Saturday, December 13, 2008

Sekilas Pandangan

Bakat Terbuang

 

            Seperkara yang sering mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat kita ialah mereka yang cacat penglihatan dikatakan mempunyai bakat besar dalam bidang muzik dan seni suara.  Kewujudan golongan cacat penglihatan yang berbakat sedemikian di negara kita pula bukanlah suatu fenomena baru.  Nama-nama seperti Alfred Ho, S.Jibeng atau Kadir Jailani sememangnya amat dikenali ramai dan mempunyai peminatnya yang tersendiri pula.

 

            Apabila golongan cacat penglihatan ini membuat persembahan di khalayak ramai sama ada dengan menyanyi atau bermain alat muzik, sama ada secara berkumpula mahupun secara solo, pelbagai reaksi spontan dapat disaksikan daripada orang ramai.  Ada yang terpegun.  Ada pula yang merasa kagum.  Ramai juga yang begitu terpesona.  Tidak kurang pula yang melontarkan pelbagai pujian.  Bahkan tidak kurang pula yang sampai mengalirkan air mata.  Kesemua ini menunjukkan pengiktirafan yang tinggi secara tidak langsung daripada orang ramai terhadap kebolehan dan bakat besar yang dimiliki oleh golongan cacat penglihatan dalam bidang muzik dan seni suara.

 

            Selain itu, golongan cacat penglihatan yang berbakat besar ini juga kerap mendapat jemputan untuk mengadakan persembahan oleh pelbagai pihak dan dalam pelbagai jenis majlis pula.  Kalau sekadar membuat persembahan di majlis-majlis perkahwinan, itu sudah menjadi fenomena biasa.  Menurut cerita seorang rakan, sewaktu beliau menganggotai kumpulan muzik di bawah naungan Persatuan Orang buta Malaysia (MAB), beliau dan ahli kumpulannya pernah membuat persembahan dalam majlis-majlis rasmi yang turut dihadiri oleh para pembesar negara.  Kumpulan muzik yang dikenali sebagai The Mini Braille Dots yang dianggotai oleh murid-murid Sekolah Princess Elizabeth pula sejak dekad 60-an lagi kerap mendapat undangan untuk mengadakan persembahan dari peringkat majlis perkahwinan sehinggalah dalam majlis-majlis yang dihadiri oleh kerabat diraja Johor.  Bahkan persembahan kumpulan The Mini Braille Dots pernah muncul di corong-corong radio dalam rancangan tertentu yang diterbitkan oleh RTM Johor.  Seorang rakan lama ada memberitahu iaitu pada dekad 60-an dan awal 70-an lalu persembahan kumpulan berkenaan juga pernah beberapa kali disiarkan menerusi rancangan terbitan Radio Televisyen Singapura (RTS).  Fenomena yang hampir serupa juga berlaku kepada para pelajar yang berbakat besar di SMPK Setapak di mana mereka turut mendapat undangan untuk membuat persembahan dalam pelbagai majlis sehinggalah kini.  Kesemuanya ini jelas membuktikan bakat dan kebolehan golongan cacat penglihatan dalam bidang muzik sentiasa mendapat perhatian dan pengiktirafan daripada pelbagai pihak dan hampir pada setiap ketika.

 

            Walau bagaimanapun, Saya merasakan masih banyak lagi yang perlu dilakukan oleh pihak-pihak yang berkenaan untuk menggilap dan seterusnya mengembangkan bakat dan kebolehan yang dimiliki oleh golongan cacat penglihatan dalam bidang muzik.  Pengiktirafan yang telah sedia ada sudah cukup baik tetapi ia tidak memadai bagi golongan cacat penglihatan untuk menjadikan bidang muzik sebagai profesion yang benar-benar boleh menjamin masa depan yang lebih baik.  Oleh kerana itulah juga pada hari ini sebilangan besar pemuzik buta masih lagi dikenali sebagai pemuzik jalanan semata-mata.  Walhal bakat dan kebolehan mereka dalam bidang berkenaan sudah lama mendapat pengiktirafan daripada pelbagai pihak.

 

            Saya pernah mengajukan permasalahan di atas kepada pihak yang berkaitan.  Antara sebab yang diberikan mengapa golongan pemuzik buta ini tidak dapat pergi lebih jauh lagi kerana mereka dikatakan tidak mempunyai sijil dalam bidang muzik.  Saya bersetuju dengan alasan seumpama ini.  Memang benar dalam dunia hari ini pengiktirafan dalam bentuk sijil sangat penting dan pergantungan semata-mata kepada bakat yang ada memang tidak mencukupi.  Namun begitu, mengapakah selama ini tidak ada sebarang usaha untuk membolehkan golongan cacat penglihatan yang berbakat ini diberi peluang untuk mendapatkan sijil yang berkaitan?  Bukankah bakat seumpama ini lazimnya telah menonjol di peringkat sekolah lagi?  Seorang rakan ada memberitahu not muzik dalam bentuk tulisan Braille sudah lama ada.  Mengapakah selama ini langkah-langkah untuk memperkenalkannya di negara kita tidak dilaksanakan?

