19 Oktober yang lalu merupakan hari kemuncak kepada rentetan proses memilih barisan pucuk pimpinan dalam UMNO. Ia merupakan detik penting dalam sejarah UMNO itu sendiri. Ini merupakan pemilihan pertama dalaman UMNO era pasca pilihanraya umum ke-13. Apa yang pasti ialah seolah-olahnya menunjukkan bahawa keputusan pilihanraya umum bulan Mei lalu tidak begitu mempengaruhi keputusan pemilihan dalam UMNO kali ini. Walaupun pencapaian UMNO dalam pilihanraya umum berkenaan tidaklah sebagus mana tetapi rata-rata barisan kepimpinannya masih mampu mengekalkan statusquo yang sedia ada. Di sam ping itu, ada calon tertentu yang tidak bertanding dalam pilihanraya umum lalu tetapi masih diberikan kepercayaan dan peluang untuk menerajui salah satu sayap dalam UMNO.
Untuk dua jawatan teratas (presiden dan timbaan presiden), ia telah dimenangi oleh penyandang masing-masing tanpa pertandingan. Sama ada ia bersifat demokratik atau tidak, itu bukan persoalannya. Ini kerana sebahagian ahli UMNO telah bersetuju supaya kedua-dua kedudukan paling atas tidak dipertandingkan. Almaklumlah kalau tak setuju nanti dianggap menentang pula. Berdasarkan keputusan semalam, saya yakin statusquo menang tanpa bertanding ini bukanlah bersifat selama-lamanya. Akan tiba masa dan ketikanya kedudukan dua tempat teratas berkenaan akan dicabar juga, sama ada kedua-dua kedudukan berkenaan atau salah satu daripadanya. Lagipun mencabar kedudukan presiden dan timbalan presiden dalam pemilihan seperti ini tidak bertentangan dengan perlembagaan UMNO.
Untuk tiga kerusi naib presiden pula, nampaknya ketiga-tiga penyandang sebelum ini turut berjaya mengekalkan kedudukan masing-masing. Ketiga-tiga mereka merupakan ahli parlimen dan ada kedudukan dalam kerajaan iaitu berstatus menteri. Ini mungkin merupakan isyarat daripada akar umbi bahawa hanya pemimpin yang sedia ada sahaja yang masih berkeupayaan dan yang harus diberikan kepercayaan untuk menerajui UMNO. Lebih jauh lagi, para pemilih juga menyandarkan harapan tinggi supaya ketiga-tiga naib presiden dapat memacu UMNO ke satu anjakan yang setara dengan tuntutan massa.
Manakala kekalahan Tan Sri Mohd Isa dan Datuk Seri Mohd Ali Rostam pula sudah dijangka lebih awal. Datuk Seri Mohd Ali baru sahaja kalah di parlimen Bukit Katil dan tiada pula jawatan dalam kerajaan. Apabila beliau tewas pula untuk merebut salah satu kerusi naib presiden, maka apa yang menimpa beliau bolehlah diibaratkan bagai sudah jatuh ditimpa tangga. Hanya Datuk Seri Mohd Ali sahaja yang tahu sakit atau tidaknya. Adakalanya orang politik sukar untuk menokhtahkan kerjaya politiknya. Adakah laluan politik yang semakin menurun yang sedang dilalui oleh Datuk Seri Mohd Ali akan membuatkan beliau mula berfikir untuk bersara dari politik?
Manakala Tan Sri Mohd Isa pula walaupun merupakan ahli parlimen Jempul dan pengerusi FELDA, tetapi beliau juga tidak ada kedudukan dalam kerajaan. Lagipun, kesilapan lamanya dalam UMNO mungkin masih menjadi igauan kepada sebahagian pemilih. Ini mungkin juga isyarat daripada sebilangan ahli UMNO yang tidak mahu pisang berbuah dua kali.
Percubaan kali pertama Datuk Mukhriz Tun Mahathir untuk menduduki salah satu kerusi naib presiden gagal mungkin disebabkan pengaruh ketiga-tiga penyandang kerusi naib presiden masih kuat. Lagipun masih ada yang mengemukakan teori bahawa populariti politik Datuk Mukhriz masih lagi dibayangi oleh nama dan pengaruh bapanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Namun begitu Datuk Mukhriz tidak seharusnya berputus asa kerana sekali gagal ia bukan bermakna gagal untuk selama-lamanya. Lagipun, saya berkeyakinan bahawa beliau akan diberi tempat sebagai salah seorang daripada 10 (kalau saya tidak silap) tempat sebagai ahli Majlis Tertinggi UMNO yang akan dilantik oleh presiden nanti.
Selepas ini Datuk Mukhriz harus mencari identiti sendiri. Beliau tidak boleh lagi hanya bergantung kepada populariti pengaruh dan nama bapanya semata-mata. Oleh kerana pilihanraya kecil DUN Sungai Limau semakin hampir, maka tidak keterlaluan jika saya nyatakan bahawa kegagalan Datuk Mukhriz untuk menduduki salah satu kerusi naib presiden UMNO boleh memberi kesan kepada jentera BN untuk pilihanraya kecil berkenaan.
Namun begitu kegagalan Datuk Mukhriz untuk merebut kerusi naib presiden perlu juga dilihat dari sudut yang lain. Mungkin orang yang paling kecewa di atas kegagalan Datuk Mukhriz ialah bapanya sendiri, Tun Mahathir. Kegagalan Datuk Mukhriz kali ini telah membantutkan usaha atau rancangan untuk melonjakkan kedudukan Datuk Mukhriz sendiri ke aras yang lebih tinggi. Tidak keterlaluan jika saya nyatakan bahawa kegagalan Datuk Mukhriz kali ini merupakan kekalahan moral kali kedua kepada Tun Mahathir. Kalau kita masih ingat, beberapa tahun lalu Datuk Mukhriz juga gagal untuk menewaskan Khairy Jamaludin dalam perebutan kedudukan sebagai ketua sayap pemuda. Kali ini Datuk Mukhriz sekali lagi gagal untuk menempatkan dirinya pada salah satu kerusi naib presiden. Moralnya ialah, sebilangan ahli UMNO sendiri enggan menerima peralihan teraju kepimpinan dalam parti berkenaan yang bercorak warisan.
