Monday, December 22, 2008

Catatan Dari JB

Sekolah Princess Elizabeth: Suatu Coretan

 

            Petang semalam, tatkala saya menjejakkan sahaja kaki di Bandaraya Johor Baru, ingatan saya terus sahaja tertumpu kepada Sekolah Princess Elizabeth yang juga terletak di bandar raya ini.  Sekolah inilah yang telah mengenalkan saya kepada "a b c" dan "alif ba  ta".  Sekolah ini jugalah yang telah berperanan besar untuk melahirkan golongan cacat penglihatan yang celik huruf dan mempunyai masa depan yang lebih cerah.

 

            Pada masa itu, guru-guru di sekolah tersebut sangat berdedikasi dan amat komited dengan tugas mereka sebagai pendidik.  Guru-guru berkenaan adalah golongan berpenglihatan yang sangat mengkagumkan saya.  Kemahiran Braille yang mereka miliki tiada tolok bandingnya, seakan tiada lagi pada zaman ini.  Daripada guru besar hinggalah kepada guru biasa, semuanya mahir dengan tulisan Braille.  Justeru tidak menghairankan apabila tulisan Braille waktu itu telah berjaya dimartabatkan ke tahap yang sewajarnya.  Sewaktu saya dan kami semua di bawah asuhan dan didikan mereka, tak pernah terasa perbezaan antara yang rabun dan yang buta. Semuanya dilayansama rata dan sama rasa.

 

            Dalam tulisan saya kali ini, bukanlah hasrat saya untuk menonjolkan kebanggaan yang keterlaluan khasnya kepada Sekolah Princess Elizabeth.  Namun, perbezaan ketara dalam pelbagai aspek antara waktu itu dengan masa kini adalah suatu realiti yang tidak dapat disembunyikan lagi. 

 

            Di sini, saya suka berkongsi beberapa maklumat dan fakta yang ada kaitannya dengan Sekolah Princess Elizabeth.  Mudah-mudahan perkongsian maklumat ini akan dapat menambah lagi perbendaharaan maklumat yang telah sedia ada.  Dalam tulisan ini selanjutnya, saya akan merujuk Sekolah Princess Elizabeth sebagai PES (Princess Elizabeth School).

 

            Satu perkara yang mungkin ramai tidak ketahui atau tersalah maklumat ialah, Sekolah pendidikan khas cacat penglihatan pertama di negara ini ialah PES.  Sejak ditubuhkan pada tahun 1948, PES memang merupakan sebuah institusi pendidikan untuk murid-murid cacat penglihatan yang formal.  Berbeza dengan St. Nicholas, walaupun ia telah ditubuhkan pada tahun 1926, hanya pada tahun 1951 ia baru diisytiharkan sebagai sebuah sekolah pendidikan khas untuk murid-murid cacat penglihatan untuk peringkat rendah.  Secara umumnya, peranan dan tanggungjawab St. Nicholas antara tahun 1926 hingga tahun 1951 lebih kurang samalah sebagaimana peranannya setelah Kementerian pelajaran Malaysia memisahkan bahagian sekolah daripada St. Nicholas dan menubuhkan SKPK Alma pada tahun 1997.  Pada hari ini, walaupun St. Nicholas tidak lagi berfungsi sebagai sebuah sekolah pendidikan khas, tetapi peranan dan tanggungjawab St. Nicholas telah diperluaskan dan turut mencakupi bidang yang lebih pelbagai.

 

            Untuk pengetahuan kita bersama, guru besar pertama PES ialah Cikgu Ann Majeed (Yang Berbahagia Dato' Ann Majeed).  Berdasarkan sedikit hasil penyelidikan yang pernah saya lakukan, beliau juga merupakan anak Melayu pertama di negara ini yang boleh membaca dan menulis tulisan Braille.  Sebenarnya banyak pengalaman dan kisah hidupnya yang boleh kita jadikan panduan khususnya berkaitan dengan pengajaran tulisan Braille dalam kalangan guru-guru di sekolah berkenaan.  Selain itu, beliau juga merupakan wanita pertama di negara ini yang berjaya menjawat jawatan ketua pengarah, iaitu Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia.

