Friday, October 23, 2009

Menungan Malam

Barangan Terbuang Adalah Rezekinya

Saya telah mengenali orang Cina ini (gambarnya seperti di atas) sejak
berbelas tahun yang lalu. Hubungan kami memang baik sepanjang masa.
Saya agak kerap ke tempat beliau. Awal malam semalam pun saya ke
tempat beliau lagi. Di samping mempunyai kerja tetap, satu perkara
yang menarik perhatian saya ialah beliau gemar mencari dan mengumpul
barangan lama dan terpakai untuk dijual. Usaha mencari rezeki
tambahan seperti ini telah beliau lakukan sejak sekian lama. Saya tak
pasti pula entah sudah berapa banyak wang yang telah beliau berjaya
kumpulkan melalui usaha seperti ini. Bila saya bertanya adakah usaha
seperti ini boleh dapat untung lumayan? Dengan selamba beliau
menjawab, untung tak ada, kalau nak bayar secawan dua kopi bolehlah.
Namun demikian, saya merasakan, kalau usahanya tak berbaloi, tak
mungkin beliau mampu mengusahakannya sejak sekian lama!

Apa yang menarik perhatian saya ialah kerajinan beliau dalam
mengumpulkan pelbagai barangan lama, terpakai ataupun yang terbuang
lalu diolah untuk menjadi sumber pendapatan sampingannya. Usaha
seperti ini beliau lakukan hampir setiap masa, bila ada masa terluang
dan bila nampak ada peluang. Sumber barangan terpakai itu pula dari
pelbagai punca. Kadang kala, beliau sanggup mengutipnya dari
tempat-tempat pembuangan sampah. Biasanya beliau tak pernah peduli
pada pelbagai jenis bau yang keluar dari tempat-tempat pembuangan
sampah tersebut, asalkan ada sesuatu yang beliau boleh perolehi dan
olah menjadi sumber pendapatan. Saya juga pernah terdengar beliau
cuba mendapatkan beberapa jenis barangan terpakai atau terbuang
daripada rakan dan taulanya.

Suatu ketika dahulu, setelah saya selesai minum minuman dalam tin,
beliau akan menyuruh saya meletakkan bekas minuman tersebut di satu
tempat yang telah beliau sediakan. Mulanya saya beranggapan beliau
sekadar hendak menolong saya untuk membuang bekas minuman tersebut.
Rupa-rupanya sangkaan saya salah. Suatu ketika, saya bertanya kepada
beliau, apa yang beliau ingin lakukan dengan bekas minuman tersebut?
Beliau menjawab, walaupun ia hanya bekas minuman, tapi masih ada
harga. Barulah saya faham. Ada kalanya, beliau akan meminta saya
memaklumkan kepadanya dari mana beliau boleh mendapatkan barangan
seperti kertas atau kotak terpakai. Agaknya barangan seperti itu pun
ada harga bagi beliau.

Saya juga pernah menemui pelbagai jenis buku dalam pelbagai bahasa
pula dalam simpanan beliau. Mulanya saya menyangka beliau rajin
membaca. Sekali lagi sangkaan saya meleset. Pada ketika itu pasaran
untuk kertas dan buku terpakai sedang baik. Jadi, tanpa melepaskan
kesempatan yang datang, beliau telah memanfaatkan keadaan dengan
memperolehi wang lebihan menerusi penjualan kertas dan buku terpakai
tadi.

Pernah juga saya menduga, adakah beliau tidak merasa malu atau segan
dengan mencari pendapatan sampingan seperti ini? Beliau menjawab
dengan nada yang agak tegas, katanya, beliau tidak merompak, tidak
mencuri, tidak menyusahkan orang lain, tidak mengganggu pihak lain dan
ada kalanya menolong orang lain pula. Katanya lagi, beliau mencari
rezeki yang halal. Pandai pula si Cina ni dengan komsep rezeki halal!

Saya bersetuju dengan beliau iaitu kalau mencari rezeki, terutamanya
rezeki tambahan, jangan sampai menyusahkan orang lain. Seperti yang
saya katakan tadi, saya juga tertarik dengan sikap rajinnya dalam
mencari pendapatan tambahan. Setidak-tidaknya, beliau pandai berusaha
sendiri untuk mencari pendapatan tambahan. Beliau juga tidak
menyusahkan orang lain. Beliau mungkin tidak faham atau tidak fasih
untuk menyebut perkataan-perkatan seperti reuse, reduce, refuse,
reproduce, recycle atau entah apa-apa "re" lagi. Namun demikian,
beliau telah berjaya mempraktikkan perkataan dan konsep tersebut dalam
aktiviti seharian beliau, mungkin lebih baik lagi daripada mereka yang
selama ini begitu gah mengutarakan perkataan dan konsep alam sekitar
berkenaan.

1 comment:

Muhammad Adam Lee said...

Assalamu'alaikum, saudara Blogger dan rakan-rakan sekalian.

Hebat! Memang tak ramai macam tu! Saya sendiri tak pandai begitu. Ya, benar, barangan lama, terpakai, terbuang, ... entah apa lagilah istilah ... jika benar-benar dimanfaatkan, pasti berguna. Maha Suci Allah yang menjadikan segalanya berhikmah. Semoga kerajinan beliau ini menjadi iktibar kepada kita semua.

Terima kasih.