ibu membohongi saya. Saya perlu catatkan
segala pembohongan itu untuk menjadi renungan anda semua.

Cerita ini bermula ketika saya masih kecil. Saya lahir sebagai
seorang anak lelaki dalam sebuah keluarga yang miskin. Makan minum
serba kekurangan. Kami sering kelaparan. Ada kalanya selama beberapa
hari kami terpaksa makan berlaukkan seekor ikan masin dikongsi 1
keluarga.

Sebagai anak yang masih kecil, saya sering saja merungut. Saya
menangis mahukan nasi dan lauk yang banyak. Tapi mak cepat memujuk.
Ketika makan, mak sering memberikan bahagian nasinya untuk saya.
Sambil memindahkan nasi ke mangkuk saya, mak berkata: "Makanlah nak,
mak tak lapar."- PEMBOHONGAN IBU YANG PERTAMA.

Ketika saya mulai besar, mak yang gigih sering meluangkan waktu
senggangnya untuk pergi memancing di tali air berhampiran rumah. Mak
berharap dari ikan hasil pancingan itu dapat memberikan sedikit
makanan untuk pembesaran kami adik-beradik.

Pulang memancing, mak memasak gulai ikan yang segar dan mengundang
selera. Sewaktu saya memakan gulai ikan itu, mak duduk di samping kami
dan memakan sisa daging ikan yang menempel di tulang daripada bekas
sisa ikan yang saya makan tadi.

Saya sedih melihat mak seperti itu. Hati saya tersentuh, lalu dengan
menggunakan sudu, saya memberikan ikan itu kepada mak. Tetapi mak
dengan cepat menolaknya. Mak berkata: "Makanlah nak, mak tak suka
makan ikan." - PEMBOHONGAN IBU YANG KEDUA.

Di usia awal remaja, saya masuk sekolah menengah. Mak pergi ke kedai
dengan membawa sejumlah penyapu lidi dan kuih-muih untuk menyara
persekolahan saya, abang dan kakak.

Suatu dinihari, lebih kurang 1.30 pagi, saya terjaga dari tidur. Saya
melihat mak sedang membuat kuih bertemankan sebuah pelita di
hadapannya. Beberapa kali saya lihat kepala mak terhangguk kerana
terlalu mengantuk. Saya berkata: "Mak, tidurlah, esok pagi mak kena
pergi kebun pula." Mak tersenyum dan berkata: "Cepatlah tidur nak, mak
belum mengantuk lagi." - PEMBOHONGAN IBU YANG KETIGA.

Di hujung musim persekolahan, mak meminta cuti kerja supaya dapat
menemani saya pergi ke sekolah untuk menduduki peperiksaan penting.
Ketika hari sudah siang, terik panas matahari mulai menyinari, mak
terus sabar menunggu saya di luar dewan. Mak sering kali saja
tersenyum dan mulutnya terkumat-kamit berdoa kepada Ilahi agar saya
lulus ujian peperiksaan ini dengan cemerlang.

Ketika lonceng berbunyi menandakan ujian sudah selesai, mak dengan
segera menyambut saya dan menuangkan kopi yang sudah disiapkan dalam
botol yang dibawanya. Kopi yang kental itu tidak dapat dibandingkan
dengan kasih sayang mak yang jauh lebih kental.

Melihat tubuh mak yang dibasahi peluh, saya segera memberikan cawan
sy itu untuk mak dan menyuruhnya minum. Tapi mak cepat-cepat
menolaknya dan berkata: "Minumlah nak, mak tak haus." - PEMBOHONGAN
IBU YANG KEEMPAT.

Setelah pemergian ayah kerana sakit, iaitu selepas saya baru beberapa
bulan dilahirkan, maklah yang mengambil tugas sebagai ayah kepada kami
sekeluarga. Mak bekerja mengambil upah di kebun, membuat penyapu lidi
dan berjual kuih-muih agar kami tidak kelaparan.

Tapi apalah sangat kudrat seorang ibu. Kehidupan keluarga kami
semakin susah dan susah. Melihat keadaan keluarga yang semakin parah,
seorang pakcik yang baik hati dan tinggal berjiran dengan kami, datang
membantu mak. Anehnya, mak menolak bantuan itu.

Jiran-jiran sering menasihati mak supaya menikah lagi agar ada
seorang lelaki yang akan menjaga mak dan mencarikan wang untuk kami
sekeluarga. Tetapi mak yang memang keras hatinya tidak mengendahkan
nasihat mereka. Mak berkata: "Saya tidak perlukan cinta, saya tidak
perlukan lelaki." - PEMBOHONGAN IBU YANG KELIMA.

