Saya pernah menulis beberapa kali mengenai golongan cacat penglihatan dan dunia muzik mereka menerusi blog ini. Kali akhir saya bercakap secara terbuka mengenainya ialah dalam satu forum di auditorium Majlis Peguam pada 12 Disember 2010 yang lalu. Hasil daripada tulisan tersebut, pelbagai pengajaran, pengalaman dan kenangan pula yang saya perolehi. Biar apa pun cerita dan kisah mengenainya yang telah berlalu, namun permasalahan mengenai dunia muzik dan golongan cacat penglihatan masih jauh daripada dikatakan selesai. Walaupun saya sendiri tidak boleh bermain sebarang alat muzik, sekadar tahu mendengar sahaja, saya merasakan adalah sesuatu yang amat merugikan apabila bakat muzik yang telah dianugerahkan itu dibiarkan sia-sia begitu sahaja tanpa sebarang langkah dan usaha yang berkesan diambil bagi mengatasi permasalahan yang masih melanda.
Dalam hal ini, saya merasakan masih ramai lagi yang gagal memahami dann menyelami permasalahan sebenar yang sedang dihadapi oleh golongan berbakat dalam bidang muzik dalam kalangan mereka yang cacat penglihatan. Peranan badan-badan bukan kerajaan yang berkaitan dengan golongan cacat penglihatan yang seakan meminggirkan isu ini hanya mengakibatkan permasalahan ini kian rumit dan seakan tiada penghujungnya. Masalah paling serius ialah sukar mendapatkan pengiktirafan secara bersijil di pelbagai peringkat. Kesukaran ini pula disebabkan bidang muzik masih lagi gagal mendapat tempat dalam sistem pendidikan negara kita.
Setakat yang saya ketahui, untuk membolehkan seseorang itu menjadi pemuzik secara profesional, sekurang-kurangnya mereka mesti tahu membaca not muzik. Manakala not muzik dalam Braille pula sudah lama wujud, hanya di negara kita sahaja ia masih tidak diperkenalkan secara meluas. Mengapa ia masih tidak diperkenalkan? Jawapannya ada pada si fulan dan si anu. Adakah golongan cacat penglihatan tidak berbakat dalam bidang muzik? Saya rasa hampir semua orang tahu akan jawapan sebenarnya. Jadi, selama ini ke manakah bakat muzik dalam kalangan golongan cacat penglihatan dihalakan? Jawapannya ada kepada mereka yang pernah mendapat manfaat daripada bakat sedemikian.
Justeru, selagi jalan penyelesaian bagi permasalahan ini tidak diusahakan secara serius, maka selama itulah juga bakat muzik yang telah dianugerahkan itu akan terus-terusan dipersiakan. Oleh kerana tiada pilihan lain, maka bilangan pemuzik jalanan cacat penglihatan mungkin akan bertambah. Adakah itu yang dihasratkan selama ini?
Pada pandangan sesetengah pihak, sudah tiba masanya bagi golongan pemuzik cacat penglihatan untuk bergerak secara kolektif, tersusun dan lebih objektif. Dengan erti kata lain, masanya sudah tiba bagi golongan berkenaan untuk menubuhkan sebuah persatuan yang khusus untuk menjaga dan membela kepentingan para pemuzik cacat penglihatan di seluruh negara. Hal sebegini dirasakan semakin perlu bilamana badan-badan bukan kerajaan yang berkaitan golongan cacat penglihatan yang sedia ada kurang berkesan dalam mengangkat martabat golongan berkaitan ke tahap yang sepatutnya. Selain itu, usaha-usaha untuk memartabatkan bidang muzik menerusi sistem pendidikan yang ada masih menemui jalan buntu. Walaupun usaha sebegini masih lagi diteruskan, tetapi ia tak ubah umpama mudik tatkala surut, menghilir tatkala pasang.
Oleh itu, sudah tiba masanya para pemuzik cacat penglihatan bergerak dalam sebuah persatuan sendiri. Untuk jangka panjang, kewujudan persatuan yang dimaksudkan akan memberi kesan yang lebih positif khususnya mengenai masa depan golongan pemuzik cacat penglihatan. Bahkan saya yakin, menerusi persatuan yang dicadangkan, bidang muzik akan dapat dikembangkan sehingga mampu menjadi satu profesion yang lebih menjamin masa depan golongan berkenaan. Saya juga yakin, jika ada mana-mana pihak atau individu yang berhasrat untuk merealisasikan hasrat ini, maka akan ada pihak lain yang akan tampil membantu.
Oleh itu, kepada rakan-rakan senasib yang mempunyai kepentingan secara langsung dalam bidang muzik, saya rasa eloklah difikirkan secara serius pandangan dan cadangan yang diutarakan. Sudah tiba masanya untuk kita sendiri yang tampil dan mengangkat martabat sendiri. Jangan lagi diharap padi di seberang, kerana entahkan jadi entahkan tidak.
Walau bagaimanapun, saya juga berharap agar persatuan itu nanti biarlah bergerak sendiri dan jangan menumpang organisasi orang lain. Ingat, rambut mungkin sama hitam, tetapi hati tetap lain.
Saya sekadar memanjangkan pandangan dan cadangan daripada salah seorang rakan yang berpenglihatan sahaja.
Salam dari Kuantan.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
No comments:
Post a Comment