Monday, October 12, 2009

Bicara Politik

Bagan Pinang: UMNO/BN Belum Runtuh

Semalam, 11 Oktober, telah berlangsung pilihanraya kecil bagi DUN
Bagan Pinang, Negeri Sembilan. Menurut keputusan rasmi yang telah
diumumkan pada sekitar jam 8 malam semalam, Tan Sri Mohd Isa Abdul
Samad dari UMNO/BN memperolehi 8,013 undi. Manakala calon PAS yang
juga merupakan sekutu Pakatan Rakyat (PR), Zulkefli Mohd Omar pula
memperoleh 2,578 undi. Majoriti yang diperolehi oleh Tan Sri Isa
ialah sebanyak 5,435 undi. Nampaknya majoriti yang diperolehi oleh
Tan Sri Mohd Isa jauh lebih besar jika dibandingkan dengan Majoriti
yang telah diperolehi oleh calon UMNO/BN sebelumnya, Allahyarham Azman
Mohd Noor dalam pilihanraya umum lalu yang memperolehi majoriti
sebanyak 2,333 undi. Calon PAS telah kalah di kesemua 18 saluran
undi. Peratusan pengundi yang keluar pula ialah 81.65% iaitu tinggi
sedikit jika dibandingkan dengan peratusan pengundi dalam pilihanraya
umum tahun lalu iaitu sebanyak 81.59%.

Berdasarkan keputusan pilihanraya kecil di DUN Bagan Pinang semalam,
beberapa perkara dapat diperkatakan. Yang paling ketara di sini
ialah, nampaknya UMNO/BN di sebelah selatan Semenanjung masih belum
diambang keruntuhannya. Ini dibuktikan dengan majoriti besar yang
diperolehi oleh Tan Sri Mohd Isa dalam pilihanraya kecil semalam.
Majoritinya jauh lebih besar daripada majoriti yang pernah diraih oleh
UMNO/BN dalam pilihanraya umum pada 8 Mac tahun lalu. Kalau pun
ditolak undi pos yang dianggarkan sebanyak 4,500, UMNO/BN masih punya
majoriti sebanyak 935 undi. Ini bermakna, dalam memperkatakan
kemenangan Tan Sri Isa semalam, undi pos bukan lagi faktor penentu
yang domenan. Sokongan khususnya daripada orang Melayu di bahagian
selatan Semenanjung terhadap UMNO/BN masih kuat dan utuh. Mereka
tetap memilih calon yang mewakili UMNO/BN walaupun calon berkenaan
pernah digantung selama tiga tahun oleh partinya sendiri gara-gara
dikaitkan dengan politik wang. Nampaknya jolokan The Heartland Of
UMNO masih lagi relevan di bahagian selatan Semenanjung Malaysia.

Selain itu, pada perkiraan saya juga, dua insiden yang berlaku di
awal kempen dan juga tatkala kempen hampir di penghujungnya juga turut
memberi kesan kepada pengundi. Semasa di awal kempen, Datuk Abdul
Aziz Abdul Rahim dikatakan telah diserang oleh beberapa orang
penyokong PR. Media pendokong UMNO/BN tanpa membuang masa telah
mengeksploitasi dan memanipulasikan berita tersebut secara
besar-besaran. Soal betul atau tidak bukan lagi dijadikan ukuran.
Insiden seperti ini telah memberi peluang dan ruang yang cukup baik
kepada UMNO/BN untuk meraih undi simpati khususnya daripada pengundi
atas pagar.

Ia disusuli pula oleh insiden kononnya penyokong UMNO/BN dikatakan
telah menyerang dan telah mencederakan seorang penyokong PR. Sekali
lagi media pendokong UMNO/BN telah memainkan peranannya dengan baik.
Kesahihan insiden tersebut telah dipertikaikan secara besar-besaran.
Oleh kerana PR gagal mengemukakan bukti kukuh dalam masa singkat, maka
kesempatan itu telah dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh UMNO/BN dengan
mendakwa insiden tersebut merupakan rekaan PR semata-mata untuk meraih
undi simpati.

Selain itu, poster yang menunjukkan Datuk Seri Mohd Najib sedang
berdiri tatkala menziarahi Tuan Guru Nik Aziz yang sedang terbaring
juga memberi kesan psykologi yang besar kepada para pengundi. Ia
menunjukkan seolah-olah Datuk Seri Mohd Najib lebih prihatin dan
keprihatinanya pula tanpa mengira sempadan dan fahaman politik. Bukan
tak ada orang/pemimpin PAS yang pernah menziarahi pemimpin UMNO yang
sedang sakit, tetapi mereka ini (orang/pemimpin PAS) tidak selicik
orang UMNO/BN dalam mengeksploitasi setiap kesempatan yang ada.

Di samping itu, pengaruh besar yang masih dipunyai oleh tan Sri Mohd
Isa khususnya di Bagan Pinang turut menyumbang kepada kemenangan besar
beliau semalam. Keakraban Tan Sri Mohd Isa dengan penduduk setempat
telah memberi kelebihan tersendiri kepadanya dalam meraih undi yang
lebih besar. Walaupun pihak lawan cuba mengaitkan Tan Sri Mohd Isa
dengan kesalahan politik wang, namun bagi penduduk setempat budi dan
jasa Tan Sri Mohd Isa kepada mereka lebih besar nilainya dari itu.
Justeru bagi mereka tiada sebab untuk menolak Tan Sri Mohd Isa begitu
sahaja. Kelebihan yang meyakinkan semakin dirasai oleh Tan Sri Mohd
Isa bilamana calon lawan, Zulkefli Mohd Omar, bukan orang Bagan
Pinang.

