Tuesday, December 16, 2008

Bicara Sukan

Permainan Ping-pong Dalam Kalangan Golongan Cacat Penglihatan

 

            Pagi tadi, seorang rakan ada menghubungi saya.  Beliau meminta pertolongan saya untuk menyediakan skrip mengenai permainan ping-pong dalam kalangan golongan cacat penglihatan untuk tujuan pembikinan video.  Ia bakal dikendalikan oleh sebuah NGO yang ada kaitan dengan golongan cacat penglihatan juga.  Tujuannya ialah untuk mengenengahkan permainan tersebut ke pengetahuan masyarakat umum.  Menyedari hakikat usaha beliau itu baik dan bermanfaat untuk memperkkenal dan memajukan lagi sukan ping-pong sama ada kepada golongan cacat penglihatan mahupun kepada mereka yang berpenglihatan, maka saya telah bersetuju untuk membantu beliau.  Saya dipilih untuk membantu beliau mungkin suatu ketika dahulu saya pernah terlibat dengan sukan tersebut secara aktif sama ada selaku pemain mahupun sebagai pengadil.

 

            Di sini, saya terpanggil untuk berkongsi serba sedikit bagaimana golongan cacat penglihatan bermain ping-pong terutama kepada pengunjung blog ini yang berpenglihatan.  Kalau hendak tunggu video berkenaan siap, mungkin ia mengambil sedikit masa.  Lagipun, projek video berkenaan hanya akan dimulakan pada awal tahun hadapan.

 

            Dari sudut sejarahnya, permainan ping-pong untuk golongan cacat penglihatan telah pun diperkenalkan di negara kita sejak pertengahan tahun 60-an lagi.  Setakat ini terdapat kenyataan yang bercanggah siapa dan bagaimana permainan tersebut telah diperkenalkan di negara ini.  Seorang rakan lama ada memberitahu, perlawanan ping-pong persahabatan antara tim cacat penglihatan Malaysia dengan tim yang sama dari Singapura pernah diadakan beberapa kali pada dekad 70-an.  Bahkan seorang rakan lain pula pernah memberitahu saya iaitu negara Jepun ada mengeluarkan bola ping-pong untuk kegunaan golongan cacat penglihatan.

 

            Dari aspek peralatan yang digunakan, ia sama sahaja dengan permainan ping-pong bagi mereka yang berpenglihatan, iaitu jaring, meja, pemukul bola dan bola ping-pong.  Namun begitu peralatan-peralatan tersebut harus diubah suai supaya sesuai untuk kegunaan mereka yang cacat penglihatan.

 

            Jika permukaan pemukul bola ping-pong kebiasaannya disalut dengan getah untuk menghasilkan lambungan atau lantunan yang baik, tetapi permukaan pemukul bola ping-pong untuk golongan cacat penglihatan tidak boleh mempunyai salutan getah.  Tujuannya supaya pukulan yang dihasilkan padu dan dapat didengar dengan jelas.

 

            Walaupun bola ping-pong yang digunakan sama, tetapi bola tersebut akan diisi dengan sesuatu yang dikenali sebagai ball bell ring.  Tujuannya ialah untuk menghasilkan bunyi yang jelas bila ia dipukul.  Kebiasaannya bahan tersebut mempunyai piawainya yang tersendiri, iaitu tidak terlalu banyak, tidak terlalu berat dan harus berkeupayaan menghasilkan bunyi yang jelas walaupun bola tersebut bergolek perlahan.

 

            Ubah suai yang agak besar dilakukan pada meja ping-pong untuk  golongan cacat penglihatan.  Meja seharusnya kukuh supaya ia tidak mudah bergerak.  Permukaan meja mestilah rata, tidak boleh kesat dan tidak juga boleh terlalu licin.  Meja tersebut pula mempunyai bahagian in-ball dan out-ball.  Ia disempadani dengan blok-blok kayu yang bersaiz kecil.  Di sekeliling meja pula akan dipasang penghadang yang tinginya sekitar 3 inci daripada paras meja.  Tujuannya untuk mengelakan bola ping-pong daripada kerap jatuh ke lantai.  Piawai tertentu yang meliputi tinggi, luas dan panjang sesebuah meja turut diberi perhatian untuk memastikan meja ping-pong yang digunakan seragam.

