Tuesday, March 22, 2011

Mari Kita Sama-sama Bantu Beseri Ahmad

Tengah malam tadi, saya telah menerima SMS daripada Kak Jamilah (isteri Beseri). Antara lain, kandungan SMS beliau berbunyi:


Slm,basri msuk Wad13U PPUM Katil21,hrp de yg sudi..tlg bgtwu ahli2 PERTIS..basri xdpt cri nfkh skg ni..hrp pertis dpt buat sesuatu..JAMILAH BINTI MAT No. Tel:0392225288.


Penyakit yang dihidapi oleh Saudara Beseri sudah agak lama. Beliau pun sudah keluar masuk wat beberapa kali. Kisah mengenai dirinya juga sudah beberapa kali dipaparkan menerusi blog ini.



Saya tidak berhasrat untuk mengulas lebih lanjut kandungan SMS yang dihantar kepada saya oleh isterinya sebagaimana yang saya paparkan di atas. Kita boleh sama-sama membacanya, menghayatinya dan kalau boleh berempati dengannya.

Demikianlah nasib yang menimpa Beseri Ahmad. Beberapa hari lalu, saya baru sahaja postingkan tulisan (cadangan) mengenai keperluan menubuhkan satu persatuan pemuzik cacat penglihatan. Suatu ketika dahulu, sewaktu zaman persekolahannya, Beseri antara pemain muzik yang disegani. En. Mohd Fadhil Ahmad (Allahyarham), seorang pemain gambus ternama turut mengkagumi kebolehan dan bakat Beseri dalam bidang muzik, khususnya gambus. Itu apa yang pernah dilalui oleh Beseri sewaktu zaman persekolahannya.

Kini setelah zaman berubah, nasib Beseri juga turut berubah. Setelah zaman persekolahannya berakhir, keagungan bakat muziknya juga seolah-olah turut sama berakhir. Oleh kerana yang ada kepada beliau hanya bakat tanpa kelulusan yang berkenaan, maka nasib beliau kian tersisih selaku pemuzik jalanan. Hari ini, apabila beliau ditimpa dengan penyakit, beliau semakin bersendirian. Demikianlah liku-liiku yang dilalui oleh seorang yang berbakat besar dalam bidang muzik tetapi tidak disertai oleh sijil kelulusan yang mengiktiraf bakat yang ada padanya.

Kepada rakan, sahabat dan taulan yang masih mengenali atau mengingati saudara Beseri, atau sesiapa sahaja yang bersimpati dengan nasib yang sedang ditanggung oleh beliau, marilah sama-sama kita menghulurkan apa sahaja bantuan yang termampu untuk meringankan beban yang sedang ditanggung oleh Beseri. Kepada yang prihatin, bolehlah hubungi nombor telefon sebagaimana yang tertera dalam SMS isterinya di atas, atau boleh menghubungi telefon tangan di nombor 013-3228624. Kepada yang ada kelapangan, boleh juga menziarahi beliau di hospital. Kepada yang prihatin, saya bagi pihak Beseri mengucapkan jutaan terima kasih.

No comments: