Wednesday, December 24, 2008

Jasamu Dikenang

Dato' Onn Dalam Kenangan

 

            Pada 22 Disember 2008 (Isnin) yang lalu, saya sempat menziarahi perkuburan Islam Mahmudiah, Johor Baru.  Memang menjadi kebiasaan bilamana saya melawat ke satu-satu tempat, antara kawasan yang sering saya ziarahi ialah kawasan permakaman yang mana terdapat makam mereka yang ternama dan berjasa.  Memadailah bila saya dapat berdiri di tepi makam tokoh-tokoh yang mana kisahnya pernah saya baca dan pelajari serta jasanya masih saya dan kita semua kecapi.

 

            Salah satu makam di perkuburan tersebut yang saya ziarahi ialah makam Allahyarham Dato' Onn bin Ja'far.  Beliau adalah tokoh yang tidak perlu saya ulas lagi.  Namun begitu, apa yang membuat hati saya begitu tersentuh ialah beliau dan keluarganya turut berjasa besar khasnya kepada golongan cacat penglihatan.  Kisah inilah yang saya ingin kongsikan secara ringkas dengan para pengunjung blog ini.

 

            Antara jasa tersembunyi Allahyarham Dato' Onn ialah, beliau adalah orangnya yang telah membantu sehingga PES dapat didirikan di atas lokasinya yang ada sekarang.  Saya dimaklumkan kawasan di mana PES ditempatkan merupakan kawasan yang strategik dan mempunyai pemandangan yang sungguh cantik.  Oleh itu, apabila kawasan tersebut dicadangkan sebagai tempat untuk didirikan sebuah sekolah untuk murid-murid cacat penglihatan, banyak pihak tidak bersetuju.  Bagi mereka, adalah sesuatu yang merugikan jika tempat secantik itu hanya didirikan sebuah sekolah dan untuk mereka yang cacat penglihatan pula.  Alangkah lebih bermanfaat jika kawasan sebegitu dijadikan kawasan penempatan mewah supaya pemandangan semula jadi yang indah yang sedia ada dirasakan lebih bermanfaat dan bermakna.  Setelah semua usaha untuk memperoleh kawasan berkenaan sebagai tapak untuk didirikan sekolah untuk murid-murid cacat penglihatan gagal, akhirnya pihak berkenaan telah menemui Dato' Onn Yang merupakan Menteri Besar Johor waktu itu dan memaklumkan kepada beliau mengenai hal ehwal lokasi cadangan untuk tapak PES serta halangan yang sedang dihadapi.  Setelah menghalusi perkara tersebut, akhirnya dengan pertolongan dan persetujuan daripada Dato' Onn barulah lokasi tersebut dipersetujui untuk dijadikan tapak PES.  Sekiranya tanpa campur tangan daripada Dato' Onn, saya pun tidak pasti entah kawasan mana pula yang akan diberi sebagai tapak untuk sekolah murid-murid cacat penglihatan.

 

            Jasa Dato' Onn kepada golongan cacat penglihatan tidak terhenti setakat itu sahaja.  Beliau telah meninggalkan zuriat yang baik dan sangat prihatin kepada golongan kita.  Allahyarham Tun Hussein Onn pula pernah menjadi presiden Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) untuk tempoh yang panjang.  Beliau terus menjawat jawatan berkenaan sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhir pada tahun 1990.

 

            Keprihatinan keluarga Dato' Onn kepada golongan cacat penglihatan tidak terhenti di situ.  Allahyarham Datin Ruqaiyah Hanim binti Tun Hussein seolah-olah telah menyambung peranan dan tanggungjawab ayah dan datuknya.  Beliau begitu aktif bergiat terutamanya dengan Majlis Kebangsaan Orang Buta Malaysia (NCBM).  Beliau pernah mengetuai salah satu jawatankuasa utama NCBM untuk satu tempoh yang lama.  Beliau juga merupakan orang yang banyak memberi sokongan dan dorongan kuat kepada Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS).  Bahkan dengan sokongan beliau juga Alquran Braille berkomputer pertama di Malaysia berjaya diterbitkan oleh PERTIS.

