Sunday, January 30, 2011

Coretan Hujung Minggu

Sejak Jumaat (28 Januari) sebelah malam, saya sudah berada di kampung di Melaka. Sewakttu saya tiba, hujan baru sahaja berhenti. Demikian kata ibu saya setibanya saya sekeluarga di rumah. Sudah sebulan saya tidak pulang ke kampung. Sesibuk mana pun, dalam sebulan saya akan mencuri masa untuk pulang dan menziarahi kedua-dua ibu bapa saya di kampung. Lagipun, itulah masanya bagi Luqman untuk lebih mesra dan akrab dengan para sepupunya.

Cuaca pada sebelah pagi semalam (Sabtu) mendung sahaja. Namun begitu, bermula tengah hari, hujan mulai turun. Kadangkala lebat dan kadangkala renyai-renyai. Sehingga coretan ini ditulis pun, hujan masih turun tanpa henti sejak tengah hari semalam.

Di sebelah petang semalam, saya sekeluarga dengan disertai ibu, seorang adik perempuan saya serta 2 orang anak buah telah keluar ke bandar kerana urusan tertentu. Walaupun hujan, kami redah sahaja. Setelah semua urusan selesai, atas cadangan saya, kami pun ke rumah ibu saudara yang terletak beberapa kilometer dari bandar tersebut.

Kebetulan agaknya, rumah ibu saudara saya terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau. Semua sudah maklum, penamaan calon bagi DUN Merlimau akan diadakan pada 26 Februari, dan jika ada pertandingan, pilihanraya kecil akan dilangsungkan pula pada 6 Mac. Pilihanraya kecil ini diadakan berikutan kematian penyandangnya dari Barisan Nasional (BN) Allahyarham Datuk Mohd Hidir Abu Hassan.

Bapa saudara saya bercerita mengenai pilihanraya kecil berkenaan. Katanya, bagi penduduk yang ada rumah lebih, sudah berkira-kira untuk meletakkan harga sewa kepada yang berminat. Saya turut dimaklumkan, rata-rata penduduk di sini akan meletakkan sewa seribu RM dan ke atas. Ada yang telah meletakkan RM 2 ribu. Bahkan ada pula yang berani meletakkan sewa sebanyak RM 6 ribu. Tempoh sewaan pula antara hari penamaan calon dengan hari mengundi.

Nampaknya pilihanraya kecil sudah menjadi lubuk rezeki kepada segelintir orang. Tapi pilihanraya kecil hanya boleh diadakan bila kerusinya kosong. Biasanya kekosongan sesuatu kerusi akan berlaku bila penyandangnya mati. Kalau nak tunggu penyandangnya mengosongkan kerusinya sementara hidup adalah sesuatu yang hampir mustahil. Pendek kata, bila ada wakil rakyat yang mati, adalah pihak lain yang akan mencari untung.

Kalau orang Melayu Johor darahnya cap keris, penduduk di kawasan ini pula darah mereka cap taming sari. Sebab itulah hingga ke hari ini pun, parti politik selain UMNO sukar untuk menembusi hati sanubari politik orang Melayu Melaka.

Agaknya apalah khabarnya pengundi di DUN Tenang waktu ini?

Salam dari Melaka.

Wednesday, January 26, 2011

Maklumat Lanjut Mengenai Sesi Demo Penggunaan Panel E-Braille Quran For Teaching Aid

Sebagaimana yang telah saya war-warkan sebelum ini menerusi blog ini, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) dengan kerjasama pasukan penyelidik daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan mengadakan sesi demo untuk penggunaan panel E-Braille Quran For Teaching Aid. Butiran penganjuran adalah seperti berikut:

1. Tarikh: 1 dan 2 Februari 2011 (Selasa dan Rabu);

2. Tempat: Bilik Enggang, Tingkat 9, Hotel Legend, Kuala Lumpur;

3. Sesi demo akan bermula pada jam 9.00 pagi dan 2.30 petang pada kedua-dua hari berkenaan (setiap sesi akan memakan masa selama 1 jam dan 30 minit);

4. Oleh kerana ruang untuk sesi demo tidaklah sebesar mana, maka mereka yang ingin mengikuti sesi demo berkenaan diharap akan dapat hadir lebih awal untuk membolehkan anda mendapat tempat.

Dengan ini, sekali lagi, saya bagi pihak penganjur ingin mempersilakan semua yang berminat sama ada ahli PERTIS, bukan ahli PERTIS, guru-guru pendidikan khas, golongan berpenglihatan yang berminat, atau sesiapa sahaja untuk hadir bagi menyaksikan demo penggunaan panel E-Braille Quran For Teaching Aid di lokasi dan pada tarikh serta masa pilihan anda.

Insha-Allah, kita jumpa di sana!

Sekadar Makluman

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para pengunjung blog ini. Setakat ini saya sendiri tak pasti sudah berapa ramai orangkah yang telah dan pernah mengunjungi blog ini. Setakat ini, biarlah hal sedemikian menjadi teka-teki hatta kepada saya sendiri.

Sememangnya menerusi blog ini juga saya ada memaparkan kisah tokoh tertentu, ataupun kerjaya rakan senasib. Paparan sedemikian telah menarik minat pengunjung teertentu. Justeru, mereka ingin tahu nombor telefon, alamat dan yang seumpamanya daripada saya.

Pada dasarnya saya tiada masalah untuk memberikan kerjasama kepada mereka yang inginkan maklumat lanjut mengenainya. Itu pun setelah mendapatkan keizinan daripada tokoh/orang yang empunya diri.

Walau bagaimanapun, adakalanya permintaan untuk mendapatkan maklumat sebagaimana di atas diajukan menerusi ruang komentar. Saya merasakan (dan dipersetujui juga oleh tokoh/orang yang terlibat) iaitu butiran yang lebih terperinci yang diminta itu tidak begitu sesuai untuk diberikan menerusi ruang yang sangat terbuka.

Oleh yang demikian, kepada para pengunjung yang ingin mendapatkan butiran yang lebih terperinci mengenai tokoh/orang yang saya paparkan menerusi blog ini, bolehlah mengemukakannya terus kepada saya menerusi alamat email saya sebagaimana yang tertera di hujung blog ini. Insha-Allah, setelah mendapatkan keizinan daripada mereka yang berkenaan, saya akan menyalurkan maklumat yang diingini itu terus kepada alamat email mereka yang ingin tahu tersebut.

