Monday, October 26, 2009

Menungan Malam

Dihukum Gigit Kertas

Tatkala malam semakin larut begini, berbagai kenangan silam yang
melintas kenangan. Kebetulan pula, awal malam tadi, selama dua jam
saya di sekolah untuk mengadakan kelas tambahan untuk murid tingkatan
5. Ada juga antara murid-murid saya yang banyak cakap ketika kelas
sedang berlangsung.

Saya masih ingat lagi satu peristiwa ketika saya disekolah rendah .
Agaknya waktu itu saya baru nak belajar jadi orang yang banyak cakap.
Sekali peristiwa, ketika di dalam kelas, saya agaknya sudah terlebih
banyak cakap. Walaupun guru ketika itu sudah memberi ingatan dan juga
sudah melarang supaya saya diam, tapi saya terus juga bercakap. Bukan
bercakap seorang, tapi bercakap dengan rakan-rakan yang duduk di
sebelah-menyebelah.

Agaknya mungkin sudah hilang sabar atau mungkin kerana sudah
kehilangan kaedah untuk memberhentikan saya daripada terus bercakap,
akhirnya guru ketika itu telah memanggil saya ke hadapan. Saya akur.
Setelah saya ke hadapan, guru berkenaan menyuruh saya membuka mulut.
Saya buka mulut. Kemudian guru berkenaan menyuruh saya tutup mulut
semula. Saya tutup mulut saya. Bila saya tutup saja mulut, saya
dapati di mulut saya sudah ada sesuatu. Benda tersebut ialah kertas.
Guru berkenaan memberi ingatan agar kertas tersebut tidak jatuh dari
mulut saya. Saya juga dilarang daripada memegang kertas tersebut.
Kemudian saya disuruh kembali semula di tempat duduk saya dan membuat
kerja sekolah seperti biasa.

Bila saya kena hukum, rakan-rakan yang lain diam dan senyap. Mungkin
ada yang tersenyum. Mungkin ada yang tersengih. Mungkin juga ada
yang ketawa dalam hati. Saya tak pasti ...

Lama juga saya berkeadaan sedemikian. Nak cakap tak boleh.
Keinginan hendak bercakap memang masih meruntun. Rasa sedih tak ada,
tapi rasa nak ketawa ada. Apakan daya, kertas tak boleh jatuh, saya
juga dilarang daripada memegang kertas berkenaan.

Setelah agak lama, guru berkenaan memanggil saya semula ke hadapan.
Saya akur. Setelah di hadapan, guru berkenaan menyuruh saya berdiri
di tepi bakul sampah. Saya akur juga. Setelah saya berada di tepi
bakul sampah, guru berkenaan menyuruh saya membuka mulut, lalu kertas
berkenaan terus jatuh ke dalam bakul sampah. Guru tersebut bertanya,
lain kali hendak bercakap lagikah? Saya hanya geleng kepala.
Kemudian baru saya disuruh kembali ke tempat duduk saya semula. Sejak
itu, saya lebih berhati-hati kalau hendak buat bising terutama ketika
dalam bilik darjah, atau ketika guru berkenaan ada. Guru yang
menjatuhkan hukuman tetap saya hormati. Sebesar zarrah pun saya tidak
ambil hati apatah lagi berdendam dengan guru berkenaan. Terima kasih
Cikgu Mokhtar!

Hari ini, selaku pendidik, jika saya menghukum dengan hukuman yang
sama kepada anak-anak murid saya yang melakukan kesalahan yang sama
yang pernah saya lakukan, agaknya apalah kesan dan akibat yang bakal
saya terima. Mungkin tindak balas daripada murid yang saya hukum
tidaklah sejauh mana, tapi respon daripada pihak lain akan jadi umpama
lebih sudu dari kuah!

2 comments:

puterimualim said...

Kesiannya!!!!kena gigit kertas? Tapi itulah berkatnya bila guru ikhlas mendidik dan pelajar ikhlas menerima didikan. Alhamdulillah sekarang Besiwaja dah jadi cikgu. Besarnya jasa guru-guru kita! terima kasih cikgu!!

Unknown said...

Assalamu'alaikum, saudara Blogger dan rakan-rakan sekalian.

Kelakar! Namun, itulah "pendidikan" namanya. Malah, saya rasa cikgu tersebut lebih menggunakan "psychology" agar saudara tidak benar-benar dimalukan mahupun disakiti zahir. Oleh itu, andainya kedapatan anak murid saudara berperangai sebegitu, kalau tak mungkin dapat dihukum secara zahir, gunakanlah pendekatan berhemah yang lain agar setidak-tidaknya tanggungjawab kita mampu diselesaikan. Adakalanya perubahan zaman menuntut perubahan kaedah juga; justeru teruskanlah jika terpaksa menghukum sekalipun. Semoga saudara beroleh ganjaran sewajarnya.

Terima kasih.