Kunjungan Ke Pulau Ketam
Hasrat saya untuk mengunjungi Pulau Ketam sudah lama saya simpan.
Saya hanya mengetahui mengenai pulau tersebut melalui cerita daripada
mereka yang pernah ke pulau berkenaan. Selain itu, saya juga
memperoleh sedikit pengetahuan mengenai pulau perkampungan nelayan
berkenaan menerusi internet.
Saya ada seorang biras. Beliau ialah isteri abang ipar saya yang
sulung. Kami memanggilnya Kak Kamariah. Sebenarnya Kak Kamariah dari
keluarga Cina yang berasal dari Pulau Ketam. Cerita Kak Kamariah pada
saya, apabila lahir, ibunya meninggal dunia. Oleh kerana kehidupan
waktu itu amat susah, akhirnya keluarga Kak Kamariah telah menyerahkan
beliau kepada kerabat diraja Selangor untuk dipelihara. Sejak itu,
Kak Kamariah telah dilingkari dengan ciri dan adat kemelayuan yang
turut mencakupi akidah beliau. Hari ini, yang ada pada Kak Kamariah
hanyalah wajahnya sahaja yang masih ada ciri-ciri kecinaan.
Walaupun Kak Kamariah dibesar dan dipelihara oleh kerabat diraja
Selangor, namun begitu hubungan beliau dengan keluarga asalnya di
Pulau Ketam tidak putus. Kata Kak Kamariah, sebelum meninggal dunia,
bapanya pernah berpesan beberapa kali kepada adik-beradiknya supaya
meneruskan hubungan kekeluargaan dengan Kak Kamariah. Sebelum ini
pun, Kak Kamariah pernah ke Pulau Ketam untuk mengunjungi keluarganya.
Beberapa orang ahli keluarganya juga pernah mengunjungi Kak Kamariah
di Kuantan, tempat Kak Kamariah menetap sekarang.
Hari ini, bapa dan ibu Kak Kamariah telah meninggal dunia. Begitu
juga dengan kebanyakkan adik-beradiknya juga ramai yang telah
meninggal dunia. Kak Kamariah masih ada seorang kakaknya yang tinggal
di Pulau Ketam. Ahli keluarga Kak Kamariah yang ada ialah generasi
kedua dan ketiga. Kata Kak Kamariah, sebelum Ah Chai (salah seorang
abangnya) meninggal dunia setahun lalu, beliau ada berpesan kepada
anak dan cucunya supaya tidak memutuskan hubungan kekeluargaan dengan
Kak Kamariah.
Pada hujung minggu lepas, sewaktu saya di Kuantan, kami sekeluarga
telah membuat rancangan rapi untuk ke Pulau Ketam. Alhamdulillah pada
kali ini rancangan kami dikabulkan Tuhan.
Pagi tadi, sekitar jam 7.45 kami pun bertolaklah dengan 2 kenderaan
dari rumah saya menuju ke Pulau Ketam. Seramai 13 orang semuanya yang
menyertai rombongan kami ke Pulau Ketam. Kak Kamariah sudah
semestinya turut serta. Kami menuju ke Pelabuhan Selatan (South Port)
untuk ke jeti Pulau Ketam. Di sini, Mr. Loo, suami kepada Amoy (anak
Ah Chai) yang juga merupakan anak saudara Kak Kamariah sudah sedia
menanti kami. Kak Kamariah tidak pernah bertemu dengan Mr. Loo
sebelum ini, apatah lagi kami. Walau bagaimanapun, mungkin oleh
kerana sudah ada ikatan kekeluargaan, pertemuan pertama sudah
menghasilkan bibit-bibit kemesraan yang intim.
Tanpa membuang masa, Mr. Loo terus membawa kami ke bot yang telah
sedia menanti. Lebih kurang jam 9.30 pagi bot pun bergerak dari jeti
pelabuhan Kelang menuju ke Pulau Ketam. Perjalanan hanya mengambil
masa setengah jam sahaja. Lebih kurang jam 10.00 pagi, kami sudah pun
berada di jeti di Pulau Ketam.
Kebanyakan daripada kami, ini merupakan kunjungan pertama ke pulau
ini. Hanya Kak Kamariah, Abang Hussein dan Kak Arah sahaja yang
pernah ke sini sebelum ini. Bila kami menjejakkan kaki sahaja di
pulau ini, Kak Arah terus bercerita mengenai beberapa perbezaan dan
perubahan yang telah berlaku di pulau ini.
