Majlis Sambutan Maal Hijrah PERTIS Pahang
Pagi tadi, Persatuan Orang-orang cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) negeri Pahang telah mengadakan majlis sambutan Maal Hijrah peringkat PERTIS negeri Pahang. Selaku NYDP peringkat PERTIS Pusat dan penyelaras PERTIS Pahang, maka saya telah dijemput untuk turut hadir dalam majlis berkenaan. Selain itu, kehadiran saya juga bertujuan untuk mendapatkan info terkini mengenai aktiviti PERTIS Pahang serta permasalahan/cabaran yang sedang dihadapi.
Sekitar jam 10.00 pagi saya serta keluarga tiba di pejabat PERTIS Pahang. Di sinilah majlis akan diadakan. Bahkan di pejabat ini juga pelbagai aktiviti anjuran PERTIS Pahang sering diadakan. Untuk pengetahuan bersama, pejabat PERTIS Pahang terletak di Kampung Mambang Berulang, Mentakab.
Pada pendengaran saya, kehadiran para ahli untuk majlis pagi ini menggalakkan. Dalam hal ini, saya memang kagum dengan semangat ahli-ahli PERTIS Pahanh. Setiap kali PERTIS Pahang menganjurkan majlis, sambutan yang mereka berikan memang menggalakkan. Kekaguman saya berasaskan kepada beberapa faktor. Kebanyakan ahli tinggal di tempat yang jauh dari pejabat PERTIS Pahang. Bahkan ada yang datang dari Maran dan Kuantan. Selain itu, pihak PERTIS tidak menyediakan pengangkutan khusus untuk membawa para ahli tersebut datang dan balik ke majlis seumpama ini. Mereka datang atas kerelaan sendiri, dengan wang saku sendiri dan dengan susah payah tanggungan sendiri. Walhal pengangkutan di Pahang tidaklah sebaik dan secanggih seperti di KL. Namun demikian, semuanya itu tidak menghalang para ahli PERTIS Pahang untuk hadir dalam majlis-majlis seperti ini.
Antara tetamu lain yang turut hadir termasuklah Ustaz Hamdan Yusi Yusuf (Qadhi daerah Kuantan) yang juga merupakan penceramah jemputan, Ustaz Azahari Daud, Timbalan Qadhi Daerah Temerloh, Penghulu mukim setempat, serta barisan kepimpinan PERTIS Pahang.
Sekitar jam 10.5 pagi majlis pun dimulakan. Ia dimulakan dengan bacaan doa. Setelah itu, ia diteruskan dengan bacaan Alquran yang disampaikan oleh Siti Norafizah binti Burhanuldin. Beliau merupakan bekas murid saya beberapa tahun lalu. Kini Siti Norafizah sedang mengikuti latihan di Taman Harapan, Temerloh, Pahang.
Setelah itu, saya pula diminta untuk menyampaikan ucapan alu-aluan. Mulanya saya menolak. Lagi pun, bagi saya, sebaiknya pengerusi PERTIS Pahang yang patut memberikan ucapan alu-aluan kerana mereka yang jadi tuan rumah. Namun begitu, setelah menimbangkan beberapa perkara, akhirnya saya bersetuju juga untuk mengisi slot ucapan bagi mewakili PERTIS Pusat dan PERTIS Pahang.
Selepas itu, giliran Ustaz Azahari Daud pula untuk menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan majlis pagi ini. Ucapannya ringkas sahaja. Beliau menyampaikan salam daripada Tuan qadhi Daerah Temerloh yang tidak dapat hadir kerana terpaksa menyertai satu lagi program.
Majlis diserikan lagi dengan persembahan oleh kumpulan nasyid daripada para pelatih dari Taman Harapan, Temerloh. Mereka menyampaikan 2 buah lagu. Seperti biasalah, kalau menyanyi atau bernasyid, suara orang buta memang merdu dan ada kalanya mempesonakan. Sayangnya bakat seumpama ini masih lagi belum mampu untuk menjamin masa depan mereka.
Setelah itu, majlis diteruskan dengan ceramah bersempena hijrah yang disampaikan oleh Ustaz Hamdan YusiYusuf. Beliau berceramah selama sekitar sejam dan 15 minit. Bagus ceramahnya. Cara dan gaya Ustaz Hamdan berceramah di hadapan para hadirin pagi ini patut dipuji. Beliau tidak menggunakan bahasa yang tinggi, tidak menggunakan istilah akademik yang sukar untuk difahami dan disertai pula dengan unsur kecindan yang sederhana. Maknanya, beliau peka dengan jenis hadirin yang menjadi pendengar ceramahnya.
Sebenarnya Ustaz Hamdan bukanlah penceramah asing di sekitar Pahang. Ceramah-ceramah beliau sering berkumandang di Radio Malaysia Pahang FM. Ini bukan kali pertama Ustaz Hamdan menyertai program anjuran PERTIS Pahang. Ustaz Hamdan juga merupakan Ahli Bersekutu PERTIS dan merupakan Ahli Seumur Hidup PERTIS sejak beberapa tahun lalu.
Slot ceramah diakhiri dengan sesi soal jawab. Walaupun soalan-soalan yang diutarakan terkeluar daripada tema ceramahnya, Ustaz Hamdan tidak menolaknya bahkan telah memberikan jawapan yang memuaskan terutama kepada yang bertanya. Macam itulah tuan qadhi, mampu menjawab walau apa jua soalan yang diutarakan.
Sekitar jam 1.00 tengah hari majlis berakhir. Ia diakhiri dengan jamuan makan tengah hari. Selepas itu diadakan pula perbincangan ringkas antara barisan kepimpinan PERTIS Pahang, saya dengan Ustaz Hamdan. Perbincangan berkisar pada kegiatan PERTIS Pahang untuk tahun 2010. Daripada perbincangan tersebut, saya dapati sokongan, pertolongan serta komitmen yang ditunjukkan oleh Ustaz Hamdan kepada PERTIS Pahang amat tinggi sekali. Mudah-mudahan Allah merahmati beliau sekeluarga.
Sekitar jam 3.00 petang saya sudah pun berada di rumah di KL. Selepas asar nanti, satu lagi urusan yang perlu saya selesaikan.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
1 comment:
pokok besar dekat bangunan hang pa meeting tu kena tebang, kalau tidak dahan yang reput tu boleh timpa bumbung.
nasib baik la kita dapat najib sebagai pm yang prihatin, dah lapan tahun bumbung flat seri sentosa tu rosak, baru hari ni dia pi repair. ha ha ha, khir toyo pun tak buat apa-apa, khalid pun tak buat apa-apa.
Post a Comment