Sekian dan harap maklum.

(Zakaria)

Saturday, January 22, 2011

Sembang Politik

Hari ini, telah berlangsung penamaan calon untuk pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Johor. Dua calon akan berentap untuk merebut kerusi berkenaan yang telah kosong berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Sulaiman Taha. Kedua-dua calon berkenaan ialah Cikgu Normala Sudirman yang mewakili Parti Islam Semalaysia (PAS) dan En. Mohd Azahar Ibrahim yang mewakili Barisan Nasional (BN). Dalam pilihanraya kecil kali ini juga nampaknya tiada calon bebas, mungkin ketiadaan penaja agaknya. Mengikut ketetapan daripada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), tarikh mengundi ialah pada 30 Januari nanti.



Berikut adalah posisi pengundi di DUN Tenang:

Jumlah Pengundi 14,753
Melayu 47.5%
Cina 39%
India 12%
Lain-lain 1.5%



Sejak dari awal-awal lagi, kedua-dua kumpulan siasah yang terbabit telah melahirkan rasa optimistik masing-masing mengenai kemungkinan kejayaan calon masing-masing. Itu perkara biasa dalam mana-mana pilihanraya, tak kiralah sama ada kecil ataupun umum. Walaupun harapan untuk menang tak ubah macam orang sedang nazak pun, mereka tetap berkata kita ada harapan untuk berjaya. Begitulah orang politik dan dunia mereka.

Sejak dari sebelum merdeka lagi, Johor merupakan tanah leluhur UMNO. Sesiapa yang bertanding bukan atas tiket UMNO, mereka sekadar menempa kekalahan semata-mata. Demikianlah yang pernah menimpa tokoh seperti Dato’ Onn Jaafar. Hanya Datuk Shahril Samad sahaja yang pernah memenangi kerusi parlimen Johor Baru bukan atas tiket UMNO dalam pilihanraya kecil pada tahun 1988. Justeru, tidak hairanlah bila ada orang politik sendiri yang menyimpulkan bahawa orang Johor darahnya cap keris. Ia menunjukkan betapa akrabnya di antara UMNO dan orang Johor.

Walau bagaimanapun, keputusan pilihanraya umum 2008 telah mula mengubah persepsi di atas. Kejayaan PAS memenangi 2 kerusi di DUN Johor menerusi pilihanraya menunjukkan cap keris yang mengalir dalam darah orang Johor mulai luntur. Kemenangan kedua-dua calon PAS dalam pilihanraya berkenaan bukan kerana calon UMNO tersilap mengisi borang, tetapi kerana rakyat di kawasan berkenaan benar-benar menolak UMNO.

Kini, setelah hampir 3 tahun pilihanraya umum ke-12 berlalu dan satu lagi pilihanraya kecil bakal diadakan, maka sudah tentulah beberapa persoalan lama akan ditimbulkan semula. Benarkah orang Johor khususnya di DUN Tenang akan menolak UMNO? Adakah cap keris yang mengalir dalam darah orang Melayu Johor semakin luntur atau kembali subur? Adakah kemenangan dua calon PAS dalam pilihanraya umum 2008 hanya bersifat sementara sahaja? Para penganalisis politik dan kita semua akan membuat kesimpulannya setelah keputusan pilihanraya kecil DUN Tenang diumumkan secara rasmi pada 30 Januari nanti.

Namun demikian, keputusan pilihanraya kecil itu nanti akan mempengaruhi beberapa kemungkinan. Sekiranya dalam pilihanraya kecil tersebut calon BN yang menang, maka besar kemungkinan pilihanraya umum ke-13 akan diadakan dalam tahun ini juga. Keputusan sedemikian juga akan memberikan harapan yang lebih besar kepada BN untuk merampas kembali tampuk pemerintahan beberapa buah negeri yang telah jatuh ke tangan Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihanraya umum ke-12 yang lalu. UMNO/BN akan merumuskan bahawa konsep Satu Malaysia yang telah dilaksanakan selama ini benar-benar berada di landasan yang betul. Ia juga membuktikan bahawa peneroka FELDA termasuklah generasi keduanya sedang selesa dengan keadaan mereka masa kini. UMNO/BN juga akkan merumuskan bahawa sokongan rakyat kepada mereka semakin bertambah dan mereka akan mudah meraih sokongan rakyat jika pilihanraya umum diadakan dalam masa yang terdekat. UMNO/BN juga akan merumuskan bahawa tsunami politik yang melanda mereka dalam pilihanraya umum 2008 telah berakhir.

Sebaliknya, jika calon PAS pula yang menang, maka kemungkinan pilihanraya umum diadakan pada tahun ini amat tipis sekali. Ia juga memungkinkan rakyat tidak selesa dengan konsep Satu Malaysia yang diwar-warkan selama ini. Peneroka FELDA khususnya generasi keduanya mungkin tidak merasa selesa dengan cerita dan berita yang digembar-gemburkan dengan institusi berkenaan. Peluang UMNO/BN untuk merampas kembali beberapa negeri yang kini diperintah oleh PR bukan sahaja tipis, bahkan PR pula yang akan semakin bersemangat untuk merampas beberapa negeri lagi dari tangan UMNO/BN dalam pilihanraya umum berikutnya. Kumpulan siasah PR pula akan merumuskan bahawa tsunami politik kian bergelombang.

Selain itu, pilihanraya kkecil ini juga turut menguji kewibawaan beberapa tokoh. Antara tokoh yang mungkin akan terganggu tidurnya ialah Tan Sri Mohd Isa Samad. Beliau baru sahaja dilantik sebagai pengerusi FELDA. DUN Tenang pula merupakan kawasan peneroka FELDA. Kekalahan calon UMNO/BN dalam pilihanraya kecil itu kelak sedikit sebanyak bakal mencalarkan reputasi dan kredibiliti beliau selaku pengerusi FELDA yang baru. Oleh itu, Tan Sri Mohd Isa harus turun padang sekerap mungkin untuk memastikan supaya semua peneroka FELDA di kawasan berkenaan akan memberikan undi mereka kepada UMNO/BN. Bagaimana hendak memastikan agar semua peneroka di kawasan DUN Tenang akan memberikan undi mereka kepada UMNO/BN? Tan Sri Mohd Isa tentu ada jawapannya.