Setelah kakak dan abang habis belajar dan mulai bekerja, mak sudah
pun tua. Kakak dan abang menyuruh mak supaya berehat saja di rumah.
Tidak payahlah lagi bersusah payah dan bersengkang mata untuk mencari
duit. Tetapi mak tidak mahu. Mak rela pergi pasar setiap pagi menjual
sedikit sayur untuk memenuhi keperluan hidupnya.

Kakak dan abang yang bekerja jauh di kota besar sering mengirimkan
wang untuk membantu memenuhi keperluan mak, pun begitu mak tetap
berkeras tidak mahu menerima wang tersebut. Malahan mak mengirim balik
wang itu, dan mak berkata: "Jangan susah-susah, mak ada duit." -
PEMBOHONGAN IBU YANG KEENAM.

Setelah tamat pengajian di universiti, saya melanjutkan pelajaran ke
peringkat sarjana di luar negara. Pengajian saya di sana dibiayai
sepenuhnya oleh sebuah syarikat besar. Sarjana itu saya sudahi dengan
cemerlang, kemudian saya pun bekerja dengan syarikat yang telah
membiayai pengajian saya, juga di luar negara.

Dengan gaji yang agak lumayan, saya berhajat membawa mak untuk
menikmati penghujung hidupnya di luar negara. Pada pandangan saya, mak
sudah puas bersusah payah untuk kami. Hampir seluruh hidupnya habis
dengan penderitaan, eloklah kalau hari-hari tuanya ini mak habiskan
dengan keceriaan dan keindahan pula.

Tetapi ibu yang baik hati, menolak ajakan saya. Mak tidak mahu
menyusahkan anaknya ini dengan berkata: "Tak payahlah, mak tak biasa
tinggal di negara orang." - PEMBOHONGAN IBU YANG KETUJUH.

Beberapa tahun berlalu, mak semakin tua. Suatu malam saya menerima
berita mak diserang penyakit kanser. Mak mesti dibedah secepat
mungkin. Saya menjenguk ibunda tercinta.

Saya melihat mak terbaring lemah di katil hospital setelah menjalani
pembedahan. Mak yang kelihatan sangat tua, menatap wajah sy dengan
penuh kerinduan. Mak menghadiahkan sy sebuah senyuman biarpun agak
kaku kerana terpaksa menahan sakit yang menjalari setiap inci
tubuhnya. Sy dapat melihat dengan jelas betapa penyakit itu telah
memamah tubuh ibu sehingga mak menjadi terlalu lemah dan kurus.

Saya menatap wajah mak sambil berlinangan air mata. Saya cium tangan
mak, kemudian sy kucup pula pipi dan dahinya. Di saat itu hati sy
terlalu pedih, sakit sekali melihat mak dalam keadaan seperti ini.
Tetapi mak tetap tersenyum dan berkata-kata: "Jangan menangis nak, mak
tak sakit." - PEMBOHONGAN IBU YANG KELAPAN.

Setelah mengucapkan pembohongan yang kelapan itu, ibunda tercinta
menutup matanya untuk terakhir kali.

Anda bertuah kerana masih mempunyai ibu dan ayah. Anda boleh memeluk
dan menciumnya. Kalau ibu anda jauh dari mata, anda boleh menelefonnya
sekarang, dan berkata: "MAK, SAYA SAYANGKAN MAK." Tapi tidak saya.
Sehingga kini saya diburu rasa bersalah yang amat sangat kerana
biarpun mengasihi ibu lebih dari segala-galanya, tapi tidak pernah
sekalipun sy membisikkan kata-kata itu ke telinga ibu, sampailah saat
mak menghembuskan nafasnya yang terakhir. Ibu, maafkan saya. SAYA
SAYANGKAN MAK...

Renungkan...
Hayatilah dan Fikirlah....sebelum terlambat.
(Dipetik daripada, Mastika, Disember, 2006).

1 comment:

puterimualim said...

Ya Allah! Ya Tuhanku! Ampunilah dosa kami dan dosa kedua ibu bapa kami, dan kasihilah serta rahmatilah mereka seperti mana mereka mengasihi dan menjaga kami sewaktu kami kecil.
ربنا ءاتنا في الدنيا حسنة
و في الاخرة حسنة وقنا عذاب النار