Sunday, December 14, 2008

Sekalung Penghargaan.

Syabas USIM

 

            Sehingga kini dan setakat yang saya ketahui, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerusi Fakulti Alquran Dan sunnah yang terletak di Nilai, Negeri Sembilan, merupakan IPT paling awal yang telah memperkenalkan kursus berkaitan penulisan Alquran Braille, salah satu kursus yang ditawarkan  di peringkat ijazah pertama di negara kita.  Kursus tersebut telah mula diperkenalkan sejak Januari 2008 dengan 80 pelajar sebagai kumpulan perintis yang telah pun berjaya mengikuti kursus berkenaan.  Khabarnya untuk semester yang akan datang ini, sekitar 200 pelajar akan mendaftar untuk mengikuti kursus berkenaan.  Perlu dijelaskan di sini, kesemua pelajar yang telah dan yang akan mengikuti kursus ini bukanlah terdiri daripada mereka yang cacat penglihatan, sebaliknya mereka adalah pelajar yang berpenglihatan, tiada latar belakang pendidikan khas (khususnya mengenai cacat penglihatan) tetapi amat berminat untuk mengetahui dan mendalami ilmu berkaitan kaedah penulisan Alquran Braille.

 

            Walaupun USIM merupakan antara IPTA yang agak baru, tetapi langkah pihak berkenaan di USIM memperkenalkan kursus mengenai kaedah penulisan Alquran Braille kepada pelajarnya amat mengkagumkan saya.  Ia berbeza dengan IPT atau IPG yang lain walaupun telah lama wujud dan kursus berkaitan pendidikan khas cacat penglihatan sudah lama diperkenalkan, tetapi kursus berkaitan Kaedah penulisan Alquran dan sistem tulisan Jawi Braille belum lagi dimulakan.  Berdasarkan seniario dan perkembangan kaeda penulisan Alquran Braille peringkat global, langkah USIM amat tepat pada masanya.  Apatah lagi kini kaedah penulisan Alquran Braille tidak boleh lari daripada perkembangan dan penggunaan ICT itu sendiri.

 

            Sebenarnya, Alquran Braille di negara kita bukanlah suatu perkara baru.  Ia telah pun melalui sejarahnya yang agak panjang.  Naskah Alquran Braille pertama yang diterbitkan oleh kerajaan Jordan (tahun terbitan 1952) telah pun tiba di negara kita seawal dekad 50-an lagi.  Sekolah Princess elizabeth di Johor Baru merupakan antara institusi pendidikan khas terawal yang telah menerima naskah Alquran Braille berkenaan.  Ia tidak terhenti setakat itu sahaja.  Pihak-pihak yang terlibat  di sekolah berkenaan telah mengambil langkah proaktif dengan mula mengajar mennulis dan membaca Alquran Braille kepada para pelajarnya berdasarkan sistem tulisan Alquran Braille yang terdapat pada Alquran Braille yang telah diterima daripada Jordan.  Sehingga hari ini pun, sekolah berkenaan merupakan satu-satunya institusi pendidikan khas (cacat penglihatan) yang masih utuh dalam memperkasakan tulisan Alquran Braille dalam kalangan pelajarnya.  Walaupun pelajar sekolah berkenaan merupakan mereka yang cacat penglihatan, tetapi guru yang terlibat dengan pengajaran dan pembelajaran yang berkaitan Alquran Braille sejak dari awal lagi terdiri daripada mereka yang berpenglihatan.  Ini bermakna sumbangan dan peranan mereka yang berpenglihatan dalam memartabatkan Alquran Braille di sekolah tersebut khasnya dan di negara kita amnya sangat mustahak dan amat bermakna sekali.

 

            Walau bagaimanapun, bagi saya, perkembangan dan kemajuan sistem tulisan Alquran Braille dan Jawi Braille dalam negara kita sendiri tidaklah sepesat mana jika dibandingkan dengan kewujudannya di negara ini dari semenjak sebelum kemerdekaan lagi.  Bilangan mereka (terutama yang berpenglihatan) yang mahir dengan sistem Alquran Braille masih kurang hinggalah ke hari ini.  Ini ditambah pula dengan kekurangan pengetahuan mengenai perkembangan sistem tulisan Alquran Braille di peringkat global.  Ini seterusnya mengakibatkan terbantutnya usaha untuk melahirkan golongan yang mampu untuk membuat kajian dan penyelidikan mengenai Alquran Braille itu sendiri.  Kesannya, sehingga hari ini pun, pengguna dan pendokong Alquran Braille di negara kita lebih bersifat "pengguna" daripada "pengkaji".

