Tuesday, September 8, 2009

Bicara Politik

Jika Tan Sri Mohd Isa Dicalonkan: Sekadar Coretan

Pada Jumaat lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang,
Negeri Sembilan, yang mewakili UMNO/BN, Allahyarham Azman Mohammad
Noor telah meninggal dunia. Dengan ini, satu lagi kekosongan telah
berlaku di DUN berkenaan. Ini bermakna, suka tidak suka, satu
pilihanraya kecil perlu diadakan dalam masa 60 hari. Tiada lagi
mana-mana pihak yang boleh untuk tidak mengadakan pilihanraya kecil
atas budi bicara di DUN berkenaan.

Berdasarkan beberapa fakta, tidak dinafikan bahawa DUN Bagan Pinang
merupakan kubu kuat UMNO/BN yang harus dipertahankan. Dalam
pilihanraya umum tahun lalu, En. Azman yang mewakili UMNO/BN telah
berjaya menewaskan calon PAS, Ramli Ismail, dengan majoriti melebihi 2
ribu undi. Komposisi pengundi yang meletakkan pengundi Melayu berada
di sekitar 66% turut memperkukuhkan keyakinan bahawa Bagan Pinang
adalah hak UMNO/BN. Selain itu, monsun politik yang bertiup kencang
di sebelah timur dan utara Semenanjung, dikatakan telah berkurangan
tiupannya hingga menjadi angin sepoi-sepoi bahasa sahaja di bahagian
selatan Semenanjung. Tiupan monsun politik tersebut dikatakan
terbatas di Selangor sahaja. Di samping itu, adalah dikhabarkan di
Bagan Pinang sendiri tiada isu-isu setempat yang boleh dijadikan modal
politik oleh Pakatan Rakyat (PR). Kalau ditinjau prestasi UMNO/BN di
Bagan Pinang sejak dahulu, maka ia nyata membuktikan kawasan ini
merupakan kubu tradisi UMNO/BN. Oleh itu, mungkin mulai sekarang pun
UMNO/BN sudah boleh mendabik dada dan mendakwa bahawa DUN Bagan Pinang
mereka yang punya.

Belum pun sampai seminggu kekosongan berlaku di DUN Bagan Pinang,
sudah mula kedengaran cakap-cakap mengenai calon yang sesuai untuk
mewakili UMNO/BN dalam pilihanraya kecil itu nanti. Hari ini, dalam
blognya, UMNO Bagan Pinang ingin supaya bekas Menteri Besar Negeri
Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dicalonkan untuk bertanding
dalam pilihanraya kecil itu nanti. Menurut Ketua Pemuda UMNO Bagan
Pinang, Mohd Faizal Ramli, Tan Sri Mohd Isa masih mendapat sokongan
daripada para pengundi di kawasan tersebut.

Saya tidak menafikan bahawa Tan Sri Mohd Isa merupakan seorang tokoh
yang sangat terkenal. Beliau terkenal kerana telah berkhidmat selama
22 tahun selaku Menteri Besar Negeri Sembilan. Kita juga jangan lupa,
Tan Sri Isa juga turut terkenal kerana isu rasuahnya sewaktu ingin
menjawat jawatan Naib Presiden UMNO. Mungkin sesetengah pemimpin UMNO
khususnya di Bagan Pinang keliru, sama ada Tan Sri Isa masih mendapat
sokongan daripada para pengundi di Bagan Pinang, atau Tan Sri Mohd Isa
hanya popular dalam kalangan ahli UMNO di Bagan Pinang sahaja.

UMNO sepatutnya belajar daripada beberapa pilihanraya kecil yang
telah berlaku selepas pilihanraya umum tahun 2008. Setakat ini, UMNO
telah masuk bertanding di 5 pilihanraya kecil, iaitu di parlimen
Permatang Pauh, parlimen Kuala Terengganu, parlimen Bukit Gantang, DUN
Manek Urai dan DUN Permatang Pasir. Kesemua calon UMNO telah tewas di
semua kawasan yang ditandingi. Salah satu faktor utama kekalahan
calon-calon UMNO ialah kerana faktor calon itu sendiri.

Dalam pilihanraya kecil parlimen Permatang Pauh, Calon UMNO, Datuk
Arif Syah Omar Syah gagal menyaingi kredibiliti dan populariti Dato'
Seri Anwar Ibrahim. Akibatnya, bukan sahaja calon UMNO itu tewas,
bahkan majoriti yang diperolehi oleh Dato' Seri Anwar bertambah jika
dibandingkan dengan majoriti yang pernah diraih oleh Dato' Seri Dr.
Wan Azizah dalam pilihanraya umum tahun lalu. Realitinya, dalam
pilihanraya ini, UMNO tidak mempunyai walaupun seorang ahli yang
setanding dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam pelbagai aspek
politik.