 

            Apa yang lebih mendukacitakan saya ialah sehingga kini tiada kurikulum berkaitan muzik untuk murid-murid cacat penglihatan telah dilaksanakan di peringkat sekolah sedangkan bakat murid-murid berkenaan sudah pun terserlah di peringkat sekolah dan tak perlu dipertikaikan lagi.  Bahkan saya merasa sangat dukacita bilamana bakat murid-murid berkenaan hanya digunakan untuk mereka mengadakan persembahan semata-mata.  Bahkan ada ketikanya pihak yang sering membawa mereka keluar untuk membuat persembahan diberi anugerah tertentu sedangkan murid yang dibawa keluar masih gagal dicemerlangkan masa depannya melalui bakat muzik yang ada pada mereka.  Bagi saya, adalah sangat keterlaluan jika bakat muzik yang ada pada golongan cacat penglihatan digunakan hanya untuk menaikkan nama pihak lain sedangkan pada masa yang sama sipemilik bakat itu sendiri gagal memanfaatkan bakat yang ada pada mereka khasnya sebagai jaminan kepada masa depan mereka sendiri.  Saya tidaklah bermaksud pihak berkenaan tidak boleh dan tidak layak untuk diberi apa-apa anugerah, tetapi lebih adil jika kedua-dua pihak, sama ada yang membawa keluar untuk persembahan dan yang dibawa keluar untuk membuat persembahan sama-sama cemerlang. 

 

Justeru tidaklah menghairankan setelah murid berkenaan meninggalkan bangku sekolah bakat yang ada pada mereka akan sia-sia belaka.  Sebab itulah juga ramai pemuzik buta walaupun berbakat tetapi tidak lebih sekadar pemuzik jalanan semata-mata.  Ini ditambah pula ruang dan peluang untuk mereka memajukan diri ke tahap yang lebih tinggi sangat terbatas.  Setakat ini hanya 2 orang cacat penglihatan yang berjaya melanjutkan pengajian mereka dalam bidang muzik ke peringkat ijazah.  Saya yakin dan percaya jika semua pihak mempunyai persepsi yang betul dan sekiranya prasarana yang secukupnya disediakan kepada murid-murid yang berbakat sedari awal lagi, jumlah yang akan berjaya melanjutkan pengajian dalam bidang berkenaan tentulah jauh lebih besar lagi.  Fenomena dan panorama pemuzik buta hanya sebagai pemuzik jalanan akan dapat dihapuskan.

 

1 comment:

Unknown said...

SEGALANYA BENAR

Salam pertemuan sekali lagi ingin saya mulakan. Jika dilihat akan fakta pemuzik jalanan buta ini, ia sememangnya telah lama benar berlaku. Memang, saya boleh katakan, hampir tiada satu pun usaha konkrit terutamanya daripada NGO berkaitan penglihatan sendiri yang ingin membawa rakan senasib mereka maju dalam bidang ini. Memang benar, nota muzik Braille telah lama ada dan telah digunakan dengan meluas di negara-negara barat. Namun, memang tiada satu pun kaedah diambil memperkenalkan penggunaan notasi Braille dan permainan muzik secara sistematik berpandukan nota sebagaimana pemuzik berpenglihatan. Acap kali, kita terpaksa memainkan semula lagu yang didengar itu secara "imaginasi" atau hafalan, di mana ia juga merupakan antara penyumbang kepada kepayahan pemuzik cacat penglihatan ini pergi jauh, meskipun permainan dan persembahan mereka ada yang hampir sama 100% dengan lagu asal.

Trend persembahan semasa yang lebih bersifat "elektronik" serta gaya persembahan yang secara visualnya kelihatan "kurang menarik" juga menambah persepsi negatif masyarakat terhadap pemuzik cacat penglihatan ini. Walaupun penonton memang tahu akan sejauh mana keupayaan pergerakan pemuzik/artis ini, namun suasana semasa, mahu tak mahu, harus diakui dan diterima. Sekali lagi, keadaan sebegini diburukkan lagi dengan kurangnya peranan yang dimainkan oleh pertubuhan dan institusi berkaitan cacat penglihatan sendiri dalam mendedahkan golongan ini terhadap cabaran semasa ini. Memang, suka atau tidak, sedikit pergerakan serta memek muka, umpamanya, antara paparan visual untuk memuaskan hati mereka yang berpenglihatan, bukan sekadar alunan suara, senikata menarik dan persembahan muzik yang memerangsangkan. Akhirnya, penggunaan komputer serta alat-alat muzik elektronik semasa yang juga bertunjangkan notasi tepat, dengan penambahbaikan dari segi kreativiti, sesuatu yang juga mesti diterokai oleh pemuzik sebegini. Cuma, amat payah, umpamanya, memiliki sebuah keyboard moden yang turut dilengkapi perisian pembaca skrin, umpamanya, untuk kita mengkaji akan kaedah perancangan muzik yang tepat lagi jitu setanding pemuzik biasa.

Oleh itu, sekiranya kita ingin meluaskan lagi bidang kehidupan masyarakat cacat penglihatan ini, peranan semua pihak, terutamanya individu dan agensi cacat penglihatan itu sendiri akan menentukan halatuju pemuzik cacat penglihatan ini. Janganlah baru nampak gagal sedikit, semuanya sudah dikira gagal.