Monday, December 15, 2008

Menungan Malam

Harga Minyak Turun Lagi

 

            Petang tadi, kerajaan telah mengumumkan harga minyak akan turun lagi berkuat kuasa tengah malam ini.  petrol RON97 akan turun daripada RM 1.90 kepada RM 1.80. Manakala petrol RON92 pula akan dikurangkan daripada RM 1.80 kepada RM 1.70.  Manakala  Diesel turut mengalami pengurangan daripada RM 1.80 kepada RM 1.70.

 

            Yang menjadi persoaan kini ialah adakah harga barangan keperluan lain juga akan turut mengalami penurunan selaras dengan turunnya harga bahan api berkenaan?  Bermula bulan Ogos hinggalah kini harga minyak telah diturunkan beberapa kali.  Malangnya saya merasakan sehingga kini pun harga kebanyakan barangan keperluan masih di tahap tatkala harga petrol RON97 masih berada pada paras RM 2.70 seliter lagi.

 

            Saya sempat membuat perbandingan harga makanan siap di beberapa gerai dan restoran yang sempat saya singgah dalam jangka masa tertentu.  Secara umumnya saya mendapati tiada perubahan pada harga makanan yang saya beli pada bulan Julai dengan bulan ini.  Ada sesetengah pengusaha makanan yang tidak menaikkan harga makanan yang mereka jual seperti kuih-muih, tetapi kuantiti makanan itu sendiri didapati telahdikurangkan.

 

            Sesekali bila saya bertanya kepada pengusaha makanan tentang kenaikan harga makanan yang dijual, rata-rata mereka mengatakan harga bahan berkaitan dan kos pengangkutan telah naik disebabkan kenaikan harga minyak.  Agak pelik juga bilamana harga minyak mula menunjukkan aliran menurun tetapi harga makanan masih kekal di tahap sebelumnya.

 

            Saya memang sudah menjangkakan bilamana harga sesuatu barangan telah mula naik, maka amat susah untuk melihat ia turun semula.  Harga minyak boleh diturunkan kerana ia berada di bawah kawalan kerajaan.  Pada masa yang sama, kerajaan tidak mungkin berupaya untuk mengawal harga semua barangan.

 

            Oleh itu, kepada para peniaga saya berharap supaya kita sama-sama bertanggungjawab dan saling bantu-membantu.  Jika umpamanya harga makanan terus tidak turun, sebenarnya tiada siapa pun yang akan untung termasuklah para peniaga itu sendiri.  Para pembeli akan berfikir dua kali sebelum membeli.  Sebaliknya jika harga diturunkan saya percaya semakin ramai orang yang akan datang membeli.

 

No comments: