Monday, January 18, 2010

Bicara Isu

Itu Perkara Biasa Dalam Masyarakat Kita

Saya tertarik ketika membaca satu laporan dalam Harakah Daily hari ini. Dalam laporannya yang bertajuk “Hina OKU: Pesuruhjaya SPRM didesak letak jawatan” beberapa pihak menyatakan kekesalanya terhadap sikap dua orang pegawai tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Karpal Singh yang kini merupakan salah seorang warga OKU di negara kita. Berikut diperturunkan laporan penuh seperti berikut:


Hina OKU: Pesuruhjaya SPRM didesak letak jawatan

Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 18 Jan: Beberapa pemimpin bagi pertubuhan orang kurang upaya (OKU) melancarkan demonstrasi aman menuntut Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abu Kasim Mohamed supaya meletakkan jawatan.
Desakan tersebut ekoran peguam yang mewakili SPRM, Datuk Abdul Razak Musa telah menghina peguam OKU yang mewakili mendiang Teoh Beng Hock, Karpal Singh di kamar perbicaraan minggu lalu.
"Dia (Abu Kassim) perlu letak jawatan, dia tidak layak memimpin SPRM. (Abdul) Razak perlu diambil tindakan kerana menghina seorang OKU.
"Penghinaan dia (Abdul Razak) ‘saya boleh duduk, tetapi kamu (Karpal) tidak boleh bangun’ ini suatu penghinaan kepada seluruh OKU di Malaysia," kata Setiausaha Badan Latihan dan Hidup Berdikari (ILTC), Gurdip Kaur @ Rina pagi tadi.
Bercakap di depan Rumah Persekutuan yang menempatkan pejabat SPRM, beliau menganggap Abu Kasim dan Abdul Razak sendiri tidak menghormati hak asasi seluruh OKU di Malaysia.
"Sebagai penjawat kerajaan, sepatutnya beliau boleh menerima kunjungan kami. Kami sudah hantar surat (janji temu), tetapi mereka langsung tidak layan, seolah-olah tidak hormati hak kami" jelasnya.
Beliau turut berdoa supaya Tuhan membalas penghinaan terbabit.
"Suatu hari nanti, saya berdoa kepada Tuhan supaya mereka berdua (Abu Kassim dan Abdul Razak) duduk di atas kerusi ini kerana mereka tak tahu menghormati sensitiviti kami semua," katanya.
Turut mempertikai tindakan menghina oleh Abdul Razak dan Abu Kassim adalah Presiden Persatuan Terapi Bantuan Haiwan Untuk Warga Kurang Upaya dan Warga Emas, Malaysia (Perpositive).
"Mengapa begitu susah (Pengarah SPRM) turun (bertemu kami) di sini, mereka bukannya OKU.
"Dia (Abdul Razak) dan Abu Kassim begitu mudah menghina OKU di dalam mahkamah, mengapa begitu susah bersemuka dengan kami memohon maaf," katanya.
Beliau turut menuntut suatu tindakan disiplin dikenakan ke atas Abdul Razak.
Manakala, SPRM pula diminta memohon maaf secara terbuka kepada seluruh OKU serta berjanji tidak mengulangi diskriminasi tersebut.
Penasihat undang-Undang dan bagi badan Rakyat Anti-Diskriminasi ke atas OKU Malaysia (MADD), N. Surendran yang ditemui kemudian mengutuk layanan SPRM ke atas beberapa tuntutan para pemimpin OKU terbabit.
Sebelum pada itu, lebih sejam para pemimpin tersebut terpaksa melaung 'SPRM perlu minta maaf' dan 'jangan hina kami' sambil mengangkat beberapa kad protes.
Bagaimanapun, Pengarah SPRM, Hajah Azni Hamzah yang pada awalnya dilaporkan enggan melayan para pemimpin terbabit, akhirnya terpaksa menurut kehendak mereka.




Memang tidak dinafikan kata-kata “saya boleh duduk, tetapi kamu (Karpal) tidak boleh bangun” merupakan suatu penghinaan yang serius kepada mana-mana OKU. Walau apa pun maksud tersirat yang terselit di sebalik kata-kata tersebut, unsur-unsur penghinaan terhadap golongan OKU tetap terserlah dengan begitu nyata. Sama ada penghinaan sedemikian disengajakan atau tidak, itu bukan lagi persoalannya. Apa yang jelas di sini, itulah hakikat dan tanggapan sebenar yang selama ini tersembunyi daripada sebahagian mereka yang masih berupaya terhadap golongan OKU khususnya di tempat kita.

Tokoh seperti Karpal Singh yang baru beberapa tahun menjadi warga OKU mungkin baru melalui beberapa pengalaman pahit seperti ini. Kalau orang seperti Karpal Singh boleh dihina seperti itu, apatah lagi golongan OKU marhaen lain yang sudah lama menjadi warga dunia OKU. Penghinaan itu pula datangnya dari pelbagai jenis manusia. Penghinaan itu juga dilontarkan dalam pelbagai bentuk, cara dan kata-kata.

Saya masih ingat lagi, ketika di zaman sekolah dahulu, ada seorang dua guru yang gemar melontarkan kata-kata seperti “Sudahlah buta, pekak pulak”. Sebagai murid, saya dan kami semua tidak akan berkecil hati jika kami kena marah sebab memang ada kalanya kami memang patut dimarahi lantaran kesalahan yang mungkin telah kami lakukan. Namun begitu, lontaran kata-kata hina dan memedihkan seumpama itu membuatkan saya terus mengingati kata-kata dan sipenuturnya sampai bila-bila.