 

            Masih segar dalam ingatan saya sewaktu saya menziarahi beliau buat kali terakhir iaitu beberapa minggu sebelum beliau menghembuskan nafas terakhirnya, beliau masih berbicara mengenai golongan cacat penglihatan.  Beliau masih bertanya mengenai NCBM, PERTIS dan Alquran Braille.

 

            Tidak keterlaluan jika saya katakan, Sesungguhnya Dato' Onn dan zuriatnya adalah pembela golongan cacat penglihatan.  Jasa yang telah mereka curahkan amat besar sekali tetapi tersembunyi.  Demikianlah ikhlasnya mereka menabur budi.  Sesungguhnya kisah keluarga Dato' Onn dan banyak kisah lain yang hampir serupa banyak menginsafkan saya.

 

            Berbeza pula dengan sesetengah orang di zaman ini.  Baru setahun jagung berkecimpung dalam pendidikan khas sudah mula mengejar anugerah itu dan kecemerlangan ini.  Saya tidak bermaksud mereka tidak boleh diberi apa-apa anugerah, tetapi biarlah mereka yang benar-benar layak dengan syarat-syarat yang sesuai dengan keperluan pendidikan khas diberi anugerah agar anugerah berkenaan tidak sekadar menjadi kebanggaan sipenerimanya semata-mata, tetapi jasa dan bakti sipenerima anugerah tadi benar-benar bermakna kepada golongan cacat penglihatan .... sebagaimana jasa, budi dan bakti keluarga Allahyarham Dato' Onn!

 

Salam dari Melaka.

 

3 comments:

Unknown said...

TERIMA KASIH

Salam pertemuan, saudara "blogger" dan rakan-rakan sekalian. Sekali lagi, tahniah, saudara, kerana berjaya mengisahkan yang sebenar lagi berfakta. Marilah kita bersama mendoakan mereka agar senantiasa dirahmati dan digolong bersama mereka yang soleh lagi muttaqin.

Ya, memang kawasan PES itu strategik; tersisih daripada kesibukan melampau kota, indah pemandangan sekitar lagi berdirinya di puncak bukit, yang alhamdulillah, hingga setakat ini, belum lagi ditimpa tragedi menyayat hati sebagaimana yang berlaku baru-baru ini. Namun begitu, keaslian binaannya telah tercemar sejak konsep "pembaharuan asrama" diimplimentasi hampir 20 tahun yang lalu, begitu juga pembinaan "condomenium" pada kawasan yang dahulunya dikatakan "hutan kecil" di sebelah belakang bangunan. Apatah lagi, dengan penguasaan kemahiran Braille yang teramat merosot oleh para guru yang bertugas terutamanya guru-guru aliran biasa yang ditempatkan di situ. Semua ini, pasti, jika Allahyarham masih hidup, akan kecewa tak terkata!!!

Oleh itu, marilah kita sekalian terus berjuang sedaya upaya walau onak dan duri merentangi laluan, untuk memartabatkan semula masyarakat buta kita ini, selaras hasrat Allahyarham, keluarganya dan kita sendiri agar kita turut menyumbang kepada kemajuan agama, bangsa dan negara. Jika PERTIS sedang meneroka pembangunan dari sudut keagamaan, NGO lain juga patut memperluas bentuk pembangunan dan kemajuan itu daripada pelbagai sudut lain, jika kita tidak mahu kelihatan "statik". Teruskan, saudara. Semoga blog ini mampu, insya Allah, merintis ke arah kecemerlangan, kegemilangan lagi keterbilangan OKU penglihatan Malaysia beberapa tahun dari sekarang.

Tai said...

Cikgu, izinkan saya untuk mengambil beberapa artikal untuk disiarkan di komuniti oku ya?

Betul kata cikgu, ada yang baru setahun jagung jadi guru khas, dah nak tunjuk terlebih pandai.

Cikgu Zakaria said...

Saudara Sedingin Salju, jika artikel saya dirasakan ada manfaatnya, silakan pada bila-bila masa sahaja. Terima kasih atas sokongan saudara.