Selain itu, pilihanraya kecil DUN Tenang turut akan menguji kredibiliti dua Chuah. Seorang Chuah Soi Lek namanya, dan seorang lagi Chuah Jui Meng namanya. Kedua-dua tokoh berkenaan merupakan tokoh politik Cina Johor yang tidak asing lagi dan pernah menganggotai kabinet Persekutuan. Soi Lek akan mencuba sedaya upaya untuk memulihkan reputasi MCA yang telah tercalar teruk dalam pilihanraya umum 2008. Manakala Jui Meng pula akan mencuba sedaya upaya menggunakan saki baki hayat politik yang ada kepadanya untuk mempengaruhi pengundi Cina supaya memihak kepada calon PAS. Kedudukan pengundi Cina yang merangkumi 39% daripada jumlah keseluruhan pengundi di DUN Tenang, menjadikan mereka kumpulan penentu yang sangat diperlukan oleh setiap parti siasah. Kebiasaannya kecenderungan sokongan pengundi Cina lebih sukar untuk ditentukan berbanding dengan pengundi Melayu. Lazimnya pengundi Cina tidak pernah mengikat undi mereka kepada mana-mana parti siasah. Banyak faktor lain yang dipertimbangkan oleh para pengundi Cina sebelum mereka membuang undi. Hal ini tentu sekali amat difahami oleh kedua-dua Chuah.

Sementara itu, saya berpendapat jumlah pengiring yang mengiringi seseorang calon sewaktu penamaan calon sama sekali tidak boleh dijadikan kayu ukur kemenangan atau kekalahan seseorang calon dalam pilihanraya kecil itu nanti. Apa yang pernah berlaku sewaktu penamaan calon dalam pilihanraya kecil DUN Galas hujung tahun lepas seharusnya dijadikan peringatan, iktibar dan pertimbangan. Ada kalanya orang yang mengiringi seseorang calon sewaktu penamaan calon bukan pengundi di DUN berkenaan. Kehadiran mereka tidak lebih sekadar pemberi semangat, bahkan ada kalanya untuk mensesakkan jalan-jalan raya sahaja.

Kepada En. Azahar dan Cikgu Mala, diucapkan selamat berentap. Kepada penduduk di DUN Tenang, jangan merasa terganggu bila ada orang datang untuk berkempen kerana itulah kerja mereka sehingga 30 Januari nanti. Kepada yang masih ingatkan Tuhan, jangan lupa untuk berdoa, bermunajat dan solat hajat, atau kalau perlu lakukanlah solat istikharah sebelum membuat pilihan/undi muktamad nanti.

Sekali-sekala seronok juga bila sembang tentang politik.

Salam dari Kuantan.

Friday, January 21, 2011

Demonstrasi Penggunaan Panel E-Braille Quran

Sepertimana yang telah saya maklumkan menerusi blog ini beberapa kali, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) sedang bekerjasama dalam satu penyelidikan untuk menghasilkan panel E-Braille Quran For Teaching Aid. Untuk pengetahuan semua, penyempurnaan penyelidikan ini telah pun melebihi 50%. Selama ini pun, sedikit sebanyak maklumat mengenai perkembangan penyelidikan tersebut hanya dapat diikuti menerusi blog ini sahaja. Setelah mendapat persetujuan daripada pihak yang berkenaan di UTM, maka sudah tiba masanya hasil penyelidikan berkenaan (walaupun belum mencapai tahap 100%) dipertontonkan kepada umum.



Dengan itu, satu demonstrasi penggunaan panel E-Braille Quran For Teaching Aid akan diadakan pada awal Februari ini. Demonstrasi tersebut akan diadakan di Hotel Legend, Kuala Lumpur. Mengikut perancangan setakat ini, Demonstrasi berkenaan akan diadakan pada 1 dan 2 Februari 2011.



Dengan ini, pihak penganjur ingin mempersilakan kepada para ahli PERTIS, bukan ahli PERTIS serta mereka yang berpenglihatan yang berminat untuk melihat dengan lebih dekat lagi mengenai penggunaan panel E-Braille Quran berkenaan ke lokasi sebagaimana yang ditetapkan pada masa dan tarikh yang akan ditentukan.

Bagi tujuan memberi peluang yang seluas-luasnya kepada mereka yang berminat untuk menyaksikan demonstrasi berkenaan, maka ia akan dibahagikan kepada beberapa sesi. Perincian serta jadual penuh demonstrasi penggunaan panel E-Braille Quran For Teaching Aid akan dimaklumkan kemudian. Untuk itu, sila ikuti perkembangan mutakhir mengenainya sama ada menerusi blog ini ataupun menerusi teleinfo PERTIS di 03-40223950.

Saya hampir pasti, jika tiada aral, En. Ahmad Bustamam dan Cikgu Noorazlan pasti akan hadir.

Salam dari Kuantan.

Thursday, January 20, 2011

P & P Dan TMK

Hari ini, sama ada suka atau tidak, setuju atau sebaliknya, kita harus akui hakikat bahawa TMK (teknologi komunikasi dan maklumat) merupakan sebahagian daripada kehidupan kita. TMK tidak lagi dirasakan mustahak kepada golongan masyarakat tertentu sahaja. Sebaliknya kepentingan penguasaan pengetahuan serta kemahiran dalam TMK merupakan aset yang semakin bernilai untuk seseorang mencapai apa juga objektif dalam kehidupannya. Seperkara lagi, dunia TMK berputar sangat pantas. Bagi mereka yang sentiasa cuba berlari seiring dengan kepantasan dunia TMK kian terasa keletihan untuk mengejarnya. Inikan pula kalau selama ini kita tidak pernah berusaha untuk mengejarnya, maka semakin terkebelakanglah kita.

Saya pernah menulis menerusi blog ini mengenai TMK dan golongan cacat penglihatan beberapa kali. Sedikit sebanyak, golongan cacat penglihatan tetap mendapat tempias daripada kepesatan kemajuan TMK. Dengan kebolehan dan kemahiran yang ada, golongan cacat penglihatan mampu untuk melayari dunia siber secara solo dengan lebih selesa dan meyakinkan. Namun demikian, kebolehan dan kemampuan sebahagian golongan cacat penglihatan memperolehi pengetahuan dan kemahiran TMK adalah atas daya usaha mereka sendiri. Ramai yang terpaksa berjinak dengan TMK secara try & error iaitu setelah memperoleh pengetahuan asas mengenainya. Selain itu, ada dua atau tiga NGO yang berkaitan golongan cacat penglihatan yang melaksanakan kursus jangka pendek mengenai TMK. Sekadar itulah peluang yang ada kepada golongan cacat penglihatan di tanah air tercinta ini untuk meneroka alam siber.

