Wednesday, September 2, 2009

Corat-coret Bulan Ramadhan

Sedar tak sedar, kita sudah masuk hari ke-12 berpuasa. Kita semua
pastilah berharap agar ibadah puasa yang kita lakukan diterima oleh
Allah. Setiap peluang dan ruang yang ada haruslah kita isi dengan
perkara dan amalan yang bermanfaat dan diredhai Allah.

Namun begitu, jarang kita mengambil langkah-langkah yang sesuai agar
ibadah puasa kita diterima. Adalah tidak kena jika kita berharap
puasa kita diterima tetapi bila ada masa terluang kita masih mengumpat
saudar-saudara seagama kita. Kita selalu berharap supaya ibadah puasa
kita diterima, tetapi pada masa yang sama kita bersikap batu api dan
masih suka memutuskan silatul rahim sesama Islam. Ada antara kita
yang hebat bertadarus, malangnya apa yang ditadaruskan tidak diikuti,
bahkan diingkari pula. Ada pula di antara kita yang suka bersedekah,
tetapi ada segelintir kecil yang bersifat menunjuk-nunjuk pula,
seolah-olah sedekahnya tak sah kalau orang lain tak diberitahu. Ada
juga yang berpuasa, tapi pembaziran yang dilakukannya lebih hebat
daripada semasa bukan bulan puasa. Jika hal-hal di atas masih
berlaku, nampaknya kita masih gagal dididik oleh Ramadhan Al-mubarak.
Demikianlah tebal dan busuknya kejijikan yang masih tersangkut dalam
jiwa sesetengah di antara kita.

Beberapa hari lepas, saya ada mengunjungi sebuah bazar Ramadhan di
Kuala Lumpur yang agak terkenal juga. Saya dapati, ada sesetengah
penjual yang menjual barangannya dengan harga yang lebih tinggi dari
biasa. Seekor sotong yang bersaiz sederhana boleh mencecah RM5.00.
Ikan bilis goreng yang biasanya berharga RM2.00, sudah mencedah
RM3.00. Sebungkus nasi lemak pula, kalau dahulu harganya Cuma RM1.00,
kini ia sudah mencecah RM2.00. Beberapa orang rakan juga turut
berkongsi keluhan yang sama. Walau bagaimanapun, saya masih
berkesempatan bertemu dengan peniaga yang baik dan ikhlas. Harga
jualannya walaupun berlaku kenaikan tetapi tidaklah setinggi mana.

Seorang rakan ada memberitahu, semalam beliau membeli makanan dari
sebuah bazar Ramadhan, tetapi bila hendak dimakan ketika waktu
berbuka, makanan tersebut sudah basi. Memang beliau kecewa. Lagipun
makanan tersebut merupakan makanan kegemaran anak bungsunya.

Sebenarnya peniaga yang tamak seperti di atas bukan mencari untung,
tetapi mereka menolak untung. Wang yang mereka peroleh hasil daripada
menjual barangan atau makanan yang rosak dan basi bukan sahaja tidak
berkat, tetapi disusuli dengan sumpah seranah daripada pembeli pula.
Salah satu punca umat Nabi Allah Shuaib dimusnahkan Allah ialah kerana
mereka berniaga dengan cara yang dimurkai Allah.

Marilah sama-sama kita berpuasa dengan erti kata yang sebenar, bukan
berpuasa sekadar berlapar dan dahaga semata-mata.

1 comment:

puterimualim said...

Memang betulllllll. Ramai yang ambil kesempatan dan fikir nak untung mudah aje. Dah tak fikir dosa dan pahala lagi. Janji dapat duiiiiit.
Mereka lupa Firman Allah yang bermaksud: "Dan di antara mereka ada yang telah berikrar kepada Allah:" Sesungguhnya jika Allah memberikan sebahagian kurniaNya kepada kami, nescaya kami akan bersedekah dan pastilah kami akan termasuk dalam golongan orang-orang yang solih". Akan tetapi setelah Allah memberikan kepada mereka sebahagian daripada kurniaNya, mereka kikir dengan kurnia tersebut dan berpaling, dan memanglah mereka itu orang-orang yang selalu membelakangkan kebenaran.
Al-Taubah:75-76