Sejak dari 12 Oktober lalu, saya berada di Langkawi untuk menghadiri
satu mesyuarat anjuran Bahagian pembangunan Kurikulum, Kementerian
Pelajaran Malaysia. Kebetulan pula, saya satu-satunya peserta
mesyuarat yang cacat penglihatan yang menghadiri mesyuarat ini pada
kali ini.
Sejak dari awal lagi, bila saya menerima surat untuk menghadiri
mesyuarat ini, saya langsung tidak merasa sebarang keraguan, bimbang
atau sebagainya. Hal ini demikian kerana antara pegawai yang terlibat
dalam penganjuran ini merupakan mereka yang sudah begitu arif,
prihatin dan akrab dengan golongan cacat penglihatan. En. Ahmad
Bustamam dari awal-awal lagi telah berpesan supaya saya duduk sebilik
denganya. Pesanan sedemikian telah beliau suarakan kepada saya sejak
mesyuarat di Melaka lagi pada bulan Jun lalu. Saya mengerti, pesanan
sedemikian diajukan agar saya tidak duduk sebilik dengan rakan yang
sama cacat penglihatan sebagaimana sewaktu di Melaka tempoh hari.
Bagi saya dan rakan-rakan senasib, kami amat berbesar hati dengan
sikap dan keprihatinan yang telah ditunjukkan oleh orang seperti En.
Ahmad Bustamam.
Selain itu, sewaktu makan, bergerak ke bilik mesyuarat, tatkala
mesyuarat, tatkala membeli-belah (beli coklat saja), semasa di
lapangan terbang dan seumpamanya, saya sentiasa dikelilingi oleh sikap
ingin membantu daripada rakan-rakan yang sama menghadiri mesyuarat.
Tidak keterlaluan kalau saya nyatakan, saya tidak pernah terasa
terasing walau sedetik pun sepanjang saya menghadiri mesyuarat ini.
Selain itu, saya juga mendapati kesemua peserta mesyuarat (yang
berkaitan dengan golongan cacat penglihatan) amat komited dengan
tugasan yang telah diamanahkan terutamanya ketika bermesyuarat. Sikap
dan sifat kesungguhan mereka untuk menghasilkan sesuatu yang terbaik
amat saya puji. Selain itu, saya juga mendapati ada sebilangan mereka
turut mempunyai pengetahuan yang baik mengenai hal ehwal golongan
cacat penglihatan. Bagi saya, pengetahuan seumpama ini sebenarnya
amat penting untuk membolehkan mereka menghasilkan sesuatu yang
terbaik untuk murid-murid cacat penglihatan. Tahniah saya ucapkan
kepada mereka yang berkaitan!
Saya suka mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima
kasih kepada semua rakan yang telah sudi membantu saya pada bila-bila
masa di sepanjang saya menghadiri mesyuarat ini. Ucapan terima kasih
saya turut tujukan kepada En. Ahmad Bustamam, En. Aliodin, En. Mohd
Hafiz, En. Nor Azlan, Pn. Siti Zaiton dan lain-lainnya. Saya sentiasa
berdoa semoga Allah memberikan balasan yang sebaiknya di atas kebaikan
yang anda lakukan.
Insha Allah, siang nanti saya akan kembali semula ke Kuala Lumpur dan
bertemu semula dengan keluarga tercinta. Khabarnya Luqman tak berapa
sihat!
Salam dari Langkawi.
1 comment:
nasib baik nama i ada. kalo tak... tak mau bantu lagi. Odin
Post a Comment