Pagi tadi, saya ada menerima SMS daripada seorang guru pendidikan khas yang mengajar murid-murid cacat penglihatan. Antara lain kandungan SMS beliau berbunyi:


salam. cikgu. dlm subjek dunia sains dn teknologi tahun 1 ada diselitkan subjek tmk- teknologi maklumat komunikasi mergkumi pngenlan tntg pc dn xtvt pencarian maklumt melalui laman wab. cikgu rs sesuai tk diajar utk murid oku pnglihatan? klu ya y? klu tak y?


Saya penuh yakin, dilema sedemikian bukan dirasai oleh guru berkenaan sahaja, bahkan saya kira ramai lagi guru yang sedang mengajar murid-murid cacat penglihatan di seluruh pelusuk tanah air turut mengalami dilema yang serupa. Mengapa dilema seperti ini boleh terjadi? Benarkah aplikasi TMK tidak sesuai untuk dilaksanakan dalam kalangan murid cacat penglihatan? Benarkah guru yang berpenglihatan tidak sesuai untuk mengajar aplikasi TMK beserta perisian pembaca skrin kepada murid yang cacat penglihatannya? Adakah mana-mana pihak yang mempunyai statistik yang telus dan tulus mengenai pengetahuan dan kemahiran guru pendidikan khas murid cacat penglihatan dalam bidang TMK beserta pembaca skrin? Mengenai statistik, tidak payahlah tanya pada pihak tertentu kerana statistik yang akan dikemukakan hanyalah statistik bodoh sahaja.

Jika seseorang guru yang mengajar murid cacat penglihatan mampu menguasai pengetahuan dan kemahiran penggunaan komputer berserta perisian pembaca skrin, maka permasalahan di atas tidak akan timbul. Di samping itu, pihak-pihak yang berkenaan juga haruslah mengambil langkah-langkah proaktif dengan memberikan pendedahan yang secukupnya kepada guru-guru yang mengajar murid cacat penglihatan mengenai pengetahuan dan kemahiran penggunaan komputer berserta dengan perisian pembaca skrin. Saya tidak menafikan usaha sebegini pernah dilakukan sebelum ini tetapi mungkin ia tidak mencukupi dan pelaksanaannya pula tidak berterusan sehingga meliputi semua guru, maka itulah permasalahan sebegini masih lagi timbul. Di samping itu, di peringkat IPG dan IPT yang menawarkan kursus pendidikan khas cacat penglihatan, kursus berkaitan dengan penggunaan komputer berserta perisian pembaca skrin harus diperkenalkan juga. Jika seseorang guru yang mengajar murid cacat penglihatan mampu menguasai pengetahuan dan kemahiran penggunaan komputer berserta dengan perisian pembaca skrin, maka persoalan yang telah dikemukakan oleh guru berkenaan sebagaimana dalam SMS beliau kepada saya amat mudah untuk dirongkai.

Sebaliknya, saya amat bimbang bilamana pengetahuan dan kemahiran yang secukupnya mengenai penggunaan komputer berserta perisian pembaca skrin masih menjadi dilema dalam kalangan guru-guru yang berkaitan, bukan sahaja TMK tidak dapat dilaksanakan seiring dengan keperluan pelaksanaan P & P, mereka akan membuat kesimpulan yang bukan-bukan pula. Antaranya seperti:
. Murid buta tidak sesuai untuk diajar TMK;
. Murid buta tidak sesuai untuk iikut kurikulum arus perdana;
. Murid buta tidak boleh ikut kurikulum berkaitan TMK kerana mereka tidak boleh guna mouse;
. Kurikulum alternatif harus dilaksanakan;
Sekiranya rumusan dan kesimpulan sebegini dilaksanakan di sekolah, maka yang akan rugi dan yang terus malang ialah murid cacat penglihatan itu sendiri.

Sebagaimana yang sesetengah di antara kita telah maklum, golongan cacat penglihatan akan menggunakan kekunci (keyboard) sepenuhnya untuk mengendalikan komputer. Ia sama sekali berbeza dengan mereka yang berpenglihatan yang banyak menggunakan alat tetikus (mouse). Walaupun pengguna cacat penglihatan bergantung kepada kekunci, namun ia bukanlah penghalang kepada pengguna cacat penglihatan untuk mengendalikan komputer dengan baik. Bahkan, walaupun dengan menggunakan kekunci, pengguna cacat penglihatan dapat mengembara ke alam siber secara solo dan dengan penuh yakin pula. Bukan untuk menunjuk-nunjuk, jauh sekali daripada riak, saya sendiri berkemampuan untuk copy pelbagai foto ke dalam blog ini dan meletakkan pula foto berkenaan di mana-mana bahagian tulisan saya dengan hanya menggunakan kekunci.

Selama ini pun, hampir kesemua orang cacat penglihatan melayari internet hanya dengan menggunakan kekunci sahaja. Mereka langsung tidak menggunakan alat tetikus. Walaupun hanya dengan kekunci, ia sama sekali tidak menghalang untuk mereka yang cacat penglihatan mengendalikan blog dan laman facebook. Kesemuanya dikendalikan dengan menggunakan kekunci sahaja.

Selain itu, pengguna cacat penglihatan juga berkemampuan untuk mengendali dan menggunakan pelbagai aplikasi lain seperti Power Point, Excell serta lain-lainnya menerusi penggunaan kekunci. Cikgu Sabaruddin merupakan antara pengguna cacat penglihatan yang mempunyai kemahiran yang sangat baik untuk menggunakan Excell menerusi penggunaan kekunci.

Di samping itu, walaupun hanya dengan menggunakan kekunci, seseorang pengguna cacat penglihatan juga turut berkemampuan untuk meletakkan saiz font mengikut kesukaannya, meletakkan warna pilihannya, melebar atau mengecilkan ruang pada table yang dibina dan macam-macam lagi. Oleh itu, kalau sekadar untuk pengenalan kepada PC atau pencarian laman web, sepatutnya ia tidak menjadi masalah langsung.

