Tengah hari tadi, Kak Jamilah, isteri kepada Basri menelefon saya dan
memberitahu Basri sudah pun keluar hospital semalam. Saya memang
merancang hendak menziarah Basri petang tadi, tetapi ia saya batalkan
apabila berita Basri sudah keluar hospital dimaklumkan kepada saya.
Kak Jamilah juga memberitahu saya, baru-baru ini satu lagi pembedahan
dilakukan ke atas Basri. Katanya, pembedahan kali ini bertujuan
menampal bahagian kakinya yang terlibat dengan penyakit tersebut
dengan mengambil daging? Di bahagian pehanya. Masalahnya sekarang,
bahagian pehanya pula yang mengalami sakit-sakit.
Menurut Kak Jamilah lagi, Basri sekarang masih lagi berkerusi roda
untuk bergerak. Ini kerana kakinya masih lagi tidak dapat memijak.
Kata Kak Jamilah lagi, kerusi roda yang digunakan Basri sekarang
diperolehi secara dipinjamkan oleh ibunya (ibu Kak Jamilah) kepada
Basri. Ibu Kak Jamilah pula memang mengalami lumpuh. Terlupa pula
saya hendak bertanya, bagaimana pula ibu Kak Jamilah bergerak setelah
kerusi rodanya dipinjamkan kepada Basri. Agaknya, oleh kerana sudah
tidak ada cara lain, silumpuh terpaksalah berkorban untuk sibuta!
Kata Kak Jamilah lagi, Basri hanya duduk di rumah sahaja. Tertanya
juga saya dalam hati, bagaimana mereka sekeluarga mencari rezeki
sekarang? Bakat besar dalam bidang muzik yang dimiliki oleh Basri
tampak sia-sia kini. Namun begitu, saya penuh yakin, apa-apa sahaja
kurniaan Allah kepada makhluknya sama sekali tidak sia-sia. Hanya
manusia sahaja yang sering mensia-siakan kelebihan yang telah
dianugerakan Tuhan, sama ada disia-siakan oleh dirinya sendiri ataupun
disia-siakan oleh sebab kealpaan dan kejahilan orang lain.
Selama ini, Basri tidak pernah meminta simpati melalui blog ini.
Walau bagaimanapun, apa yang saya tulis, kebanyakannya saya maklumkan
kepada beliau. Apa yang saya tulis mengenai beliau melalui blog ini
adalah atas rasa kemanusiaan antara sesama insan. Selain itu, kisah
yang sedang menimpa Basri boleh kita sama-sama jadikan iktibar. Itu
pun kalau kita ingin belajar dari Sejarah.
Kepada keluarga Basri, bersabarlah. Sesungguhnya Allah sentiasa
bersama-sama dengan orang yang sabar.
No comments:
Post a Comment