Dari jeti, Mr. Loo terus membawa kami ke rumah keluarga Ah chai.
Kami berjalan kaki sahaja ke rumah tersebut yang letaknya kira-kira
setengah kilometer dari jeti. Di pulau ini tiada kenderaan bermotor.
Basikal merupakan satu-satunya kenderaan yang digunakan dengan begitu
meluas. Kerana itulah juga saya kerap mendengar loceng basikal
dibunyikan di sana sini. Oleh kerana keadaan tanahnya yang berselut,
maka sebahagian besar pulau ini dilitupi oleh binaan konkrit ataupun
kayu. Ini bermakna, kita tidak berpijak atas tanah sebenar. Kata Mr.
Loo, kalau air pasang besar, parasnya boleh mencecah hampir lantai
konkrit. Menurut Mr. Loo lagi, keluasan Pulau Ketam dianggarkan
sekitar 5 ribu ekar. Majoriti penghuni pulau ini bekerja sebagai
nelayan.
Hampir semua penduduk di pulau ini berbangsa Cina. Saya difahamkan
terdapat juga sebilangan kecil penduduk Cina di sini yang beragama
Islam. Orang Melayu di sini terdiri daripada anggota polis, guru dan
juga kakitangan pejabat kesihatan. Selain itu, terdapat juga
sebilangan pendatang Indonesia yang menetap di sini. Di sini terdapat
3 buah sekolah. Hati saya begitu lega sekali bilamana tatkala
mendarat sahaja di jeti, isteri saya terus terbaca papan tanda yang
bertulis "Balai Islam Pulau Ketam".
Tatkala berjalan ke rumah keluarga Ah Chai, Mr. Loo menunjukkan
kepada kami sebuah dewan yang agak besar. Mungkin ia adalah dewan
serba guna. Di dewan inilah pelbagai majlis keraian di adakan. Kata
Mr. Loo, dewan tersebut dibina sepenuhnya dengan wang sumbangan
penduduk Pulau Ketam. Senarai penyumbang serta jumlah sumbangan
mereka turut terpampang di dewan berkenaan. Meneliti jumlah sumbangan
tersebut, nyata penduduk Pulau Ketam bukan calang-calang pendapatan
mereka. Sumbangan setiap individu ribuan ringgit jumlahnya.
Di pulau ini juga ada beberapa buah hotel, tapi tidaklah sebesar
mana. Kata Mr. Loo. Pada hujung minggu, ramai pengunjung dan
pelancong yang datang. Walau bagaimana pun, pada hari-hari biasa,
keadaan agak sunyi kerana tidak banyak orang luar yang datang.
Selain itu, gerai dan kedai makan di sini boleh dikatakan "bersepah".
Di mana-mana sahaja akan bertemu dengan tempat makan. Mr. Loo
memaklumkan kepada saya, dahulu ada kedai makan untuk orang Islam,
tetapi kini sudah tutup. Ada juga kedai makan yang lengkap dengan
karaoke. Kata Mr. Loo lagi, kalau tahun baru Cina, suasana di sini
memang meriah.
Akhirnya kami tiba juga di rumah keluarga Ah Chai. Kebanyakan anak
dan cucu Ah Chai tidak pernah bertemu dengan Kak Kamariah. Ada juga
di antara ahli keluarga Ah Chai yang tidak fasih berbahasa Melayu.
Bila kami tiba di rumah berkenaan, kami telah disambut dan
dipersilakan masuk dengan begitu ramah oleh tuan rumah. Keadaan riuh
dan gempita. Kami tetap mesra walaupun dalam dua bahasa. Keadaan
pertemuan ada sedikit-sedikit macam jejak kasih. Isteri Ah Chai yang
juga kakak ipar Kak Kamariah juga ada. Kami dimaklumkan, ada seorang
adik lelaki Amoy yang tinggal di Endau, dalam perjalanan pulang ke
Pulau Ketam semata-mata untuk bertemu dengan Kak Kamariah.
Di rumah keluarga Ah Chai, kami semua berbual mesra. Mana-mana pihak
yang tak faham bahasa pihak yang satu lagi, khidmat penterjemah
digunakan. Mr. Loo boleh berbahasa Melayu dengan agak baik, tetapi
isterinya, Amoy, pula tidak begitu fasih berbahasa Melayu.
Rumah keluarga Ah Chai agak besar. Ada lebih kurang 4 atau 5 bilik.