Kalau hendak dapat maklumat lebih lanjut mengenai kebolehan golongan cacat penglihatan dalam bidang ICT dari kaca mata orang yang berpenglihatan, bolehlah tanyakan sama ada kepada En. Ahmad Bustamam ataupun kepada Cikgu Noorazlan.

Maklumat tambahan:
Perisian pembaca skrin ialah perisian yang berupaya untuk menterjemahkan paparan yang ada pada skrin dalam bentuk bersuara. JAWS merupakan antara perisian pembaca skrin yang amat popular hari ini.

Tuesday, January 18, 2011

Panggilan Telefon Daripada Ustaz Ali Md Dahan

Sekitar jam 6.45 petang tadi, saya menerima panggilan telefon daripada Ustaz Ali Md Dahan. Perbualan kami agak ringkas sahaja. Beliau meminta pertolongan saya untuk membersihkan namanya daripada terus dikaitkan sebagai penyemak kepada Alquran Braille yang dicetak oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Katanya, beliau tidak mahu namanya dikaitkan kononnya pernah menjadi tukang semak kepada Alquran Braille oleh individu tertentu.

Dalam perbualan tersebut, saya telah menyarankan dua kaedah yang boleh beliau lakukan untuk membersihkan namanya daripada terus dikaitkan sebagai kononnya pernah menjadi tukang semak Alquran Braille sebagaimana di atas. Jika kaedah pertama gagal, maka kaedah kedua harus dilaksanakan. Ustaz Ali bersetuju dengan cadangan saya dan meminta saya agar membantunya untuk membersihkan namanya secepat mungkin. Di akhir perbualan, saya memberi jaminan bahawa saya akan berusaha untuk membantu Ustaz Ali Md Dahan untuk membersihkan namanya sebagaimana kemahuan beliau.

Sebenarnya, saya amat memahami tekanan batinn yang Ustaz Ali hadapi apabila namanya telah dikaitkan secara tidak bertanggungjawab oleh individu tertentu kononnya Ustaz Ali pernah menyemak alquran Braille yang telah dicetak oleh individu berkenaan. Sebagai seorang yang hafiz Alquran, Ustaz Ali amat faham dengan pahala dan dosa, amat mengerti dengan halal dan haram dan amat takut dengan Allah yang telah menghidupkan dan yang akan mematikan sekalian makhluk-Nya. Justeru, sudah tentulah beliau tidak mahu namanya dikaitkan langsung dengan sesuatu yang tidak pernah beliau laksanakan. Beliau amat duka cita apabila nama beliau dijaja ke sana ke sini untuk kepentingan individu yang hanya mengutamakan perut dan poketnya semata-mata. Ustaz Ali Md Dahan merasa bersalah dan berdosa selagi namanya terus dikaitkan selaku tukang semak Alquran Braille sebagaimana di atas sedangkan beliau tidak pernah melakukannya.



Foto di atas adalah tulisan yang terdapat pada kulit Alquran Braille yang telah dicetak oleh individu yang tidak bertanggungjawab itu. Jika diteliti tulisannya, kesalahan yang terdapat pada tulisan tersebut amat nyata sekali. Jika dikulitnya sudah terselah kesalahan, apatah lagi pada isinya (teks Alquran Braille itu sendiri). Lebih mendukacitakan lagi, apabila individu berkenaan menggunakan pula nama orang itu dan orang ini kononnya sebagai tukang semak Alquran Braille yang beliau cetak. Bahkan konon khabarnya, pengedaran Alquran Braille cetakan beliau turut mendapat kebenaran daripada agensi itu dan jabatan ini. Bukankah lebih baik jika individu berkenaan berterus terang sahaja dari mana beliau perolehi soft copy Alquran Braille yang ada dalam simpanan beliau! Kalau sekadar untuk menukar muka hadapan (title page) serta saiz kertas Braille yang digunakan dalam cetakan, sesiapa sahaja boleh melakukannya asalkan soft copynya ada. Jika kita gunakan Alquran (walaupun Alquran Braille) hanya untuk membuncitkan perut dan mengembungkan poket, maka ia akan sia-sia dunia akhirat. Sesungguhnya negeri akhirat itu tidak boleh dibeli walaupun dengan seluruh nilai isi dunia ini.

Sebelumnya, siang tadi juga, salah seorang rakan saya turut mengaku bahawa beliau juga ada menyimpan soft copy Alquran Braille milik PERTIS. Katanya, soft copy berkenaan beliau ambil daripada komputer di ibu pejabat PERTIS beberapa tahun lalu. Walau bagaimanapun, katanya lagi, beliau tidak pernah menggunakan soft copy Alquran Braille yang telah diambil daripada PERTIS untuk mencetaknya dalam bentuk hard copy. Katanya lagi, tujuan beliau sekadar untuk back up sahaja.

Biar apa pun alasannya, apabila sesuatu itu diambil tanpa kebenaran daripada pemiliknya, maka ia tetaplah salah. Walau bagaimanapun, rakan saya yang ini lebih baiklah daripada individu tertentu kerana rakan saya ini setakat ini tidak pernah menggunakan soft copy Alquran Braille yang beliau simpan secara tidak sah itu untuk kepentingan perut dan poketnya.

Sebagaimana yang pernah saya tegaskan sebelum ini, sepatutnya dengan Alquran (walaupun Alquran Braille) kita akan jadi lebih takut kepada Allah. Ingatlah, Alquran itu adalah sebagai petunjuk kepada kita semua serta kepada sekalian makhluk-Nya. Sepatutnya dengan Alquran, ikatan ukhwah sesama kita akan lebih erat lagi. Amat malang sekali jika kerana Alquran kita berselisih sesama sendiri, menjadi tamak, mengenepikan hak orang lain, tidak kenal lagi halal dan haram, bertopeng di sebalik dakwah untuk kepentingan peribadi, cuba menegakkan benang yang basah dan macam-macam kemungkaran lagi yang dilakukan atas nama Alquran.

Saya sekadar mengingatkan kepada diri sendiri bahawa dunia ini adalah ghurur semata-mata. Akhirat sahajalah yang kekal abadi adanya.

