Tuesday, October 13, 2009

Bicara Isu

"Calon Istimewa"

Sama ada kita, terutamanya golongan cacat penglihatan, sedar atau
tidak, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pada sijil-sijil yang
dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) untuk calon-calon
cacat penglihatan sama ada di peringkat UPSR, PMR mahupun di peringkat
SPM sudah tertera kalimah "Calon Istimewa". Khabarnya, kalimah
sedemikian juga ada tertera pada sijil-sijil yang dikeluarkan oleh LPM
untuk calon-calon cacat yang lain sama ada di peringkat UPSR, PMR
mahupun di peringkat SPM.

Sekali imbas, banyak pihak merasakan tiada salahnya dan tiada pula
masalahnya bilamana kalimah sedemikian diletakkan pada setiap sijil
yang dikeluarkan untuk golongan cacat penglihatan. Mungkin ia
bertujuan untuk memudahkan pengurusan calon-calon berkategori
sedemikian dalam peperiksaan awam. Mungkin juga ia bertujuan supaya
calon-calon berkenaan lebih mudah untuk dikenal pasti pada masa-masa
hadapan seperti oleh institusi pengajian tinggi ketika untuk
melanjutkan pelajaran, atau oleh golongan majikan ketika mencari
kerja. Atau mungkin apa-apa juga alasan/sebab yang belum difikirkan
kewajarannya walaupun pelaksanaannya sudah berlaku 4 atau 5 tahun
lalu. Tiada kepentingan khususnya bagi pihak Lembaga peperiksaan
Malaysia untuk memikirkan atau mengutarakan alasan/sebab yang
benar-benar konkrit kerana bukan mereka (LPM) yang bakal merasa bahana
daripada frasa celaka itu. Mereka hanya tahu buat dasar sahaja,
tetapi kesan daripada dasar tersebut bukan orang LPM yang akan
menanggungnya.

Seingat saya, sejak dari awal lagi iaitu apabila golongan cacat
penglihatan mula menduduki peperiksaan awam, kalimah "Calon Istimewa"
tidak pernah tertera pada sijil/diploma/ijazah yang mereka (calon
golongan cacat) perolehi. Ia telah berlangsung puluhan tahun lamanya.
Ini bermakna, pada hakikatnya tiada masalah dalam soal pengurusan
calon cacat dalam peperiksaan awam walaupun tanpa frasa tersebut.
Saya berpendapat, adalah tidak wajar untuk meletakkan frasa "Calon
Istimewa" hanya kerana calon-calon berkenaan cacat (khususnya cacat
penglihatan), menggunakan mesin Braille, dibekalkan dengan kertas
soalan versi Braille atau kerana menjawab dengan menggunakan sistem
tulisan Braille. Saya turut berpendapat, adalah tidak wajar juga
alasan untuk meletakkan frasa "Calon Istimewa" hanya kerana mereka
mendapat sedikit masa tambahan dalam peperiksaan awam berbanding
dengan calon-calon biasa (yang tidak cacat). Selain itu, saya juga
merasakan adalah tidak wajar frasa Calon Istimewa perlu diletakkan
pada sijil calon cacat (khususnya cacat penglihatan) hanya kerana
perubahan yang minimum dilakukan terhadap soalan tertentu dalam mata
pelajaran tertentu. Perubahan yang dilakukan adalah minimum dan ianya
bagi menyesuaikan soalan dengan kecacatan seseorang calon. Dengan
erti kata lain, tambahan masa, perubahan minimum pada soalan, dan
sebagainya, bukanlah satu perkara baru dan telah pun dilaksanakan
sejak puluhan tahun lamanya tanpa perlu frasa Calon Istimewa
diletakkan pada sijil untuk calon cacat.

Namun demikian, setelah saya menelitinya dan setelah saya kaitkan
pula dengan persepsi yang masih wujud dalam masyarakat kita terhadap
golongan cacat, saya merasakan kalimah sedemikian lebih banyak
mendatangkan implikasi yang tidak baik khususnya kepada pemegang sijil
tersebut. Ini ditambah pula dengan pengalaman sendiri serta
pengalaman yang pernah dilalui oleh rakan-rakan senasib. Kesemuanya
ini berlaku tatkala frasa "Calon Istimewa" belum dikuatkuasakan pada
sijil calon-calon cacat. Pengalaman buruk dan menyedihkan bilamana
permohonan ditolak hanya kerana pemohon itu cacat tidak mungkin
dirasai dan dilalui oleh orang-orang LPM kerana mereka tidak cacat.
Sebab itulah mereka (LPM) merasakan tidak perlu peduli, tidak payah
faham dan tidak perlu mencari maklum balas terlebih dahulu pengalaman
yang pernah kami lalui sebelum melaksanakan dasar hampas tersebut.