 

            Jaring yang digunakan pula adalah sama sepertimana dalam permainan ping-pong untuk mereka yang berpenglihatan.  Hanya kedudukan jaring itu sahaja yang berbeza di mana ia diletakkan tinggi sedikit dari paras meja sekadar muat untuk dilalui oleh bola ping-pong di bawahnya.  Ubah suai sebegini dilakukan supaya ia sesuai dengan cara permainan ping-pong oleh mereka yang cacat penglihatan.

 

            Dari aspek cara bermain pula, jika permainan ping-pong untuk mereka yang berpenglihatan berasaskan kepada lambungan atau lantunan bola ping-pong, tetapi bagi mereka yang tidak berpenglihatan, bola ping-pong akan digolekkan di atas meja dengan menggunakan pemukul bola ping-pong seperti di atas.  Bola ping-pong berkenaan akan bergolek i bawah jaring dan bukannya melambung di atas jaring.  Pemain cacat penglihatan akan mampu mengesan kedudukan bola dengan berdasarkan kepada bunyi yang dihasilkan oleh ball bell ring apabila bola ping-pong tersebut bergolek di atas meja.  Permainan ping-pong ini boleh dilakukan secara pukulan perlahan ataupun secara pukulan kuat.  Ia juga boleh dimainkan secara perseorangan mahupun secara bergu.

 

            Seperkara yang perlu saya jelaskan di sini ialah tatkala golongan cacat penglihatan bermain ping-pong, tidak boleh diganggu dengan bunyi yang lain seperti sorakan, perbualan, bunyi kenderaan, bunyi orang berjalan yang agak kuat  atau sebagainya.  Jika perkara sedemikian berlaku, ia sudah tentu akan  mengganggu pemain itu sendiri.  Jika keadaan bising sudah tentulah para pemain tadi tidak dapat mendengar bunyi bola pingpong berkenaan dan ini seterusnya mengakibatkan mereka tidak boleh bermain.

 

            Di sini saya tidak berhasrat untuk menghuraikan aspek peraturan dalam permainan ping-pong untuk golongan cacat penglihatan kerana ia agak teknikal.  Namun demikian memadailah jika saya memaklumkan bahawa peraturan secara bertulis mengenai permainan ping-pong telah pun disiapkan oleh salah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berkaitan dengan golongan cacat penglihatan.  Ia boleh didapati dalam dua versi bahasa iaitu Bahasa Melayu dan juga bahasa Inggeris.  Setakat ini, ada 2 piala yang menjadi rebutan dalam sukan ping-pong bagi mereka yang cacat penglihatan iaitu Piala Datuk L. Krishnan dan Piala SBM.

 

            Walau bagaimanapun, pada hari ini permainan ping-pong lebih mendapat perhatian dalam kalangan generasi lama golongan cacat penglihatan.  Manakala dalam kalangan generasi baru ia seakan terpinggir dan semakin tidak popular.  Fenomena ini timbul kerana permainan ping-pong tidak begitu mendapat perhatian yang sewajarnya terutamanya di peringkat sekolah.  Kalau pun ada ia tidak serius dan sekadar untuk melepaskan batuk di tangga sahaja.  Setakat yang saya maklum, permainan ping-pong tidak tersenarai dalam kejohanan-kejohanan sukan yang melibatkan sekolah-sekolah pendidikan khas cacat penglihatan.

 

            Oleh itu, pada pendapat saya, sudah tiba masanya permainan ping-pong dipopularkan semula terutama dalam kalangangenerasi baru cacat penglihatan.  Ia semakin dirasakan perlu supaya aktiviti kokurikulum di sekolah dapat dipelbagaikan.  Hal ini diperkukuhkan lagi bilamana didapati aktiviti yang boleh diceburi oleh murid cacat penglihatan untuk kegiatan kokurikulum khususnya yang berkaitan dengan sukan amat terbatas.  Selain itu, pendedahan mengenai permainan ping-pong untuk golongan cacat penglihatan juga harus diberi kepada guru-guru yang mengajar di sekolah-sekolah pendidikan khas yang berkaitan.  Jika semua pihak mempunyai persepsi yang betul terhadap permainan ping-pong, saya yakin ia mampu untuk dikembangkan ke peringkat lebih jauh.

 

1 comment:

Tai said...

Bagus. Suatu usaha yang murni untuk memperkenalkan permainan pingpong ini encik.