Tuesday, January 11, 2011

Rosli Yaakub Kembali Ke Rahmatullah (Kemas Kini)

Sebagaimana yang telah saya paparkan menerusi blog ini, salah seorang wsahabat kita, Saudara Rosli Yaakub telah menyahut panggilan Ilahi pada awal pagi tadi. Saya dimaklumkan bahawa jenazah beliau telah selamat dikebumikan di perkuburan Islam Pantai Dalam sekitar jam 11.45 pagi sebentar tadi. Upacara pengkebumian tersebut turut dihadiri oleh keluarga terdekat Allahyarham, termasuklah anak-anaknya. Turut hadir ialah sahabat serta rakan taulan beliau yang berkesempatan.

Demikianlah perancangan Allah. Hari ini Saudara Rosli telah menempuh saat sepertimana yang telah dijanjikan untuk beliau. Sesungguhnya kita juga akan melaluinya pada masa dan saat yang tetap menjadi rahsia.

Kepada keluarga serta sanak saudara Allahyarham, saya ucapkan takziah. Bersabarlah menempuh ujian dari Allah. Sesungguhnya daripada Allah kita datang dan kepada-Nyalah kita akan kembali.

Di sini, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada En. Mohd Bukhari yang turut hadir pada upacara pengkebumian Saudara Roslii Yaakub. En. Bukhari turut hadir bagi mewakili saf kepimpinan PERTIS di semua peringkat.

Sekali lagi, alfatihah untuk Allahyarham Saudara Rosli Yaakub.

Rosli Yaakub Kembali Ke Rahmatullah

Sekitar jam 5.05 pagi tadi, saya menerima SMS daripada Cikgu Mohd Jais yang memaklumkan bahawa Saudara Rosli Yaakub telah kembali ke rahmatullah. Beliau (Cikgu Jais) turut memaklumkan sumber berita yang beliau perolehi. Sekitar jam 5.15 pagi pula, Saudara Fadzli Abdullah menelefon saya (sebagai respon kepada SMS yang saya hantar sebelumnya) dan mengesahkan bahawa Rosli Yaakub telah kembali ke rahmatullah. Satu SMS lain pula yang saya teerima memaklumkan bahawa Allahyarham Rosli Yaakub telah meninggal dunia pada jam 2.30 pagi di hospital. Sekitar jam 8.32 pagi pula, saya menerima SMS daripada Saudara Mohd Bukhari yang memaklumkan bahawa jenazah Rosli Yaakub akan dibawa ke Masjid Pantai Dalam untuk solat jenazah dan jenazahnya akan dikebumikan di perkuburan Islam Pantai Dalam.

Saya mula mengenali Saudara Rosli Yaakub sejak akhir dekad 80-an lagi. Bahkan saya juga kerap ke rumah beliau semasa beliau tinggal di rumah pangsa Seri Pahang, Bangsar pada dekad 90-an dahulu. Persahabatan kami terus berjalan baik hingga ke saat akhir hayat beliau. Namun begitu, oleh kerana masing-masing sibuk dengan tanggungjawab masing-masing, maka saya sudah agak lama tidak berkesempatan untuk bertemu beliau.

Semoga roh beliau sentiasa di dalam rahmat Allah sepanjang masa. Alfatihah.

Saturday, January 8, 2011

Ole-ole Dari Kepulauan Riau (Bahagian Akhir)

Sekilas Pandang Mengenai Kota Tanjung Pinang



Kota Tanjung Pinang merupakan sebuah kota yang padat dengan penduduk. Saya dapat merasakan majoriti penduduknya beragama Islam. Walau bagaimanapun, sewaktu beberapa hari saya di kota tersebut, saya mendapati penduduk di kota berkenaan terdiri daripada mereka yang datang dari pelbagai pelusuk dan ceruk seluruh Indonesia.





Sewaktu saya sekeluarga bersiar-siar di kawasan penempatan yang letaknya tidak jauh dari hotel penginapan kami, saya sempat beramah mesra dengan beberapa orang penduduk. Antara soalan lazim saya kepada para penduduk berkenaan ialah aslinya dari mana (tempat asal dari mana). Soalan saya mereka jawab dengan jujur. Ada yang berasal dari Kalimantan. Ada yang berasal dari Sumatera. Ada yang berasal dari Sulawesi. Ramai yang berasal dari pulau Jawa. Ada di antara mereka sudah pun menetap di kota Tanjung Pinang sejak puluhan tahun lamanya. Memang ada penduduk Tanjung Pinang yang sememangnya anak jati Kepulauan Riau, tetapi secara relatifnya bilangan mereka semakin mengecil bilamana penduduk dari pelusuk lain dalam Indonesia yang menghuni kota ini semakin bertambah.





Oleh itu, bagi saya, jika kita ingin menyaksikan kehidupan sebenar masyarakat jati Kepulauan Riau, maka kota Tanjung Pinang bukanlah tempat yang sesuai. Pada pengamatan saya, masyarakat Pulau Penyengat masih dapat mengekalkan budaya serta cara hidup orang Melayu. Saya juga dimaklumkan, budaya, adat serta cara hidup orang Melayu Riau masih kuat di kawasan yang agak jauh dari kota Tanjung Pinang.



Namun begitu, kota Tanjung Pinang sama sekali tidak boleh dibandingkan dengan Kuala Lumpur. Kuala Lumpur merupakan ibu negara, sedangkan Tanjung Pinang sekadar pusat pentadbiran kabupaten sahaja.



Luqman pula, bila ada kesempatan akan memenuhi hobinya iaitu melukis. Pelbagai lukisan amatur yang telah dihasilkannya berdasarkan pemandangan setempat yang dia dapat saksikan. Foto di atas merupakan lukisan Luqman mengenai Raja Ahmad.



Antara tempat yang menjadi tarikan di kota Tanjung Pinang ialah sebuah tempat makan yang dikenali sebagai Melayu Square. Kebetulan pula, kawasan ini letaknya tidak jauh dari hotel penginapan saya sekeluarga. Jaraknya yang dekat membolehkan kami berjalan kaki sahaja untuk ke tempat ini.



Melayu Square merupakan tempat makan yang sibuk dan sentiasa ramai pengunjungnya. Ia akan beroperasi bermula jam 4.30 petang WIB dan akan berakhir pada jam 12.00 malam WIB. Ia dibuka setiap hari.



Pelbagai makanan Melayu yang beraneka jenisnya pula boleh didapati di Melayu Square. Antaranya termasuklah otak-otak, pelbagai jenis masakan daging, pelbagai jenis masakan ikan, pelbagai sop, pelbagai jenis tomyam, pelbagai nasi, mi, dan macam-macam lagi. Semuanya dikatakan makanan Melayu. Walau bagaimanapun, pada hemat saya, harga makanan di sini agak mahal. Kalau kita makan di atas pondok, ia akan dicaj lain pula.

