Friday, December 19, 2008

Bicara Sukan

Permainan Belon Acah

 

            Dalam tulisan saya pada 16 Disember lalu, saya ada membicarakan permainan ping-pong dalam kalangan golongan cacat penglihatan.  Kali ini, saya akan cuba mengenengahkan satu lagi permainan yang sering dimainkan oleh golongan yang sama suatu ketika dahulu.

 

            Sewaktu saya menuntut di peringkat rendah di Johor Baru lebih tepat lagi di PES, permainan ini disebut sebagai belon acah.  Di kampung saya di Melaka, permainan ini dikenali pula sebagai hantu galah.  Di Pahang pula, permainan ini dikenali pula sebagai main tayang.  Kata seorang rakan pula, di Kelantan ia dikenali sebagai galah panjang.  Agaknya kalau diselidik lebih lanjut lagi, entah apa-apa nama lagi yang akan muncul sedangkan jenis permainan yang dimaksudkan yang itulah juga.  Oleh kerana saya lebih biasa menyebutnya belon acah, maka nama itulah yang akan saya gunakan seterusnya dalam tulisan ini.

 

            Untuk bermain permainan ini, ia hanya memerlukan kawasan yang kecil sahaja.  Kawasan permainannya akan mempunyai garisan secara menegak dari atas ke bawah dan juga garisan melintang dari kanan ke kiri.  Hanya terdapat 3 garisan menegak, iaitu garisan tepi sebelah kanan dan kiri sebagai menunjukkan lingkungan kawasan permainan dan juga satu garisan tengah.  Bilangan garisan melintangnya pula tidak tetap, Seingat saya sewaktu di sekolah rendah dahulu, ada 4 garisan melintang.  Ini bermakna satu kumpulan akan mengandungi 4 ahli sahaja.

 

            Secara ringkasnya, cara permainan ini dimainkan ialah terlebih dahulu akan dibahagikan kepada 2 kumpulan.  Jumlah ahli bagi setiap kumpulan pula bergantung kepada bilangan garisan melintang yang terdapat pada kawasan permainan.  Satu kumpulan akan bertindak sebagai penjaga kepada setiap garisan melintang. Manakala satu kumpulan lagi akancuba melepasi setiap garisan melintang yang sedang dijaga dari garisan melintang pertama hinggalah ke garisan melintang keempat dan kemudian kembali semula ke tempat permulaan.

 

            Kumpulan yang mencuba melepasi garisan melintang tadi hanya dikira berjaya apabila salah seorang daripada ahli kumpulan berkenaan berjaya melepasi setiap penjaga garisan melintang berkenaan dan kembali ke tempat permulaan tanpa berupaya disentuh oleh mana-mana penjaga garisan melintang tadi.  Ini bermakna, kumpulan yang mencuba melepasi halangan garisan melintang tadi telah beroleh kejayaan satu pusingan.  Jika penjaga mana-mana garisan melintang berjaya menyentuh mana-mana ahli kumpulan yang pertama tadi walaupun dengan cuitan, maka kumpulan yang mencuba melepasi garisan melintang tadi akan bertindak sebagai penjaga garisan melintang pula.  Manakala kumpulan yang berjaya melakukan sentuhan pula akan bertindak pula sepertimana kumpulan yang pertama tadi.  Begitulah seterusnya.  Kemenangan akan berdasarkan kepada jumlah pusingan yang berjaya dimenangi oleh mana-mana kumpulan dalam tempoh tertentu.  Perlu saya nyatakan di sini, oleh kerana yang bermain belon acah adalah golongan yang cacat penglihatan, maka seakan ada satu peraturan iaitu setiap pergerakan oleh kedua-dua belah pihak mesti disertai dengan bunyi suara yang sederhana.  Jika pergerakan itu tidak disertai oleh bunyi berkenaan dan berjaya melepasi penjaga garisan melintang, maka pergerakan tersebut dikira batal dan harus diulang semula.

