Blogger Cacat Penglihatan: Sekadar Ulasan
Rasanya sudah seminggu saya tidak kemas kini blog saya. Bukannya apa, agak sibuk sedikit, sama ada sibuk dengan tugasan di sekolah, ataupun tugasan di luar sekolah. Walau bagaimanapun, sekali-sekala, saya sempat juga menjenguk beberapa blog termasuklah kendalian rakan-rakan yang cacat penglihatan. Bagi saya, ada sesuatu yang menarik dan istimewa dalam tulisan mereka.
Bagi saya, perkembangan dunia siber dalam kalangan golongan cacat penglihatan kian rancak bilamana ia turut disertai oleh murid-murid sekolah. Setakat yang saya ketahui, pada masa ini ada 2 blog yang dikendalikan oleh murid sekolah, iaitu Lok weng Hang (murid tingkatan 5) dan Teh Yong Shing (murid tingkatan 1). Pada masa ini, kedua-duanya sedang menuntut di SMPK Setapak. Penglibatan kedua-dua murid cacat penglihatan tersebut dalam dunia siber bagi saya penting kerana ia memberi petunjuk bahawa kepentingan dan manfaat bidang ICT dan dunia siber semakin tidak mengenal usia. Walaupun demikian, bagi saya, angka 2 murid masih sedikit. Sepatutnya pada hari ini berpuluh pelajar sekolah pendidikan khas (termasuk di rancangan integrasi) sudah mahir dengan ICT dan berkemampuan mempunyai dan mengendalikan laman blog sendiri. Sekiranya kemahiran sebegini ada pada murid-murid pendidikan khas, maka pengajaran dan pembelajaran pasti akan dapat dilaksanakan dengan lebih menarik, berkesan serta memudahkan semua pihak. Selain itu, pengajaran dan pembelajaran secara interaktif juga boleh dilaksanakan dengan mudah dan berkesan. Saya sendiri kurang pasti, tahun bila atau abad bila hasrat saya ini akan menjadi realiti.
Dari aspek hasil tulisan pula, ia juga telah menyerlahkan sesuatu yang menarik. Hasil tulisan pelbagai, dan yang lebih penting ia ditulis berdasarkan sudut pandangan mereka yang tidak dapat melihat. Ada yang menulis mengenai kunjungan mereka di pelbagai tempat, seperti ke Singapura, Sabah, sekitar Kuala Lumpur dan sebagainya. Tulisan-tulisan sebegini membuktikan bahawa golongan cacat penglihatan tidak semestinya akan terperuk sahaja di rumah. Selain itu, ia juga menunjukkan bahawa kita mempunyai cara tersendiri untuk merasai, menghayati dan menilai persekitaran tempat yang dikunjungi mengikut sudut pandangan kita sendiri. Akhirnya nanti, setidak-tidaknya ia akan memberi kefahaman kepada mereka yang berpenglihatan bahawa buta mata tidak semestinya buta segala-galanya.
Selain itu, saya juga tertarik dengan tulisan-tulisan yang berkaitan dengan pengalaman. Antaranya tulisan mengenai pengalaman pergi ke sebuah kem untuk menghadiri satu kursus. Ia menyerlahkan bagaimana seorang yang cacat penglihatannya bersendirian dan berusaha untuk tiba ke tempat destinasi yang belum pernah dikunjunginya. Pengalaman-pengalaman sebegini tidak akan dirasai dan tidak mungkin dialami oleh mereka yang masih berpenglihatan. Setidak-tidaknya mereka (golongan yang berpenglihatan) akan tahu susah-payah dan pahit getir bagi seorang yang tidak berpenglihatan secara bersendirian untuk tiba ke satu destinasi yang tidak pernah dikunjunginya sebelum ini.
Di samping itu, ada juga blogger cacat penglihatan yang berupaya mengolah isu-isu semasa. Ini termasuklah isu mengenai pembakaran gereja, isu-isu politik, perundangan, ekonomi, agama dan sebagainya.