Dari segi isu yang berbangkit dalam kempen pilihanraya kecil itu
pula, pada perkiraan saya, tiada isu setempat yang benar-benar boleh
memberi kelebihan kepada PR. Mungkin orang Bagan Pinang telah cukup
selesa dengan apa yang ada pada mereka hari ini. Justeru apa sahaja
isu nasional yang diketengahkan oleh PAS/PR nampaknya tidak memberi
bekas dan tidak menggugat sokongan dan dokongan mereka kepada Tan Sri
Mohd Isa Abdul Samad.

Seperkara yang telah saya jangka dari awal ialah, kemenangan UMNO/BN
di Bagan Pinang pasti bakal mendapat liputan khasnya daripada media
arus perdana secara meluas, besar-besaran dan secara berlebihan. Hari
ini, pelbagai ulasan daripada pelbagai pihak mengenai kemenangan
tersebut terus menjadi jajaan media berkenaan. Daripada kalangan
menteri, sehinggalah kepada golongan mereka yang tidak dikenali,
semuanya diberi ruang untuk mengulas secara ampu puji mengenai
kemenangan semalam. Mungkin oleh kerana seronok sangat dengan
kemenangan semalam, pihak berkenaan lupa pada angka 7 – 2, 7 kali
kemenangan untuk PR dan baru 2 kemenangan kepada UMNO/BN.

Walau bagaimanapun, dengan kemenangan besar semalam, UMNO/BN masih
belum boleh lagi mendakwa bahawa ia merupakan parti yang kukuh atau
mula diterima rakyat. Ini kerana, setelah berlalu 8 pilihanraya kecil
di Semenanjung Malaysia, UMNO/BN baru menang sekali berbanding 7 kali
kemenangan oleh Pakatan Rakyat. Lagipun kemenangan UMNO/BN adalah di
kawasan yang dianggap kubu kuatnya. Selain itu, kemenangan UMNO/BN
semalam bukanlah kejayaan merampas kerusi pihak lawan, sebagaimana
yang telah dilakukan oleh PAS dalam pilihanraya kecil parlimen Kuala
Terengganu awal tahun ini, sebaliknya kejayaannya semalam lebih
merupakan mengekalkan kerusi yang sudah sedia jadi miliknya sebelum
ini.

Sama ada rakyat sudah mula menerima atau tidak UMNO/BN, ia harus
diuji melalui beberapa pilihanraya kecil lagi. Seandainya UMNO/BN
berjaya memenangi beberapa pilihanraya kecil selanjutnya (jika ada),
barulah UMNO/BN boleh mendakwa bahawa ia sudah mula diterima rakyat.
Atau setidak-tidaknya UMNO/BN boleh menganggap bahawa UMNO/BN sedang
melalui zaman kebangkitannya.

Namun begitu, seperkara yang tidak boleh dinafikan, mungkin usia
UMNO/BN masih panjang lagi. Berasaskan keputusan pilihanraya kecil di
Bagan Pinang semalam, mungkin masanya belum tiba untuk meramalkan
bahawa UMNO/BN bakal kecundang pada pilihanraya umum yang akan datang.
Walaupun saya ada juga mendengar pendapat sesetengah orang yang
mengatakan kemenangan Tan Sri Mohd Isa merupakan titik tolak kepada
konflik yang lebih besar dalam kalangan ahli UMNO khususnya di Negeri
Sembilan. Pendapat sedemikian bersandarkan kepada teori bahawa
kemenangan Tan Sri Mohd Isa semalam bakal membuka satu lembaran
konflik baru antara kem Isa dengan kem Mohamad Hassan, Menteri Besar
Negeri Sembilan sekarang. Itu Cuma teori sahaja.

Sebagai warganegara Malaysia, saya juga wajar menilai politik negara
saya menurut kaca mata saya.

Salam dari Langkawi.

1 comment:

Unknown said...

Assalamu'alaikum, sahabat Blogger dan rakan-rakan sekalian.

Terima kasih. Rasanya, ulasan ini pun dah cukup hebat! Saudara jelas mempunyai fakta kukuh dalam menulis ulasan ini. Justeru, pada pendapat saya, boleh jadi, kemenangan UMNO/BN kali ini, kalau tidak keterlaluan, dikhuatiri merupakan "istidraj" seumpama banyaknya insiden sebegitu terhadap umat-umat dahulu yang zalim. Ini jelas dapat dibuktikan dengan pelbagai contoh yang saudara sebutkan, menampakkan puak sekular ini mulai semacam "angkat diri"lah ...

Juga, mungkin kekalahan PAS/PR di situ, bakal jadi titik tolak strategik menyusun semula langkah yang lebih mantap. Nak kata soal bukan calon tempatan, UMNO sendiri pernah memainkan isu tersebut pada beberapa PRK sebelum ini. Paling penting, calon BN itu sendirilah yang tak sedar dik untung lagi tak malu ... Bagaimana nak memimpin kalau diri tu dah jelas buruk perangainya? Amat malang kepada mereka yang mengundi calon itu; mereka telah memperjudikan nasib diri dan keturunan mereka. Namun, itulah dia, kalau dah dunia, kan? Justeru, marilah kita doakan agar pihak yang benar tetap akan mendukung prinsip kebenaran walau apa keadaan pun. Semoga peristiwa PRK ini akan memberi pengajaran kepada kita semua, insha Allah.

Terima kasih.