Wednesday, October 28, 2009

Bicara Isu

Luahan Rasa Rakan Sejawat

Tengah hari tadi, seorang rakan sejawat menelefon saya. Beliau
merupakan salah seorang tenaga pengajar di salah sebuah sekolah
pendidikan khas untuk murid cacat penglihatan. Mulanya beliau
mengajukan beberapa soalan berkaitan penulisan Braille. Setelah itu,
beliau mula meluahkan apa yang terpendam dalam hatinya mengenai
masalah literasi Braille di tempat beliau mengajar.

Katanya, ramai tenaga pengajar di tempat beliau yang tidak mahir
Braille. Dengan adanya software seperti Duxbury Braille Translator
(DBT) atau Malay Braille Translator (MBT), ramai tenaga pengajar di
tempatnya yang mengambil mudah mengenai kemahiran Braille. Katanya
lagi, beliau cukup kecewa dengan situasi yang sedang berlaku. Ada
juga yang mengemboss (mencetak) bahan Braille Bahasa Melayu dengan
menggunakan perisian DBT tanpa sebarang pembetulan (editing). Mengapa
mereka tidak membuat semakan terlebih dahulu? Jawapannya mudah
sahaja, kerana mereka tak mahir dengan sistem tulisan Braille.
Hasilnya, murid-murid sering mendapat bakan bacaan yang mempunyai
banyak kesalahan dari aspek penulisan Braille. Bagi murid-murid, ia
bukan merupakan masalah kerana mereka masih belum didedahkan
sepenuhnya dengan kaedah penulisan Braille yang betul. Bagi mereka
(murid) apa sahaja bahan bacaan Braille yang diberi oleh guru betul
semuanya.

Rakan saya itu meneruskan, sebilangan guru di tempatnya seakan sudah
meluat melihat muka beliau. Ini kerana beliau sentiasa menekankan
penggunaan Braille yang betul. Beliau juga acap kali menyuarakan
betapa pentingnya kemahiran Braille kepada setiap guru yang mengajar
di sekolah seperti sekolahnya. Sedangkan apa yang beliau tekankan itu
pula tidak digemari dan tidak popular dalam kalangan tenaga pengajar
di sekolahnya.

Kata rakan sejawat saya itu lagi, apa yang beliau lakukan bukan untuk
dirinya, tetapi adalah untuk murid-muridnya. Katanya, beliau tidak
mahu murid-muridnya suatu hari nanti bekerja minta sedekah. Katanya,
kalau dapat jadi tukang urut pun sudah memadai, tapi bukan peminta
sedekah. Demikian antara luahan rakan sejawat saya itu.

Dengan luahan seperti ini, maka kesangsian saya terhadap
kebolehpercayaan ke atas statistik kemahiran Braille yang dimaklumkan
oleh pihak Bahagian Pendidikan Khas (BP Khas) sekitar 2 bulan yang
lalu semakin bertambah. Sebetulnya, luahan sebagaimana yang telah
dihamburkan kepada saya tengah hari tadi bukanlah suatu perkara dan
isu baru. Sebelum ini pun, permasalahan yang sama pernah diutarakan
dalam pelbagai forum, mesyuarat dan seumpamanya. Namun demikian,
setakat ini, ia tak ubah umpama mencurah air di daun keladi. Tiada
langkah berkesan yang telah diambil oleh pihak-pihak yang berkenaan
untuk mengatasi permasalahan yang timbul sejak sekian lama.

Bagi saya, isu dan permasalahan yang diutarakan semakin serius.
Namun demikian, mungkin kerana permasalahan yang sedang dihadapi tiada
kepentingan dengan pihak-pihak tertentu, maka itu ia tidak ditangani
dengan berkesan dan serius. Oleh itu, jika kita benar-benar ingin
menangani permasalahan dan isu yang berbangkit sejak beberapa tahun
kebelakangan ini, maka terlebih dahulu ia harus dimulakan dengan
mengenal pasti punca yang membawa kepada wujudnya isu dan permasalahan
berkenaan.