Saya dan kami juga turut rasa terhina apabila ada seorang dua golongan tertentu yang gemar datang menghampiri kami secara senyap-senyap, kononnya ingin mendengar apa yang kami perbualkan. Orang seperti itu menyangka kehadiran mereka tidak kami sedari. Bukankah Tuhan itu Maha Adil, Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui. Tidak semestinya kehadiran orang tertentu hanya dapat dikesan melalui deria penglihatan semata-mata. Adakalanya bau ketiaknya yang busuk itu pun sudah memberi petunjuk yang jelas kepada kami bahawa si anu atau si fulan sedang berada tidak jauh dari kami. Kalaulah kami ini berpenglihatan, saya yakin golongan berkenaan tidak akan melakukan perbuatan seumpama itu.

Kalaulah hendak diceritakan semua penghinaan yang pernah saya dan rakan-rakan saya terima sejak dulu, saya pun tak pasti entah berapa banyak tinta dan naskah buku yang diperlukan untuk dicatatkan semuanya itu. Bukanlah niat saya untuk mengungkap atau mengungkit, tetapi sejarah semalam mesti dijadikan panduan supaya mudah untuk kita bezakan antara gurau dan nesta, antara puji dan keji, antara hinaan dan kebiasaan.

Setakat ini, saya belum lagi sampai ke tahap mendoakan orang yang menghina saya supaya jadi macam saya. Lagi pun, saya percaya, jika mereka yang masih berupaya jadi seperti saya, mereka mungkin tidak mampu untuk menanggung pelbagai cabaran, dugaan, penghinaan, susah-payah, kata-kata nesta dan sebagainya yang mana ada ketikanya suka tidak suka orang seperti saya harus menanggungnya.

Oleh itu, saya berharap agar mereka yang berdoa supaya kedua-dua pegawai tinggi SPRM tersebut akan duduk di atas kerusi roda suatu hari nanti, akan menarik balik doa mereka. Saya bimbang, kalau doa tersebut dimakbulkan Tuhan, kedua-dua pegawai tersebut mungkin tidak dapat lagi meneruskan tugas-tugas mereka di SPRM. Masih tidak salah jika kita masih ada sifat kasihan kepada kedua-dua pegawai tinggi tersebut walaupun mereka berdua tidak langsung mengasihani orang seperti kita.



Oleh itu, saya suka memaklumkan kepada tokoh seperti YB Karpal Singh, bahawa sudah menjadi lumrah dan perkara biasa dalam masyarakat kita golongan OKU diperlakukan seperti itu. Jika pegawai tinggi kerajaan boleh bersikap sedemikian, sementelahan pula bagi pegawai yang sedang meningkat tinggi. Selama ini pun, saya beranggapan istilah seperti “golongan istimewa” bukan sahaja menggelikan gegendang telinga dan memualkan isi perut, bahkan ia tak ubah umpama sebiji gula-gula beracun, hanya manisnya di bibir, tapi penuh racun di hati.

2 comments:

Unknown said...

Assalamu'alaikum, saudara Blogger dan rakan-rakan pengunjung sekalian.

Pertama sekali, maaf, kerana agak lama tidak dapat bergiat aktif di dalam blog ini, khususnya, serta blog rakan-rakan lain, amnya. Walaupun begitu, saya akan terus mengikuti dan membaca tulisan saudara dan rakan-rakan lain, insha Allah, berdasarkan kemampuan semasa.

Memang, isu penghinaan terhadap OKU bagaikan asam garam kehidupan kita. Kalau kisah yang saudara nyatakan adalah kisah langsung, bagaimana pula dengan pelbagai bentuk diskriminasi lain, khasnya memperluas skop pencarian rezeki dan memartabatkan kehidupan? Misalnya, bolehkah masyarakat memandang mereka yang berjualan barangan murah atau hampir tiada nilai seperti kertas tisu di jalanan, dianggap pengemis? Lainlah, mereka yang memang menagih simpati secara demikian, kan? Sepatutnya, mereka yang berpandangan demikian, terutamanya pihak berwajib, menyediakan ruang secukupnya bagi menempatkan penjual sedemikian secara lebih sistematik jika benar-benar mau memperbaiki keadaan, daripada hanya pandai memutar ldah yang sekaligus menambah dosa harian sahaja. Itu baru satu contoh daripada beberapa banyak yang tak mampu diselitkan di sini.

Oleh itu, saya juga sependapat dengan saudara, agar kita sebagai OKU, eloklah menyerahkan sahaja urusan penghakiman kepada Allah Yang Maha Segalanya. Memang, tidak salah untuk kita membalas. Namun, biarlah ianya lebih mencerminkan kedewasaan serta kekhusyukan kita terhadap-Nya. Bayangkan, Rasulullah SAW sendiri; kalau Baginda mahukan balasan segera ke atas orang-orang kafir, rasanya, tak mungkin kita mampu mengecapi nikmat Islam hari ini, kan? Kalau tidak dengan mencontohi Rasulullah, terutamanya kepada yang bukan Islam, contohilah juga sikap golongan OKU terdahulu yang dengan kesabaran mereka, setidak-tidaknya, inilah pelbagai keuntungan dan nikmat kemajuan yang sedang kita kecapi, seperti tulisan Braille, alat bantu pendengaran, kerusi roda, malah, hjingga ke tahap ICT, telah menyediakan kaedah khusus untuk golongan sasar. Akhirnya, kepada semua, terutamanya yang sempurna fizikal, bersamalah kita sedari, segala yang kita miliki sebenarnya kepunyaan-Nya belaka. Justeru, janganlah kita bersikap seperti Fir'aun yang amat kerugian lantaran kebongkakan da kesombongannya. Tak rugi kita merendah diri lagi tawadhuk; nescaya kita makin disenangi lagi disayangi semua.

Terima kasih.

Anonymous said...

Jadi org tak cacat pun tak terlepas dari kutukan, cacian dan hinaan... alisetan BBT