Antara alasan lain yang diberi oleh pihak LPM untuk menghalalkan
frasa "Calon Istimewa" pada sijil calon cacat ialah kerana di Eropah
dan di Amerika Syarikat ia telah dilaksanakan. Agaknya pegawai LPM ke
Eropah dan Amerika Syarikat hanya nak tengok apa yang tertera dalam
sijil orang buta di sana semata-mata. Mungkin mereka (LPM) lupa nak
perhati persekitaran di luar sijil. Sebenarnya, di Eropah atau di
Amerika Syarikat, kemudahan yang disediakan kepada golongan cacat di
pelbagai peringkat merupakan kemudahan terbaik dan klas pertama.
Masyarakatnya pula mempunyai persepsi yang sungguh baik dan sangat
positif terhadap golongan cacat. Bila mereka mendapati pemohon kerja
itu adalah pemohon cacat, borang permohonan bukan sahaja tidak
disisihkan bahkan mereka diberi pula pelbagai kemudahan untuk
membolehkan si cacat tadi melaksanakan tugas mereka tanpa rintangan
dan halangan. Adakah budaya seumpama itu turut subur di negara kita?
Jawapannya sudah tentu tidak. Walaupun kita sudah 52 tahun merdeka,
tapi kemudahan untuk golongan cacat masih banyak yang perlu
diperbaiki. Persepsi masyarakat terhadap golongan cacat pula masih
belum ada klas lagi. LPM harus faham, dalam soal menghalalkan frasa
"Calon Istimewa", Eropah dan Amerika Syarikat bukan bandingan dan
tandingan kita!

Acap kali berlaku di mana, beberapa orang pemohon cacat penglihatan
telah mengajukan permohonan untuk jawatan tertentu di sektor awam.
Mereka kemudiannya telah dipanggil untuk ditemu duga. Ini bermakna,
dari segi syarat dan kelayakan, mereka telah berjaya memenuhinya. Di
peringkat ini, permohonan mereka hampir berjaya. Namun begitu,
setelah pihak penemu duga melihat yang datang ialah pemohon buta,
permohonan mereka telah ditolak mentah-mentah. Alasan yang diberi
macam-macam. Hakikatnya, dari kaca mata sesetengah golongan yang
berpenglihatan, si buta tidak sesuai untuk diterima bekerja kerana dia
buta. Sebab itulah juga quota 1% untuk kakitangan cacat di sektor
awam belum lagi dapat dipenuhi dan saya rasa tidak akan terpenuhi
sampai bila-bila.

Saya penuh yakin, bila pemohon cacat penglihatan tadi memohon sesuatu
jawatan, mereka memohon dengan berbekalkan keyakinan yang mereka boleh
melaksanakan kerja/tugas yang mereka mohon. Sebab itulah juga tiada
pemohon buta yang memohon jawatan dalam tentera, polis, pemandu atau
petugas bomba kerana mereka juga yakin mereka tidak mampu untuk
melaksanakan kerja/tugas berkenaan. Di sini, sebenarnya yang tidak
yakin dengan kemampuan pemohon cacat ialah golongan yang tidak cacat,
terutamanya pihak penemu duga. Hak si buta telah dinafikan dan mereka
terus didiskriminasikan.

Bilamana sudah tertera frasa Calon Istimewa pada sijil golongan
tertentu, maka saya yakin golongan berkenaan akan lebih mudah dan
terdedah kepada diskriminasi. Pihak-pihak tertentu tidak perlu lagi
memanggil pemohon berkenaan untuk ditemu duga. Penyisihan dan
penolakan permohonan boleh dilakukan dengan lancar, mudah dan senyap.
Macam-macam alasan penolakan boleh dicipta dan pada bila-bila masa.
Pernahkah LPM terfikir akibat dan implikasi seperti ini?

Beberapa tahun lalu, seorang bekas murid Sekolah Menengah Pendidikan
Khas Setapak telah memohon satu jawatan di sektor swasta. Permohonan
beliau hampir berjaya. Malangnya, apabila pihak pengurusan melihat
nama sekolah iaitu Sekolah Menengah Pendidikan Khas tertera pada sijil
beliau, permohonannya terus ditolak. Banyak lagi kisah dan pengalaman
getir dan pahit seumpama ini telah menimpa pencari kerja khasnya dari
kalangan golongan cacat penglihatan. Itu baru nama sekolah, belum
lagi frasa Calon Istimewa. Adakah pengalaman seumpama ini pernah
dialami oleh pegawai-pegawai dari Lembaga Peperiksaan Malaysia?

