Thursday, January 7, 2010

Bicara Blog Baru

Selamat Datang Ke Dunia Siber

Nampaknya perkembangan dunia siber dalam kalangan golongan cacat penglihatan semakin rancak. Suatu ketika dahulu, kita mungkin merasakan hanya golongan cacat penglihatan terpilih sahaja yang mampu untuk menjadi warga dunia siber. Kini persepsi sedemikian kian terhapus. Sesiapa sahaja dalam kalangan golongan cacat penglihatan mampu untuk menakluk dunia siber asalkan ada kemahuan, kesungguhan, kesabaran, keinginan serta sifat tidak malu untuk belajar, berani meneroka, sanggup menanggung risiko dan tidak riak, sombong dan bangga diri.



Kali ini, saya ingin mengenengahkan seorang lagi blogger baru dalam kalangan golongan cacat penglihatan yang punya bakat dan potensi yang tersendiri, khususnya dalam dunia penulisan. Blogger baru yang saya maksudkan ialah Lok Weng Hang. Beliau merupakan anak murid saya tahun lepas dan tahun ini. Murid tingkatan 5 ini telah pun memulakan penulisannya dalam blog sejak akhir tahun lalu. Saya memang sudah mengesan minat beliau yang mendalam dalam dunia ICT. Namun begitu, penampilan dan kemunculan beliau selaku blogger pada hari ini di luar jangkaan saya.

Dari sudut pelajaran, Lok Weng Hang merupakan antara pelajar terbaik dalam seluruh tingkatannya. Kini beliau juga merupakan antara pelajar harapan untuk peperiksaan SPM untuk tahun 2010. Beliau antara pelajar yang telah dan sedang merasai nikmat serta keseronokan selaku warga dunia siber.

Saya sempat meneliti isi penulisan dalam blognya. Isi dan gaya penulisannya baik, sesuai dengan usia serta pengetahuan yang dimiliki dalam isu yang beliau ketengahkan. Bagi saya, melalui tulisanya, kita akan dapat mendalami bagaimana beliau memerhatikan alam dan persekitaran di sekelilingnya walaupun tanpa penglihatan.

Kepada Lok Weng Hang, cikgu ucapkan selamat datang ke dunia siber yang tanpa sempadan. Manfaatkanlah kemahiran yang ada untuk kebaikan bersama. Pun begitu, jangan terlalu asyik dan leka hingga anda alpa dengan tanggungjawab dan tugas utama anda, terutama untuk menghadapi sat yang paling penting pada hujung tahun ini.

Kepada mereka yang berkesempatan, anda dipersilakan untuk mengunjungi blog Lok Weng Hang di www.yujin9091.blogspot.com

Kepada pengunjung blog ini, anda boleh terus ke blog beliau dengan klik (enter untuk pengunjung cacat penglihatan) pada lok weng hang di bawah tajuk Laman Sesawang Kendalian Blogger Cacat Penglihatan.

1 comment:

Anonymous said...

lepas ni ajar mereka buka akaun dalam www.facebook.com. laman sosial paling popular ketika ini. ramai bekas pelajar smpk yang sudah mempunyai akaun dalam facebook. alisetan BBT