Sunday, December 21, 2008

Aktiviti Mewarna

Bolehkah Golongan Cacat Penglihatan Melakukan Aktiviti Mewarna?

 

            Dalam dunia pendidikan hari ini, unsur-unsur grafik merupakan elemen yang sangat berkesan, sangat penting dan sangat luas digunakan khususnya dalam proses pelaksanaan dan penyampaian dalam pengajaran dan pembelajaran di peringkat sekolah.  Antara kelebihan dan keberkesanan unsur grafik dalam pendidikan ialah ia berupaya menarik perhatian murid dengan lebih mudah.  Ia juga  turut memudahkan para guru untuk mencapai setiap hasil pembelajaran yang telah dirancang.  Antara unsur grafik yang saya maksudkan termasuklah pelbagai jenis peta, pelbagai bentuk carta, graf dan sebagainya.  Ia juga tidak boleh lari daripada aktiviti seperti melukis, mewarna dan melakar.  Jika melihat perkembangan dan corak penulisan buku-buku teks hari ini pun, maka unsur grafik merupakan antara elemen penting dan semakin kerap digunakan.  Bila bercakap sahaja unsur grafik, teringat saya kepada satu pepatah Inggeris yang antara lain bermaksud: "Satu gambar boleh menceritakan seribu satu cerita".

 

            Dalam tulisan saya kali ini, saya tidaklah berhasrat untuk membincangkan unsur grafik dalam erti dan skopnya yang luas.  Sekadar satu pandangan, saya akan cuba menerangkan bagaimana golongan cacat penglihatan khususnya murid-murid boleh diikutsertakan dalam aktiviti mewarna.  Selama ini, bila disebut sahaja cacat penglihatan, maka aktiviti seumpama ini akan terkeluar daripada topik kemampuan golongan sibuta.

 

            Apabila kita ingin melibatkan golongan cacat penglihatan dengan unsur grafik, maka satu perkara penting yang harus dipertimbangkan ialah sejarah kebutaan seseorang cacat penglihatan itu.  Dalam konteks ini, bagi saya kebutaan seseorang itu boleh dibahagikan kepada 2 kumpulan.  Kumpulan pertama ialah mereka yang buta semasa lahir yang turut meliputi tempoh sebelum seseorang itu belum berupaya mengingat sesuatu.  Kumpulan kedua pula ialah mereka yang hilang penglihatannya ketika sudah berupaya mengingat sesuatu hinggalah ke alam dewasa.

 

            Saya akan cuba memfokus perbincangan topik ini kepada kumpulan pertama, iaitu mereka yang telah hilang penglihatannya sejak lahir dan meliputi tempoh sebelum dia dapat mengingat sesuatu.  Saya lebih memfokus kepada kumpulan ini kerana bagi saya golongan inilah yang paling banyak menghadapi cabaran untuk memahami unsur grafik.  Saya memilih aktiviti mewarna dalam perbincangan ini kerana aktiviti berkenaan merupakan aktiviti paling mudah, paling asas dan amat diminati oleh murid-murid.  Aktiviti ini juga banyak dilaksanakan di peringkat prasekolah dan tahap satu peringkat pendidikan rendah.

 

            Untuk membolehkan murid-murid cacat penglihatan terlibat dengan aktiviti mewarna, terlebih dahulu mereka harus diperkenalkan dengan konsep warna secara teori.  Mereka juga harus didedahkan dengan kepentingan warna.  Di tahap ini, amat perlu bahan-bahan maujud digunakan dan dakaitkan dengan penerangan mengenai warna.  Umpamanya, rambut dikaitkan dengan warna hitam.  Warna hijau pula boleh dikaitkan dengan daun segar.  Warna putih pula sesuai untuk dikaitkan dengan baju sekolah yang mereka pakai.  Penggunaan benda-benda maujud ini amat penting.  Sekurang-kurangnya mereka boleh merasa bahan maujud berkenaan walaupun tanpa melihat warna yang ada padanya.

 

            Setelah mereka memahami konsep warna berdasarkan bahan-bahan maujud tadi, konsep warna boleh diluaskan lagi dengan mengaitkan warna dengan benda-benda yang sukar untuk mereka capai dan sentuh.  Umpamanya langit boleh dikaitkan dengan warna biru.  Salji pula boleh dikaitkan dengan warna putih.  Lumut pula boleh dikaitkan dengan warna hijau.

 

            Untuk mengukuhkan lagi pemahaman mereka mengenai warna, bolehlah didedahkan konsep kepelbagaian warna pada satu benda.  Umpamanya, bendera Malaysia mempunyai 4 warna yang berbeza.  Pelangi pula mempunyai 7 warna yang berlainan.  Dengan ini, murid-murid tadi secara teorinya akan lebih terdedah dengan peranan warna sebagai lambang keindahan dan konsep warna-warni.

 

            Selanjutnya, murid-murid cacat penglihatan tadi juga boleh didedahkan dengan perubahan warnayang boleh berlaku.  Umpamanya jika daun segar berwarna hijau, daun yang hampir mati pula akan berwarna kekuningan.