Di sini, saya tidaklah berhasrat untuk membincang dan menghurai
sebab-musabab yang membawa kepada timbulnya isu dan permasalahan yang
berkaitan dengan literasi Braille dalam kalangan tenaga pengajar di
sekolah-sekolah pendidikan khas untuk murid-murid cacat penglihatan.
Lagipun, hal sedemikian telah pun saya utarakan dalam mesyuarat yang
berkaitan. Walau bagaimanapun, apa yang telah saya serta beberapa
rakan ketengahkan, setakat ini sia-sia belaka. Pelbagai alasan pula
dikemukakan oleh pihak berkenaan yang mana saya merasakan mereka
sebenarnya tidak memahami permasalahan sebenar yang sedang dihadapi.
Pada pandangan saya, sekiranya keadaan yang sedia ada berlanjutan,
maka seribu tahun lagi pun permasalahan dan isu yang sedang berbangkit
tidak akan ada penyelesaiannya.

2 comments:

khairul said...

Isu tahap kebolehan guru menguasai braille ni dah lama dibincangkan dan sekarang semakin tenggelam. dengan kecanggihan teknologi yang ada kebanyakan guru tidak lagi mahir menggunakan aplikasi tulisan braille sebagai media pembelajaran. apa yang saya ingin nyatakan adalah... braille merupakan medium pembelajaran pelajar, tulisan braille adalah media pengajaran. maka jika guru tidak mempunyai media dan tidak tahu medium tersebut maka, kurang bermaknalah aktiviti P&P kerana tiada perantaraan yang baik diantara 'P' dan 'P' tersebut. kecanggihan teknologi perlu dimanfaatkan tetapi janganlah menjadikan teknologi tersebut sebagai alat 'ambil mudah' kerana P&P pera dijayakan dalam pelbagai hala. jika guru ada media tetapi tidak ada medium maka tiadalah P&P.. hanya yang ada A, B & C (angan, bual, cerita) itulah P&P masa akan datang jika guru tidak mendalami keperluan menguasai braille

Unknown said...

Assalamu'alaikum, saudara Blogger dan rakan-rakan pengunjung sekalian.

Syabas dan tahniah kepada rakan kita yang berterusan menyalurkan maklumat. Semoga dia tergolong dalam kalangan pejuang kebenaran, insha Allah.

Apa nak buat, inilah dia konsep "meniru/mengajuk tanpa ilmu" ... Juga, sikap "mengambil mudah (take foregranted)" terhadap kemudahan yang disediakan, konon semua tu jamin betul ... Terus-terang saya katakan, kualiti P&P (Pengajaran&Pembelajaran) khas penglihatan semakin menurun semenjak sekitar akhir 80-an dan awal 90-an. Buktinya, percetakan buku teks Unit Penerbitan Buku Teks, Kementerian Pelajaran sendiri sebenarnya memerlukan semakan dan pembetulan terperinci, malah adakalanya kelihatan terlalu membazir walau kelihatan cantik di segi paparannya. Sayangnya, perkara sebegitu pun bukanlah benar-benar diambil berat oleh pihak berwajib! Apatah lagi, bila penggunaan komputer dan perisian penterjemah Braille sudah mulai meluas dan banyak kursus dianjurkan oleh pihak terbabit, kononnya agar para guru mampu mencetak bahan Braille mereka sendiri. Walhal, mereka tidaklah benar-benar mempunyai asas literasi komputer yang baik, jauh sekali menguasai asas huruf dan singkatan Braille. Apa yang saya katakan ini hasil tinjauan saya ketika berkhidmat secara sukarela dengan salah sebuah institusi pendidikan khas kita. Kesimpulan yang boleh saya ambil di sini ialah mereka tu semua kerja mau cepat siap, ibarat dah ada periuk nasi elektrik, pengalaman memasak nasi cetek sangat, tapi berlagak pandai hinggakan kualiti masakan dikira "nombor dua"; janji dapat makan ... Ini diburukkan lagi dengan sikap dan perilaku agensi dan kementerian terbabit yang seolah-olah seperti ranting patah atau rumah yang bakal runtuh tak lama lagi. Justeru, pihak berwajib perlu menilai semula tanggungjawab mereka mem"fardhu"kan segala keperluan asasi ini agar generasi mendatang tidak akan menyalahkan kita sebagai ibu bapa dan para pendidik mereka di atas kehancuran masa depan mereka. Sedarlah, segala tanggungjawab ini akan dipersoalkan oleh-Nya bila tiba saat dan ketikanya.

Terima kasih.