Saturday, September 5, 2009

Bicara Blog Baru

Selamat Datang Ke Dunia Maya

Dengan penuh sukacita dan rasa gembira, saya ingin mengucapkah
tahniah dan sekaligus mengalu-alukan kedatangan En. Ahmad Bustamam bin
Md Ali ke dunia maya. Semalam (4 September), beliau telah menghubungi
saya dan memaklumkan beliau baru sahaja mempunyai blog sendiri.
Setahu saya, En. Ahmad Bustamam sudah lama menyimpan cita-cita untuk
mempunyai blog sendiri, tetapi selama ini cita-cita tersebut hanya
terendam dalam hasrat yang membuak. Alhamdulillah akhirnya beliau
berjaya memulakan blognya.

Kehadiran En. Ahmad Bustamam selaku blogger mempunyai signifikan yang
tersendiri. Beliau merupakan seorang yang berpenglihatan tetapi amat
akrab dengan golongan yang cacat penglihatan. Pada pengamatan saya,
beliau seorang yang berpandangan positif terhadap golongan cacat
penglihatan. Pada masa yang sama, beliau juga seorang yang realistik
terhadap kebolehan dan kemampuan golongan tersebut.

En. Ahmad Bustamam pernah bertugas sebagai guru di Sekolah Princess
Elizabeth, Johor Bharu, antara tahun 1997-2002, sebelum melanjutkan
pengajiannya di Universiti Putra Malaysia (UPM). Setelah tamat
pengajiannya pada tahun 2005, beliau telah bertugas sebagai guru di
Sekolah Menengah Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan) Setapak, Kuala
Lumpur. Pada awal tahun 2008, beliau telah berpindah ke Bahagian
Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia. Setelah beberapa
bulan di sana, beliau telah berpindah pula ke Unit Kurikulum Khas
Masalah Penglihatan, Bahagian pembangunan Kurikulum, Kementerian
Pelajaran Malaysia. Untuk pengetahuan bersama, beliau merupakan
seorang guru matematik sejak awal lagi.

Pada perkiraan saya, seperkara yang sangat-sangat menarik mengenai
beliau ialah, sehingga kini pun beliau sebenarnya tiada sijil/ijazah
dalam pendidikan khas, apatah lagi yang berkaitan dengan murid cacat
penglihatan. Namun begitu, minat, pengetahuan, kemahiran dan
kemampuan beliau dalam sistem tulisan Braille amat saya hormati. Apa
yang lebih mengkagumkan ialah beliau juga sangat mahir dengan kod
Braille untuk mata pelajaran Matematik, sesuatu yang semakin pupus
pada orang zaman sekarang. Saya pernah bertanya kepada beliau,
bagaimana beliau boleh begitu mahir dengan tulisan Braille terutamanya
kod Braille untuk Matematik, sedangkan beliau tidak
berlatarbelakangkan pendidikan khas untuk murid cacat penglihatan?
En. Ahmad Bustamam menjawab antara lain katanya, Matematik memang
bidang beliau dan beliau sangat berminat dengan Braille. Lagipun,
katanya lagi, bila beliau sudah ditempatkan di sekolah untuk murid
cacat penglihatan, maka memang menjadi tanggungjawab beliau untuk
memahirkan diri dengan semua keperluan yang berkaitan, terutama sekali
Braille.

Inisiatif, pengetahuan, kemahiran, kemampuan serta persepsi beliau
terhadap golongan cacat penglihatan sepatutnya dijadikan teladan oleh
semua pihak. Saya bukan hendak memuji, tetapi pada masa yang sama
saya juga tidak boleh menolak hakikat dan realiti. Berbeza dengan
sesetengah orang, sudah berdekad dalam pendidikan khas untuk murid
cacat penglihatan sampai dapat anugerah cemerlang, tetapi untuk
menulis huruf Braille A – z pun masih terhegeh-hegeh dan adakalanya
tak lepas. Lebih malang lagi bilamana golongan yang buta Braille ini
disokong dan ditonggaki oleh golongan pentadbir yang juga buta
Braille. Nampaknya, fenomena mereka yang dapat anugerah cemerlang
selaku guru pendidikan khas untuk murid cacat penglihatan tetapi tidak
mahir dengan Braille sudah semakin dihalalkan.

Sekali lagi, saya ingin mengucapkan tahniah kepada En. Ahmad
Bustamam. Marilah kita bersama-sama menyuarakan apa yang kita yakin
benar tanpa gentar. Orang seperti anda amat kami perlukan. Semoga
Anda mendapat keredhaan Allah sepanjang masa di atas sifat prihatin
anda terhadap golongan seperti kami.

Kepada yang sudi dan berkesempatan, boleh mengunjungi blog En. Ahmad
Bustamam di www.juangokupenglihatan.blogspot.com

Atau pun, para pengunjung blog ini boleh klik (enter untuk pengguna
cacat penglihatan) pada anak jati gunung semyum pada Laman Sesawang
Pilihan melalui blog ini.

2 comments:

puterimualim said...

Sukar dalam dunia sekarang di Malaysia nak jumpa orang macam cikgu bustamam ni. Berfikiran positif dan terbuka terhadap oku. Tahniah Cikgu Bustamam! moga Allah berkati perjuangan cikgu.

Unknown said...

Assalamu'alaikum, sahabat Blogger dan rakan-rakan pengunjung sekalian.

Tahniah, Cikgu! Alhamdulillah! Memang benar seperti yang saudara katakan, beliau sejak di PES lagi telah benar-benar komited terhadap pendidikan khas cacat penglihatan. Malah, seingat saya, 1001 macam cara dicuba untuk membekalkan bahan bacaan terhadap murid-muridnya di PES walaupun membraille sendiri. Saya turut menyokong 100 % akan kenyataan saudara mengenai fenomena "dah dapat anugerah, tapi tak reti apa pun". Dengan itu, saya turut mengalu-alukan kehadiran beliau sebagai Blogger dan gunakanlah ruang ini untuk menampilkan kebenaran meskipun pahit.

Terima kasih.