 

            Setelah itu, mereka boleh didedahkan pula dengan senarai warna.  Mereka boleh diminta untuk mengingat seberapa banyak warna  yang boleh.  Jika perlu, mereka juga boleh diminta untuk menulis warna-warna yang mereka boleh ingat.

 

            Jika proses di atas berjalan lancar dan hasilnya positif, maka murid-murid cacat penglihatan tersebut boleh didedahkan pula dengan alat-alat yang digunakan untuk mewarna.  Ini termasuklah kertas, berus  serta alat mewarna.  Sebaiknya alat mewarna tersebut tidak bahaya, boleh disentuh dengan tangan dan tidak mendatangkan kesan yang lama pada tangan dan mudah hilang bila dicuci dengan air.  Setiap alat mewarna itu pula hendaklah dilabelkan dengan huruf-huruf Braille.  Umpamanya, label "hijau" hendaklah diletakkan pada pensel warna yang berwarna hijau.  Tujuannya supaya murid-murid cacat penglihatan boleh membezakan antara satu warna dengan warna yang lain.

 

            Seterusnya, murid-murid cacat penglihatan tersebut sudah boleh didedahkan pula dengan cara mewarna.  Untuk tujuan ini, sebagai permulaan, murid-murid tersebut boleh diminta untuk menconteng sahaja kertas yang diberi dengan warna yang mereka suka.  Pada masa yang sama, murid-murid itu hendaklah ditunjukkan cara-cara yang betul untuk memegang alat mewarna dan kertas supaya semasa aktiviti menconteng dilakukan, kertas tersebut tidak bergerak.

 

            Jika hasil daripada proses di atas positif, maka murid-murid cacat penglihatan tadi  boleh diminta untuk mewarna bahan-bahan maujud yang sesuai seperti batu, blok kayu, kepingan papan dan yang seumpamanya.  Tujuannya untuk mendedahkan kepada mereka supaya mewarna mengikut lingkungan yang telah ditentukan.  Jika diperhatikan, proses ini berbeza daripada proses sebelumnya,  Proses sebelumnya murid-murid boleh mewarna secara bebas di atas kertas.  Manakala proses ini pula murid-murid hanya mewarna mengikut bentuk yang telah ditentukan.

 

Jika proses di atas telah menunjukkan hasil yang positif, maka murid-murid berkenaan sudah boleh diminta pula untuk mewarna gambar-gambar tertentu.  Perlu diingat, gambar-gambar yang dimaksudkan semestilah gambar timbul.  Untuk tujuan ini, guru boleh menyediakan gambar rajah timbul di atas kertas yang sesuai.  Umpamanya guru boleh menyediakan gambar daun segar yang timbul.  Labelkan gambar tersebut dengan huruf Braille.  Setelah itu, mintalah murid-murid tadi warnakan gambar daun segar tadi.  Saya penuh yakin, sekiranya semua proses di atas telah didedahkan dan kemahiran di atas dapat dikuasai oleh murid, maka di tahap ini murid tadi pasti akan berjaya mewarna gambar daun timbul dengan baik.  Di tahap ini, para guru harus menyediakan gambar rajah timbul terlebih dahulu sebelum ia diwarnakan oleh murid-murid berkenaan.  Ini bermakna, sekiranya guru-guru berkenaan tidak mempunyai pengetahuan dan kemahiran mendalam untuk menghasilkan gambar rajah timbul yang benar-benar berkualiti, bagi saya hampir mustahil aktiviti mewarna untuk murid-murid cacat penglihatan dapat direalisasikan.

 

            Bagaimana pula untuk mewarna pada gambar yang mempunyai lebih daripada satu warna di atasnya?  Contoh gambar yang saya maksudkan ialah bendera Malaysia.  Aktiviti ini dapat dilaksanakan dengan agak mudah.  Terlebih dahulu, guru berkenaan hendaklah menyediakan gambar timbul bendera Malaysia.  Untuk membolehkan murid-murid cacat penglihatan mengenal dengan pasti bahagian-bahagian bendera yang perlu diwarnakan dengan jenis warna tertentu, maka bagi saya, dua kaedah boleh digunakan.  Pertama, oleh kerana bendera Malaysia mempunyai 4 warna, maka permukaan gambar timbul bendera Malaysia itu hendaklah dibuat dengan 4 jenis permukaan yang berbeza.  Umpamanya, permukaan licin untuk warna kuning.  Permukaan kasar untuk warna merah.  Permukaan separuh kasar untuk warna putih.  Manakala permukaan separuh licin pula untuk warna biru.  Murid-murid mesti diingatkan bahawa permukaan yang berbeza bukan bermakna permukaan bendera Malaysia itu sedemikian, tetapi ia sekadar untuk memudahkan mereka meletakkan warna yang betul pada permukaan yang sesuai.