Ada antara biliknya yang dilengkapi dengan alat penghawa dingin. Di
rumah ini, kami dihidangkan dengan minuman kotak, kacang serta
buah-buahan. Semuanya saya ambil dan rasa.
Cuaca di sini agak panas. Ini mungkin kerana tidak banyak pokok
besar yang tumbuh di sini. Kata Amoy, waktu malam cuaca agak sejuk.
Aktiviti bergambar sudah semestinya tidak ketinggalan. Saya sendiri
tak pasti entah berapa puluh gambar yang diambil. Selain bergambar,
keluarga Ah Chai juga menunjukkan gambar keluarga mereka. Ada antara
ahli keluarganya yang mempunyai wajah hampir seiras dengan Kak
Kamariah.
Lebih kurang jam 12.30, Mr. Loo serta keluarganya membawa kami untuk
makan tengah hari. Kami berjalan kaki lagi. Rupa-rupanya, keluarga
Ah Chai telah pun menyediakan jamuan untuk rombongan kami di Balai
Islam Pulau ketam. Kata Mr. Loo, makanan untuk jamuan ini dimasak
khas oleh jururawat Melayu yang bertugas di sini. Memang jururawat
berkenaan turut ada sama. Sewaktu sedang makan, adik Amoy dari Endau
tiba. Keadaan semakin riuh. Kakak kepada Kak Kamariah juga turut
serta. Wanita ini sudah berusia 76 tahun dan keadaannya nampak uzur
sedikit. Kami dihidangkan dengan ikan, udang, sotong, selain nasi dan
buah-buahan. Mungkin kerana makanan laut yang masih segar, jadi
rasanya cukup menyelerakan. Sambil makan, kami bertukar-tukar cerita
dan berita. Mana-mana yang tak fasih berbahasa Melayu, ada orang yang
tolong terjemahkan.
Balai Islam ini merupakan binaan dua tingkat yang merupakan binaan
kayu dan batu. Tingkat bawah digunakan untuk majlis keraian dan juga
untuk aktiviti kelas agama. Ruang solat untuk lelaki dan wanita pula
terletak di tingkat atas. Tandasnya bersih dan tidak berbau. Selepas
saya solat zohor, tanpa disangka saya bertemu dengan En. Isa Ho.
Beliau merupakan antara penghuni pulau ini yang berbangsa Cina dan
beragama Islam. Beliau juga merupakan penjaga kepada balai Islam di
sini. En. Isa Ho memang anak jati pulau Ketam. Beliau lahir di pulau
ini pada tahun 1946. Kata En. Isa Ho, solat Jumaat tidak dapat
dilaksanakan di pulau ini kerana tak cukup korum (tak sampai 40
jemaah). Oleh itu, sesiapa yang ingin solat Jumaat, akan ke seberang
(Kelang) dengan bot. Kata En. Isa lagi, dalam seminggu ada 3 kali
kelas agama. Antara pengendalinya ialah Ustaz Amin Lam.
Di samping itu, saya dapat mendengar aktiviti menjual hasil laut
seperti ikan, udang, sotong dan sebagainya dengan pelbagai bentuk
rancak dijalankan, terutamanya di sekitar tidak jauh dari jeti. Kata
isteri saya, anjing merupakan binatang yang banyak terdapat di sini.
Hal sedemikian tidaklah menghairankan.
Sekitar jam 2.30 petang, rombongan kami pun meninggalkan pulau Ketam
untuk kembali semula ke Kelang. Kami dan keluarga Ah Chai saling
berharap agar akan ada pertemuan lagi selepas ini. Besarlah harapan
kedua-dua belah agar hubungan kekeluargaan seperti ini akan dapat
diteruskan sampai bila-bila. Kami juga turut mengundang mereka ke
rumah kami sama ada di KL mahupun di Kuantan.
Saya serta ahli rombongan ingin mengucapkan jutaan terima kasih
kepada Mr. Loo serta seluruh keluarga Ah Chai yang telah memberi
layanan yang begitu istimewa kepada rombongan kami. Makan minum kami
mereka yang taja. Tambang bot pergi dan balik juga mereka yang taja.
Kami turut dibekalkan dengan sekotak besar hasil laut yang masih
segar. Walaupun antara kedua-dua pihak berlainan bangsa dan akidah,
namun kemesraan antara kami bagai tiada pemisah.
Walaupun tanpa penglihatan, hasrat dan semangat saya untuk merasai
dunia sentiasa segar dan membara.