 

            Selain itu, kumpulan pertama guru-guru yang mengajar di PES merupakan anak-anak golongan elit dan trnama.  Cikgu Ann sendiri merupakan seorang dari keluarga ternama di Kuala Lumpur.  Salah seorang adik beliau ialah Prof. Dato" Dr. Zuraina Majeed, orang yang pernah menempa nama dalam penemuan Perak Man beberapa tahun dahulu.  Cikgu Sharifah Kamaliah adalah anak kepada Dato' Syed Abdul Kadir, iaitu menteri besar Johor antara tahun 1951-1955.  Cikgu Fatimah (lebih mesra dengan panggilan Cikgu Ara) adalah anak kepada Dato' Ismail, iaitu Setiausaha Kewangan negeri Johor.  Abangnya yang sulung pernah menjawat jawatan panglima angkatan tentera Malaysia antara tahun1972-1977.  Salah seorang anak beliau (Cikgu Ara) ialah Dr. Mohd Izani Taib iaitu salah seorang pakar yang sedang berkhidmat di Institut Jantung Negara (IJN).  Walaupun guru-guru berkenaan daripada golongan elit, tetapi ia tidak menghalang mereka untuk mencurah bakti kepada golongan cacat penglihatan dengan penuh dedikasi dan penuh tanggungjawab.  Mereka juga tidak pernah menabur budi semata-mata untuk mencari nama.  Cikgu Ann sendiri tidak pernah tahu bahawa beliau merupakan orang Melayu pertama yang boleh menulis dan membaca Braille sehinggalah hal tersebut saya maklumkan kepada beliau.

 

            PES merupakan satu-satunya institusi pendidikan khas cacat penglihatan yang sedari awal lagi telah memartabatkan tulisan Jawi Braille dan Alquran Braille.  Sehingga kini pun, peranan tersebut masih utuh dan kukuh.  Setiap pelajar cacat penglihatan yang pernah mendapat pendidikan di PES pasti akan berkemampuan untuk menulis dan membaca Jawi Braille dan Alquran Braille.  Berdasarkan senarai yang ada dalam simpanan saya, kebanyakan golongan hafiz Alquran cacat penglihatan di negara kita hari ini merupakan bekas murid PES.

 

            Mungkin juga satu kebetulan, orang cacat penglihatan pertama yang berjaya memperoleh ijazah kedoktoran di negara kita merupakan bekas murid PES.  Beliau ialah YB Senator Prof. Dato" Dr. Ismail Md Salleh.  Bahkan mungkin suatu kebetulan juga, beliau merupakan oku pertama yang telah dilantik sebagai ahli Dewan Negara Malaysia pada 18 Disember 2007 lalu.  Selain itu, 2 lagi bekas murid PES juga telah pun berjaya memperoleh ijazah kedoktoran masing-masing.

 

            Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.  Sesungguhnya masa tatkala di PES merupakan antara waktu yang terindah dalam hidup ini.  Walaupun berjauhan daripada keluarga dan hanya bertemu kedua ibu bapa 3 kali sahaja dalam setahun, tetapi kesemuanya itu tidaklah terasa sangat bilamana guru-guru dan seluruh kakitangan PES telah berjaya melaksanakan peranan mereka sebagai ibu dan bapa yang sangat berkesan dan penuh tanggungjawab.

 

Salam dari JB.

 

4 comments:

Siti Huraizah said...