Di parlimen Kuala Terengganu pula, UMNO/BN bukan sahaja gagal
mempertahankan kerusi tersebut, bahkan calon PAS telah menang dengan
majoriti yang selesa. Antara faktor kekalahan calon UMNO, Datuk Wan
Ahmad Farid, ialah kerana beliau dikatakan sombong dan tidak mesra
rakyat. Sifat mudah mesra bukan sesuatu yang boleh dibuat-buat dan
juga sama sekali tidak bersifat jadi-jadian. Sedangkan calon PAS,
Mohd Abdul Wahid Endut pula dikatakan sangat dekat di hati rakyat,
tidak sombong dan mudah bergaul dengan orang ramai. Kekurangan yang
ada pada calon UMNO dan kelebihan yang ada pada calon PAS benar-benar
menjadi faktor utama yang membolehkan kerusi tersebut dikuasai oleh
PAS.

Dalam pilihanraya kecil di parlimen Bukit Gantang pula, Calon UMNO,
Ismail Safian juga gagal menyaingi kredibiliti dan populariti Dato'
Seri Mohd Nizar Jamaluddin. Mungkin Ismail Safian popular hanya dalam
kalangan ahli UMNO di Bukit Gantang sahaja. Populariti Dato' Seri
Mohd Nizar tatkala itu berada di puncak kerana baru dipecat selaku
menteri besar Perak, sedangkan asas pemecatannya tidak diterima
rakyat. Hanya UMNO/BN dan pihak istana sahaja yang merasakan
pemecatan tersebut halal.

Di Manek Urai pula, UMNO merasakan kekalahan tipis calonnya, tuan
Aziz Tuan Mat, sebagai petanda parti tersebut mula diterima rakyat.
Walau bagaimanapun, UMNO gagal merealisasikan teori tersebut di
Permatang Pasir. Kemenangan calon PAS di Permatang Pasir, Ustaz Mohd
Salleh Man, dengan majoriti yang selesa telah meruntuhkan teori yang
baru hendak berputik di Manek Urai. Antara sebab kekalahan UMNO/BN di
Permatang Pasir ialah kerana faktor calonnya sendiri. Setelah
penamaan calon, satu demi satu keburukan dan kelemahan rohaizat Osman,
selaku calon UMNO di Permatang Pasir diselak lawan. Akhirnya, UMNO
sekali lagi tertiarap tak bernafas di Permatang Pasir gara-gara gagal
belajar dari Bukit Gantang, Kuala Terengganu dan Permatang Pauh.

Bagi Saya, jika Tan Sri Mohd Isa dicalonkan untuk mewakili UMNO/BN di
Bagan Pinang, maka nyatalah UMNO tak pernah pandai walaupun setelah
diajar dalam pilihanraya kecil di 5 kerusi sebelumnya. Mungkin juga
UMNO sudah ketandusan calon yang bersih, boleh dipercayai, berwibawa
dan punya kredibiliti yang tidak dipersoalkan. Semua orang tahu dosa
dan kesalahan yang pernah dilakukan oleh Tan Sri Mohd Isa. UMNO
sendiri memperakui dosa dan kesalahan yang telah dilakukan beliau.
Justeru, UMNO sendiri pernah menghukum Tan Sri Mohd Isa lantaran dosa
dan kesalahannya itu.

UMNO harus berpijak di bumi nyata. Generasi millennium ketiga bukan
generasi patung atau tunggul kayu yang akan terima dan telan
bulat-bulat apa sahaja yang disuapkan kepada mereka. Generasi
millennium ketiga merupakan generasi yang kritis dan kreatif. Mereka
sudah bijak menilai mana yang baik untuk mereka. Mereka sudah punya
selera sendiri yang kadangkala sukar untuk diramal. Mereka juga sudah
tidak boleh dipergula-gulakan lagi dengan pelbagai retorik yang
memualkan.

UMNO/BN harus ingat, lawannya sentiasa menggunakan apa jua strategi
untuk memenangi pilihanraya kecil di Bagan Pinang. Antara strategi
yang semua orang tahu ialah dengan mencari, membongkar, menyelak dan
mendedahkan apa sahaja keburukan calon UMNO. Itulah juga yang telah
berlaku dalam pilihanraya kecil terdahulu.

Bagi saya, jika UMNO/BN benar-benar ingin mempertahankan Bagan
Pinang, maka mereka harus peka dengan kriteria calon yang perlu
diketengahkan. Dalam situasi sekarang, perubahan boleh berlaku dalam
sekelip mata. Walaupun keadaan masa ini di Bagan Pinang nampak
condong dan cenderung kepada UMNO/BN, tetapi jika gagal meletakkan
calon yang benar-benar sesuai, bersih, berwibawa dan diterima rakyat,
maka tidak hairan jika UMNO/BN juga akan berputih mata di Bagan Pinang
dalam pilihanraya kecil itu nanti.

Jika nanti UMNO/BN menang di Bagan Pinang, itu bukanlah sesuatu yang
menggemparkan kerana Bagan Pinang merupakan kubu kuat UMNO/BN.
Sebaliknya, jika Pakatan Rakyat pula yang berjaya menewaskan calon
UMNO/BN, maka UMNO/BN harus bersedia untuk dikafankan dalam
pilihanraya umum ke-13 nanti.

Saya menilai politik selaku orang yang berkecuali.

1 comment:

puterimualim said...

Setuuujuuu sangat dengan pendapat en besiwaja . UMNO/BN memang pelupa, Kita tunggu dan lihat, siapa calon di Bagan Pinang nanti, harap-harapnya mereka tak bernafas dalam lumpur.