 

            Kaedah kedua pula ialah tidak perlu mempunyai 4 permukaan yang berbeza.  Memadailah jika diletakkan label mengikut warna yang harus diwarnakan di atasnya.  Umpamanya, untuk kawasan yang berwarna kuning, maka letakkan sahaja label Braille "kuning".  Seharusnya murid-murid faham bahawa di label itu warna kuning harus digunakan.  Namun begitu, satu kelemahan untuk kaedah ini ialah berkemungkinan murid-murid hanya akan mewarna kawasan yang berlabel sahaja, sedangkan lingkungan kawasan yang harus diwarnakan mungkin lebih luas dari itu.  Saya merasakan, sekiranya seseorang murid cacat penglihatan itu tahu bahawa dia telah berjaya mewarnakan bendera Malaysia, pastilah semangat patriotismenya akan lebih bermakna lagi.

 

            Setelah proses di atas berjaya memperoleh hasil yang positif, maka aktiviti mewarnakan boleh diperluaskan lagi iaitu dengan mewarna gambar-gambar yang lebih kompleks lagi.  Saya penuh yakin jika aktiviti seumpama ini dapat dilaksanakan secara berterusan dan setelah melalui pengalaman dan eksperimen yang mungkin akan mengambil sedikit masa, tentunya kaedah yang lebih baik dan lebih sempurna dapat ditemui.  Walaupun kaedah yang digunakan mungkin berbeza, tetapi ia tidak mustahil untuk memperoleh hasil yang lebih kurang sama.

 

            Apa yang berlaku sekarang, setakat ini tiada usaha sebegini yang benar-benar serius telah dilakukan.  Ini mungkin akibat kita semua belum benar-benar mempunyai persepsi yang betul dan berpandangan positif terhadap kebolehan dan kemampuan golongan cacat penglihatan.  Justeru, kemampuan murid-murid cacat penglihatan untuk terus ikut serta dalam arus perdana pendidikan negara sering diragui bilamana persoalan berkaitan elemen grafik diketengahkan.

 

            Sebenarnya saya hanya baru menyentuh mengenai aktiviti mewarna dalam kalangan mereka yang cacat penglihatan.  Seperti saya telah nyatakan pada permulaan tulisan ini, unsur grafik meliputi skop yang luas.  Jika sekiranya golongan cacat penglihatan ingin terus berada di persada arus perdana pendidikan negara, maka kita tidak boleh menolak sama sekali unsur-unsur grafik dalam sistem pendidikan untuk golongan cacat penglihatan.  Sebaliknya apa yang seharusnya kita lakukan ialah usaha berterusan untuk mentransformasikan kesemuanya itu supaya sesuai untuk dipraktikkan oleh mereka yang tidak berpenglihatan.  Selain itu, peranan, dedikasi dan komitmen tinggi daripada mereka yang berpenglihatan tetapi mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang mendalam mengenai ehwal mereka yang cacat penglihatan sama sekali tidak harus diketepikan.  Malangnya, golongan seumpama ini semakin pupus ditelan polisi.

 

4 comments:

Sedingin Salju said...

Suatu artikal yang bagus dan padat. Tahniah.

luaskanmata said...

Assalamualaikum:

Wah baguslah artikel kali ni.

Justeru oku kena cari jalanlah untuk kita perjuangkan pembangunan kita dalam apa jua hal pun. Mengharapkan pembabitan orang lain untuk menyemarakkan kerja hanya sebahagian kecil berbanding komitmen kita.

Pembabitan mereka yang lebih upaya adalah cabaran kita. Kitalah yang perlu fikir macam mana membentuk satu mekanisme bagaimana masyarakat oku tidak hanya dipandang sebaliknya turut disemarakkan pembangunannya.

Saya pun dulu terbina disebabkan masyarakat sekeliling yang begitu cakna termasuk guru, rakan-rakan, saudara mara, orang kg dan lain-lain.
Sekarang ni kita gempur masyarakat dengan apa jua penampilan OKU.

Salam jihad.

Muhammad Adam Lee said...

SEGALANYA BENAR

Salam pertemuan, rakan-rakan sekalian. Sesungguhnya, artikel semacam inilah yang patut ditonjolkan, bukan sekadar ini sahaja (di Blog), malah penglibatan seluruh ahli masyarakat tanpa mengira darjat. Juga, dengan keupayaan mewarna ini, ia turut boleh digunakan dalam aspek kehidupan lain seperti penampilan diri yang lebih kemas, teratur lagi beradab.

Oleh itu, teruskan, saudara. Dari sinilah, kita cuba menonjolkan kehebatan kita dalam aspek dan konteks sebenar, bukan berpura-pura atau inginkan nama. Insya Allah, adalah tidak mustahil, kebolehan mewarna dan grafik ini boleh diakses dan digunapakai oleh OKU penglihatan selaras perkembangan teknologi dan globalisasi. Oleh itu, sewajarnya persepsi OKU "kurang upaya" ini patut dikikis seiring perkembangan tamadun. Marilah kita belajar daripada pelbagai kemajuan yang telah kita saksikan kini, seterusnya mengambil langkah proaktif dalam merealisasikan keadilan pembangunan sesama anggota masyarakat.

Terima kasih & tahniah!!!

Sedingin Salju said...

Ha encik, encik pula, bila mau buat blog?