Saturday, September 26, 2009

Menungan Tengah Hari

Kisah Pak Andak Anuar

Pada hari raya yang keempat, salah sebuah rumah yang sempat saya
sekeluarga kunjungi ialah rumah Mak Andak Saadiah dan suaminya Pak
Andak Anuar yang terletak di Tangkak. Mak Andak Saadiah ialah sepupu
ibu saya yang sekaligus merupakan ibu saudara juga kepada saya.
Rumahnya besar, tapi terlupa hendak ambil foto. Turut sama dalam
kunjungan raya itu ialah ibu saya.

Dalam kunjungan tersebut, saya sebenarnya amat tertarik dengan apa
yang diceritakan oleh Pak Andak Anuar. Bagi saya, sebenarnya ia lebih
merupakan luahan daripada cerita. Luahan yang perlu kita renungkan
kalau kita punya kesudian.

Usia Pak Andak Anuar saya rasa sekitar 60-an atau 70-an. Beliau
sebenarnya seorang cacat pendengaran tetapi bukan dari asal. Katanya,
beliau mula hilang pendengarannya sejak sekitar 20 tahun lalu. Beliau
pernah berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Beliau
tidak pula menyatakan dengan jelas sebab-musabab pendengarannya boleh
hilang. Beliau hanya memberitahu saya, pada masa ini beliau tidak
dapat mendengar langsung walaupun menggunakan alat bantuan
pendengaran.

Walaupun Pak Andak Anuar tidak lagi boleh mendengar, tetapi
percakapannya masih jelas. Beliau juga masih mampu mengawal volume
suaranya. Bila beliau bercakap, suaranya tidaklah terlalu perlahan
atau terlalu kuat, sederhana sahaja bunyinya. Kata Pak Andak Anuar
lagi, beliau amat bergantung kepada gerak bibir seseorang untuk
memahami butir cerita yang diperkatakan. Itupun kalau orang berkenaan
bercakap tidak laju. Kalau bercakap laju, kata Pak Andak Anuar,
beliau tidak dapat menangkap butir ceritanya.

Pak Andak Anuar meneruskan luahannya, katanya, kalau ada tetamu
datang, yang banyak melayan dan bercakap dengan para tetamu tersebut
ialah Mak Andak Saadiah. Bukan beliau tidak mahu melayan tetamu,
tetapi maklumlah ada halangan yang membataskan kelancaran komunikasi
mereka. Walau bagaimanapun, beliau tetap suka dan gembira dengan
kehadiran para tetamu yang datang.

Kata Pak Andak Anuar lagi, Kalau beliau ke rumah orang pula, beliau
akan ikut sahaja apa yang orang lain buat. Bila orang lain duduk,
beliau akan turut sama duduk. Kalau orang lain makan, beliau akan
makan juga. Kalau orang berdiri untuk berselawat, beliau turut akan
melakukan hal yang sama, tetapi beliau akan berselawat ikut apa yang
beliau tahu, bukan berselawat sebagaimana selawat yang sedang
dialunkan oleh para hadirin. Maklumlah lagu selawat masa kini
macam-macam rentaknya. Jika beliau tidak dapat menangkap topik
perbualan hadirin, kebiasaannya beliau hanya akan diam sahaja.
Katanya lagi, bila berkunjung ke rumah saudara-mara, beliau akan
merasa penat dan letih kerana lebih banyak duduk dan mendiamkan diri.
Keupayaan dan kelancaran komunikasi beliau semakin terbatas kerana
sejak dari mula kehilangan pendengaran hingga ke saat ini beliau tidak
pernah belajar bahasa isyarat. Agaknya keadaanya lebih kurang samalah
dengan orang buta yang tak belajar Braille.

Kata beliau lagi, dalam banyak-banyak golongan cacat, orang cacat
penglihatanlah yang paling beruntung kerana masih boleh mendengar,
masih boleh belajar, mudah untuk berkomunikasi dan sebagainya.
Manakala saya pula berpendapat sebaliknya. Berdasarkan pengalaman,
saya merasakan dalam banyak-banyak golongan cacat, cacat
penglihatanlah yang paling hampas sekali. Hal ini disokong pula oleh
beberapa rakan yang baru hilang penglihatannya. Lagipun, Pak Andak
Anuar masih lagi boleh menunggang motor sikal sedangkan saya hanya
mampu start enjin kereta sebagai rutin setiap pagi. Lagipun, pada
masa lalu, kalau ibu bapa menghantar anak-anak mereka untuk berguru,
pesan ibu bapa kepada guru berkenaan, buatlah apa sahaja kepada
anaknya agar anaknya pandai, asalkan jangan buta sudahlah.

Agak panjang juga bicara Pak Andak Anuar dengan saya. Kelancaran
komunikasi kami berdua dibantu sepenuhnya oleh isteri saya. Saya
boleh mendengar dengan jelas apa yang beliau perkatakan, tetapi Pak
Andak Anuar sering kehilangan cerita bila saya pula yang bercakap.

Saya boleh memahami perasaan Pak Andak Anuar sekarang kerana dari
satu sudut kami ada persamaan. Mungkin sebelum 20 tahun lalu, Pak
Andak Anuar tidak dapat menggapai apa yang sedang beliau rasai
sekarang sehinggalah beliau mengalaminya sendiri. Bagi saya, yang
penting di sini bukan penyesalan tapi kesyukuran. Saya bersyukur
kepada Allah kerana tiada bibit-bibit penyesalan daripada Pak Andak
Anuar.

"Jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambahkan (nikmat) bagi kamu,
dan jika kamu kufur, ingatlah azab-Ku amat pedih" (ayat 7, surah
Ibrahim).

1 comment:

Muhammad Adam Lee said...

Assalamu'alaikum, sahabat Blogger dan rakan-rakan pengunjung sekalian.

Maha Suci Allah! Kehidupan penuh variasi ini memberi iktibar terhadap akal dan iman kita. Sememangnya, kita, makhluq insani ini, patut sangat bersyukur ke hadhrat-Nya kerana walau cacatnya kita, hatta terencat akal, kejadian kita merupakan yang paling sempurna kerana dikurniai akal dan nafsu. Namun, bagi yang terencat akal, mereka mungkin tidak berpeluang memproses minda mereka, tapi, tetap tidak terpinggir dik keprihatinan masyarakat. Apa yang saya rasa dapat diambil pengajaran daripada kisah ini, secacat mana kita, jika kita masih berupaya mengingat dan berfikir, kita jangan berputus asa. Sentiasalah berdoa dan bersabar, di samping berusaha dengan cara halal mencari rezeki halal lagi berkat untuk diri dan keluarga. Tahniah saya ucapkan di atas keupayaan Pak Andak itu, juga Syabas kepada Mak Andak di atas kesabarannya. Semoga kalian sekeluarga akan terus tenang bahagia bersama hingga ke sana.

Terima kasih.