Pada pengamatan saya juga, agaknya kebanyakan peniaga di Melayu Square bukan anak jati Kepulauan Riau. Ini berdasarkan dialek yang mereka gunakan ketika bercakap menggambarkan bahawa mereka bukan anak jati Kepulauan Riau. Itu agakan saya sahaja. Walau bagaimanapun, sekali sekala, telinga saya tertangkap juga ada peniaga yang bertutur dialek Melayu ala Johor.



Seperkara yang ingin saya kongsikan di sini ialah, persepsi penduduk tempatan terhadap orang Malaysia masih baik. Bila mereka mengetahui saya sekeluarga dari Malaysia, mereka menerima dan melayan kami dengan baik. Ini bermakna, penduduk di sini tidak terpengaruh dengan gerakan anti Malaysia yang dipelopori oleh gerombolan yang menamakan kumpulan mereka sebagai Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera).





Gurindam 12 karangan Raja Ali Haji merupakan hasil kesusasteraan Melayu yang amat dibanggai oleh penduduk Kepulauan Riau. Secara umumnya, Gurinndam 12 merupakan kata-kata indah yang mengandungi nasihat dan ingatan. Ia mengandungi 12 fasal. Sebab itulah juga ia dikenali sebagai Gurindam 12.





Apabila saya dapat mengingati sebaris dua petikan daripada Gurindam 12, ia sudah cukup membuatkan orang tempatan merasa bangga dan seolah-olah turut menghormati saya. Kalaulah kita dapat menghafal keseluruhan gurindam berkenaan, ia tambah membuat mereka merasa bangga, seolah-olah bangga dan suka seorang tuan guru apabila muridnya berjaya menghafal sejumlah hadith. Demikianlah.





Justeru, Gurindam 12 dihasilkan dalam pelbagai bentuk. Selain daripada bentuk cetakan buku, ia turut dihasilkan dalam bentuk key chain, arca, frame dan sebagainya. Ia turut diukir di tempat-tempat tertentu. Ia juga dijual oleh kebanyakan gerai dan kedai di sekitar kota Tanjung Pinang.



9 Disember 2010 merupakan hari terakhir saya sekeluarga di Kepulauan Riau. Saya sengaja memilih untuk bertolak pulang ke Johor di sebelah pagi. Sekitar jam 6.15, kenderaan hotel telah menghantar kami ke jeti Tanjung Pinang. Sesampai sahaja kami di jeti, tukang angkat barang sudah sedia menanti. Saya sudah faham keadaan. Setelah barang selesai diangkat, upahnya harus diberi.

Namun begitu, sedikit mengejutkan saya ialah apabila kami juga harus membayar 13 ribu rupiah seorang untuk mendapatkan bodding pass. Selain itu, untuk confirm tiket pula, kami juga harus membayar 100 ribu rupiah seorang. Sebenarnya saya sekeluarga telah pun membeli tiket dua hala. Namun begitu, oleh kerana itu sudah menjadi budaya orang setempat, akur sahajalah.

Demikianlah coretan saya mengenai kunjungan kami sekeluarga ke Kepulauan Riau. Mudah-mudahan sedikit sebanyak ia memberi manfaat kepada para pengunjung blog ini. Kepada rakan-rakan senasib yang berhasrat ingin turut berkunjung ke daerah berkenaan, mudah-mudahan coretan yang tak seberapa ini juga berupaya memberikan panduan tertentu.

Salam dari Kuantan.

Saturday, January 1, 2011

Menghadiri Mesyuarat Dan Bengkel E-Braille Quran Bersama Penyelidik UTM

Sejak Khamis lalu, saya sekeluarga telah berada di Lumut. Kami menginap di sebuah hotel yang letaknya tidak jauh dari Lumut. Lokasi hotel ini memang strategik, tetapi jalan untuk tiba ke sini mencabar, bahkan agak menggerunkan juga pada waktu malam.



Tujuan utama saya di sini ialah untuk menghadiri mesyuarat dan bengkel berkaitan dengan penyelidikan E-Braille Quran For Teaching Aid. Selain saya, mesyuarat dan bengkel ini turut dihadiri kumpulan penyelidik daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor. Seingat saya, ini merupakan bengkel ketiga di sepanjang tahun 2010. Untuk bengkel kali ini, ia telah berlangsung sejak Khamis lalu (2010) dan akan berakhir pada hari esok (2011).



Pagi tadi, telah berlangsung demonstrasi hasil penyelidikan (setakat ini) khusus untuk ahli keluarga para kumpulan penyelidik yang hadir. Selain itu, ia juga turut mendedahkan perkembangan terkini mengenai penyelidikan yang sedang berjalan.





Di sini, saya tidaklah berhasrat untuk menerangkan aspek teknikal mengenai penyelidikan yang akan siap insha-Allah sekitar 10 bulan lagi itu. Lagi pun, itu bukan bidang saya. Namun demikian, saya akan cuba berkongsi beberapa maklumat terkini untuk pengetahuan kita bersama. Pada perkiraan saya, perkembangan setakat ini amat menarik. Saya amat yakin, antara orang yang sedang teruja dengan perkembangan sebegini ialah En. Ahmad Bustamam, dari Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia.



Secara ringkasnya, matlamat akhir penyelidikan ini ialah untuk menghasilkan sejumlah penal elektronik yang boleh menimbulkan huruf-huruf Braille secara timbul dan boleh dirasa oleh mereka yang cacat penglihatan. Saiz penal ini pula lebih kecil daripada mesin Braille (Perkin’s Brailler). Manakala beratnya pula lebih ringan daripada mesin Braille berkenaan.



Kegunaan utama penal elektronik ini nanti ialah sebagai alat untuk menyimpan data Alquran Braille. Selain itu, alat (penal ) inni juga boleh digunakan sebagai alat untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Alquran Braille. Bahkan penal ini juga berpotensi besar untuk digunakan sebagai alat pengajaran dan pembelajaran untuk subjek-subjek lainn.