Kehangatan dunia siber dalam kalangan golongan cacat penglihatan dirancakkan lagi dengan pelbagai bahan, gaya penulisan serta bakat olahan yang ditonjolkan. Ada yang suka menulis sajak. Ada juga yang suka menulis pantun. Ada pula yang suka mengolah isu-isu semasa. Ada juga yang suka mencuba-cuba. Tidak kurang juga yang sekadar menyisipkan tulisan orang lain. Bagi saya, menyisipkan hasil tulisan orang lain masih tidak menjadi kesalahan jika mendapat keizinan daripada penulis asalnya, atau setidak-tidaknya pada hujung sisipan itu dituliskan sumber dari mana hasil penulisan itu diambil. Barulah beretika namanya.
Dari sudut kemas kini (update) blog pula, ia juga menampakkan kepelbagaian tempoh masa. Ada yang mengemas kini hampir setiap minggu. Ada yang akan mengemas kini bila ada isu. Ada yang akan mengemas kini bila ada pengalaman baru. Ada juga yang sudah berbulan-bulan tidak dikemas kini.
Warna-warni dunia siber golongan cacat penglihatan turut dipengaruhi oleh latar belakang kelulusan akademik, persekitaran kehidupan serta profesion yang pelbagai. Ada yang beertugas sebagai peguam. Ada yang bertugas sebagai pendidik seperti saya. Ada yang bertugas di bank dan bursa saham. Ada juga yang masih belum ada apa-apa tugas. Kesemuanya ini turut mempengaruhi bahan, isu, corak dan gaya penulisan masing-masing. Ini membuktikan dunia kita tidak gelap sebagaimana yang disangka oleh sebilangan orang yang berpenglihatan.
Selain itu, ada juga blogger cacat penglihatan yang masih belum bersedia untuk blognya dipautkan kepada blog saya. Saya hormati dan akur dengan keputusan mereka. Saya berharap sifat malu-malu sebegini tidak berpanjangan. Jangan takut untuk serlahkan bakat, suara dan apa yang kita fikirkan ke dunia siber, kerana kita adalah kita.
Kepada blogger cacat penglihatan, marilah sama-sama kita terus menyuarakan isi hati kita melalui penulisan secara beretika dan dengan penuh tanggungjawab. Seperkara yang kita harus sama-sama ingat ialah, kesan penulisan kita kebiasaannya akan dirasai secara evolusi. Oleh itu, jika pada masa ini ia tidak menampakkan kesan apa-apa, jangan berputus asa. Marilah sama-sama kita teruskan perjuangan, jihad atau dakwah kita menerusi tulisan.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
2 comments:
Assalamu'alaikum, saudara Blogger dan rakan-rakan pengunjung sekalian.
Hebat! Maha Suci Allah! Nah, makin terserlah keadilan-Nya terhadap sekalian makhluq-Nya; yang berpenglihatan dengan gaya mereka, yang tiada penglihatan, juga dengan gaya masing-masing, apatah lagi jika benar kita hendak mengupas variasi kehidupan di alam ini; memang tak terjangkau ...
Ya, memang jelas kelihatan warna-warni penulisan blog di kalangan warga OKU penglihatan kita sekarang. Juga, angka dua pelajar sekolah sahaja punya blog, memang terlalulah kecil. Inilah perkara yang saya amat tertarik. Pada hemat saya, persekitaran pengajaran dan pembelajaran, ditambah aspek pergaulan seharian, antara faktor pendorong ke arah peningkatan blogger di kalangan para pelajar kita. Elok rasanya kalau saudara boleh berkongsi pengalaman atau pengetahuan kewujudan dua orang blogger ini di sini mahupun kepada rakan-rakan pendidik lain, terutamanya di Rancangan Intergrasi. Ini penting agar kita setidak-tidaknya mampu mengurangkan "stereotype" di kalangan guru dan rakan murid berpenglihatan, bahawa, murid OKU penglihatan hanya pasif dan tiada atau kurang bakat. Selain itu, aspek pengajaran dan pembelajaran interaktif seperti yang saudara katakan, ya, memang lebih mudah untuk dilaksanakan lantaran penguasaan mereka terhadap komputer dan teknologi maklumat.
Terima kasih dan serlahkan lagi bakat-bakat baru!!!
saya sokong! kalau petikan teks ini dimasukkan dalam buku teks pun tak pe. nanti i usulkan. alisetan BBT
Post a Comment