Suatu ketika dahulu, telah timbul persepsi bahawa pelajar dan
mahasiswa cacat penglihatan boleh lulus dengan cemerlang kerana faktor
belas kasihan, khususnya daripada pemeriksa dan pensyarah. Bagi kami
yang benar-benar telah mendengar sendiri persepsi seumpama ini
tentunya merasa begitu pedih dan perit sekali. Seolah-olahnya
kejayaan dan kecemerlangan kami selama ini bukan atas kemampuan dan
usaha kami siang dan malam, tetapi kerana belas kasihan orang lain
semata-mata. Semuanya ini telah terjadi sebelum frasa Calon Istimewa
terpampang pada sijil-sijil yang dikeluarkan untuk mereka yang cacat.
Adakah LPM maklum semuanya ini? Pernahkah orang LPM mengkaji dan
menyelidik sehingga ke tahap ini? Saya yakin tidak pernah.

Sebenarnya, masalah dan ketidakpuasan hati golongan cacat penglihatan
terhadap frasa tersebut telah saya kemukakan dalam Mesyuarat
Jawatankuasa Teknikal Untuk Murid Masalah Penglihatan anjuran Bahagian
Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia sejak tahun 2007 lagi.
Saya telah mengemukakan beberapa alasan mengapa frasa berkenaan tidak
sesuai dan tidak perlu diletakkan pada sijil untuk calon cacat
penglihatan. Namun demikian, walaupun ia hanya melibatkan 2 perkataan
(Calon) (Istimewa), namun sehingga kini, setelah melangkaui lebih dari
2 tahun ia masih gagal diselesaikan. Yang hairannya, dalam salah satu
mesyuarat yang sama pada tahun 2008, pihak LPM pula yang meminta agar
saya dan NGO yang tidak bersetuju dengan frasa berkenaan supaya
memberikan kewajaran dan sebab mengapa frasa berkenaan tidak perlu
diletakkan. Sepatutnya, merekalah (LPM) yang harus memberikan sebab
dan kewajaran mengapa frasa tersebut harus diletakkan. Bahkan,
sewajibnya, mereka (LPM) sepatutnya membuat kajian yang benar-benar
mendalam dari pelbagai aspek dan mendapatkan maklum balas daripada
golongan sasar (golongan cacat) terlebih dahulu sebelum frasa "Calon
Istimewa" ingin diletakkan pada sijil untuk calon-calon cacat sebelum
ia benar-benar dilaksanakan. Untuk kesekian kalinya, perlu saya
tegaskan di sini, kesan dan akibat daripada frasa berkenaan bukan
dirasai dan tidak ditanggung oleh LPM, mereka yang meluluskan perkara
sedemikian dan oleh golongan tidak cacat. Oleh itu, pihak LPM bukan
sahaja tidak prihatin, tetapi juga tidak bertanggungjawab dan gagal
berempati dengan golongan lain.

Besarlah harapan saya dan seluruh golongan cacat penglihatan agar
pihak-pihak berkuasa peperiksaan yang lain seperti Majlis Peperiksaan
Malaysia (MPM) atau unit peperiksaan di institusi pengajian tinggi
awam (IPTA) tidak terikut-ikut contoh dan langkah sumbang LPM.

Orang yang meletakkan frasa "Calon Istimewa" adalah orang yang dah
tak ada kerja, hanya sekadar nak cari nama sahaja.

Salam dari Langkawi.

3 comments:

puterimualim said...

Bagus! tepat!, padat!, berisi!, bernas! dan betul! yang amat sangat. Itulah hasil kerja orang tak ikhlas dan buta hati. Yang menganggap mereka terbaik. Tak fikir tentang orang lain. Barangkali mereka ini golongan bak kata pepatah "bila terkena baru terngadah". Bila terkena pada salah seorang daripada mereka, atau keluarga mereka yang cacat baru rasa insaf agaknya. Tahniah besiwaja atas tulisan yang amat bermakna. Tahniah.

Unknown said...

Assalamu'alaikum, saudara Blogger dan rakan-rakan pengunjung sekalian.

Syabas! Hebahkan lagi pelbagai bentuk penyelewengan golongan sebegini. Sememangnya, mereka bukan makin belajar daripada lawatan ke luar negara seumpama itu, malah hanya mau makan angin dan dapat "claim", sekaligus makin "KURANG AJAR!!!". Mengapa baru sekarang timbul soal frasa "calon istimewa" ni? Sedarkah mereka, apa yang mereka lakukan ketika ini, tidak lain, berpunca daripada jiwa dan pemikiran yang telah semakin hitam? Saya turut bersetuju pandangan seorang rakan kita, "dah tak ada kerja lainlah tu ...". Nah, inilah hakikat Malaysia yang dibanggakan oleh mereka yang berkenaan; kerja penting tak mau buat, membazir lagi mau cari nama. Teruskan! Bersamalah kita berjuang menegakkan kebenaran dan keadilan.

Terima kasih.

Anonymous said...

harap2 pegawai LPM mempunyai masa lapang untuk membaca artikel ini.