PES, suatu kenangan yang amat indah dalam hidup saya. Di sana, saya belajar erti hidup, erti kejayaan. 9 tahun (1992-2001: termasuk sekolah menengah di EC) di sana bagaikan tidak terasa apabila pelajar dan kakitangan bagaikan sebuah keluarga. Kemesraan yang erat antara kami membuatkan rasa rindu pada keluarga terubat. Rumi brail diajar sedari awal kemasukan ke PES. Begitu juga dengan jawi dan Al-quran brail alhamdulillah, saya bersyukur kerana menjadi satu antara ribuan atau ratusan pelajar PES. Di sana, bukan sahaja keduniaan malah, saya turut mendapat ajaran dalam pembentukan sahsiah dan kerohanian. Semoga diri ini tidak akan tergelincir dari landasan dan jika ianya berlaku, biarlah jalan pulang ditemui segera agar tidak terus tersasar. Namun, saya juga berasa hampa, pada waktu-waktu akhir saya di PES terdapat segelintir guru yang tidak tahu membaca brail malah, menanda kertas dan membuat soalan brail sering menjadi tugas sampingan saya. Jika ianya berlaku pada awal kemasukan tidak mengapa walaupun ia tidak sepatutnya berlaku kecuali guru-guru yang tidak mendapat pendidikan khas. Namun, jika ianya berterusan, di mana kredibiliti seorang guru khas? Bukan merungut atau berasa itu suatu beban, saya suka menolong cikgu-cikgu yang budiman kerana jasanya yang tidak terhingga. Tetapi, hal seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana itu suatu tanggungjawab yang perlu dipenuhi dan menjadi contoh kepada para pelajar kerana tulisan itu penting bagi memastikan kejayaan setiap individu dalam akademik malah mencakupi pelbagai aspek kehidupan. Bukankah pelbagai ilmu dapat kita timba melalui tulisan? Bukan sekadar itu sahaja, ada juga guru yang tidak lagi seperti guru-guru sinier dalam berhadapan dengan para pelajar. Seharusnya, guru-guru baru perlu belajar daripada guru-guru sinier dalam berkomunikasi dengan para pelajar. Jika sesiapa yang berminat mahu menjadi guru kepada OKU penglihatan, persiapkanlah diri anda, mental dan fizikal dalam menempuh cabaran sebagai guru khas. Anda tidak hanya perlu tahu tulisan brail tetapi perlu juga mengetahui cara komunikasi yang baik termasuk cara memotivasi pelajar dengan baik bagi melahirkan insan-insan OKU yang berjaya. Hal ini lantaran daripada keadaan psikologi pelajar OKU yang berbeza daripada pelajar normal. Maaf sekiranya komen ini menyinggung mana-mana pihak. Wassalam.

Sedingin Salju said...

Aha, suatu coretan yang bagus. Tahniah. Dulu lain, sekarang lain.

Muhammad Adam Lee said...

Terima kasih, saudara, atas coretan bermakna itu. Memang, PES merupakan institusi pendidikan rendah terulung negara bagi OKU penglihatan. Cuma, setakat ini, kehebatan individu cacat penglihatan ini hanya dipandang dari sudut keilmuannya; itupun belum sepenuhnya. Langkah saudara memang tepat dan sewajarnya telah lama dipelopori oleh rakan-rakan senasib kita, terutamanya daripada golongan cendekiawan.

Sebenarnya, PES telah melahirkan ramai jaguh daripada pelbagai bidang, namun acap kali, unsur pendidikan itu sahaja yang begitu diagung-angungkan. Sekiranya langkah proaktif melibatkan masyarakat tanpa batas agensi dan protokol dipraktikkan sejak penubuhannya pada 1948, pasti kita turut dikenali, disanjung serta dihormati. Semoga penghantaran 30 orang pelajar mengikuti kursus Diploma Pengajian Al-Quran menjadi antara faktor pemangkin penerapan kita (cacat penglihatan) dalam arus perdana pembangunan, sekaligus turut menyumbang secara global. Dengan ini juga, usaha berterusan oleh semua pihak termasuk individu cacat penglihatan sendiri, sangat diperlukan untuk turut maju dalam bidang lain yang kita berpontensi.

Akhirnya, saya turut berbangga berada di PES, merupakan antara masa keemasan memperoleh sumber pendidikan dan latihan kehidupan sebenar, dik suasana keagamaan yang jitu. Semoga PES akan sentiasa mempertahankannya di samping memperbaiki sedikit sebanyak kelemahan yang telah dan sedang mengembang. Jangan mereka hanya bangga pada nama, sedangkan hakikatnya, kosong lagi hampa. Terima kasih, saudara. Teruskan!!!

Sedingin Salju said...

Hello encik, toksah bimbang, toksah risau. Di belah utara ni apa kurangnya encik? Ramai cikgu-cikgu sekarang ni, sangat leceh. Murid pulak yang kena dok tolong depa tu. Masa tahun-tahun akhir saya di Sekolah Haji Zainul Abidin, sudah kelihatan masalah ini. Dan, sekarang hmm, dah terang dah encik. Dah dapat dah, banyak cerita dari budak-budak sama ada utara, selatan dan tempat lain.