Secara umumnya, penal ini terbahagi kepada dua mod. Mod yang pertama ialah apa yang dikenali sebagai stand alone. Pada penal ini sudah tersimpan data-data Alquran Braille 30 juzuk. Oleh itu, para pengguna Alquran Braille hanya memerlukan penal ini sahaja untuk membaca Alquran Braille. Huruf-huruf Alquran Braille akan tibul pada satu bahagian di penal ini secara silih berganti. Pengguna boleh menentukan sendiri ayat dan surah mana yang hendak dibaca. Selain itu, pengguna juga boleh mengakses surah dan ayat yang diingini menerusi penal ini dengan amat mudah.

Selain itu, menerusi penal ini juga, para pengguna juga boleh memilih untuk mendengar bacaan ayat-ayat suci Alquran. Ini kerana selain daripada titik-titik Braille, penal ini juga turut dilengkapi dengan audio bacaan Alquran.



Selain itu, penal ini juga mempunyai apa yang dikenali sebagai mod kluster. Menerusi mod ini, penal ini boleh digunakan sebagai alat untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan. Sebagai contoh, katakanlah dalam sebuah kelas ada 6 orang pelajar. Kesemua 6 pelajar berkenaan akan dibekalkan dengan seunit penal seorang. Manakala guru pula akan menggunakan penal utama atau komputer. Apabila guru menekan huruf-huruf Braille yang berkaitan dengan pengajarannya, maka secara serentak huruf-huruf Braille yang telah ditekan oleh guru berkenaan akan turut timbul pada setiap penal yang ada pada setiap murid tadi. Lebih menarik lagi, kesemua penal yang terlibat tidak dihubungkan dengan wayar. Maknanya kesemua penal tersebut dikawal secara wireless. Di awal penyelidikan dahulu, saya amat menekankan perkara ini supaya semasa penggunaan penal kelak, tiada murid cacat penglihatan yang tersandung kakinya kerana wayar yang berselirat.



Sebagaimana yang saya nyatakan tadi, oleh kerana saiz dan berat penal ini lebih kecil dan lebih ringan daripada sebuah mesin Braille, maka penal ini bersifat portable dan boleh dibawa ke mana-mana dengan mudah. Insha-Allah bila penal ini sudah mula diketengahkan untuk manfaat kumpulan sasar, maka kita tidak perlu lagi membawa senaskah Alquran Braille bercetak yang lebih berat dan lebih besar saiznya itu. Demikianlah kebesaran Allah.



Seperkara yang menarik ialah, sewaktu penyelidikan sedang berjalan, ada ahli kumpulan penyelidik yang berkemahiran dengan software telah menemui kaedah untuk menyemak ketepatan penggunaan rasam Uthmani dalam Alquran Braille menerusi penggunaan ICT. Saya rasa, penemuan kaedah ini bukan sahaja penting bahkan ia bakal memudahkan perancangan dan hala tuju Alquran Braille selanjutnya. Namun begitu, saya tidak dapatlah untuk menghuraikan dengan lebih terperinci mengenai hal itu di sini. Takut-takut software berkenaan dikebas pula oleh puak yang suka menangguk di air keruh.



Perlu saya nyatakan di sini, kehadiran saya di sini sebagai mewakili Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS). Lagi pun, penyelidikan ini adalah merupakan kerjasama antara UTM dengan PERTIS.



Tidak terlalu awal untuk saya mengucapkan tahniah dan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua ahli kumpulan penyelidik daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UTM. Mereka merupakan lulusan universiti tempatan dan mereka juga sebelum ini langsung tidak berpengetahuan mengenai Braille dan dunia bolongan cacat penglihatan. Namun demikian, ia sama sekali tidak menghalang untuk mereka menyumbang sesuatu kepada golongan seperti saya. Ucapan yang serupa juga ditujukan kepada 5 orang pensyarah yang terlibat yang mempunyai komitmen yang sangat tinggi ke arah memastikan kejayaan penyelidikan yang sedang berjalan.

Kepada rakan-rakan senasib, marilah kita sama-sama berdoa semoga usaha murni mereka ini akan diberkati Allah dan akan membuahkan hasil kelak. Lagipun, penyelidikan yang sedang mereka laksanakan bukan untuk mereka, tetapi untuk orang seperti kita. Di sepanjang perkenalan dan pergaulan saya dengan mereka, sifat-sifat seperti suka menangguk di air keruh langsung tiada kepada mereka.

Salam dari Lumut.

Selamat Tahun Baru Masihi 2011

Bersempena dengan kedatangan tahun baru Masihi 2011, saya mengucapkan selamat tahun baru khususnya kepada para pengunjung blog ini. Semua pihak, daripada para pemimpin negara hinggalah kepada rakyat biasa, masing-masing mengharapkan agar tahun 2011 akan merupakan tahun yang lebih baik daripada tahun sebelumnya.

Di sini, saya juga ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada mereka yang telah menghantar ucapan selamat tahun baru kepada saya menerusi pelbagai saluran komunikasi. Ucapan dikirim tanda ingatan. Ia juga membawa mesej hubungan yang sedia ada ingin diteruskan bersempena dengan kehadiran tahunbaru Masihi 2011.

Walaupun tahun 2010 telah melabuhkan tirainya, tetapi apa yang telah berlaku atau apa yang telah kita lakukan di sepanjang tahun berkenaan akan tetap menjadi ingatan, kenangan, bahkan akan menjadi sebutan di masa hadapan pula. Itulah sejarah. Maknanya, jika kita telah melakukan sesuatu yang tidak baik, amat mustahil untuk kita memaksa sejarah supaya mengubah dengan mengatakan apa yang telah kita lakukan itu adalah baik. Walau bagaimanapun, selagi nyawa belum sampai ke ghargharah, maka pintu taubat masih terbuka luas. Demikianlah Maha Penyayangnya Allah itu.

Sebagaimana biasa, kedatangan tahun baru Masihi 2011 telah disambut dengan pelbagai cara. Ada yang menyanyi; ada yang menari; ada juga yang mengadakan ceramah dan bernasyid; pendek kata, bermacam cara. Biar apa pun caranya, seperkara yang tidak dapat kita ketepikan ialah, kehadiran tahun baru, tak kiralah sama ada tahun Hijrah mahupun tahun baru Masihi, mesej hakikinya ialah umur kita semakin pendek dan hari yang telah dijanjikan-Nya untuk kita semakin hampir. Saya bukan menakutkan, tetapi sekadar mengingatkan terutamanya buat diri sendiri.

Salam dari Lumut.