Dalam sejarah perjalanan UMNO kerusi naib presiden amat penting kerana ia merupakan kedudukan paling strategik untuk meninjau kerusi timbalan presiden dan kerusi presiden dengan lebih jelas lagi. Kepedihan gara-gara kekalahan moral kali ini semakin dirasai oleh Tun Mahathir bilamana Khairy Jamaludin berjaya pula untuk mempertahankan kedudukan selaku ketua pemuda UMNO dengan kemenangan yang cukup bergaya.
Untuk sayap pemuda UMNO pula, kemenangan Khairy Jamaludin turut sudah diramal lebih awal oleh sebilangan penganalisis politik. Ini memandangkan para pencabarnya tidak berkesempatan untuk menunjukkan bakat mereka khususnya dalam politik. Apatah lagi para pencabar beliau merupakan orang yang masih baru dalam politik. Mereka pula tiada jawatan dalam kerajaan. Sepatutnya para pencabar Khairy perlu mengambil iktibar daripada kekalahan Datuk Mukhriz beberapa tahun lalu dalam perebutan jawatan ketua pemuda UMNO.
Beberapa kelebihan yang sememangnya sudah dimiliki Khairy turut membantu kemenangan beliau untuk mempertahankan kerusi ketua pemuda UMNO. Beliau merupakan seorang menteri kabinet. Beliau juga telah membuktikan kesetiaannya yang tulen kepada UMNO. Beliau juga kini lebih bersikap terbuka sama ada kepada kawan mahupun kepada lawan. Inilah yang dikatakan kematangan dalam berpolitik. Keistimewaan seperti ini juga jarang dimiliki oleh sebilangan pemimpin dalam kalangan generasi tua dalam UMNO. Di samping itu, Khairy juga mula menunjukkan kemampuannya dalam mentadbir kementerian yang dikepalainya. Beliau dikatakan punya wawasan yang jelas dalam memacu golongan belia ke arah yang lebih berfokus. Selain itu, wawasannya dalam merancakkan program memajukan sukan juga semakin menyerlah. Saya berpendapat, untuk pemilihan yang akan datang (2016) Khairy sudah boleh membuat persediaan untuk menduduki salah satu kerusi naib presiden UMNO.
Dari aspek yang lain pula, kemenangan Khairy agaknya turut menceriakan bapa mertuanya. Maka berlakulah dua reaksi yang berbeza daripada dua orang mantan presiden UMNO, yang seorang marah-marah, manakala yang seorang lagi tersenyum-senyum.
Bagi sayap wanita UMNO pula, kemenangan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menunjukkan bahawa apa yang beliau alami selama ini langsung tidak mencacatcelakan sokongan golongan wanita dalam UMNO kepada beliau. Bahkan kelakuannya yang telah menyingsing lengan dalam mesyuarat perwakilan wanita UMNO beberapa tahun lalu mungkin dianggap suatu keberanian yang tiada taranya khasnya oleh golongan wanita dalam UMNO. Justeru tidak menghairankan bilamana golongan wanita dalam UMNO masih menaruh kepercayaan besar kepada Datuk Seri Shahrizat untuk memimpin sayap wanita bagi jangka masa beberapa tahun lagi. Beberapa isu yang terpalit kepada beliau selama ini sama sekali tidak mempengaruhi undi para pemilih UMNO. Kehebatan beliau dalam mempertahankan kerusi ketua wanita UMNO juga turut terserlah. Beliau sememangnya tiada sebarang jawatan dalam kerajaan. Hanya berstatus mantan menteri sahaja. Beliau juga tidak bertanding dalam pilihanraya umum yang lalu. Keupayaan beliau dalam mempertahankan kedudukannya selaku ketua wanita UMNO dalam situasi sedemikian cukup mengkagumkan.
Mungkin apa yang diharapkan oleh para ahli UMNO peringkat akar umbi ialah perubahan kepada UMNO itu sendiri. UMNO harus berubah agar sentiasa relevan dengan kehendak semasa. Para pemimpin atasan UMNO seharusnya lebih terbuka untuk mendengar pandangan golongan muda dalam UMNO. Itu yang sepatutnya berlaku dan dilakukan.
Walau bagaimanapun, berdasarkan barisan kepimpinan yang baru sahaja terpilih, sasaran perubahan yang diharapkan mungkin sukar untuk dicapai. Untuk menuju ke arah perubahan yang hakiki, beberapa masalah utama yang sedang menunjangi parti tersebut harus diselesaikan secara total. Amalan politik wang dikatakan masih belum reda. Perbuatan menikam dari belakang masih berleluasa. Penguasaan keturunan golongan bangsawan juga tidak seharusnya dibiarkan berpanjangan. Kejayaan mengekalkan statusquo yang ada bermakna kesukaran melakukan anjakan perubahan yang lebih relevan.
Sama ada kita suka atau tidak, hakikatnya apa yang berlaku dalam UMNO tetap mempunyai implikasi terhadap negara kita secara keseluruhannya. Maka itulah tidak menghairankan bilamana pemilihan pucuk pimpinan UMNO baru-baru ini diperhatikan dari dalam dan diintai dari luar.