 

Jika dibandingkan dengan Indonesia, perkembangan sistem Alquran Braille di negara berkenaan lebih pesat dan amat menarik.  Naskah Alquran Braille pertama di negara berkenaan telah berjaya diterbitkan sejak seawal tahun 1959 lagi.  Sedangkan naskah Alquran Braille yang pertama di negara kita hanya berjaya diterbitkan pada tahun 1980.  Walau bagaimanapun, atas sebab-sebab tertentu naskah Alquran Braille berkenaan tidak dapat digunakan.  Bahkan di sekitar tahun 1970-an sehinggalah awal tahun 1990-an negara Indonesia merupakan pembekal untama Alquran Braille kepada pengguna cacat penglihatan di negara kita.

 

            Justeru, langkah USIM memperkenalkan kaedah penulisan Alquran Braille sebagai salah satu kursus yang ditawarkan amat saya alu-alukan.  Ia akan memberi pendedahan dan pemahaman yang amat baik dan berguna kepada mereka yang berpenglihatan mengenai Alquran Braille.  Ia juga diharapkan akan mampu untuk melahirkan bukan sahaja golongan yang mahir mengenai Alquran Braille dalam kalangan mereka yang berpenglihatan, bahkan lebih jauh lagi ia juga diharap akan mampu untuk melahirkan golongan pengkaji dan penyelidik dalam kalangan mereka yang berpenglihatan mengenai Alquran Braille.  Bahkan suatu masa kelak kepada golongan pengkaji dan penyelidik ini juga saya sandarkan harapan sebagai golongan yang berwibawa dan autentik untuk bercakap, memberi cadangan, mencetuskan idea dan seterusnya mengeluarkan fakta dan fatwa yang sahih mengenai Alquran Braille.

 

            Sekali lagi, sekalung syabas saya ucapkan kepada USIM di atas langkah proaktifnya.  Walaupun Braille sesuatu yang agak baru di USIM, tetapi keazaman, iltizam dan minat mendalam yang ditunjukkan oleh para kakitangan yang berkaitan serta para pelajarnya Sungguh mengharukan.  Ini agak berbeza dengan sesetengah institusi pendidikan khas lain yang walaupun telah lama wujud tetapi penguasaan dan kemahiran Braille masih di tahap meragukan.  Perkara ini diburukkan lagi bilamana ia diketuai oleh mereka yang tidak faham dan enggan memahami kepentingan tulisan Braille itu sendiri.  Oleh kerana itulah juga usaha-usaha untuk memartabatkan Braille masih jauh dari realiti.

 

 

1 comment:

Unknown said...

Assalamu'alaikum dan salam sejahtera.

Setelah saya membaca pos ini, saya turut berasa bangga dan benar-benar bersetuju dengan semua kenyataan itu. Terima kasih sekali lagi di atas perhatian USIM dalam menerajui projek memartabatkan Al-Quran Braille ini, sekaligus insya Allah, akan mampu melahirkan generasi hafaz Quran di kalangan golongan cacat penglihatan pada jangka panjang.

Langkah sebegini juga mampu melahirkan generasi celik Quran agar kita mampu mengelak sebarang unsur mungkar yang ingin dicetuskan terhadap tulisan suci lagi mulia ini oleh sebarang "inovasi" yang kononnya untuk kepentingan negara, tetapi sebenarnya bersifat "individualistik". Justeru, mari kita semua aktif melibatkan diri berjihad menegakkan kebenaran dengan memartabatkan penulisan Al-Quran Braille dengan kesesuaiannya sebagai kitab Allah, bukan meruntuhkannya hanya kerana tulisan Braille yang boleh ditafsir menurut selera dan hawa nafsu. Percayalah, Dia sekali-kali tak akan mengizinkan sebarang kerosakan dilakukan ke atas firman-Nya ini.