Alhamdulillah .... setelah mengatur rancangan, akhirnya pada petang
semalam saya sekeluarga telah memperoleh kesempatan untuk menziarahi
Basri yang kini sedang terlantar di Pusat Perubatan Universiti Malaya
(PPUM). Saya dimaklumkan oleh pihak PPUM iaitu masa lawatan dihadkan
hanya dari jam 6.00 petang hingga 7.00 malam sahaja. Di sebelah
tengah harinya pula, waktu lawatan hanya dari jam 1.00 tengah hari
hingga jam 2.00 petang sahaja. Menurut pihak PPUM lagi, masa lawatan
dipendekkan daripada biasa bertujuan untuk mengawal penularan virus
Influensa A H 1 N 1. Oleh itu, saya akur dengan masa lawatan yang
telah ditetapkan.
Sekitar jam 6.20 petang, saya sudah berada di sebelah katil di mana
Basri sedang terlantar. Ternyata beliau begitu gembira dengan
kehadiran saya sekeluarga. Petang semalam, hanya saya dan keluarga
sahaja yang datang menziarahi beliau. Kami berbual mesra seperti
biasa. Kata Basri, beliau telah ke PPUM pada awal September lalu
kerana bengkak di kakinya tak surut-surut. Beliau terus ditahan
semasa beliau datang untuk mendapatkan rawatan kali kedua iaitu pada 9
September lalu. Kata Basri lagi, ketika aidil fitri lalu, hanya anak
dan isterinya sahaja yang datang berhari raya bersama-sama beliau di
wad.
Kemudian saya beralih pula kepada topik semasa beliau di zaman
keagungannya terutama dengan bakatnya dalam bidang muzik. Ingatan
beliau pada waktu itu masih segar lagi. Dengan merendah diri, beliau
mengakui bahawa beliau belajar gambus daripada Allahyarham En. Mohd
Fadhil Ahmad hanya sekitar 5 hari sahaja. Bila saya bertanya, adakah
beliau masih ingat lagi bermain gambus? Beliau menjawab, sudah tentu.
Bila saya bertanya lagi, dengan bakat besar selaku pemain muzik,
apakah perasaan beliau jika pendapatan atau gaji beliau
setidak-tidaknya sama dengan gaji saya selaku guru? Beliau menjawab,
kalau ia benar-benar terjadi itu sudah cukup bagus, tapi itu Cuma
khayalan sahaja.
Mungkin Basri tidak sedar, ia bukan khayalan jika bakat besar dan
kebolehan bermain muzik dalam kalangan orang cacat penglihatan seperti
beliau diletakkan pada landasan yang betul. Jika di sekolah, mata
pelajaran muzik diajar selaras dengan kehendak dan keperluan
kurikulum, saya amat yakin golongan cacat penglihatan akan mampu pergi
lebih jauh lagi dalam bidang berkenaan. Jika perkara seumpama ini
telah lama dilaksanakan, saya juga yakin mungkin pada hari ini sudah
berpuluh orang cacat penglihatan yang berjaya memperoleh sijil atau
mungkin juga ijazah dalam bidang muzik. Fenomena pemuzik jalanan yang
cacat penglihatan sebagaimana yang dapat kita saksikan hari ini
mungkin dapat diminimumkan. Hakikatnya, bakat tanpa sijil/ijazah, ia
hanya sia-sia, terbuang dan terpinggir .... Sebagaimana liku-liku
nasib yang sedang dialami oleh Basri hari ini.
Daripada pengamatan saya, memang kesunyian dan kesepian sangat-sangat
membelenggu Basri. Walau bagaimanapun, beliau amat berterima kasih
kerana sejak 2 3 hari yang lalu, sudah ada beberapa rakan yang datang
menziarahi beliau. Ada juga rakan-rakan yang tidak berkesempatan
untuk datang menziarah, telah menelefon beliau.
Apa yang mendukacitakan saya ialah, sebuah institusi yang pernah
harum namanya suatu ketika dahulu kerana bakat yang ada pada Basri,
sehingga ke saat ini pun masih tak berbuat apa-apa untuk membantu
Basri. Bertanya khabar pun tidak! Sesetengah pentadbir institusi
berkenaan yang ada hari ini bukan sahaja buta sistem tulisan Braille,
rupa-rupanya mereka juga buta pada sejarah institusi yang mereka
tadbir. Hal ini diburukkan lagi bilamana hubungan dan pengetahuan
mereka terhadap golongan cacat penglihatan hanya terbatas dalam
lingkungan sekolah semata-mata. Itu pun mungkin kerana terpaksa!
Bagi saya, dulu, kini dan selama-lamanya saya tetap percaya bahawa
jika bakat besar dan kebolehan dalam bidang muzik murid-murid cacat
penglihatan di sekolah hanya digunakan untuk mengadakan persembahan
semata-mata dan tanpa kurikulum muzik, maka pengeksploitasian bakat
golongan tersebut akan berterusan. Yang dapat nama hanya sekolah!