 

            Sekali peristiwa, dalam satu permainan belon acah yang saya sertai sewaktu saya darjah 2, saya merasa sungguh geram kerana usaha saya untuk melepasi satu garisan melintang tidak berjaya kerana ia dijaga oleh seorang senior darjah enam.  Tangannya panjang dan ini tentunya menyukarkan saya untuk melepasi beliau.  Setelah puas berfikir, akhirnya saya pun mengambil seketul batu yang sederhana besarnya lalu saya golekkan dengan sekuat hati ke tanah dan kebetulan bunyinya ada sedikit-sedikit seperti bunyi macam orang sedang berlari.  Tanpa saya sangka rakan senior tadi pun mengejar bunyi tadi.  Apa lagi, saya pun dengan suka hati menggunakan ruang kosong yang ditinggalkannya dan berjayalah melepasi garisan melintang yang beliau jaga.

 

            Dalam kalangan mereka yang berpenglihatan, setiap garisan yang melingkungi kawasan permainan memadai dengan hanya ditanda dengan sesuatu asalkan ia boleh dilihat.   Walau bagaimanapun, Untuk golongan cacat penglihatan, setiap garisan itu ditimbulkan supaya boleh dirasa dengan kaki.  Seingat saya, setiap garisan yang melingkungi kawasan permainan ditanda dengan bahan seperti simen.  Jadi ia kekal, mudah dirasa  dan tidak mudah beralih. 

 

            Hari ini, saya tidak temui lagi permainan ini dimainkan khasnya dalam kalangan generasi baru cacat penglihatan.  Sekali-sekala, bila ingatan dan kenangan saya menyelusuri ke masa itu, rindu dansayu juga rasanya.  Rindu seakan ingin bermain semula permainan itu.  Sayu kerana permainan yang boleh disertai oleh mereka yang cacat penglihatan kian dilupakan.

 

            Demikianlah kreatifnya guru-guru pendidikan khas pada masa itu dalam mengadaptasi dan mentransformasi setiap jenis sukan dan permainan supaya ia boleh dimanfaat sama oleh murid-murid cacat penglihatan yang ada di bawah asuhan mereka.  Mereka begitu kreatif dalam mengubah keperluan kawasan permainan dan kreatif pula dalam mengadaptasi dan mentransformasi cara sesuatu permainan supaya golongan cacat penglihatan tidak merasa terpinggir dan sama-sama dapat menikmati sukan dan permainan yang dimainkan oleh rakan-rakan mereka yang berpenglihatan.  Sesungguhnya kreativiti guru-guru pendidikan khas pada masa itu seakan sesuatu yang telah hilang dan tidak tercicir lagi pada zaman ini.

 

4 comments:

Tai said...

Ha, suatu artikal hebat. Tapi bab main ni aku tak reti pasai aku tak minat. Aku masa kecik, minat main teddy bear.

Apa kata kalau encik cerita tentang permainan bolasepak pula?

luaskanmata said...

Assalamualaikum:

Terbaca artikel ini teringat permainan sepak takrow yang dimainkan oleh orang buta.

Kali terakhir sempat saya bermain ialah ketika peperiksaan STPM 1995 yang lalu. Habis exam sampailah sekarang tak pernah main.

Apa kata kita hidupkan semula permainan sebegini di sekolah.

Ingat lagi sewaktu exam sekalipun, kami tekun bermain biarpun di celah waktu-waktu peperiksaan hatta sebelum menunggu kertas tengah hari.

Keputusan exam? Tetap cemerlang, gemilang dan terbilang.

Wasalam.

Cikgu Zakaria said...

Terima kasih di segala ulasan yang diberi. Hari ini mereka yang terlibat dengan pendidikan khas tidak sekreatif guru-guru dahulu.

Tai said...

pendapat cikgu disokong. Cuba cikgu bikin satu artikal tentang hal ini. Tidak payahlah berasa takut kerana nanti guru baru berkecil hati. Tulis sahaja untuk kebaikan semua.