Yang dapat cemerlang hanya pengetua! Bila murid-murid berbakat
tersebut meninggalkan bangku sekolah, mereka bukan sahaja akan gagal
menggunakan bakat yang dikurniakan kepada mereka untuk berdikari,
bahkan bila mereka menggunakan bakat mereka sebagai pemuzik jalanan,
mereka dipandang tak ubah umpama pengemis, hina, sampah dan hampas.
Teladanilah apa yang sedang dialami oleh Basri hari ini!
Sekitar jam 6.50 saya sekeluarga meninggalkan Basri yang terus
terlantar di katilnya. Kesepian kembali menyelubungi beliau. Saya
pun tak sempat nak kira, entah berapa kali Basri melontarkan ucapan
terima kasihnya kepada saya dan keluarga. Ucapan yang bertalu-talu
itu melambangkan betapa beliau menghargai kehadiran kami. Walaupun
kehadiran kami sekadar "kehadiran kosong", namun saya yakin ia cukup
bererti kepada Basri.
Selain Basri, ramai lagi yang sedang mengharungi nasib seperti
beliau. Jika kita tidak membantu golongan cacat penglihatan yang
berbakat dalam bidang muzik bermula dari sekarang, maka lebih ramai
lagi golongan cacat penglihatan yang akan mengharungi nasib seperti
mereka pada masa depan.
4 comments:
Assalamu'alaikum, sahabat Blogger dan rakan-rakan pengunjung sekalian.
Alhamdulillah! Terima kasih! Mujur, masih ada lagi insan seperti saudara yang begitu mengambil berat tentang penderitaan rakan-rakan senasib. Segala apa yang saudara katakan, semuanya benar tanpa perlu dinafikan. Saya turut berdukacita lantaran bukan sekadar institusi pendidikan, malah pihak NGO sendiri, terutamanya NGO senior turut seolah-olah diam membatu! Kalau nak fikir sibuk, semua orang sibuk, hatta para pemuzik jalanan itu sendiri. Bukankah baik, seperti yang saudara katakan, kita gembirakan yang sedang kesusah dan kesedihan? Sudahlah amalan kita pun entah berapa yang diterima, inikan pula mengenepikan golongan dha'if?
Akhir kata, teruskan perjuangan menegakkan kebenaran walau dipandang sepi dan hina oleh para penentang. Semoga usaha murni sebegini beroleh ganjaran-Nya yang tiada terhingga.
Terima kasih.
Assalamu'alaikum, sahabat Blogger dan rakan-rakan pengunjung sekalian.
Alhamdulillah! Terima kasih! Mujur, masih ada lagi insan seperti saudara yang begitu mengambil berat tentang penderitaan rakan-rakan senasib. Segala apa yang saudara katakan, semuanya benar tanpa perlu dinafikan. Saya turut berdukacita lantaran bukan sekadar institusi pendidikan, malah pihak NGO sendiri, terutamanya NGO senior turut seolah-olah diam membatu! Kalau nak fikir sibuk, semua orang sibuk, hatta para pemuzik jalanan itu sendiri. Bukankah baik, seperti yang saudara katakan, kita gembirakan yang sedang kesusah dan kesedihan? Sudahlah amalan kita pun entah berapa yang diterima, inikan pula mengenepikan golongan dha'if?
Akhir kata, teruskan perjuangan menegakkan kebenaran walau dipandang sepi dan hina oleh para penentang. Semoga usaha murni sebegini beroleh ganjaran-Nya yang tiada terhingga.
Terima kasih.
Assalamu'alaikum, sahabat Blogger dan rakan-rakan sekalian.
Alhamdulillah! Terima kasih! Masih ada insan seperti saudara yang begitu prihatin akan rakan-rakan senasib. Saya turut berdukacita kerana bukan sekadar institusi pendidikan, malah NGO kita pun, setakat ini, belum lagi kedengaran, antara mereka mengunjungi sahabat kita ini. Kalau nak fikir sibuk, semua orang sibuk. Tapi, tidakkah kita boleh meluangkan masa bersama golongan yang menderita seperti ini? Sudahlah segala yang saudara katakan itu benar belaka, ditambah keadaan seolah-olah golongan dha'if memang terpinggir ... Adakah kita sudah berpenyakit mabuk dan cinta dunia? Bayangkan, betapa Allah menjadikan segala bentuk ragam kehidupan, untuk memberi peluang kepada kita menambah kebaikan untuk kita bawa ke sana (akhirat), tapi, kita persiakan pula, seolah-olah amalan kita nan sedikit ini modal ampuh memperoleh belas ihsan-Nya ... Begitukah sikap mereka yang berjawatan, berharta dan senang-lenang?
Akhir kata, teruskanlah perjuangan seperti ini walau mungkin dipandang sepi. Semoga saudara sekeluarga akan berterusan dirahmati, diberkati dan diampuni.
Terima kasih.
salam ziarah buat cikgu Ya..rasanya saya pernah menimba ilmu dari cikgu Ya..di langkawi kalau x silap..
-Azril,Rakan dari SKPK seremban
Post a Comment